Sunday 24 April 2011

Kuliah Jumaat Di Masjid Ubudiah Shah Alam

Sudah lama saya tidak bercakap mengenai Palestin di khalayak. Tawaran dari Aman Palestin melalui panggilan telefon pagi tadi masih saya pertimbangkan. “ Boleh bagi kuliah Jumaat esok di Masjid Ubudiah Seksyen 18 Shah Alam ?. ” Begitulah pertanyaan daripada seorang staf Aman Palestin yang telah lama saya kenali. “ Insya Allah, boleh bagi sedikit masa untuk saya fikirkan ? ”

Memberi kuliah di surau & masjid bukanlah asing bagi saya. Malah saya pernah memberikan kuliah di Masjid Raya Baiturrahman, Banda Aceh sewaktu misi pendidikan ke sana. Saya kira sukar peluang itu saya dapatkan di Malaysia. Layakkah saya berkuliah di masjid negeri ?. Insya Allah satu hari nanti.

Saya meneliti emel yang diberikan setelah bersetuju menyampaikan kuliah. Satu persatu bahan dicetak & dibaca. Kemudian saya tandakan isi-isi penting yang akan disebut esok. Setelah itu saya layari internet mencari bahan-bahan berkaitan. “ Semoga Allah memudahkan urusan aku esok, ” saya berdoa dalam hati.

Shah Alam bukanlah tempat yang asing bagi saya. Akan tetapi saya sesat juga dalam perjalanan ke Masjid Ubudiah. Sesat bukan kerana tiada perancangan, tetapi terlepas tanda jalan penting menuju ke sana. Saya kira sudah lambat apabila sampai, tetapi rupanya tidak. “ Ustaz boleh ceramah sampai masuk waktu zohor. ” kata pengerusi masjid. Biasalah, semua orang yang berceramah di masjid akan dipanggil ustaz.

Masjid yang tadinya kosong kini beransur penuh. Seorang demi seorang jemaah memenuhi ruang solat utama. Saya yang berbaju melayu, mengenakan seluar slack & berkopiah meneruskan kuliah sambil memerhatikan jemaah yang masuk. “ Saya yakin sudah acap kali tuan-tuan mendengar akan isu Palestin. Barangkali tuan-tuan membaca di akhbar & majalah, menonton dokumentari di televisyen, mendengar ceramah atau forum di corong radio. Persoalannya, apakah tindakan kita sesudah semua itu ?, ” kata saya.

“ Cukupkah hanya dengan membaca, menonton & mendengar ?. Apakah kita tidak malu membiarkan kiblat pertama umat Islam diinjak-injak sedemikian rupa ?. Ada yang mampu kita sumbangkan untuk saudara kita di sana, ” saya menambah. Projek-projek terkini Aman Palestin saya promosikan. Jemaah yang ada kelihatan berminat apabila mendengar projek disebut satu persatu. “ Dengan hanya RM 150 sebulan kita mampu membiayai seorang pelajar sehingga dia menamatkan pengajian. Apalah sangat RM 150 sebulan tu. Duit petrol kita barangkali lebih banyak. Tuan-tuan pilih yang berkenan di hati. Besar nanti boleh buat menantu, ” cadangan saya disambut dengan gelak ketawa.

Saya berhenti 5 minit sebelum masuk waktu zohor kerana sakit gigi. Sememangnya saya menahan kesakitan semasa memberikan kuliah tadi. “ Terima kasih tuan haji berikan kami peluang pada hari ini, ” saya bersalam dengan pengerusi masjid. Pengerusi masjid menjawab, “ Eh, tak. Kami yang perlu berterima kasih kepada Aman Palestin sebab bersungguh-sungguh jalankan kempen ni. Lepas ni boleh ustaz bagi kuliah lagi di sini ?. ” Saya berlalu sambil tersenyum.