Sunday 28 August 2011

Ramadhan Ini




Ramadhan bertandang lagi,
Membawa seribu satu rahmat Ilahi,
Melimpah keberkatan tiada bertepi,
Buat insan mengabdi diri.

Pahala amal diganda-gandakan,
Menjadi banyak tidak terkira,
Pesta ibadah kita raikan,
Kelak menjadi hamba bertaqwa

Solat tarawih saban malam,
Penuhi masa tilawah Al-Quran,
Tebus dosa kesalahan silam,
Pada Tuhan mohon keampunan

Lidah dijaga tutur dipelihara,
Jangan ada yang memendam rasa,
Elak diri menyakiti sesiapa,
Kerana kita sedang berpuasa

Dibuka seluasnya pintu syurga,
Ditutup serapatnya pintu neraka,
Kejar pahala sifar dosa,
Redha Ilahi kita damba

Menghitung-hitung sepuluh terakhir,
Katil & tilam rela dikorban,
Moga bertemu lailatul qadar,
Kebaikan melebihi seribu bulan

Ramadhan ini bulan keampuanan,
Ramadhan ini teratak pendidikan,
Ramadhan ini bukan kesudahan,
Tatkala Syawal singgah kemudian

Ramadhan ini aku di Aussie,
Menimba ilmu mencari pengalaman,
Ramadhan ini aku di Sydney,
Menyingkap cerita umat di perantauan.


Usamah Izer
Clayton Victoria Australia
22 Ramadhan 1423H
22 Ogos 2011

Thursday 18 August 2011

TMA : Melbourne, Here i Come !







Usai solat maghrib aku terus menuju ke kaunter check-in. Hanya dua beg yang dibawa. Satunya bagasi & satu lagi beg sandang yang mengandungi peralatan elektronik. Perjalanan dari surau ke kaunter dihiasi dengan hiruk-pikuk orang ramai dengan urusan masing-masing. Ada yang baru tiba. Ada yang sedang menaiki bas untuk ke Kuala Lumpur. Ada juga yang sedang menunggu di balai ketibaan. Sesekali kedengaran pengumuman pada pembesar suara. Di separuh perjalanan aku terpandang kaunter tukaran wang, lengang. Wang Dolar Australia sudah aku perolehi sebelum itu dengan kadar RM 3.24 bagi setiap $1.

Aku melihat pada panel, mencari maklumat penerbangan. Masih ada banyak masa. Perlepasan dijadualkan pada 10.30 malam. Dengan tenang aku melangkah mencari kaunter ke Melbourne. Ramai yang beratur menyelesaikan urusan bagasi. Dua kaunter dibuka. Di sebelah kiri kaunter ke Chrischurch. Cuma beberapa orang. Bandar itu dilanda gempa bumi pada bulan Julai selepas Februari serta September tahun lalu. Tiga gempa berturut-turut dalam masa satu tahun. Semoga mereka tabah melaluinya.

“ Ok Encik, tak melebihi berat yang dibenarkan, ” kata pegawai itu. Aku mundar-mandir di ruang legar terminal & melabuhkan diri pada kerusi yang disediakan. “ Online sekejaplah sementara tunggu flight, ” fikiranku mencadangkan. Gmail & Facebook antara laman yang aku lawati. Sambil membaca emel & komen-komen aku mengeluarkan roti bungkus yang dibeli tadi sebagai alas perut. Sedang asyik menatap skrin laptop, telefonku berdering. Seorang sahabat menelefon bertanyakan hal keberangkatan aku. “ Macam mana ?. Jangan lupa tulis travelog untuk tatapan kami di sini, ” katanya. Aku mengiakan sahaja waktu itu.




Aku mencuba kamera Lumix Panasonic yang dipinjam dari adikku. Tak lengkap rasanya perjalanan ini sekiranya tiada kamera bersama. Lagipun dah ada peminat yang akan mengikuti tulisan & pengembaraan aku ini. Beberapa ketika kemudian datang tiga orang remaja berkopiah serta memakai jubah duduk di kerusi sebelahku. Aku melemparkan senyuman & cuba menyapa tetapi suara seakan terlekat di kerongkong. Berapa ketika kemudian aku bertanya, “ Boleh tolong ambilkan gambar saya ?. ” Bermula detik itu aku berkenalan dengan mereka. “ Kami dalam perjalanan pulang ke Kemboja. Hantar kawan yang sambung belajar di Malaysia, ” kata salah seorang dari mereka menyatakan tujuan.

“ Muda-muda lagi dah berjauhan dengan keluarga menuntut ilmu, ” aku menambah perisa perbualan. “ Kami di Kemboja susah abang. Bila datang sini alhamdulillah ada yang sudi menaja pembelajaran kami. Orang Malaysia pemurah, ” mereka menerangkan dengan bersungguh-sungguh. “ Nanti datanglah sini sambung belajar. Saya pun ada beberapa orang kawan dari susur galur Melayu Champa, ” kataku mengakhiri perbualan.

Aku bergerak menuju ke pintu pelepasan. Setelah mendapatkan pengesahan passport & melalui pemeriksaan kastam aku mencari pintu T 16. Beberapa orang pegawai siap menunggu di muka pintu memeriksa passport & tiket. “ Berapa hari di Australia, ” tanya pegawai itu. “ Dalam sebulan, ” jawabku ringkas. “ Lamanya, buat apa di sana ?. ” tanyanya lagi. “ Sekali-sekala pergi memang lama. Baru berbaloi. ” Bilik menunggu penuh dengan penumpang. Ada orang Malaysia, ada yang bukan.





Debaran semakin terasa tatkala aku mengatur langkah ke arah pesawat. Tempat dudukku terletak di belakang, ekor pesawat. Aku duduk di sebelah wanita separuh abad dari Kanada. Dia dalam perjalanan pulang ke sana. Transit beberapa hari di Australia sebelum merentasi Lautan Pasifik untuk sampai ke benua Amerika Utara. Dia menceritakan pengalaman melancong ke seluruh dunia. Mudahnya mendapat ilmu, hanya dengan berbual & mengambil hikmah-hikmah yang terkandung di dalamnya.





Nasi lemak bersama air mineral dihidangkan setelah lebih sejam di udara. Pada mulanya aku berbelah bahagi sama ada mahu makan atau tidak. Maklumlah perjalanan masih jauh, sekitar enam jam & tiada bekalan yang aku bawa. “ Makan saja. Nanti boleh tidur, ” perasaanku berkata-kata. Masa berbaki aku isi dengan fitrah malam, tidur sambil mendengar ayat-ayat Al-Quran dari mp3 yang dibeli khusus bagi perjalanan kali ini.





Bunyi bising penumpang lain mengejutkanku. Sudah lima pagi waktu Malaysia. Aku melihat ke luar tingkat kapal terbang. Terdapat cahaya dari daratan. Fajar pun mula menyingsing di ufuk timur. Mungkin sedang melewati Perth. Aku bangun ke bilik air mengambil wuduk. Tapi nak solat ikut waktu mana ?. Mungkin melihatkan kesangsian aku, seseorang menegur “ Nak solat subuh ?. ” “ Ya. ” “ Jom kita solat sama-sama, ” dia mempelawa. “ Pak cik melawat anak di Melbourne. Dia belajar di sana, ” katanya memulakan perbualan. “ Alhamdulillah, bagus tu pak cik. Nak berjalan-jalan pun senang kan, ” aku membalas.

Matahari mula menampakkan diri menyinari alam semesta. Sungguh indah alam ciptaan Tuhan ditambah pemandangan dari atas kapal terbang. Masing-masing sibuk mempersiapkan diri.
“ Dah nak sampai barangkali, ” getus hatiku. “ Pendaratan terpaksa ditangguhkan kerana kesibukan Lapangan Terbang Tullamarine. Kita akan mendarat pada jam 8.30 pagi waktu tempatan, ” kata juruterbang memberikan pengumuman. “ Cuaca di Melbourne dilaporkan baik dengan suhu 6 darjah selsius. ” Wah, sejuknya !. Macam suhu dalam peti ais pula.

Setelah berlegar-legar di ruang udara akhirnya kapal terbang mendarat. Melbourne here I come !.


Usamah Izer
Broadview, Adelaide Australia

Tuesday 16 August 2011

TMA : Langkah Bermula

Menjadi impian setiap insan mengembara ke luar negara. Begitu juga dengan saya. Namun bukan bermaksud tidak menghargai keindahan negara sendiri. Seperti kata pepatah ‘ Jauh perjalanan luas pemandangan. ’ Sesuai dengan firman Allah dalam Al-Quran yang bermaksud, “ Maka berjalanlah di atas muka bumi. ” Akan tetapi jangan kita lupa bahawa junjungan besar Nabi Muhammad pernah mengingatkan : “ Janganlah kamu berlebihan dalam mengembara melainkan ke tiga masjid. Masjidil Haram, Masjidku ini & Masjidil Aqsa ” Bukhari Muslim

Kisahnya bermula sebelum ramadhan. Waktu itu saya mendapat jemputan sebagai imam tarawih di Pelham Musolla, University Of Melbourne. Mana mungkin saya menolak peluang sebegini. Akan tetapi nama saya yang sensitif mungkin akan menyukarkan urusan memasuki Australia nanti. ‘ Terima saja. Peluang tak datang dua kali. Lagipun bila lagi nak ke Australia. Dah berdua nanti banyak benda nak kena fikir. Kos pun dah dua kali ganda, ” kata Asrol memberikan pandangan. Dengan perasaan bercampur-campur saya menerima pelawaan tersebut. Antara gembira & curiga. Gembira kerana akan menjejakkan kaki ke sana. Curiga dengan urusan imigresen yang melecehkan. “ Boleh ke aku lepas ni ?, ” saya bermonolog sendirian.

Tidak banyak persiapan yang saya lakukan. Saya diberitahu ramadhan tahun ini jatuh pada peralihan musim sejuk & musim bunga. Suhunya tidaklah sejuk menggila. Malahan saya hanya membawa sehelai baju tebal bersama-sama. Pakaian lain juga tidak banyak diisi dalam bagasi. Cukup sekadar memenuhi keperluan seorang yang bermusafir ke negara empat musim. Sekali lagi saya akan berseorangan dalam perjalanan yang jauh. Namun apa yang nak dirisaukan. Bertolak dari lapangan terbang negara sendiri & ditemani oleh kapten serta anak kapal yang juga orang Malaysia. Sampai ke destinasi ada yang akan menjemput. Begitulah perasaan saya. Anak muda memang sukakan cabaran.

Ada beberapa urusan yang saya selesaikan pada hari-hari terakhir sebelum berangkat. Memperbaharui passport, urusan visa & mendapatkan sedikit sebanyak maklumat berkenaan negara kangaroo itu. Kesempatan yang ada saya gunakan untuk pulang ke kampong menemui keluarga memohon restu. Nampaknya saya tidak akan menyambut ramadhan kali ini dengan mereka. Ya, saya akan berada di Australia sepanjang ramadhan. Bahkan Aidil Fitri juga akan disambut di sana. “ Mak kata kena biasakan diri hang tiada di rumah. Nanti pun tak da jugak bila raya, ” kata adik. Saya hanya diam sahaja. Seakan memahami maksud yang ingin disampaikan.

Perjalanan dari rumah ke Lapangan Terbang Tambang Murah ( LCCT ) dimulakan dengan menaiki LRT ke KL Sentral. Dari sana saya akan menyambung perjalanan dengan perkhidmatan bas yang mengambil masa sekitar satu jam. Bas penuh dengan penumpang yang akan menggunakan perkhidmatan Air Asia ke destinasi masing-masing. Saya belum memulakan perkenalan dengan sesiapa di dalam bas. Manalah tahu ada yang sama destinasi dengan saya juga. Perjalanan pada lewat petang itu saya isi dengan berimaginasi suasana yang bakal ditempuhi nanti. Sejuk macam aircond kah ?.

Makin lama makin sibuk pula LCCT ini. Walaupun terletak bersebelahan dengan KLIA namun dek kerana kesibukannya, kerajaan telah memutuskan membina sebuah lagi lapangan terbang yang mungkin akan dikenali sebagai KLIA 2. Teringat saya akan kisah Tony Fernandes & ahli lembaga pengarahnya termasuk Kamaruddin Meranun yang membeli Air Asia daripada DRB Hicom dengan hanya RM 1 & kemudian menukarkannya menjadi syarikat penerbangan tambang murah yang terus unggul saban tahun. Langkah ini diikuti oleh syarikat penerbangan yang lain dengan menyediakan perkhidmatan tambang murah sebagai sub perniagaan mereka.


Usamah Izer
Redfern, Sydney Australia

Wednesday 3 August 2011

Air Sagu

Rebus sagu


Resepi ini baru diperolehi daripada kawan saya, air sagu. Bahan-bahannya ialah sagu, santan, gula melaka, daun pandan & ais. Rebuskan sagu hingga kembang & warnanya menjadi jernih. Kemudian cairkan gula melaka bersama daun pandan. Sekiranya santan terlampau pekat, cairkan juga. Boleh gantikan santan dengan susu cair. Apa pun bergantung kepada selera anda.

Campurkan sagu, santan & gula melaka dalam 1 bekas. Kemudian masukkan ais. Sedia untuk diminum !. Sesuai bagi mereka yang berada di perantauan, homesick & sangat merindukan kampung halaman.

Usamah Izer
Melbourne Victoria