Thursday 29 September 2011

TMA : " Melayu Harus Pandai, Bukan Pandai-Pandai "

Perbualan dengan Haji Ramadan petang itu di Masjid Lakemba Sydney bersama dua orang sahabat yang turut mengiringi dihiasi dengan gelak ketawa. Usianya sudah menjangkau 60-an akan tetapi betah bergaul dengan orang muda. Cerita demi cerita yang disulami dengan nasihat membuatkan kami tidak jemu berbual dengannya. Begitulah cara orang dulu-dulu menasihati. Dibawakan cerita, hikayat, kisah-kisah & diolah dalam bentuk yang mudah difahami serta puitis seperti pantun, sajak, gurindam, syair agar menarik minat sesiapa yang mendengarnya.

Beliau merupakan anak kelahiran Kota Singa namun lama menetap di Australia, bahkan sudah memperolehi kerakyatan negara itu. Ketiga-tiga orang anaknya membesar di sana & sudah pun bekerja. “ Kenapa lambat sangat bawa ustaz ?. Esok nak balik baru datang ke sini, ” kata Haji Ramadan seakan memprotes. Saya hanya tersenyum mendengarkan gelaran ustaz yang diberikan. Semenjak datang ke sini panggilan itu sudah sinonim dengan saya walaupun acap kali saya membantah penggunaannya. Tapi apakan daya.

Haji Ramadan merupakan mantan Pengerusi Islamic Malay Australian Association of NSW (IMAAN). Cerita beliau, “ Saya ke Palestin beberapa tahun lalu melalui Israel. Alhamdulillah kami dapat sampaikan sumbangan kewangan tapi bekalan ubat yang dibawa semuanya dibuang. Tidak dibenarkan melepasi sempadan untuk dibawa masuk ke Palestin. ” “ Saya tak dapat lupakan bagaimana perasaan dapat bersolat di Masjidil Aqsa. Saya rasa cukup bertuah & bukan semua orang dapat pengalaman seperti itu, ” tambahnya lagi.

IMAAN mempunyai sebuah masjid yang terletak di Eden Street, 15 minit perjalanan dari Redfern dengan kereta. Pada asalnya ia merupakan sebuah gereja akan tetapi diubahsuai menjadi masjid selepas dibeli oleh komuniti Melayu NSW. “ Susah kita nak dapatkan permit of worship di sini. Banyak birokrasi yang perlu dilalui. Sebab itu kita beli gereja. Permit tu dah ada. Masjid pun place of worship juga. Jadi boleh gunakan permit yang sama, ” terang Haji Ramadhan dengan panjang lebar. “ Macam tu, lain tempat lain cabarannya, ” respon saya pendek.

Waktu menginjak perlahan menghampiri senja. Para petugas masjid sedang membentangkan pelapik makanan & menghidangkan tamar serta buah-buahan yang telah dipotong menjadi juadah berbuka puasa. Kami terus rancak berbual. Saya tidak dapat lupakan kata-kata hikmah Haji Ramadan, “ Melayu harus pandai, bukan pandai-pandai. ” Sinis sekali ungkapannya itu. Ia membuatkan saya berfikir apakah mesej yang hendak disampaikan. “ Macam mana tu haji ? ” tanya saya inginkan kepastian. “ Itulah saya pun hairan bila berbasikal menaiki bukit, susah nak kayuh. Tapi bila turun bukit laju saja. Tayar pusing pula tu, ” katanya selamba. “ Memanglah haji, dah turun bukit, ” kata Fauzi.

“ Ya, itulah yang saya maksudkan. Melayu kena pandai, bukan pandai-pandai. Orang yang pandai tahu & sedar apa yg dituturkan kepadanya. Bukan sekadar terima bulat-bulat semua perkara. Paling penting kemahiran berfikir. Maaf cakaplah kan, orang kita tak mahu berfikir, ” Haji Ramadhan menyambung bicara. Katanya lagi, “ Jom lah kita. Dah nak berbuka ni. Biasanya saya azan maghrib. ”

Muslim pelbagai bangsa memenuhi ruang legar masjid, tempat juadah dihidangkan. Terdapat meja di hadapan pintu masuk masjid yang disediakan bagi mereka yang tidak mendapat tempat di safrah.

Azan maghrib dilaungkan dengan alunan Melayu. Suasana yang suram ditambah cahaya mega di kaki langit membuatkan petang itu terasa begitu syahdu. Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa membelai jiwa yang seharian penat berpuasa. Pohon-pohon yang ditanam di hadapan masjid bergerak seirama bersama tiupan angin ke timur & ke barat. Setelah berdoa saya berbuka puasa dengan tamar & susu segar. Jangan lepaskan peluang minum susu segar sekiranya anda ke Australia. Harganya pun murah, $3 untuk botol 3 liter. Selesai berbuka ala kadar semua yang hadir memasuki masjid bagi menunaikan solat.

Ada dua tempat yang menyediakan makanan. Satu di perkarangan masjid & satu lagi di kawasan tempat letak kereta, di bahagian bawah masjid. Selesai menjamu selera dengan nasi beriani Pakistan, kami bergerak ke rumah Haji Ramadan yang terletak di hadapan masjid. Di sana kami diperkenalkan dengan mak cik Maya, penyeri hidup Haji Ramadan. Ternyata pasangan ini sempoi, cool kata orang muda sekarang. Mak cik Maya menghidangkan kami kopi yang dibelinya dari Malaysia sewaktu pulang tidak berapa lama dulu.

“ Apa pandangan Haji tentang politik Malaysia ? ” tanya saya memulakan perbualan. Dengan iras muka berkerut-kerut beliau menjawab, “ Ramai pemimpin Malaysia yang datang ke sini dibawa berjumpa saya. Maklumlah saya Pengerusi IMAAN satu ketika dahulu. Apa-apa hal orang akan rujuk saya. Baik dari UMNO ataupun PAS. ” Beliau menyambung, “ Pada saya orang Melayu Malaysia sangat beruntung sebab mempunyai kerajaan yang baik, ada peluang di sana-sini, peluang belajar, peluang pekerjaan. Kami orang Melayu Singapura tak dapat peluang macam kamu semua. Sebab itu ramai yang berhijrah. Di Australia ni ramai orang Melayu kita. Di sini lebih adil untuk kami. ”

“ Saya lihat baik PAS mahupun UMNO ada kelebihan & kekurangan. Kadang-kadang nampak sangat keterlaluan berpolitik. Saya walaupun bukan orang Malaysia tapi risau dengan perkembangan itu. Perbualan kami menjadi lebih serius. “ Bagaimana kalau kita usahakan supaya kedua-dua pihak ini duduk semeja ? ” soalan seterusnya yang lebih sarat.. Lantas beliau berkata, “ Itulah yang sebaik-baiknya. Semua pihak ada kelebihan, ada kekurangan. Banyak perkara yang mereka boleh kerjasama bila duduk sekali. Cuma tak tahu bila perkara tu akan terjadi. ”

Sambil itu saya menghirup kopi yang membuatkan minda melayang-layang terbang pulang ke Malaysia. Kami menunggu sehingga azan Isya’ dikumandangkan lalu kembali semula ke masjid. Khabarnya ramadhan kali ini Masjid Lakemba menjemput imam dari Mesir untuk mengetuai solat tarawih. Tak sabar mendengar kemerduan bacaan imam itu.