Umar Abdul Rashid
Idea menggabungkan nama 2 khalifah Islam yang masyhur iaitu Umar Abdul Aziz & Harun Ar-Rashid timbul daripada Adnan Oktar yang menggunakan Harun Yahya sbg nama penanya, gabungan nama Nabi Harun & Nabi Yahya
Tuesday, 11 December 2012
Cafe Cinta
Monday, 31 October 2011
Thursday, 20 October 2011
Objektif HIMPUN
- Untuk menerangkan kedudukan perkara yang sebenarnya tidak seperti yang digembar-gembur melalui media.
- Mengukur tahap kesatuan dan semangat kekitaan dikalangan orang Islam khasnya terhadap gerak-kerja Kristianisasi termasuk peristiwa 3 Ogos 2011.
- Memberitahu rakyat perlunya persoalan aqidah ditangani melalui hujah agama bukan dibiarkan berlarutan menjadi modal politik.
- Menserlahkan Institusi Raja yang menjadi payung Bangsa Melayu dan Islam dalam hal peranan mereka dalam sama-sama menangani isu yang menyentuh sensitiviti orang Melayu Islam di negara ini.
- Menzahirkan kekuatan aqidah dan keimanan masyarakat Islam sambil memberi amaran tentang bahaya yang akan menimpa negara ini seandainya isu ini terus dieksploitasi.
- Menyedarkan rakyat tentang wujudnya peruntukkan dalam Perlembagaan dan undang-undang negeri yang tidak mengizinkan mana-mana pihak mengganggu-gugat kesucian Islam serta tindakan mendakwahkan agama selain daripada Islam kepada orang Islam.
Thursday, 29 September 2011
TMA : " Melayu Harus Pandai, Bukan Pandai-Pandai "
Perbualan dengan Haji Ramadan petang itu di Masjid Lakemba Sydney bersama dua orang sahabat yang turut mengiringi dihiasi dengan gelak ketawa. Usianya sudah menjangkau 60-an akan tetapi betah bergaul dengan orang muda. Cerita demi cerita yang disulami dengan nasihat membuatkan kami tidak jemu berbual dengannya. Begitulah cara orang dulu-dulu menasihati. Dibawakan cerita, hikayat, kisah-kisah & diolah dalam bentuk yang mudah difahami serta puitis seperti pantun, sajak, gurindam, syair agar menarik minat sesiapa yang mendengarnya.
Beliau merupakan anak kelahiran Kota Singa namun lama menetap di Australia, bahkan sudah memperolehi kerakyatan negara itu. Ketiga-tiga orang anaknya membesar di sana & sudah pun bekerja. “ Kenapa lambat sangat bawa ustaz ?. Esok nak balik baru datang ke sini, ” kata Haji Ramadan seakan memprotes. Saya hanya tersenyum mendengarkan gelaran ustaz yang diberikan. Semenjak datang ke sini panggilan itu sudah sinonim dengan saya walaupun acap kali saya membantah penggunaannya. Tapi apakan daya.
Haji Ramadan merupakan mantan Pengerusi Islamic Malay Australian Association of NSW (IMAAN). Cerita beliau, “ Saya ke Palestin beberapa tahun lalu melalui Israel. Alhamdulillah kami dapat sampaikan sumbangan kewangan tapi bekalan ubat yang dibawa semuanya dibuang. Tidak dibenarkan melepasi sempadan untuk dibawa masuk ke Palestin. ” “ Saya tak dapat lupakan bagaimana perasaan dapat bersolat di Masjidil Aqsa. Saya rasa cukup bertuah & bukan semua orang dapat pengalaman seperti itu, ” tambahnya lagi.
IMAAN mempunyai sebuah masjid yang terletak di Eden Street, 15 minit perjalanan dari Redfern dengan kereta. Pada asalnya ia merupakan sebuah gereja akan tetapi diubahsuai menjadi masjid selepas dibeli oleh komuniti Melayu NSW. “ Susah kita nak dapatkan permit of worship di sini. Banyak birokrasi yang perlu dilalui. Sebab itu kita beli gereja. Permit tu dah ada. Masjid pun place of worship juga. Jadi boleh gunakan permit yang sama, ” terang Haji Ramadhan dengan panjang lebar. “ Macam tu, lain tempat lain cabarannya, ” respon saya pendek.
Waktu menginjak perlahan menghampiri senja. Para petugas masjid sedang membentangkan pelapik makanan & menghidangkan tamar serta buah-buahan yang telah dipotong menjadi juadah berbuka puasa. Kami terus rancak berbual. Saya tidak dapat lupakan kata-kata hikmah Haji Ramadan, “ Melayu harus pandai, bukan pandai-pandai. ” Sinis sekali ungkapannya itu. Ia membuatkan saya berfikir apakah mesej yang hendak disampaikan. “ Macam mana tu haji ? ” tanya saya inginkan kepastian. “ Itulah saya pun hairan bila berbasikal menaiki bukit, susah nak kayuh. Tapi bila turun bukit laju saja. Tayar pusing pula tu, ” katanya selamba. “ Memanglah haji, dah turun bukit, ” kata Fauzi.
“ Ya, itulah yang saya maksudkan. Melayu kena pandai, bukan pandai-pandai. Orang yang pandai tahu & sedar apa yg dituturkan kepadanya. Bukan sekadar terima bulat-bulat semua perkara. Paling penting kemahiran berfikir. Maaf cakaplah kan, orang kita tak mahu berfikir, ” Haji Ramadhan menyambung bicara. Katanya lagi, “ Jom lah kita. Dah nak berbuka ni. Biasanya saya azan maghrib. ”
Azan maghrib dilaungkan dengan alunan Melayu. Suasana yang suram ditambah cahaya mega di kaki langit membuatkan petang itu terasa begitu syahdu. Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa membelai jiwa yang seharian penat berpuasa. Pohon-pohon yang ditanam di hadapan masjid bergerak seirama bersama tiupan angin ke timur & ke barat. Setelah berdoa saya berbuka puasa dengan tamar & susu segar. Jangan lepaskan peluang minum susu segar sekiranya anda ke Australia. Harganya pun murah, $3 untuk botol 3 liter. Selesai berbuka ala kadar semua yang hadir memasuki masjid bagi menunaikan solat.
“ Apa pandangan Haji tentang politik Malaysia ? ” tanya saya memulakan perbualan. Dengan iras muka berkerut-kerut beliau menjawab, “ Ramai pemimpin Malaysia yang datang ke sini dibawa berjumpa saya. Maklumlah saya Pengerusi IMAAN satu ketika dahulu. Apa-apa hal orang akan rujuk saya. Baik dari UMNO ataupun PAS. ” Beliau menyambung, “ Pada saya orang Melayu Malaysia sangat beruntung sebab mempunyai kerajaan yang baik, ada peluang di sana-sini, peluang belajar, peluang pekerjaan. Kami orang Melayu Singapura tak dapat peluang macam kamu semua. Sebab itu ramai yang berhijrah. Di Australia ni ramai orang Melayu kita. Di sini lebih adil untuk kami. ”
Monday, 29 August 2011
Sunday, 28 August 2011
Ramadhan Ini
Membawa seribu satu rahmat Ilahi,
Melimpah keberkatan tiada bertepi,
Buat insan mengabdi diri.
Pahala amal diganda-gandakan,
Menjadi banyak tidak terkira,
Pesta ibadah kita raikan,
Kelak menjadi hamba bertaqwa
Solat tarawih saban malam,
Penuhi masa tilawah Al-Quran,
Tebus dosa kesalahan silam,
Pada Tuhan mohon keampunan
Lidah dijaga tutur dipelihara,
Jangan ada yang memendam rasa,
Elak diri menyakiti sesiapa,
Kerana kita sedang berpuasa
Dibuka seluasnya pintu syurga,
Ditutup serapatnya pintu neraka,
Kejar pahala sifar dosa,
Redha Ilahi kita damba
Menghitung-hitung sepuluh terakhir,
Katil & tilam rela dikorban,
Moga bertemu lailatul qadar,
Kebaikan melebihi seribu bulan
Ramadhan ini bulan keampuanan,
Ramadhan ini teratak pendidikan,
Ramadhan ini bukan kesudahan,
Tatkala Syawal singgah kemudian
Ramadhan ini aku di Aussie,
Menimba ilmu mencari pengalaman,
Ramadhan ini aku di Sydney,
Menyingkap cerita umat di perantauan.
Usamah Izer
Clayton Victoria Australia
22 Ramadhan 1423H
22 Ogos 2011