Friday, 26 February 2010

MELAYU : Dimanakah Silapnya Kita ?.

Demi diri manusia dan yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya). Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertaqwa. Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya – yang sedia bersih – bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan), Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya – yang sedia bersih – itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat). [Asy-Syams : 7-10]

“Abang Akmal, saya nak tanya satu soalan boleh?”, tanya Bobo. Bekas junior saya yang kini lepasan SPM.

“Hah tanyalah”

“Hm, kenapa mentaliti orang Melayu tak berubah?”

Soalan yang sangat agak memetik minda. Seolah-olah adik saya yang seorang ini ingin menguji nampaknya.

“Sebab suasana kita tak berubah”

“Maksud abang?”

“Orang-orang kita kan super-suasana. Ada suasana, kita akan mengikut. Sekitar itu sahajalah mentaliti”

“Betul juga tu”, Bobo mengiyakan.

“Lihatlah suasana yang sering bermain di negara kita. Suasana barat, lalu ramai yang memilih untuk meniru”, sambung saya.

“Hm.. Orang barat mencipta suasana dengan movie mereka. Kita pun terikut”

“Orang Melayu pula cipta movie, menunjukkan kebodohan kita sendiri kan?” Idea dari Bobo pula menyusul.

Ketawa kami. Memang ada benarnya kebanyakan filem negara kita tidak mencapai usikan akal yang memberi motivasi dan ‘suasana’ yang dimaksudkan. Filem barat pula berduyun-duyun sampai ke negara kita, menayangkan sejumlah suasana, atau ‘sunnah’ barat yang sangat kontra dengan budaya kita yang asalnya.

“Sebab itulah kita sepatutnya menggunakan ilmu yang kita ada ni untuk mencipta suasana, lebih-lebih lagi dalam hal media”, pesan saya.

“Walaupun sebab suasana ini ada kelemahannya, kita boleh menggunakan kesempatan suasana untuk kebaikan”, pandangan saya dengan perbincangan isu ini bersama Bobo.

Kadang-kadang saya terfikir juga isu melayu yang seringkali bermain di bibir-bibir mulut orang kita sendiri. Acapkali menyebut tentang bangsa Melayu, mengapakah tiada perkara yang baik keluar?

Di manakah silapnya kita?

Selama saya mempelajari sejarah, saya melihat tamadun demi tamadun bangun dengan memperjuangkan bangsa. Adalah satu perkara yang amat menyedihkan, belum pernah lagi saya membaca hal-hal bangsa yang menjatuhkan bangsa sendiri, melainkan ia wujud daripada bangsa saya sendiri.

Tidak tergamakkah membodohkan bangsa sendiri? Bahkan mengaku kalau diberi pilihan, tak mahu lahir dalam bangsa Melayu? Sehina inikah bangsa kita?

Saya teringat satu saat bual-bual makan bersama seorang pensyarah English Language di UIA, Sir Firdaus. Dia seorang yang berbangsa black American. Perbualan kami sepanjang sarapan pagi itu betul-betul mengajar saya banyak perkara.

Sir Firdaus banyak menceritakan perihal bangsanya, meskipun saya tiada kena mengena untuk tahu. Daripada penciptaan sains, pejuang bangsa, Red Indian dan sebagainya, habis diceritakan tentang hebatnya orang kulit hitam nak dibandingkan dengan si kulit putih Amerika sana.

Saya cuba merenung, seberapa banggakah kita ditakdirkan berbangsa Melayu?

Satu-satu bangsa yang kalau bukan kerana suasana dalam sejarah dahulu, kita tidak akan memeluk Islam.

Satu-satu bangsa kalau bukan kerana suasana, kita tidak akan pertahankan Islam tatkala missionari Kristian cuba menodai agama ini.

SUASANA & BUDAYA YANG TERHAKIS

Hal ini jika kita cuba merenung sejarah, kita begitu kuat memperjuangkan bangsa sendiri dalam mencapai kemerdekaan. Kita juga sehingga hari ini masih lagi bangsa yang Islam. Bukan sedikit, bukan separuh, bukan majoriti. Tetapi bangsa kita dikira salah satu bangsa dari seluruh dunia yang berlabel Islam.

Sedikit demi sedikit kita kehilangan budaya kita angkara memberi masuk suasana luar mendominasi generasi-generasi kita.

Bermula dari bahasa, kemudian tingkah laku. Akhirnya menjadi budaya. Budaya yang songsang oleh bangsa kita sebenar inilah angkara sebenar mengapa kita hilang rasa Melayu, dan semberono menghina bangsa sendiri.

“Me-layu”, itulah hinaan ramai orang. Semakin lama semakin ‘layu’. Pandai menuding jari, tetapi hakikatnya kita sendiri yang ‘layu’ dari mengenal siapa bangsa sendiri.

Lihatlah suasana hari ini yang begitu kuat bermain dengan isu-isu yang langsung tidak membantu kita dengan menyatukan bangsa Islam dominan di Malaysia ini. Bahkan isu-isu inilah yang menjatuhkan kita, daripada hidup bermasyarakat. Kini sedar tak sedar, kita menjadi bangsa yang assobiah dalam assobiah.

Akhirnya kita melihat, satu suasana yang merobek sosiobudaya Melayu kita sendiri dengan isu baru, suasana baru, menjatuhkan erti bermasyarakat daripada hidup bersepakat.

Tidak untung apa-apa. Tetapi merugikan diri sendiri.

Kalaulah memang ada musuh bangsa, tidakkah mereka ketawa melihat kita bertelagah megah di media?

Itulah suasana kita.

Sekitar perkara yang kecil, berulang dan berulang.

ANAK-ANAK KITA – OLEH M.NASIR

Ada satu lirik lagu yang sangat mendalam dan tersirat maknanya menyebut tentang anak-anak bangsa kita.

Anak Anak Kita

Anak-anak kitakah yang berlari telanjang
Di bawah mentari sumbing
Sambil bernyanyi lagu
Ketakutan hari-hari ini

Anak-anak kitakah yang memikul beban
Kesilapan kita
Hingga dia tak kenal
Budaya canggung bangsa sendiri

Selamatkan anak kita
Dari padang jerangkap samar
Selamatkan anak kita
Orde baru politikus usang

Anak-anak kitakah yang bermain
Di hutan belukar
Dengan senapang kayu ubi
Cambah tak kenal bahaya

Anak-anak kitakah yang tak tahu nak pulang
Bila petang
kerana terlalu sibuk main lastik
Dan berpistolan
Pistol-pistolan

Jaga-jaga anak kita
Jangan sampai jadi hamba
Jaga-jaga anak kita
Kita ini orang merdeka

Panggillah mereka pulang
Ayah nak ajar
Tentang kurang ajar
Jadi mereka takkan sendiri lagi

Panggillah mereka pulang
Ayah nak ajar
Tentang kurang ajar
Jadi mereka takkan dimomok lagi

Fikir
Selamatkah kita di tangan tukang karut itu
Fikir
Selamatkah kita di tangan dalang wayang itu
Fikir
Selamatkah kita di tangan ahli koporat itu
Fikir
Selamatkah kita di tangan doktor jiwa itu
Fikir
Selamatkah kita di tangan pakar kitab itu
Fikir
Selamatkah kita di tangan tuhan-tuhan itu

TAKKAN MELAYU HILANG DI DUNIA

Saya tertarik mengingati kata-kata keramat yang menjadi azimat turun-temurun dalam sejarah Melayu oleh Hang Tuah.

“Takkan Melayu hilang di dunia!”

Pada saya untuk memikirkan kata-kata singkat itu, seolah-olah itu hanya bahasa yang biasa dan tiada kiasan yang mempunyai ‘momentum’. Tetapi jika saya meletakkan diri saya pada situasi itu, zaman Hang Tuah seolah-olah saya mendengar kata-kata yang memaksudkan bangsa Melayulah bangsa pahlawan, bangsa yang bangkit dan bangsa yang perkasa.

Lalu saya kembali bermain dengan ayat itu dengan zaman ini, saya merasakan ‘takkan melayu hilang di dunia’ seolah-olah satu lawak jenaka. Yakni maksudnya kontra dengan didikan pemikiran yang mendefinisikan Melayu ini sendiri.

Hal telah memberi saya satu kesedaran bahawa tidak dapat dinafikan bahawa kita, termasuk diri saya sendiri benar-benar semakin pudar mengingati kolektif dan mutiara Melayu yang tertinggal di belakang. Lihatlah seberapa banyak yang masih mengamalkan tradisi, adab sopan dan kebijaksanaan berfalsafah dalam Melayu kita.

Tak mustahillah yang falsampah sahaja tinggal.

Pada saya kekuatan kita dalam berbangsa adalah ketikamana kita kembali pada sejarah. Kita mulai mengenal jatuh bangunnya bangsa kita, reaksi kita terhadap penjajah. Pada saya kegemilangan Melayu itu akan menjulang tinggi kembali ketika kita mula menghargai bahasa Melayu.

Kita sepatutnya pandai cakap bertapis, kita memang kuat sensitif, kita memang bersopan santun.

Jika tiada lagi nilai itu, kita pengkhianat bangsa. Meskipun agak kasar untuk saya katakan demikian, jelas jika nilai murni yang kita sepatutnya budayakan itu kita campak dan sepak terajang. Lupakan tentang keburukan, jika bukan itu yang kita utamakan. Bak kata Ustaz Hasrizal, setiap bangsa ada ‘daki’nya sendiri.

KENAPA BANGSA?

Saya bukanlah bercakap tentang bangsa atas sebab saya seorang pejuang bangsa, ataupun saya rasisme. Saya cuba ketengahkan isu bangsa tatkala kelompok sebangsa semakin menghina-hina. Kalau seorang dua yang menghina, lain cerita. Tetapi kini suara-suara sumbang ini diteladani, sehingga menjadi bualan yang biasa-biasa.

Ada pula istilah ‘waktu melayu’, ‘janji melayu’, ‘melayu sungguh’ dan sebagainya.

Adapun konteks yang ingin saya bincangkan ini adalah kita sebagai umat Melayu sekaligus beragama Islam perlu melihat satu perkara bahawa perjuangan yang kita akan bawa selepas ini adalah khazanah Islam ditengah-tengah masyarakat berbilang kaum ini, juga berbilang agama.

Boleh juga saya mengandaikan jika saya sendiri sebagai contoh, di Australia, tentu sekali kelompok atau komuniti yang paling saya selalu bersama mestilah daripada kalangan bangsa saya sendiri. Ketika itu barulah merasai kelompok bangsa muslim Melayu ini sebagai komuniti yang minoriti. Meskipun begitu fasih sekalipun saya berdialek Australia, saya tidak dapat mengelakkan diri dari kembali ke komuniti sebangsa saya sendiri. Di sanalah saya akan beraktiviti, berkongsi, membantu dan nasihat-menasihati.

Bagitu juga jika saya berada Jordan, meskipun di sana bermajoriti penduduk umat Islam, tentu sekali aktiviti-aktiviti dakwah, program dan sebagainya dijalankan dalam bentuk yang paling mudah untuk mendekati kalangan bangsa saya sendiri. Meskipun memegang syiar menggunakan bahasa Arab sebagai bahasa perantaraan, kita tak boleh menafikan bangsa inilah disuap dengan nasi, sambal ikan bilis, ayam masak merah beserta kicap tamin.

Kerana saya juga orang Melayu.

sumber : senikehidupan.wordpress.com

1 comment:

  1. Melayu Islam merupakan satu kebangkitan kepada dunia Islam jika ianya difahami dengan sebenar dan mendalam dalam konteks tempatan bagi menyusun perjuangan mengembalikan umat melayu Islam kepada landasan yang sebenarnya.

    ReplyDelete

Komen anda amat dialu-alukan.