Monday, 8 February 2010

Pasca Kobanna


Saya cuba mencari-cari komen peserta yang hadir dalam Konvensyen Pemikiran al-Banna yang berlangsung pada Sabtu lepas. Ada yang saya dapat melalui SMS, ada yang melalui Fecebook. Ada juga komen lisan dan pelbagai lagi. Ada yang positif dan ada juga yang negatif.

Sebelum saya ulas secara umum tentang komen-komen tersebut, saya ucapkan tahniah yang tidak terhingga kepada semua AJK Kobanna yang telah bertungkus lumus siang dan malam selama berminggu-minggu untuk menjayakannya. Nama-nama, saya tak dapat nak tuliskan di sini sebab terlalu banyak. Tulis nama orang ni, tertinggal nama orang tu. Nanti ada yang kecil hati pula. Jadi saya ucapkan tahniah dan syabas secara umum sahaja di sini.

Komen paling kelakar adalah apabila ada peserta yang sedikit merungut kerana Konvensyen tidak berlangsung seperti yang dia sangkakan. Rungutnya: “Ingatkan Hasan al-Banna yang bentang kertas kerja, rupanya orang Melayu je.” Rupanya ada juga yang masih tidak kenal Hasan al-Banna.Tapi apa pun, peserta tersebut telah mengikuti konvensyen dengan begitu baik sekali.

Secara umum saya berharap kepada semua peserta dan juga yang tidak hadir agar meneliti semula kertas-kertas kerja dan ucaptama yang telah dibentangkan. Nantikan VCDnya yang insyaAllah akan terbit dalam beberapa masa lagi. Sesetengah idea yang dibentangkan mungkin baru pada sebahagian kita. Jangan terus menolaknya, tapi renung dan fikirkan dengan pandangan yang terbuka. Kita mungkin telah terlalu lama diperangkap oleh blok-blok politik. Sebab itu ada sebahagian terus buat pertanyaan: “Adakah ini maknanya ISMA akan mengundi parti sekian-sekian?” Apa yang kita nak cadangkan adalah suatu yang berada di luar dari blok-blok tersebut. Saudara bebaskan diri dari blok itu, saudara akan lihat banyak jalan penyelesaian kepada masalah kita di luar sana.

Secara umum saya juga berharap agar ahli-ahli ISMA faham kedudukan mereka sekarang. Kita perlu mula belajar memainkan peranan yang lebih luas dari rutin kita sebelum ini. Anggaplah diri saudara-saudara sekelian sebagai hero yang dinantikan oleh masyarakat Islam Malaysia. Bukan nak angkat bakul sendiri. Bukankah meletakkan diri sebagai pemimpin adalah seruan al-Quran kepada kita? Tarbiah yang kita lalui setiap hari, inilah tujuan dan matlamatnya. Ia adalah proses berterusan yang memampukan kita untuk menyumbang ke arah perubahan hakiki di dalam masyarakat. Kalau kita tak mampu sumbang sesuatu, ada masalah pada tarbiah yang dilalui selama ini.

Akhirnya saya berdoa agar semua kita mampu menanggung getaran halus Kobanna. Bila kita mula menyuarakan pandangan, kita akan dapat peminat dan pengkritik. Dengan itu hati kita kena besar dan jiwa kita kena tabah. Kita perlu berusaha terus menjelaskan pandangan tanpa jemu agar suara kita tidak disalahfahami. Jangan mudah melatah kerana masalah biasanya akan selesai dengan langkah yang tenang.

Wallahu a’lam.


sumber : satuperkongsian.wordpress.com

No comments:

Post a Comment

Komen anda amat dialu-alukan.