Pesawat sudah berada di ruang udara Bandar Segi Begawan. Lampu neon menerangi jalan-jalan utama di situ. Cantik sungguh pemandangan dari udara. Brunei merupakan negara rumpun melayu yang terletak di Kepulauan Borneo. Penduduknya sekitar 390 000 orang dengan majoriti terdiri daripada orang Melayu. Kesultanan Brunei satu ketika dahulu menguasai Sarawak & selatan Sabah. Namun sejarah mencatatkan penipuan yang dilakukan oleh Inggeris menyebabkan Brunei kehilangan wilayah autonominya.
Setelah mendapatkan bagasi & menyelesaikan urusan imigresen, saya menuju ke pintu utama lapangan terbang itu. Mata saya tertumpu pada dua orang pemuda yang memegang sehelai kertas bertulis “ Usamah Bin Izer (PEMBINA) AK 266 ” Ternyata mereka ditugaskan oleh MBB untuk menjemput saya. “ Assalamualaikum, saya Usamah, ” kata saya memulakan perbualan. Bangga juga kerana jarang orang dapat mengeja & menulis nama saya dengan betul. Mungkin terkesan dengan barat yang menyebut Osama dek kerana peristiwa 11 September.
Kami berkenalan & berbual-bual dalam perjalanan ke rumah YDP MBB. “ Ini jemputan untuk Yang Mulia ke majlis makan malam, ” kata Amilin yang duduk di sebelah pemandu. Pada kad jemputan itu tertulis “ Yang Mulia Usamah Bin Izer ”. Saya tergelak kecil membaca nama saya ditulis sebegitu rupa. “ Apa maksud Yang Mulia ? ” tanya saya. Kata Ridwan yang sedang memandu Mitsubishi Lancer “ Yang Mulia tu macam Sir ” Inilah kali pertama saya menaiki Lancer. “ Datang ke sini seorang diri ?. ” tanya Amilin. “ Ya, seperti yang kamu lihat. ” “ Berani ya. Kalau saya, mungkin saya tak akan ke Kuala Lumpur seorang diri. ” Hmmm…inilah kali pertama saya ke luar negara seorang diri. Tapi apa yg nak dihairankan. Segalanya telah diatur oleh pihak penganjur. Dialog Belia Islam bukan seperti rancangan Explorace, berlari ke sana ke mari.
Perkara pertama yang menarik perhatian saya adalah pemanduan rakyat negara ini. Mereka akan berada di lorong kiri lebih awal sebelum membelok. Kenderaan akan diperlahankan sekiranya terdapat kereta di hadapan. Saya perhatikan hampir semua memandu seperti itu. Boleh aja terus memandu di lorong kanan. Terasa geram pulak tengak hiasan dalaman kereta ini. Namun saya hanya mampu menelan air liur. Nak beli Persona pun tak mampu.
Ridwan & Amilin merupakan guru agama di sebuah sekolah rendah di sini. Mereka merupakan graduan Kolej Universiti Perguruan Ugama, tempat berlangsungnya Dialog esok. Jalan yang sedang saya lalui boleh diibaratkan seperti Lebuhraya Persekutuan yang menghubungkan Kuala Lumpur-Klang. Lebih kurang begitu keadaannya. Tapi tiada tol. Saya dapat melihat papan tanda Universiti Brunei Darussalam (UBD) & Institut Teknologi Brunei (ITB) di sebelah kiri jalan. Saya pernah ditawarkan belajar di situ. Tiada bangunan tinggi menghiasi pemandangan, Cuma pokok-pokok. Sekali-sekala rumah rakyat tempatan kelihatan dengan seni bina yang tidak banyak beza berbanding rumah di Malaysia.
Perjalanan ke rumah YDP mengambil masa setengah jam dari Lapangan Terbang Antarabangsa Berakas. Brunei dibahagikan kepada empat daerah utama dengan Limbang ditengah-tengah, memisahkan Brunei kepada dua bahagian. Brunei sudah menyatakan hasrat membeli Limbang dari Malaysia namun perbincangan belum menemui jalan penyelesaian yang menguntungkan kedua-dua negara.
Ternyata saya merupakan tetamu terakhir tiba. Majlis makan malam sudah pun bermula sekitar sejam yang lalu. Setelah mengambil makanan yang tersedia, saya disapa oleh Haji Zefri, Setiausaha Agung MBB. Saya terkesima seketika kerana penampilan Haji Zefri berlainan daripada apa yang saya bayangkan. Orangnya sudah agak berumur, mungkin sudah hilang kelayakan memegang jawatan dalam persatuan belia. Namun perasaan hairan itu hilang bersama keenakan bau hidangan saya.
Sambil makan sambil berbual. Dialog kali ini dihadiri oleh beberapa organisasi dari Malaysia, Singapura & Indonesia. Malaysia diwakili oleh Majlis Belia Labuan ( MBL ), JAKIM, ABIM Sabah & sudah semestinya PEMBINA. Dalam perjalanan ke tempat penginapan, saya berbual-bual dengan Haji Shuib yang merupakan Presiden MBL. Beliau merupakan seorang usahawan & memegang jawatan Timbalan Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Labuan. Banyak yang kami bualkan mengenai Labuan.
Sesampainya di Apartment Abdul Razak, saya terus check-in. Mata yang semakin berat akhirnya terlelap dalam kesejukan oleh penghawa dingin. Esok menanti dengan program yang lebih menarik !.
P/S : Pada mulanya saya tak berhasrat menulis tentang ini kerana tiada gambar untuk tatapan anda. Namun fikiran saya berubah selepas itu.
No comments:
Post a Comment
Komen anda amat dialu-alukan.