Sunday, 16 May 2010

Selamat Hari Guru Buat Emakku Tercinta

Hari Guru disambut pada 16 Mei setiap tahun. Biasanya para pelajar akan memberikan kad ucapan, hadiah, sms, & bermacam-macam lagi sebagai tanda penghargaan kepada insan yang telah mendidik mereka. Hari Guru merupakan hari yang tidak asing lagi kepada saya kerana saya juga akan berbuat demikian. Namun yang paling penting, Hari Guru merupakan dedikasi khas kepada emak saya yang merupakan seorang guru.


Melanjutkan pelajaran ke United Kingdom dalam bidang perbankan, pasti ramai yang akan tertawa kerana akhirnya emak bergelar guru tadika. Ya, hanya guru tadika. Pekerjaan yang tidak glamour. Akan tetapi emak mempunyai falsafah yang tersendiri. Kata emak “ Di Jepun pra sekolah diuruskan oleh mereka yang ada Master & ph.D. Tak kan kita kat Malaysia nak harap orang tak lepas SPM mengajar anak-anak kita.”


Bertitik-tolak dari situ, emak nekad membuka tadikanya sendiri pada tahun 1993. Sepanjang 17 tahun pembabitan emak dalam pra sekolah, emak boleh berbangga kerana sekarang sudah ada 7 tadika dibawah jagaannya. Pasti ramai yang menyangka dengan 7 tadika itu, pendapatan emak mencecah 5 angka sebulan. Namun jangkaan mereka meleset kerana keuntungan daripada kesemua tadika milik emak tidak pernah menjangkau RM 10 000 sebulan.


Apabila saya bertanya kepada emak akan hal itu, emak menjawab, “ Mak buka tadika sebab nak bagi pendidikan yang terbaik pada anak bangsa emak. Emak tak kisah kalau ada ibu bapa yang tak mampu bayar yuran penuh setiap bulan, bayar yang mampu saja. Tapi emak nak semua orang, tak kira di kampung @ pun bandar, dapat pendidikan pra sekolah yang sama standardnya. ” Emak menambah lagi, “ Sekarang ini daripada 7 tadika, 2 rugi & 1 balik modal. Hanya 4 yang untung sikit. Walaupun untung tak banyak tapi masih boleh cover tadika yang rugi. Cukuplah kan ?. ”


Saya berbangga mempunyai emak seperti ini. Seorang ibu & juga pendidik. Bukan sahaja mendidik keluarganya bahkan turut sama berusaha mendidik masyarakat dengan memberikan pendidikan pra sekolah terbaik kepada meraka. Sehingga sekarang emak menerima tawaran membuka tadika di kawasan perumahan baru. Itulah bukti masyarakat menerima & menghargai sistem pendidikan emak selama ini. Tetapi tawaran itu terpaksa ditolak kerana tidak mampu untuk menguruskan cawangan baru ditambah usia yang semakin meningkat. “ Tak boleh nak terima sebab dah tak mampu nak uruskan. Mungkin lepas habis diploma pendidikan awal kanak-kanak, saya pertimbangkan permohonan puan, ” kata emak kepada pemanggil yang membuat tawaran.


Bagi saya, emak adalah guru terbaik sepanjang zaman. Semoga Allah meredhai & merahmati emak. Selamat Hari Guru buat emakku tercinta.

No comments:

Post a Comment

Komen anda amat dialu-alukan.