Wednesday, 4 August 2010

Perpaduan UMNO & PAS

Isu perpaduan antara UMNO dan PAS ibarat “lauk sejuk dipanaskan semula”. Sejak dulu dipanaskan berkali-kali dan kini ia sudah sampai ke tahap tidak menyelerakan lagi.

Antara faktor yang menyebabkan isu ini tidak menyelerakan ialah reputasi pihak yang menghulurkan tangan untuk perpaduan. Kata-kata “UMNO busuk hingga ke usus” pernah diulas oleh Mantan Presiden UMNO, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Nampaknya keadaan itu masih kekal dan tiada sebarang perubahan signifikan sejak Perdana Menteri Datuk Seri Najib mengambil alih tampuk kuasa.

Di satu pihak lagi, setakat ini kita masih belum mendengar respons daripada PAS yang benar-benar membuka jalan ke arah kerjasama. Mungkin agak keterlaluan untuk kita menunggu respons sebegitu kerana desas desus pemimpin PAS bertemu dengan mufti pun sudah menimbulkan kecoh. Kelihatan politik gaya kalah mati begitu kuat arusnya dalam PAS, walaupun telah terbukti selepas PRU 12 gaya itu memamah kekuatan politik orang Melayu Islam pada hari ini.

Media massa yang ada pula lebih mengutamakan keuntungan dalam isu ini, sama ada keuntungan perniagaan mahu pun politik. Kepentingan agenda bangsa tergadai begitu sahaja. Berita yang dipaparkan hanya yang sensasi, tidak mendamaikan, tidak mendidik dan hanya membawa umat berlegar-legar pada noktah mati yang sama.

Sebenarnya kita sedang berdepan dengan isu yang lebih besar dan hakiki. Ini bukan isu antara UMNO dan PAS saja. Ia isu kita semua. Ancaman humanisme dan liberalisme sedang hebat menyerang jatidiri umat Melayu Islam pada ketika kita sedang berdepan dengan kemelut politik yang tidak menguntungkan. Bangsa kita sudah hilang arah tuju dan daya tahan akibat ketiadaan agenda bersama.

Isu besar dan rumit ini memerlukan gandingan kerjasama daripada semua pihak. Tiada pihak yang boleh menyelesaikan isu ini bersendirian dan menafikan peranan orang lain. Jika UMNO dan PAS kekal dengan keadaannya sekarang, maka umat Melayu perlu mencari alternatif lain. Kita mesti menolak politik kepartian yang melampau dan melangkah ke arah amalan politik yang lebih luas dan matang dalam menjamin kepentingan bersama.

“MELAYU SEPAKAT, ISLAM BERDAULAT”

sumber : ustazhazizi.wordpress.com

No comments:

Post a Comment

Komen anda amat dialu-alukan.