Sunday, 16 May 2010

Selamat Hari Guru Buat Emakku Tercinta

Hari Guru disambut pada 16 Mei setiap tahun. Biasanya para pelajar akan memberikan kad ucapan, hadiah, sms, & bermacam-macam lagi sebagai tanda penghargaan kepada insan yang telah mendidik mereka. Hari Guru merupakan hari yang tidak asing lagi kepada saya kerana saya juga akan berbuat demikian. Namun yang paling penting, Hari Guru merupakan dedikasi khas kepada emak saya yang merupakan seorang guru.


Melanjutkan pelajaran ke United Kingdom dalam bidang perbankan, pasti ramai yang akan tertawa kerana akhirnya emak bergelar guru tadika. Ya, hanya guru tadika. Pekerjaan yang tidak glamour. Akan tetapi emak mempunyai falsafah yang tersendiri. Kata emak “ Di Jepun pra sekolah diuruskan oleh mereka yang ada Master & ph.D. Tak kan kita kat Malaysia nak harap orang tak lepas SPM mengajar anak-anak kita.”


Bertitik-tolak dari situ, emak nekad membuka tadikanya sendiri pada tahun 1993. Sepanjang 17 tahun pembabitan emak dalam pra sekolah, emak boleh berbangga kerana sekarang sudah ada 7 tadika dibawah jagaannya. Pasti ramai yang menyangka dengan 7 tadika itu, pendapatan emak mencecah 5 angka sebulan. Namun jangkaan mereka meleset kerana keuntungan daripada kesemua tadika milik emak tidak pernah menjangkau RM 10 000 sebulan.


Apabila saya bertanya kepada emak akan hal itu, emak menjawab, “ Mak buka tadika sebab nak bagi pendidikan yang terbaik pada anak bangsa emak. Emak tak kisah kalau ada ibu bapa yang tak mampu bayar yuran penuh setiap bulan, bayar yang mampu saja. Tapi emak nak semua orang, tak kira di kampung @ pun bandar, dapat pendidikan pra sekolah yang sama standardnya. ” Emak menambah lagi, “ Sekarang ini daripada 7 tadika, 2 rugi & 1 balik modal. Hanya 4 yang untung sikit. Walaupun untung tak banyak tapi masih boleh cover tadika yang rugi. Cukuplah kan ?. ”


Saya berbangga mempunyai emak seperti ini. Seorang ibu & juga pendidik. Bukan sahaja mendidik keluarganya bahkan turut sama berusaha mendidik masyarakat dengan memberikan pendidikan pra sekolah terbaik kepada meraka. Sehingga sekarang emak menerima tawaran membuka tadika di kawasan perumahan baru. Itulah bukti masyarakat menerima & menghargai sistem pendidikan emak selama ini. Tetapi tawaran itu terpaksa ditolak kerana tidak mampu untuk menguruskan cawangan baru ditambah usia yang semakin meningkat. “ Tak boleh nak terima sebab dah tak mampu nak uruskan. Mungkin lepas habis diploma pendidikan awal kanak-kanak, saya pertimbangkan permohonan puan, ” kata emak kepada pemanggil yang membuat tawaran.


Bagi saya, emak adalah guru terbaik sepanjang zaman. Semoga Allah meredhai & merahmati emak. Selamat Hari Guru buat emakku tercinta.

Saturday, 10 April 2010

Teruk Sangatkah Anak Muda Kita ?.


Jika anda bertanyakan perihal muda-mudi masa kini, pasti jawapan yang berbeza diperolehi. Namun rata-rata akan memberikan persepsi negatif. Masakan tidak, masalah sosial yang berlaku hari ini sering dikaitkan dengan golongan remaja & belia. Mereka dilabelkan sebagai memberontak & melepaskannya dalam bentuk protes. Tak kurang juga yang terlibat dengan pengaruh rakan sebaya.


Perbualan saya dengan beberapa orang guru yang mengajar di bandar-bandar besar seperti Lembah Klang, Seremban & Johor Bahru mendapati belia Melayu diambang krisis yang serius. Di samping itu mereka juga menyatakan kekesalan kerana tidak dapat berbuat apa-apa kerana tiada akta yang akan menyokong tindakan mereka. “ Sekarang ni jadi cikgu pun teruk. Kerja-kerja pengkeranian semakin banyak. Tambah pulak kena mengadap perangai anak-anak murid yang semakin menjadi-jadi. Kalau kita marah, dia menjawab balik. Kalau kita denda, diorang report kat PIBG, PPD. Sampai ke kementerian pun ada, ” luah seorang guru.


“ Sekarang ni, apa-apa hal pun cikgu yang salah. Lama-kelamaan kita jadi malas nak tegur. ” Generasi muda kita diambang kehancuran. Siapa yang mahu menyelamatkan mereka ?. Baru-baru ini saya memenuhi undangan mengisi slot ko-kurikulum Persatuan Pendidikan Islam sebuah sekolah menengah kebangsaan di Petaling Jaya. Setelah melihat sendiri suasana sekolah, ternyata ada kebenaran pada luahan guru-guru itu. Saya yang sekian lama terlibat dalam aktiviti keagamaan bertaraf heavyweight, terpaksa memerah otak memikirkan apa yg sesuai dikongsi dengan rakan-rakan di sekolah itu. Akan membosankan kalau terlalu ‘islamik’.


Hidup di zaman moden rupa-rupanya tidak menjamin Islam diamalkan dengan lebih baik. Di saat hukum-hakam hanya di hujung jari, manusia makin jauh dari agama. Kitab-kitab hadith muktabar boleh dimuatkan dalam satu perisian, tetapi manusia terus lupa pada Pencipta. Makin ramai yang bertudung, makin ramai juga yang mendedahkan aurat. Semuanya masalah.


Usman Awang dalam catatan pengalamannya pernah menulis tentang remaja di zaman mudanya. Walaupun pada waktu itu agama terhad pada acara tertentu, amalan bid’ah yang berleluasa, namun kes keruntuhan moral seperti hari ini jarang didengari. Beliau menyatakan pada waktu itu budak lelaki & perempuan bermain bersama-sama. Sudah tentu pondok-pondok paling sinonim. Sampai satu ketika mereka akan mandi sungai sekali. Namun yang paling mengejutkan budak lelaki mandi tanpa seurat benang!. Tetapi menurutnya, “ Hal demikian bukan suatu masalah kerana kami tidak terdedah kepada media seperti hari ini. Walaupun tanpa pakaian, kami tak pandai. ”


Keadaan ini walaupun tidak berlaku di semua tempat tetapi cukup memberikan gambaran kepada kita bahawa gejala sosial yang minima di kalangan masyarakat ketika itu. Emak yang tidak bertudung melarang anak gadis bertenggek di beranda rumah. Walaupun sebab takut tak laku, dia berjaya menjaga maruah anak gadisnya. Hanya adat yang menjadi pendinding.


Meskipun diselubungi pelbagai masalah, ia bukan alasan kepada kita untuk terus membiarkan ia berterusan. Kejayaan keluarga Sidek menjulang Piala Thomas, Hafiz Hashim menjadi Juara Seluruh England, Azizulhasni mengungguli tempat kedua lumba basikal dunia membuktikan masih ada harapan pada anak Melayu. Usaha menggilap potensi mesti terus dilakukan dengan membawa mereka kembali pada agama. Rasa bertuhan akan membentuk peribadi mereka. Semoga Allah melorongkan jalan untuk umat ini.

Thursday, 8 April 2010

Asrama Pupuk Sifat Membazir Di Kalangan Pelajar ?.


Pasti ramai antara kita yang mempunyai pengalaman tinggal di asrama, sama ada asrama sekolah ataupun kolej/universiti. Cuba kita imbau kenangan lalu, adakah tajuk entri kali ini bertepatan dengan kehidupan di asrama ?. Mungkin ada antara kita yang tidak bersejutu tetapi kebanyakannya akan diam seribu bahasa kerana mengiakan apa yang berlaku.

Mari kita lihat beberapa senario. Semasa membasuh pakaian adakah kita membiarkan air terus mengalir di pili atau menadahnya ke dalam baldi ?. Adakah kita menutup pili air apabila baldi sudah dipenuhi air ?. Ataupun kita hanya membiarkan air terus mengalir tanpa dimanfaatkan ?. Bila ditanya kenapa dilakukan sedemikian ?. “ Kita dah bayar yuran kan. Sekarang masa nak gunakan segala kemudahan yang ada. ” “ Ala, bukan kau yang bayar air ni. Sekolah/kolej/universiti yang bayar. ”

Begitu juga penggunaan elektrik. Kipas & lampu tidak dimatikan sekiranya tidak digunakan. Ianya dibiarkan terpasang walaupun penghuni tiada dalam bilik atau dorm. Sikap sebegini berakar dalam diri membentuk peribadi yang suka membazir. Kerugian bukan hanya pada perbelanjaan, tapi juga pada mentality & sikap. Ia akan terbawa-bawa sehingga ke akhir usia sekiranya tidak diubah.

Firman Allah yang bermaksud : “ Sesungguhnya orang yang membazir itu sekutu bagi syaitan & syaitan itu sangat ingkar kepada Tuhannya. ” ( 17:27 )

Satu kajian yang dijalankan oleh Dr Zin di UTM Skudai mendapati penggunaan elektrik di universiti itu dapat dijimatkan sehingga RM 5 juta setahun. Kajian melibatkan penggunaan komputer, lampu, penghawa dingin, mesin fotostat & beberapa alat elektrik & elektronik lain di kalangan pensyarah & kakitangan pentadbiran. Angka ini sesuatu yang mengejutkan kerana ia melibatkan jumlah yang bukan sedikit. Menurut Dr Zin “ Simple ja, masa nak keluar bilik kita tutup komputer, mati lampu & air-cond. Tak pun hibernate ja komputer tu. Dah banyak tenaga elektrik yang kita jimatkan. ”



Bayangkan saudara sekalian, sekiranya satu universiti mampu menjimatkan penggunaan elektrik sebanyak RM 5 juta setahun, maka berapakah pula jumlah yang mampu dijimatkan sekiranya 17 IPTA di seluruh Malaysia mengamalkannya. Secara umumnya RM 5 juta x 17 IPTA = RM 85 juta. Sesungguhnya RM 85 juta adalah nilai yang terlalu besar. Bukankah dengan penjimatan itu kita dapat menyalurkannya pada sesuatu yang lebih bermanfaat seperti menyediakan peruntukan biasiswa pada kadar yang lebih tinggi ?. Anak bangsa kita juga yang untung daripada penjimatan itu.


Marilah sama-sama kita memupuk kembali sifat berjimat-cermat dalam diri & di kalangan ahli keluarga kita. Semoga dengan itu kita dapat melahirkan masyarakat yang prihatin.

Wednesday, 24 March 2010

Ketuanan Melayu & Cita-Cita Politik Islam

Kalimah “Ketuanan Melayu” dihentam hebat oleh orang Melayu sendiri khususnya yang berhaluan kiri. Mereka menyifatkan perkara itu sebagai rasis, cauvinis dan sebagainya. Kerana ia dilihat memberi keuntuingan politik kepada parti pemerintah UMNO. Tetapi adakah “Ketuanan Melayu” itu sendiri sebenanrnya bercanggah dengan konsep kenegaran Islam yang menjadi cita-cita setiap pejuang Islam? Adakah ”Ketuanan Melayu” sebenarnya akan merugikan Orang Islam? Atau ia telah dieksploitasi oleh orang bukan Islam untuk kepentingan mereka sehingga lahir di kalangan orang Melayu sendiri mereka yang begitu bersemangat memeperjuangkan bukan kaum mereka?

Negara Islam adalah Negara Aqidah iaitu negara bagi penduduk yang mengucapkan dua kalimah syahadah. Negara Islam juga adalah negara yang mana kuasa politik (wewenang) mutlak berada ditangan orang Islam. Mungkin ini dimaksudkan dengan mafhum “ketuanan”. Dengan itu mereka dapat melaksanakan maqasid siasah syariyyah mempertahankan tanahair dan kehormatan bangsa dan tugas-tugas sebagai sistem politik Islam sebagaimana difardhukan oleh Allah tanpa perlu rasa tergugat oleh pengaruh tawar-menawar pihak bukan Islam.

Adakah “Ketuanan Melayu” bercanggah dengan konsep kenegaraan Islam? Orang Melayu adalah majoriti penduduk Islam yang mengucap syahadah teramai di Tanah Melayu ini. Secara de facto merekalah umat Islam yang dimaksudkan. Dari sini kita dapat lihat sinonimnya ketuanan Melayu dan ketuanan Islam yang menjadi pra syarat kepada tertegaknya sebuah Negara Islam yang dihormati.

Kita tidak perlu bermain kalimah mengatakan bahawa ketuan Islam bukan ketuanan orang Islam dan ketuanan orang Islam bukan ketuanan Orang Melayu kerana apa makna ketuanan Islam jika kuasa politik ditangan atau berada di bawah pengaruh bukan Islam? Dalam keadaan komposisi orang Melayu (Islam) dalam mana-mana pakatan atau dalam parlimen lemah bolehkah mereka mempertahankan kedaulatan dan ketuanan Islam?.

Jadi secara konsepnya ”Ketuanan Melayu” dan cita-cita politik Islam saling sempurna menyempurnakan antara satu sama lain. Melayu perlu kembali kepada Islam, memahami risalah mereka, menjadi bangsa yang kuat dan bersatu padu. Jika Melayu bersatu atas satu agenda sendiri barulah ia boleh memaksa siasah dan cita-citanya.

Tidak pernah berlaku dalam sejarah orang kafir mendaulatkan Islam dan mengangkat martabat orang Islam. Kenapa kita tidak terfikir bahawa mendendang lagu bahawa memperjuangan “Ketuanan Melayu” rasis dan mendakwa Malaysia adalah milik semua, Melayu sebenarnya tidak wujud adalah propaganda orang kafir untuk mempedaya orang Islam agar mengizinkan mereka yang minoriti sampai ketampuk kekuasaan?Kenapa kita tidak fikir bahawa politik adalah perhitungan untung rugi? Dan dengan dakwaan demikian siapa yang akan untung?

Oleh itu untuk menegakkan sistem politik Islam kita perlu sokongan yang kuat kerana ia adalah satu projek yang bertentangan dengan projek sekular barat. Menganggap mana-mana organisasi kafir, negara jiran, serantau dan antarabangsa akan mengalu-alukan cita-cita politik Islam adalah satu kedangkalan. Poltik Islam adalah satu agenda yang mestilah dipaksakan dengan kekuatan. Dan kekuatan itulah yang dipanggil asobiah oleh Ibnu Khaldun. Tanpa merujuk kepada kekuatan kesatuan orang Melayu (asobiah) cita-cita politik Islam khususnya di Malaysia tidak akan ke mana. Saya tidak percaya orang yang masih ada dalam dirinya cita-cita politik Islam akan menentang ketuanan Melayu dan meruntuhkan kekuatan bangsa sendiri yang sebenanrya sandaran kekuatan kepada projeknya, kecualilah ia jahil.

Dan sebaliknya pula jika sekiranya kita memahami konsep kenegaraaan Islam dengan jelas bagaimana ia memberi keuntungan kepada agama dan bangsa, saya tidak boleh faham kenapa golongan-golongan dikalangan umat Islam tidak boleh bersatu diatasnya. Namalah apa yang kita nak namakan, Islam tidak memfardhukan dengan satu-satu nama, yang penting impaknya kepada medaulatkan negara dan memartabatkan bangsa.

Adapun isu ini memberi keuntungan politik kepada mana-mana kumpulan itu terpulang ke atas kebijaksanaan parti tersebut dalam bermain politik. Tetapi bagi pencinta politik islam ia adalah satu thawabit haraki yang perlu dipertahankan. Saya tidak mengatakan dengan itu kita telah mencapai cita-cita politik Islam, tetapi paling tidak kita dapat mengurangkan kemudharatan seperti kata ulamak menanggung kemudaratan yang lebih kecil bagi mengelak kemudharatan yang lebih besar.

Mengekalkan dominasi umat Islam/Orang Melayu secara umum dalam struktur politik di Malaysia adalah satu yang bertepatan dengan maqasid syariat keseluruhannya. Cuma isu yang akan ditimbulkan seterusnya ialah berkaitan dengan perlaksanaan syariat. Selama ini orang melayu memerintah pun Islam tidak terlaksana juga.

Penjelasan saya:

  1. Syariat ialah segala yang dibawa oleh nabi Muhamad s.a.w
  2. Thawabit tadaruj dalam perlaksanaan Islam
    • bermula dengan akidah, nilai, ibadat, akhlak, mumalat dan politik. Justeru tiada paksaan dalam perlaksanaan.
    • Majoriti umat Islam tidak faham Islam menyebabkan antara mereka yang menetang perlaksanaan Islam
    • Antara thawabit tadaruj juga ialah perlaksanaan Islam juga bertitik tolak dari iltizam individu, jamaah dan kerajaan. Kita tidak perlu kuasa untuk melaksanakan Islam diperingkat pertama dan kedua
    • Diperingkat kerajaan, kita tidak boleh lakukan sesuatu yang bermakna dalam keadaan umat jahil, lemah dan berpecah belah seperti yang kita hadapi hari ini. Kekuatan akidah-kekuatan perpaduan dan kekuatan dokongan massa.

Kesimpulan

Dalam keadaan hari ini sesiapa yang memerintah sekalipun mereka tidak akan dapat melaksanakan pemerintahan Islam seperti sepatutnya sama ada disebabkan bidang kuasa yang terhad atau kuasa tawar-menawar lemah. Hatta diperingkat Negara kita tidak semestinya memiliki wewenang yang mengizinkan kita melaksanakan cita-cita Islam.

Kita harus faham bahawa Negara kita dibina atas satu reka bentuk yang bersifat sekular dalam terletak dalam rangkaian sistem antarabangsa yang mencengkam segenap sendi kehidupan. Jadi ada sesetengah kewajiban Islam (walaupun kita memerintah) yang tidak dapat dilakasanakan kecuali dengan kekuatan wewenang yang membolehkan kita memaksa kehendak diperingkat Negara seperti kekuatan asobiah bangsa Melayu di Malaysia dan ada yang memerlukan kekuatan kesatuan diperingkat antarabangsa (umat).

Jadi isu perlaksanaan syariat khususnya diperingkat pemerintahan perlu kepada strategi dan permuafakatan antara pihak-pihak bukan dijadikan bahan bantai-membantai, kerana keupayaan melaksanakannya mengatasi kekuatan setiap satu daripada kita.

Yang menjadi perkara pokok ialah orang Melayu mesti kembali kepada Islam dan membina semula jati diri mereka yang bersejarah. Selama matlamat ini tidak tercapai maka pendirian kita berlegar sekitar kaedah menanggung kemudharatan yang lebih kecil bagi mengelak kemudharatan yang lebih besar dan kaedah mengubah mungkar tidak sampai membawa kepada melakukan mungkar yang lebih besar. Adapun politik Islam, ia adalah satu perjalanan yang masih jauh.

sumber : ustabdullahzaik.wordpress.com

Friday, 19 March 2010

Mata Rantai Perjuangan

Kita bersama dalam barisan,

Mengatur langkah menghadapi cabaran,

Mengatasi liku & cubaan,

Membina generasi harapan


Gilap potensi para pemuda,

Orang lama kongsi idea,

Semangat berkobar terus menyala,

Imbang kelajuan dengan bijaksana


Bina fikrah dalam halaqah,

Beruzlah di mihrab katibah,

Disulami daurah, iftar & riadah,

Menyemarak amal menyubur jiddiyah


Kadang-kala iman tersadung,

Di celahan godaan duniawi,

Pada timbunan mehnah & tribulasi,

Lantas futur datang berkunjung


Sudahku katakan,

Masa sebahagian daripada rawatan,

Tunaikan hak dirimu,

Moga Allah kan membantu


Waktu terus menginjak perlahan,

Menjadi saksi lakaran sejarah,

Ayuh bersama dalam gerombolan,

Meresapi urat nadi ummah


Terus melangkah dengan izzah,

Membina mercu tanda agama,

Mengangkat maruah bangsa,

Menuju keredhaan Allah


Umar Abdul Rashid

19 Mac 2010

Thursday, 18 March 2010

Catatan Perjalanan 2 : Makan Malam Di Rumah YDP

Pesawat sudah berada di ruang udara Bandar Segi Begawan. Lampu neon menerangi jalan-jalan utama di situ. Cantik sungguh pemandangan dari udara. Brunei merupakan negara rumpun melayu yang terletak di Kepulauan Borneo. Penduduknya sekitar 390 000 orang dengan majoriti terdiri daripada orang Melayu. Kesultanan Brunei satu ketika dahulu menguasai Sarawak & selatan Sabah. Namun sejarah mencatatkan penipuan yang dilakukan oleh Inggeris menyebabkan Brunei kehilangan wilayah autonominya.


Setelah mendapatkan bagasi & menyelesaikan urusan imigresen, saya menuju ke pintu utama lapangan terbang itu. Mata saya tertumpu pada dua orang pemuda yang memegang sehelai kertas bertulis “ Usamah Bin Izer (PEMBINA) AK 266 ” Ternyata mereka ditugaskan oleh MBB untuk menjemput saya. “ Assalamualaikum, saya Usamah, ” kata saya memulakan perbualan. Bangga juga kerana jarang orang dapat mengeja & menulis nama saya dengan betul. Mungkin terkesan dengan barat yang menyebut Osama dek kerana peristiwa 11 September.


Kami berkenalan & berbual-bual dalam perjalanan ke rumah YDP MBB. “ Ini jemputan untuk Yang Mulia ke majlis makan malam, ” kata Amilin yang duduk di sebelah pemandu. Pada kad jemputan itu tertulis “ Yang Mulia Usamah Bin Izer ”. Saya tergelak kecil membaca nama saya ditulis sebegitu rupa. “ Apa maksud Yang Mulia ? ” tanya saya. Kata Ridwan yang sedang memandu Mitsubishi Lancer “ Yang Mulia tu macam Sir ” Inilah kali pertama saya menaiki Lancer. “ Datang ke sini seorang diri ?. ” tanya Amilin. “ Ya, seperti yang kamu lihat. ” “ Berani ya. Kalau saya, mungkin saya tak akan ke Kuala Lumpur seorang diri. ” Hmmm…inilah kali pertama saya ke luar negara seorang diri. Tapi apa yg nak dihairankan. Segalanya telah diatur oleh pihak penganjur. Dialog Belia Islam bukan seperti rancangan Explorace, berlari ke sana ke mari.


Perkara pertama yang menarik perhatian saya adalah pemanduan rakyat negara ini. Mereka akan berada di lorong kiri lebih awal sebelum membelok. Kenderaan akan diperlahankan sekiranya terdapat kereta di hadapan. Saya perhatikan hampir semua memandu seperti itu. Boleh aja terus memandu di lorong kanan. Terasa geram pulak tengak hiasan dalaman kereta ini. Namun saya hanya mampu menelan air liur. Nak beli Persona pun tak mampu.


Ridwan & Amilin merupakan guru agama di sebuah sekolah rendah di sini. Mereka merupakan graduan Kolej Universiti Perguruan Ugama, tempat berlangsungnya Dialog esok. Jalan yang sedang saya lalui boleh diibaratkan seperti Lebuhraya Persekutuan yang menghubungkan Kuala Lumpur-Klang. Lebih kurang begitu keadaannya. Tapi tiada tol. Saya dapat melihat papan tanda Universiti Brunei Darussalam (UBD) & Institut Teknologi Brunei (ITB) di sebelah kiri jalan. Saya pernah ditawarkan belajar di situ. Tiada bangunan tinggi menghiasi pemandangan, Cuma pokok-pokok. Sekali-sekala rumah rakyat tempatan kelihatan dengan seni bina yang tidak banyak beza berbanding rumah di Malaysia.


Perjalanan ke rumah YDP mengambil masa setengah jam dari Lapangan Terbang Antarabangsa Berakas. Brunei dibahagikan kepada empat daerah utama dengan Limbang ditengah-tengah, memisahkan Brunei kepada dua bahagian. Brunei sudah menyatakan hasrat membeli Limbang dari Malaysia namun perbincangan belum menemui jalan penyelesaian yang menguntungkan kedua-dua negara.


Ternyata saya merupakan tetamu terakhir tiba. Majlis makan malam sudah pun bermula sekitar sejam yang lalu. Setelah mengambil makanan yang tersedia, saya disapa oleh Haji Zefri, Setiausaha Agung MBB. Saya terkesima seketika kerana penampilan Haji Zefri berlainan daripada apa yang saya bayangkan. Orangnya sudah agak berumur, mungkin sudah hilang kelayakan memegang jawatan dalam persatuan belia. Namun perasaan hairan itu hilang bersama keenakan bau hidangan saya.


Sambil makan sambil berbual. Dialog kali ini dihadiri oleh beberapa organisasi dari Malaysia, Singapura & Indonesia. Malaysia diwakili oleh Majlis Belia Labuan ( MBL ), JAKIM, ABIM Sabah & sudah semestinya PEMBINA. Dalam perjalanan ke tempat penginapan, saya berbual-bual dengan Haji Shuib yang merupakan Presiden MBL. Beliau merupakan seorang usahawan & memegang jawatan Timbalan Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Labuan. Banyak yang kami bualkan mengenai Labuan.


Sesampainya di Apartment Abdul Razak, saya terus check-in. Mata yang semakin berat akhirnya terlelap dalam kesejukan oleh penghawa dingin. Esok menanti dengan program yang lebih menarik !.


P/S : Pada mulanya saya tak berhasrat menulis tentang ini kerana tiada gambar untuk tatapan anda. Namun fikiran saya berubah selepas itu.