Thursday, 4 February 2010

Kemalangan Dalam Perjalanan Pulang Dari Kobanna

30 Januari 2010 – Ahli PEMBINA Johor dikejutkan dengan berita mengenai kemalangan yang berlaku di KM 114 PLUS arah Selatan pada jam 9.40 malam ketika dalam perjalanan pulang menghadiri Konvensyen Pemikiran Hassan al-Banna (KOBANNA 2010) . Kemalangan membabitkan 6 orang ikhwah iaitu 2 orang penggerak PEMBINA, Saudara Yazid Yahya (pemandu) dan Saudara Zulhilmi Sharizal serta 4 lagi penggerak KRIM- Izwan, Hanif, Soim dan Aiman.

Tiga daripada mereka yang berada di sebelah kanan kereta dilaporkan mengalami kecederaan dengan seorang mangsa yang masih kritikal ditahan di wad namun dalam keadaan yang stabil. Saudara Yazid mengalami keretakan di bahagian tulang siku dan jari manakala yang mengalami kecederaan ringan menerima rawatan sebagai pesakit luar.

Segala pujian bagi Allah yang memanjangkan umur mereka dari nahas yang dialami. Seluruh warga ISMA Johor, khususnya PEMBINA Johor mengucapkan takziah buat semua mangsa dan ahli keluarga. Semoga diberi kekuatan untuk mengharungi dugaan Allah dengan penuh kesabaran.

Buat sekalian ahli ISMA dan para pengunjung laman ini, sama-samalah kita doakan kesejahteraan buat mereka yang terlibat dan semoga cepat sembuh.

sumber : pembinajohordt.wordpress.com

Kejohanan Futsal Islam ( KAHFI )

Dalam usaha untuk mempromosi aktiviti riadah kepada masyarakat, Kelab Remaja ISMA (KRIM) NS dengan kerjasama Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) NS, mengambil inisiatif untuk menganjurkan Kejohanan Futsal Islam (KAHFI) 2010 seperti berikut:

Tarikh: Ahad, 7 Februari 2010
Tempat: Kompleks Belia & Sukan Negeri Sembilan, Paroi
Masa: 8.00 pagi – 4.00 petang
Yuran: RM100 setiap pasukan


Objektif-objektif penganjuran KAHFI 2010 ini adalah:

  • Memupuk budaya bersukan untuk kesihatan tubuh badan dan minda khususnya di kalangan remaja dan belia.
  • Mengeratkan hubungan persaudaraan Islam di kalangan peserta.
  • Sebagai pencetus untuk terus melakukan aktiviti bersukan secara istiqamah pada masa-masa akan datang.

Untuk syarat-syarat pendaftaran dan peraturan pertandingan, sila layari laman web KRIM Negeri Sembilan atau laman web PEMBINA Negeri Sembilan.

Kepada para remaja dan belia di sekitar Negeri Sembilan dan kawasan yang berhampiran yang berminat, ayuh sertai KAHFI 2010. Mudah-mudahan dengan usaha kita ini, Allah SWT merahmati kita semua. Borang penyertaan dan pamplet program boleh diperolehi di sini. Pastikan anda menghantar borang tersebut sebelum tarikh tutup penyertaan pada 3 Februari 2010.

Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan atau ingin mendapatkan maklumat lanjut berhubung Kejohanan Futsal Islam (KAHFI) 2010, sila hubungi wakil KRIM NS iaitu Saudara Norhelmi bin Jamil (019-2445736) atau wakil PEMBINA NS iaitu Saudara Mohd Firdaus bin Sabturani (019-2749117).

sumber : pembinan9.wordpress.com

Nabi Daud Menjadi Raja : Episod 2

Ibn Abbas dan Mujahid berkata bahawa Daud a.s. dikurniakan kekuatan untuk taat kepada Allah s.w.t. iaitu kekuatan dalam melaksanakan ibadat dan melaksanakan amal soleh. Qatadah berkata bahawa Daud a.s. diberikan kekuatan dalam melakukan ibadat dan diberikan juga kepadanya pengetahuan yang mendalam tentang Islam. Buktinya setiap malam baginda selalu melaksanakan solat malam dan pada tiap-tiap bulan Baginda selalu melaksanakan puasa separuh bulan.

Dalam riwayat al-Bukhari dan Muslim, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: "Solat yang paling dicintai oleh Allah s.w.t. adalah solat Daud dan puasa yang paling dicintai oleh Allah s.w.t. adalah puasa Daud. Dia tidur separuh malam dan bangun qiyamullail sepertiga malam, kemudian tidur pada baki 1/6 malamnya. Baginda berpuasa sehari dan berbuka sehari. Perkara tersebut selalu dilakukannya".

Hal tersebut dikhabarkan oleh Allah s.w.t. dalam surah Sad ayat 17 yang bermaksud: "Dan ingatlah hamba Kami Daud yang mempunyai kekuatan. Sesungguhnya dia amat taat (kepada Allah)”. Kekuatan tersebut bermaksud kekuatan beribadat.

sumber : pembinapahang.blogspot.com

Wednesday, 3 February 2010

Nabi Daud Menjadi Raja : Episod 1

Setelah Raja Talut meninggal dunia, Nabi Daud a.s. diberikan kekuasaan untuk memerintah Bani Israel. Ibn Kathir menyebut bahawa Nabi Daud a.s. ketika itu baru berusia 13 tahun. justeru baginda bukan sahaja seorang Nabi dan Rasul, malah baginda diserahkan juga kerajaan Talut.

Firman Allah s.w.t. dalam surah al-Baqarah ayat 241 yang bermaksud: "Dalam peperangan itu, Daud membunuh Jalut. Kemudian Allah memberikan kepadanya (Daud) pemerintahan dan hikmah (sesudah meninggalnya Talut) dan mengajarkan kepadanya apa ynag dikehendakiNya.

Menurut Ibn Asakir, orang ramai dalam kalangan bani Israel sangat cinta kepadanya sehingga harta dan kekuasaan diserahkan kepada Daud. perkara itu juga pernah terjadi ketika Talut masih ada. Dengan sebab itu dia menyerahkan pemerintahannya kepada Daud a.s. Justeru, terhimpunlah kebaikan dunia dan akhirat.

Salasilah Nabi Daud a.s.

Menurut Ibn Kathir dalam Qasas al-Anbiya', beliau adalah Daud bin Isya bin Uwaid bin Abir bin Syalmun bin Nakhsyam bin Uwainadib bin Iram bin Khashrun bin Farz bin Yahuza bin Ya'kub bin Ishak bin Ibrahim a.s. Beliau hidup di bumi Baitul Maqdis.

Muhammad bin Ishak daripada Wahab bin Munabbih berkata bahawa Daud a.s. berperawakan rendah, biru kedua-dua matanya, sedikit rambutnya dan bersih hatinya. Allah s.w.t. megurniakan kelebihan kepadanya boleh membuat baju besi bagi kegunaan dalam peperangan serta menunjukkan cara bagaimana membuatnya. Allah s.w.t. telah berfirman dalam surah al-Anbiya' ayat 80 yang bermaksud: "Dan telah Kami ajarkan kepada Daud membuat baju besi untuk kamu bagi memeliharamu dalam peperangan."

Menurut Qatadah, perkara pertama yang telah dilakukan oleh Daud a.s. adalah mengambil besi waja atau bahan besi yang akan digunakan untuk membuat baju besi itu sebelum membentuknya. Dikatakan oleh Ibn Syaudzab bahawa Daud setiap hari menjual baju besinya dengan harga enam ribu dirham. Dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w. menyatakan bahawa sesuatu yang paling baik dimakan oleh seseorang adalah dari hasil kerjanya sendiri. Ternyata Nabi Daud makan daripada hasil tangannya sendiri.

sumber : pembinapahang.blogspot.com

Monday, 1 February 2010

Gambar Sekitar Kobanna

Klik link di bawah untuk melihat gambar konvensyen

http://www.ismaweb.net/v4/konvensyen-pemikiran-hasan-al-banna-dalam-melakar-agenda-bangsa-30-januari-2010/