Wednesday 24 March 2010

Ketuanan Melayu & Cita-Cita Politik Islam

Kalimah “Ketuanan Melayu” dihentam hebat oleh orang Melayu sendiri khususnya yang berhaluan kiri. Mereka menyifatkan perkara itu sebagai rasis, cauvinis dan sebagainya. Kerana ia dilihat memberi keuntuingan politik kepada parti pemerintah UMNO. Tetapi adakah “Ketuanan Melayu” itu sendiri sebenanrnya bercanggah dengan konsep kenegaran Islam yang menjadi cita-cita setiap pejuang Islam? Adakah ”Ketuanan Melayu” sebenarnya akan merugikan Orang Islam? Atau ia telah dieksploitasi oleh orang bukan Islam untuk kepentingan mereka sehingga lahir di kalangan orang Melayu sendiri mereka yang begitu bersemangat memeperjuangkan bukan kaum mereka?

Negara Islam adalah Negara Aqidah iaitu negara bagi penduduk yang mengucapkan dua kalimah syahadah. Negara Islam juga adalah negara yang mana kuasa politik (wewenang) mutlak berada ditangan orang Islam. Mungkin ini dimaksudkan dengan mafhum “ketuanan”. Dengan itu mereka dapat melaksanakan maqasid siasah syariyyah mempertahankan tanahair dan kehormatan bangsa dan tugas-tugas sebagai sistem politik Islam sebagaimana difardhukan oleh Allah tanpa perlu rasa tergugat oleh pengaruh tawar-menawar pihak bukan Islam.

Adakah “Ketuanan Melayu” bercanggah dengan konsep kenegaraan Islam? Orang Melayu adalah majoriti penduduk Islam yang mengucap syahadah teramai di Tanah Melayu ini. Secara de facto merekalah umat Islam yang dimaksudkan. Dari sini kita dapat lihat sinonimnya ketuanan Melayu dan ketuanan Islam yang menjadi pra syarat kepada tertegaknya sebuah Negara Islam yang dihormati.

Kita tidak perlu bermain kalimah mengatakan bahawa ketuan Islam bukan ketuanan orang Islam dan ketuanan orang Islam bukan ketuanan Orang Melayu kerana apa makna ketuanan Islam jika kuasa politik ditangan atau berada di bawah pengaruh bukan Islam? Dalam keadaan komposisi orang Melayu (Islam) dalam mana-mana pakatan atau dalam parlimen lemah bolehkah mereka mempertahankan kedaulatan dan ketuanan Islam?.

Jadi secara konsepnya ”Ketuanan Melayu” dan cita-cita politik Islam saling sempurna menyempurnakan antara satu sama lain. Melayu perlu kembali kepada Islam, memahami risalah mereka, menjadi bangsa yang kuat dan bersatu padu. Jika Melayu bersatu atas satu agenda sendiri barulah ia boleh memaksa siasah dan cita-citanya.

Tidak pernah berlaku dalam sejarah orang kafir mendaulatkan Islam dan mengangkat martabat orang Islam. Kenapa kita tidak terfikir bahawa mendendang lagu bahawa memperjuangan “Ketuanan Melayu” rasis dan mendakwa Malaysia adalah milik semua, Melayu sebenarnya tidak wujud adalah propaganda orang kafir untuk mempedaya orang Islam agar mengizinkan mereka yang minoriti sampai ketampuk kekuasaan?Kenapa kita tidak fikir bahawa politik adalah perhitungan untung rugi? Dan dengan dakwaan demikian siapa yang akan untung?

Oleh itu untuk menegakkan sistem politik Islam kita perlu sokongan yang kuat kerana ia adalah satu projek yang bertentangan dengan projek sekular barat. Menganggap mana-mana organisasi kafir, negara jiran, serantau dan antarabangsa akan mengalu-alukan cita-cita politik Islam adalah satu kedangkalan. Poltik Islam adalah satu agenda yang mestilah dipaksakan dengan kekuatan. Dan kekuatan itulah yang dipanggil asobiah oleh Ibnu Khaldun. Tanpa merujuk kepada kekuatan kesatuan orang Melayu (asobiah) cita-cita politik Islam khususnya di Malaysia tidak akan ke mana. Saya tidak percaya orang yang masih ada dalam dirinya cita-cita politik Islam akan menentang ketuanan Melayu dan meruntuhkan kekuatan bangsa sendiri yang sebenanrya sandaran kekuatan kepada projeknya, kecualilah ia jahil.

Dan sebaliknya pula jika sekiranya kita memahami konsep kenegaraaan Islam dengan jelas bagaimana ia memberi keuntungan kepada agama dan bangsa, saya tidak boleh faham kenapa golongan-golongan dikalangan umat Islam tidak boleh bersatu diatasnya. Namalah apa yang kita nak namakan, Islam tidak memfardhukan dengan satu-satu nama, yang penting impaknya kepada medaulatkan negara dan memartabatkan bangsa.

Adapun isu ini memberi keuntungan politik kepada mana-mana kumpulan itu terpulang ke atas kebijaksanaan parti tersebut dalam bermain politik. Tetapi bagi pencinta politik islam ia adalah satu thawabit haraki yang perlu dipertahankan. Saya tidak mengatakan dengan itu kita telah mencapai cita-cita politik Islam, tetapi paling tidak kita dapat mengurangkan kemudharatan seperti kata ulamak menanggung kemudaratan yang lebih kecil bagi mengelak kemudharatan yang lebih besar.

Mengekalkan dominasi umat Islam/Orang Melayu secara umum dalam struktur politik di Malaysia adalah satu yang bertepatan dengan maqasid syariat keseluruhannya. Cuma isu yang akan ditimbulkan seterusnya ialah berkaitan dengan perlaksanaan syariat. Selama ini orang melayu memerintah pun Islam tidak terlaksana juga.

Penjelasan saya:

  1. Syariat ialah segala yang dibawa oleh nabi Muhamad s.a.w
  2. Thawabit tadaruj dalam perlaksanaan Islam
    • bermula dengan akidah, nilai, ibadat, akhlak, mumalat dan politik. Justeru tiada paksaan dalam perlaksanaan.
    • Majoriti umat Islam tidak faham Islam menyebabkan antara mereka yang menetang perlaksanaan Islam
    • Antara thawabit tadaruj juga ialah perlaksanaan Islam juga bertitik tolak dari iltizam individu, jamaah dan kerajaan. Kita tidak perlu kuasa untuk melaksanakan Islam diperingkat pertama dan kedua
    • Diperingkat kerajaan, kita tidak boleh lakukan sesuatu yang bermakna dalam keadaan umat jahil, lemah dan berpecah belah seperti yang kita hadapi hari ini. Kekuatan akidah-kekuatan perpaduan dan kekuatan dokongan massa.

Kesimpulan

Dalam keadaan hari ini sesiapa yang memerintah sekalipun mereka tidak akan dapat melaksanakan pemerintahan Islam seperti sepatutnya sama ada disebabkan bidang kuasa yang terhad atau kuasa tawar-menawar lemah. Hatta diperingkat Negara kita tidak semestinya memiliki wewenang yang mengizinkan kita melaksanakan cita-cita Islam.

Kita harus faham bahawa Negara kita dibina atas satu reka bentuk yang bersifat sekular dalam terletak dalam rangkaian sistem antarabangsa yang mencengkam segenap sendi kehidupan. Jadi ada sesetengah kewajiban Islam (walaupun kita memerintah) yang tidak dapat dilakasanakan kecuali dengan kekuatan wewenang yang membolehkan kita memaksa kehendak diperingkat Negara seperti kekuatan asobiah bangsa Melayu di Malaysia dan ada yang memerlukan kekuatan kesatuan diperingkat antarabangsa (umat).

Jadi isu perlaksanaan syariat khususnya diperingkat pemerintahan perlu kepada strategi dan permuafakatan antara pihak-pihak bukan dijadikan bahan bantai-membantai, kerana keupayaan melaksanakannya mengatasi kekuatan setiap satu daripada kita.

Yang menjadi perkara pokok ialah orang Melayu mesti kembali kepada Islam dan membina semula jati diri mereka yang bersejarah. Selama matlamat ini tidak tercapai maka pendirian kita berlegar sekitar kaedah menanggung kemudharatan yang lebih kecil bagi mengelak kemudharatan yang lebih besar dan kaedah mengubah mungkar tidak sampai membawa kepada melakukan mungkar yang lebih besar. Adapun politik Islam, ia adalah satu perjalanan yang masih jauh.

sumber : ustabdullahzaik.wordpress.com

Friday 19 March 2010

Mata Rantai Perjuangan

Kita bersama dalam barisan,

Mengatur langkah menghadapi cabaran,

Mengatasi liku & cubaan,

Membina generasi harapan


Gilap potensi para pemuda,

Orang lama kongsi idea,

Semangat berkobar terus menyala,

Imbang kelajuan dengan bijaksana


Bina fikrah dalam halaqah,

Beruzlah di mihrab katibah,

Disulami daurah, iftar & riadah,

Menyemarak amal menyubur jiddiyah


Kadang-kala iman tersadung,

Di celahan godaan duniawi,

Pada timbunan mehnah & tribulasi,

Lantas futur datang berkunjung


Sudahku katakan,

Masa sebahagian daripada rawatan,

Tunaikan hak dirimu,

Moga Allah kan membantu


Waktu terus menginjak perlahan,

Menjadi saksi lakaran sejarah,

Ayuh bersama dalam gerombolan,

Meresapi urat nadi ummah


Terus melangkah dengan izzah,

Membina mercu tanda agama,

Mengangkat maruah bangsa,

Menuju keredhaan Allah


Umar Abdul Rashid

19 Mac 2010

Thursday 18 March 2010

Catatan Perjalanan 2 : Makan Malam Di Rumah YDP

Pesawat sudah berada di ruang udara Bandar Segi Begawan. Lampu neon menerangi jalan-jalan utama di situ. Cantik sungguh pemandangan dari udara. Brunei merupakan negara rumpun melayu yang terletak di Kepulauan Borneo. Penduduknya sekitar 390 000 orang dengan majoriti terdiri daripada orang Melayu. Kesultanan Brunei satu ketika dahulu menguasai Sarawak & selatan Sabah. Namun sejarah mencatatkan penipuan yang dilakukan oleh Inggeris menyebabkan Brunei kehilangan wilayah autonominya.


Setelah mendapatkan bagasi & menyelesaikan urusan imigresen, saya menuju ke pintu utama lapangan terbang itu. Mata saya tertumpu pada dua orang pemuda yang memegang sehelai kertas bertulis “ Usamah Bin Izer (PEMBINA) AK 266 ” Ternyata mereka ditugaskan oleh MBB untuk menjemput saya. “ Assalamualaikum, saya Usamah, ” kata saya memulakan perbualan. Bangga juga kerana jarang orang dapat mengeja & menulis nama saya dengan betul. Mungkin terkesan dengan barat yang menyebut Osama dek kerana peristiwa 11 September.


Kami berkenalan & berbual-bual dalam perjalanan ke rumah YDP MBB. “ Ini jemputan untuk Yang Mulia ke majlis makan malam, ” kata Amilin yang duduk di sebelah pemandu. Pada kad jemputan itu tertulis “ Yang Mulia Usamah Bin Izer ”. Saya tergelak kecil membaca nama saya ditulis sebegitu rupa. “ Apa maksud Yang Mulia ? ” tanya saya. Kata Ridwan yang sedang memandu Mitsubishi Lancer “ Yang Mulia tu macam Sir ” Inilah kali pertama saya menaiki Lancer. “ Datang ke sini seorang diri ?. ” tanya Amilin. “ Ya, seperti yang kamu lihat. ” “ Berani ya. Kalau saya, mungkin saya tak akan ke Kuala Lumpur seorang diri. ” Hmmm…inilah kali pertama saya ke luar negara seorang diri. Tapi apa yg nak dihairankan. Segalanya telah diatur oleh pihak penganjur. Dialog Belia Islam bukan seperti rancangan Explorace, berlari ke sana ke mari.


Perkara pertama yang menarik perhatian saya adalah pemanduan rakyat negara ini. Mereka akan berada di lorong kiri lebih awal sebelum membelok. Kenderaan akan diperlahankan sekiranya terdapat kereta di hadapan. Saya perhatikan hampir semua memandu seperti itu. Boleh aja terus memandu di lorong kanan. Terasa geram pulak tengak hiasan dalaman kereta ini. Namun saya hanya mampu menelan air liur. Nak beli Persona pun tak mampu.


Ridwan & Amilin merupakan guru agama di sebuah sekolah rendah di sini. Mereka merupakan graduan Kolej Universiti Perguruan Ugama, tempat berlangsungnya Dialog esok. Jalan yang sedang saya lalui boleh diibaratkan seperti Lebuhraya Persekutuan yang menghubungkan Kuala Lumpur-Klang. Lebih kurang begitu keadaannya. Tapi tiada tol. Saya dapat melihat papan tanda Universiti Brunei Darussalam (UBD) & Institut Teknologi Brunei (ITB) di sebelah kiri jalan. Saya pernah ditawarkan belajar di situ. Tiada bangunan tinggi menghiasi pemandangan, Cuma pokok-pokok. Sekali-sekala rumah rakyat tempatan kelihatan dengan seni bina yang tidak banyak beza berbanding rumah di Malaysia.


Perjalanan ke rumah YDP mengambil masa setengah jam dari Lapangan Terbang Antarabangsa Berakas. Brunei dibahagikan kepada empat daerah utama dengan Limbang ditengah-tengah, memisahkan Brunei kepada dua bahagian. Brunei sudah menyatakan hasrat membeli Limbang dari Malaysia namun perbincangan belum menemui jalan penyelesaian yang menguntungkan kedua-dua negara.


Ternyata saya merupakan tetamu terakhir tiba. Majlis makan malam sudah pun bermula sekitar sejam yang lalu. Setelah mengambil makanan yang tersedia, saya disapa oleh Haji Zefri, Setiausaha Agung MBB. Saya terkesima seketika kerana penampilan Haji Zefri berlainan daripada apa yang saya bayangkan. Orangnya sudah agak berumur, mungkin sudah hilang kelayakan memegang jawatan dalam persatuan belia. Namun perasaan hairan itu hilang bersama keenakan bau hidangan saya.


Sambil makan sambil berbual. Dialog kali ini dihadiri oleh beberapa organisasi dari Malaysia, Singapura & Indonesia. Malaysia diwakili oleh Majlis Belia Labuan ( MBL ), JAKIM, ABIM Sabah & sudah semestinya PEMBINA. Dalam perjalanan ke tempat penginapan, saya berbual-bual dengan Haji Shuib yang merupakan Presiden MBL. Beliau merupakan seorang usahawan & memegang jawatan Timbalan Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Labuan. Banyak yang kami bualkan mengenai Labuan.


Sesampainya di Apartment Abdul Razak, saya terus check-in. Mata yang semakin berat akhirnya terlelap dalam kesejukan oleh penghawa dingin. Esok menanti dengan program yang lebih menarik !.


P/S : Pada mulanya saya tak berhasrat menulis tentang ini kerana tiada gambar untuk tatapan anda. Namun fikiran saya berubah selepas itu.

Thursday 11 March 2010

Money Matters : Insurans Tu Haram ?.

Betul Insurans itu haram dan telah difatwakan haram sejak tahun 1972 dan diulang lagi dalam Persidangan Majlis Fatwa Kebangsaan 1979. Sedar tak sedar kita memang terlibat dengan macam2 jenis insurans sepanjang hidup kita. ada yang kita boleh pilih untuk tolak dan ada yang diwajibkan dengan undang2 supaya kita terlibat.

Insurans yang konvensional adalah HARAM dan alternatifnya ialah TAKAFUL, dua sistem yang berbeza yang selalu disamakan oleh mereka yang kurang arif. Selalu kawan2 bertanya, “sekarang jual insurans eh?” atau “macam mana bisnes insurans ko”… Saya terangkan kat sini yang saya tak pernah jual insurans dan saya tak mahu telibat dengan apa jua kontrak insurans yang haram. Semoga Allah membantu mensucikan sumber pendapatan saya drpd apa jua sumber yang haram dan syubhah.

Saya pinjam tulisan saifulgomez tentang isu pengharaman insurans, dan sistem alternatif kepada insurans iaitu takaful. Saifulgomez pernah jadi ejen insurans namun telah dibukakan hati untuk beralih ke takaful.

penjelasan beliau berbunyi:

Sebenarnya apa yang menyebabkan Insuran itu HARAM. Ada banyak faktor sebenarnya setelah lama saya mengkaji dan meneliti. Sebagai pembukaan saya paparkan di sini fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan :

• Keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan kali ke-16 pada 15-16 Februari 1979 memutuskan Insuran Nyawa ( Konvesional ) sebagaimana dikendalikan kebanyakan syarikat insuran adalah HARAM dan sebagai suatu muamalat yang fasad kerana akadnya tidak sesuai dengan prinsip islam iaitu : Mengandungi unsur Gharar ( ketaktentuan ), Mengandungi Unsur Judi,Mengandungi Muamalat Riba dan Maisir.

• Kesatuan Fiqh Islam ( Majma’Fiqh ) yg dianggotai oleh ulama dari seluruh dunia islam yang diasaskan oleh Persidangan Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC) dalam mesyuaratnya di Jeddah pada 22-28 Disember 1995 memutuskan selepas mengkaji semua jenis dan bentuk insuran,bahawa ianya mengandungi unsur Fasid dan HARAM

Apa yang menjadikannya haram?? Insuran adalah sesuatu peniagaan yang diniagakan oleh Syarikat Insuran. Oleh itu ia melibatkan proses jual beli. Factor ini yang membezakan dengan Takaful dan menjadikan ia HARAM. Takaful dapat lari dari unsur2 HARAM ini kerana Takaful bukan proses jual beli. Nanti saya akan terangakn berkenaan apa itu Takaful dalam posted seterusnya bila kelapangan.

INSURAN MENGANDUNGI UNSUR GHARAR

Jelas di dalam sabda Rasulullah SAW dalam hadith sahih Baginda melarang jual beli yang mengandungi unsur Gharar ( riwayat Muslim ).
Gharar bermaksud Ketidakpastian atau ketaktentuan. Dalam transaksi muamalah ia membawa maksud “Terdapat sesuatu yang ingin disembunyikan oleh sebelah pihak dan ianya boleh menimbulkan rasa ketidakadilan serta penganiayaan kepada pihak yang lain”.

Menurut ibnu Rush pula “Kurangnya maklumat tentang keadaan barang (objek), wujud keraguan pada kewujudkan barang, kuantiti dan maklumat yang lengkap berhubung dengan harga. Ia turut berkait dengan masa untuk diserahkan barang terutamanya ketika wang sudah dibayar tetapi masa untuk diserahkan barang tidak diketahui”.
Ibn Taimiyah pula mengatakan “Apabila satu pihak mengambil haknya dan satu pihak lagi tidak menerima apa yang sepatutnya dia dapat”.

Al-Gharar ditakrifkan dalam Kitab Qalyubi wa Umairah menyatakan Mazhab Imam Al-Shafie mendefinasikan gharar sebagai: “Satu (aqad) yang akibatnya tersembunyi daripada kita atau perkara di antara dua kemungkinan di mana yang paling kerap berlaku ialah yang paling ditakuti”.

Prof Madya Dr. Saiful Azhar Rosly menyatakan:
“Gharar yang dimaksudkan dalam perbahasan sah atau tidak sesuatu kontrak itu merujuk kepada risiko dan ketidakpastian yang berpunca daripada perbuatan manipulasi manusia mengakibatkan kemudaratan ke atas pihak yang dizalimi. Umpamanya dalam jual beli kereta terpakai, pembeli tidak diberitahu tentang keadaan sebenar kenderan tersebut. Setelah selesai perjanjian jual beli, gharar dalam objek jual beli itu boleh dijadikan alasan membatalkan kontrak. Ini kerana gharar itu terhasil daripada perbuatan zalim yang disengajakan”.

Kenapa ia mengandungi Gharar??. Antaranya :

• Sekiranya tidak berlaku sesuatu musibah, maka wang premium yang dibayar hangus. Memang ada sesetangah syarikat insuran yang mempunyai pelan sebegitu. Walaupun saya dahulu tidak pernah menjualnya. Namun ia tetap syubahat. Ia bertepatan dengan Gharar di mana satu pihak mendapat keuntungan dan satu pihak lagi tertindas.
Dalam insuran terdapat unsur barang yang tidak jelas. Terdapat syarat sah jual beli dalam islam. Jika salah satu dilanggar, maka jual beli itu tidak sah. Ini kerana barang yang dijual ( Ma’kud Alaih ) tidak jelas. Apa yang menjadikan ia haram kerana ketidak jelasan barang itu. Dan syarat barang yang ditetapkan syarak tidak dapat dipenuhi seperti :
[a] Barang tersebut dapat diserahkan dalam majlis akad.
[b] Masa penyerahannya telah ditetapkan.
[c] Barang tersebut telah ditentukan jenis dan kuantitinya.
[d] Tempat untuk diserahkan barang telah ditentukan.
[e] Bukan barang yang mengandungi unsur-unsur najis dan dilarang Syarak.

Sekarang yang menjadikan ia HARAM adalah [b]..Insuran adalah menjual jaminan kewangan. Jaminan kewangan berkaitan risiko. Oleh itu barangnya adalah risiko. Sekiranya berlaku risiko, dapatlah pampasan. Jika tidak, tiadalah. Setengah akan dapat simpanan dan ada juga hangus. Permasalahannya sekarang risiko kita tidak tahu bila akan berlaku. Esok ke? Lusa ke? Minggu depan ke? Sama seperti kita beli perabot. Tauke kedai akan cakap dia kana hantar lusa atau esok. Maka jual beli itu sah kerana walaupun jual beli itu bertempoh. Tempohnya diberitahu yang mana bila kita akan mendapat barang itu. Itu mengandungi unsur Gharar. Dan ia juga melanggar syarat jual beli.oleh itu jual beli itu tidak sah. Maka ia haram.
Juga menimbulkan Gharar bila pemegang polisi juga kadang2 ragu2..dapat ke claim nanti?kalau meninggal anak bini aku akan dapat ke RM200K yang dijanjikan?

INSURAN MENGANDUNGI RIBA

Riba ini juga banyak yang menjadikan Insuran HARAM. Namun ramai antara kita hanya memahami Riba terjadi apabila ada interest. Seperti Insuran Konvensional, kita boleh membuat pinjaman melalui polisi yang ada. Ada juga agent atau syarikat menggalakkan membuat pinjaman ini. Bila hendak bayar, kena interest. Maknanya ia Riba. Semasa saya Agent Konvensional dahulu. Saya hanya mengatakan tidak perlulah membuat pinjaman. Makan Riba dapat dielakkan. Lagipun jika dikira interest. Pinjaman rumah, pinjaman beli kerete, kad kredit juga mempunyai interest. Susahlah nak hidup. Tetapi sebenarnya kita sebagai islam mempunyai pilihan. Kita ada pinjaman secara islam. Jadi wajib kita elakkan riba itu. Namun ada juga mengatakan sama sahaja dgn pinjaman islamik. Cuma tukar nama sahaja.interest kepada upah. Sebenarnya ianya lain. Makna nama dan cara diuruskan membawa maksud lain.

Selepas saya membuat kajian dan study.rupanya bukan riba itu sahaja yang terdapat dalam Insuran. Ia berlaku kerana jika ditimpa musibah. Syarikat Insuran akan membayar pampasan. Maknanya jual beli ini melibatkan Wang dengan Wang. Dan dengan jumlah yang berbeza. Nabi SAW mensyariatkan apabila kamu bermuamalah dengan dua item ribawi yang sama jenis ( contoh Insuran adalah Wang dengan Wang ), mestilah dengan syarat :
• Sama timbangan
• Sama Nilai
• Diserahkan ketika Mua’malah dilakukan

Syarat in bersumberkan dari hadith :
Mafhum : Jgn kamu jual emas dgn emas kecuali bersamaan nilaian dan timbangannya, jgn kamu melebihkan salah satu darinya di atas yg lain..” ( Al-Bukhari & Muslim)

يبت لا ءاوسب ءاوس لثمب لاثم نزوب انزو لاإ قرولاب قرولا لاو بهذلاب بهذلا اوع )ملسم(

Mafhum : Jgn kamu jual emas dgn pulangan emas, perak dgn pulangan perak kecuali (mestilah ia) dlm timbangan yg sama, nilaian yg sama.

Ia dinamakan RIBA AL-FADL. Riba ini HARAM di sisi syarak. Kerana anda membayar premium bulanan RM200. Jika meninggal anda dapat RM200,000 contohnya. Penyakit kritikal RM70,000 contohnya. Maka ia ada perbezaan nilai. Ini dinamakan Riba juga.
Keduanya pula apabila berlaku penangguhan dalam 2 item ribawi ini. Ini kerana syarikat Insuran akan membawa Wang pampasan selepas berlaku musibah. Ini dinamakan RIBA AN-NA’SIAH. Jelas sekali kontrak Insuran Konvensional tidak dapat lari daripada Riba ini. Maka ianya HARAM.

Perlu disedari bhw insuran biasa yg byk terdpt di Malaysia hari ini adalah bersifat perniagaan (Takmin Tijari) yg mana, syarikat insuran mengganggap usaha mereka adalah sbg satu perniagaan yg bertujuan mencari keuntungan. Oleh itu ia secara jelas kontrak yang dipersetujui oleh pencarum dan syarikat adalah termasuk katergori Aqud Mu’awadah Maliah (Kontrak Pertukaran Harta) dgn cara Perniagaan. Semua kontrak yg terlibat dgn item ribawi mestilah menjaga 3 syarat yg disebutkan dia atas tadi. Jika tidak ia akan jatuh ke hukum Riba yg diharamkan.

Riba juga jelas berlaku apabila wang kutipan premium ( Pool ) itu diniagakan untuk mendapat keuntungan dan memaksimum kan Pool tersebut. Dan kita ketahui syarikat Insuran tidak mempunya panel syariah. Maka wang itu dilaburkan di tempat-tempat yang bercampur2 antara halal dan haram. Saya pernah melihat pemegang saham dalam Carlberg, Magnum, Toto, Anchor dll adalah syarikat-syarikat Insuran. Maknanya kita sebagai umat islam menyumbangkan modal untuk perniagaan haram itu!

INSURAN MENGANDUNGI MAISIR ( JUDI )

Judi jelas diharamkan didalam Islam dan Al-Quran. Tanpa dakwa dakwi lagi. Insuran mengandungi unsur ini kerana ia memperjudikan nasib samaada berlaku musibah atau tidak. Jika musibah berlaku, Kita akan mendapat pampasan yang lumayan & dikira untung. Inilah Judi yang dimaksudkan. Maka kita mengharapkan dengan caruman yang nilai rendah, akan dapat pampasan nilai yang tinggi selepas musibah berlaku.

Bagaimanapun, Prof Mustafa Zarqa menolak unsur ini terdapat dalam Insuran. Katanya Insuran adalah sistem yang tegak atas dasar mahu membantu dan mengurangkan beban manusia. Namun ia disanggah oleh Syeikh Muhd Abu Zuhrah serta Dr. Muhd Baltaji dan ramai lagi ulamak serta Profesor islam lain dengan alasan Insuran diwujudkan atas dasar perniagaan mencari keuntungan. Dan niat membantu tiada didalamnya.
Ia seperti anda menikam TOTO. Ia jelas haram. Tikam RM10 dapat RM10,000 contohnya jika menang. Sama juga seperti Insuran. Anda membayar RM100 sebulan, jika berlaku sesuatu anda dapat RM100,000 contohnya. Ia jelas Judi. Cuma dari konteks atau sudut berlainan. Nama ianya sama.

Itulah antara penyebab2 yang mengharamkan Insuran. Banyak lagi perbincangan2 dan muktamar2 yang diadakan siseluruh dunia terdiri daripada bijak pandai, mufti2, cendiakawan islam dll memperbincangan aka hal ini. Kita sekarang mempunyai pilihan iaitu Takaful. Dahulunya saya menyangkaka Takaful juga sama dengan Insuran. Cuma mereka mengubah sesetangah perkataan sahaja dan juga meletakkan akad jual beli. Sebenarnya ia jauh berbeza.

Saya hanya menerangkan secara ringkas sahaja disini berkenaan perbezaannya. Saya akan terangkan terperinci dalam posted seterusnya. Insuran adalah penanggung risiko. Contohnya katakana saya tauke Insuran. Anda datang berjumpa saya. Meminta sekiranya sakit,meninggal anda mahu RM200,000. Saya kata okay. Tapi bulan2 anda kena bayar saya RM200 sebulan. Ini menyebabkan ia HARAM. Tetapi macamana pula dengan Takaful. Takaful adalah pengendali risiko. Ia berbeza.operasinya berbeza. Sebab tu kalau insuran kita cakap beli insuran. Tetapi Takaful menyertai Takaful. Agent cakap saya jual Insuran kat orang. Wakil Takaful cakap ajak orang menyertai Takaful. Orang yang jual Insuran di panggil Agen Insuran. Orang yang mengajak Orang menyertai Takaful dipanggil pula Wakil Takaful…berbeza..kenapa berbeza…??

Takaful sebenarnya tidak melibat unsur jual beli. Saya berikan contoh. Katankan saya, anda dan 8 orang lagi kawan2 kita. Katakana Insuran tiada di Malaysia. Kita berbincang..jika saya sakit esok2 perlukan kos perubatan bagaimana? Mana tahu masa tu saya tiada duit?bagaimana pula jika si A kematian suami. Apa kana jadi pada dia? Apa jadi si C meninggal dunia.bagaimana isteri dan anak2 mahu meneruskan hidup. Jadi kita berpkat seperti main kutu. Kita pakat sedekah dan simpan RM100 seorang sebulan.maka 10 orang kita dapat RM1000 sebulan. Tetapi siapa nak uruskan. Jadi kita cari rakan ke-11 yang dipercayai. Contohnya Ali. Kita lantik Ali jaga. Maka tiap2 bulan kita sedekahkan ke dalam tabung yang dijaga oleh Ali. Tetapi Takkan Ali nak buat kerja FREE. Jadi kita bagi upah. Kita ckp Ali,tiap2 bulan daripada RM100 kau ambillah RM10 sebagai upah ko jaga. Sekiranya ko pandai melabur atau berniaga. Gunakan tabung itu.gandakan ia. Keuntungan kita bahagi sama rata. Maka disini Ali itulah Takaful.

Sebab itu apabila menyertai Takaful, wakil diingatkan supaya menjelaskan kepada peserta bahawa ini adalah sedekah. Maknanya sapa ambil Takaful dapat pahala. Kata hari ni kita simpa RM100. Esok ada peserta lain walaupun tak kenal meninggal, maka Takaful akan mengambil wang dari Tabung itu diberikan kepada waris Arwah. So kita pun dapat pahala. Makanya pahala ini berterusan. Tetapi ada juga pertikai kenapa ada syarat. Simpan banyak ni, manfaat sebegini. Sebenarnya ia bukan isu besar. Takaful hanya nak meletakkan keadilan kepada semua peserta. Semua yang sama2 menabung membawa risko masing2. Jadi adil lah utk orang yang membawa risiko lebih, membuat sumbangan yang lebih ke tabung tersebut. Jika tidak ramailah yang diabetic, yang sakit kritikal mengambil peluang dalam Takaful lalu menganiaya peserta lain. Oleh itu lah Takaful dapat mengelak daripada unsur Gharar, Maisir dan Riba tadi.

Wallahu A’lam…

sumber : zaizulazizi.wordpress.com

Kami Mahu Upah Dari Allah

Tajuk di atas benar-benar mencuit hati kecil saya takkala mana mendengar tazkirah berupa sentuhan iman yang disampaikan oleh YDP ISMA Kelantan Ustaz Sharipudin Ab. Kadir di dalam salah satu pertemuan. Beliau menghuraikan tajuk tersebut secara mendatar, tidak terlalu panjang, tidak juga terlalu pendek.

Dengan buku "Langkah Bermula" (Al-Muntalaq) yang berada ditangannya sebagai rujukan, beliau mengupas tajuk di atas tadi dengan menyentuh situasi dai'e yang kekadang leka dengan kemampuan diri, terpaut dan terpesona dengan hasil yang dituai membuatkan seseorang dai'e khususnya "orang muda" atau yang sudah "terlalu lama" cepat terbuai dengan amal kebaikan yang tidak berganjak.

Amal kebaikannya hanya sekadar mengisi masa dan peluang yang ada. Tidak berojektif atau tidak ada anjakan perubahan dalam amal. Membuatkan amal kebaikannya dilaksanakan berdasarkan kemampuan diri sendiri yang dia tahu. Sedangkan jika amal kebaikannya diprogramkan mengikut asas-asas dakwah seperti dai'e yang lain dari ikhwan ISMAnya maka sudah pasti kita akan dapat melihat kemahiran dirinya semakin maju ke depan.

Dai'e itu pasti dan sememangnya mampu untuk menggunakan segala bentuk kemampuan diri yang ada padanya untuk mengesani manusia dengan ruh iman. Membina generasi baru yang mempunyai matlamat dalam segala gerak kerja kehidupan. Samaada kerja yang berbentuk mengisi hajat diri sebagai manusia atau amal yang menjuruskan kepada kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat.

Kafilah manusia dagang yang sudah ditiupkan dan dibina ruh iman dalam diri mereka ini dengan melaksanakan segala perkara yang berkaitan dengan ketaqwaan, keimanan dan ketaatan diri kepada Allah di bawah seliaan, tunjuk ajar dan bimbingan dari dai'e yang mempunyai objektif yang jelas sudah pasti mudah untuk diprogramkan di dalam golongan orang-orang yang bersiap diri untuk bertemu dengan Allah.

Ketika itu kita akan melihat golongan mujahidin ini mempunyai tindak tanduk yang luar biasa dan menghairankan manusia sekitarnya kerana kemampuan diri mereka digunakan sebaik-baiknya untuk mengajak diri, ahli keluarga dan masyarakat setempat ke arah pengabdian diri kepada Allah secara bersahaja, tidak menekan dan tidak juga terlalu lembut.

Inilah manusia yang hidup dengan mendapat cahaya petunjuk Rabbani. Mereka sentiasa berhubungan dengan Allah. Mereka meletakkan diri mereka di bawah naungan al-Quran. Melaksanakan segala arahan wahyu, mendidik diri akur dengan apa yang telah digariskan oleh Allah melalui al-Quran (KitabNya), Hadith (rujukan kedua selepas al-Quran) dan juga sunnah Sohaabah yang agung. Mereka menilai diri mereka mengikut cara mereka yang tersendiri. Mereka inilah generasi harapan dan warisan para Rasul, Anbiya', Sahabat dan Salafus Soleh.

Allah berfirman di dalam al-Quran yang bermaksud: "Jadilah kamu 'Rabbaaniyiin' mengikut sebagaimana yang ada di dalam kitab daripada apa yang kamu pelajari".

Oleh itu amat jelas di sini dai'e yang mempunyai jiwa yang benar-benar bersih dan diprogramkan melalui objektif "Membina Generasi Harapan" sahaja yang mampu kedepan dengan penuh tanggungjawab. Baik terhadap dirinya, keluarganya atau masyarakat setempatnya.

Pendek kata kemampuan mereka menguasai diri (memerintah diri) mengikut acuan iman yang sebenar dan kefahaman yang jelas sahaja akan dapat men"tahqiq"kan (merealitikan) konsep Kami Mahu Upah Dari Allah. Adapun sebaliknya... jika sebaliknya... amal kebaikannya akan berhasil sekadar untuk kepuasan diri dan tetap akan mendapat pahala dari Allah. Tetapi untuk membina generasi pewaris kebaikan, ianya amat jauh.

Moga artikel ini memberi manfaat, khususnya untuk diri saya sendiri dan mereka yang mahu memajukan diri dengan iman.

sumber : citaimpian.blogspot.com

Saturday 6 March 2010

Lompat Parti : Apakah Jaminan Kita ?.

Gelagat beberapa orang anggota Parlimen daripada PKR keluar parti mendapat perhatian ramai minggu ini. PKR nampaknya menggelabah dengan perkembangan ini, lalu menghimpunkan anggota-anggota Parlimennya untuk menyatakan ikrar taat setia kepada Anwar Ibrahim. Tidak semua yang hadir.

Fenomena keluar atau lompat parti ini bukan satu perkara luar biasa. Malah perkara ini bukan saja berlaku dalam isu politik, malah turut menghiasi dunia korporat dan perniagaan, cuma istilahnya mungkin berbeza.

Manusia berurusan sesama mereka atas kepentingan bersama. Apabila kepentingan itu sudah tidak dikongsi lagi, malah sudah bertukar menjadi konflik, maka berpisah adalah satu pilihan nyata. Dalam dunia politik dan perniagaan, persaingan merupakan medan untuk hidup, makanya perpisahan itu sebenarnya berpaling tadah.

Adakah istilah khianat wujud dalam arena politik? Setakat ini ramai penganalisa politik menyatakan bahawa berpaling tadah adalah perkara lumrah dan diterima dalam politik. Cuma yang beraliran pemikiran Islam saja yang menyebut pasal amanah, khianat dan sebagainya. Walaupun ada yang berfikiran liberal menyebut istilah-istilah itu, pada saya ia hanyalah sekadar ungkapan manis di bibir, tidak lebih dari itu.

Ini kerana jika bukan Islam menjadi dasar perjuangan dan keredhaan Allah menjadi matlamat, liberalis akan tersangkut jua di takuk yang sama apabila keadaan dan waktunya tiba. Itulah keadaan yang berlaku sekarang, apabila kuasa baru secubit, apatah lagi jika sudah menguasai negara dengan segala kekayaan buminya.

Bagi jamaah Islam, ini tidak bermakna mereka boleh terlalu yakin dengan kesetiaan pengikut dan pemimpin mereka. Dalam orientasi politik kepartian, orang yang bijak berbicara, berpidato, rajin menulis, aktif di lapangan akan membentuk pengaruhnya tersendiri dan akan naik ke tangga kepimpinan dengan pengaruhnya itu.

Orientasi mendaki anak tangga politik sebegini amat berbahaya jika tidak dilatari dengan program tarbiyah bagi seseorang itu mendaki anak tangga intimak kepada jamaah. Apakah maksud program tarbiyah dan apakah maksud anak tangga intimak kepada jamaah?

Program tarbiyah bukan sekadar ceramah atau kuliah berkala. Ia bukan sekadar tamrin dan mukhaiyam. Itu semua hanyalah wasilah. Ia juga bukan sekadar tazkirah, renungan dan kata-kata nasihat yang dilontarkan dari semasa ke semasa bagi membasahkan hati.

Tunjang bagi tarbiyah ialah murabbi. Tiada murabbi maka tiadalah tarbiyah. Masyarakat umum mungkin memerlukan seorang dua tok guru sebagai murabbi dan qudwah. Mungkin nisbahnya 1:1,000 000. Pengaruh tok guru dalam bicara dan tindakannya boleh mempengaruhi orang ramai.

Tetapi bagi anggota jamaah dan pendukungnya, yang akan menjadi tonggak dan anggota barisan hadapan ketika berdepan dengan pelbagai ujian, sama ada kesenangan atau kepahitan, maka mereka memerlukan murabbi khusus, yang dekat mengenali, memberikan tunjuk ajar dan teladan yang hidup.

Nisbahnya? Anda fikirkanlah nisbah yang sesuai untuk peranan mengikat hati-hati pendukung ini dengan jamaah. Anak-anak murid di sekolah, pelajar universiti di peringkat ijazah pertama, ijazah kedua dan doktor falsafah, kita semua tahu nisbah antara guru dan muridnya. Mungkin ada eloknya anda renungkan mengapakah Allah menjadikan manusia mempunyai anak sekitar 10 orang, tidak seratus dan tidak seribu.

Intimak pada dakwah dan jamaah diperoleh melalui tarbiyah. Faham dan ikhlas terhadap matlamat perjuangan tidak datang bersama semangat yang bernyala-nyala. Perubahan hakiki hanya berlaku secara beransur-ansur. Begitu juga sifat sanggup berkorban, taat setia, saling mempercayai, tabah dan lain-lain.

Tahap intimak itu juga tidak sama antara seorang dengan seorang yang lain. Ada yang sudah lama, ada yang masih hijau, ada yang tahap pengorbanannya tinggi, ada yang masih berkira-kira apabila diminta menyumbang masa, wang dan tenaga.

Di sinilah letaknya peranan tarbiyah untuk meningkatkan tahap intimak. Di sinilah terletaknya peranan tarbiyah untuk mendekatkan jurang. Jika jurang ini tidak ditangani, maka tindakan segelintir anggota atau pendukung sudah cukup menggegarkan keseluruhan jamaah. Renungilah peristiwa Badar dan Uhud.

Oleh itu, tarbiyah adalah nyawa bagi jamaah Islam. Tanpa tarbiyah yang mantap dan berterusan, jamaah Islam harus berkubur dan dibawa arus kebendaan yang bermaharaja lela sekarang, melalui tindakan-tindakan pemimpin dan pengikut yang tidak terkawal.

Jika kita berkata begitu, maka tugas melahirkan murabbi yang mencukupi dan memainkan peranan dengan berkesan adalah batu tanda kesejahteraan jamaah tersebut. Jamaah yang boleh disandarkan harapan umat kepadanya ialah jamaah yang subur melahirkan murabbi.

sumber : ustazhazizi.wordpress.com