Showing posts with label Tazkirah. Show all posts
Showing posts with label Tazkirah. Show all posts

Tuesday, 12 July 2011

Wulidna

Suatu hari saya bertemu dengan seorang guru yang pernah mengajar saya tak lama dulu. Banyak perkara yang kami sembang bersama. Nostalgia pelajar & guru semestinya tak lepas dari menjadi bahan bualan kami. Sampai di satu sisi perbualan ustaz bertanya kepada saya, “ Untuk apa kita dilahirkan ? ” Lantas tanpa sebarang ragu-ragu saya menjawab, “ Sebagai khalifah di atas muka bumi. ” Sambil tersenyum guru itu menjawab, “ Betul, akan tetapi apa yang terkandung dalam istilah khalifah itu ?. ”

Tanpa menunggu jawapan saya guru meneruskan bicara, “ Wulidna lil mawaddah wa rahmah. Kita dilahirkan untuk kasih sayang & rahmah. Sesuai dgn firman Allah dalam surah Al-Ahzab rahmatan lil’alamin. Kita bukan sahaja membawa rahmat kepada diri & keluarga, bahkan kepada seluruh alam, kepada seluruh umat. ”

“ Dah macam kuliah maghrib ni, ” saya mencelah. Kami ketawa bersama-sama. “ Seterusnya wulidna lil ‘izzah wal kiramah. Bangga dilahirkan sebagai muslim. Kerana itu kita mesti mengangkat kembali martabat agama, bangsa & negara. ”

“ Akhir sekali wulidna lilmas’uliyat. Ada tanggungjawab yang mengiringi setiap kelahiran anak Adam. Tugas sebagai khalifah bukan mudah. Kepada diri, keluarga, masyarakat & negara. Panjang kalau kita nak bincang, ” kata guru menghabiskan huraiannya.

Saya yang dari tadi mendengar setiap bait yang dituturkan cuba mengingat kembali apa yang disebutkan. “ Wulidna lil mawaddah wa rahmah, wulidna lil izzah wal kiramah, wulidna.... ” Sambung guru saya, “ lilmas’uliyat. ” .........wulidna lilmas’uliyat.

Friday, 19 March 2010

Mata Rantai Perjuangan

Kita bersama dalam barisan,

Mengatur langkah menghadapi cabaran,

Mengatasi liku & cubaan,

Membina generasi harapan


Gilap potensi para pemuda,

Orang lama kongsi idea,

Semangat berkobar terus menyala,

Imbang kelajuan dengan bijaksana


Bina fikrah dalam halaqah,

Beruzlah di mihrab katibah,

Disulami daurah, iftar & riadah,

Menyemarak amal menyubur jiddiyah


Kadang-kala iman tersadung,

Di celahan godaan duniawi,

Pada timbunan mehnah & tribulasi,

Lantas futur datang berkunjung


Sudahku katakan,

Masa sebahagian daripada rawatan,

Tunaikan hak dirimu,

Moga Allah kan membantu


Waktu terus menginjak perlahan,

Menjadi saksi lakaran sejarah,

Ayuh bersama dalam gerombolan,

Meresapi urat nadi ummah


Terus melangkah dengan izzah,

Membina mercu tanda agama,

Mengangkat maruah bangsa,

Menuju keredhaan Allah


Umar Abdul Rashid

19 Mac 2010

Thursday, 11 March 2010

Kami Mahu Upah Dari Allah

Tajuk di atas benar-benar mencuit hati kecil saya takkala mana mendengar tazkirah berupa sentuhan iman yang disampaikan oleh YDP ISMA Kelantan Ustaz Sharipudin Ab. Kadir di dalam salah satu pertemuan. Beliau menghuraikan tajuk tersebut secara mendatar, tidak terlalu panjang, tidak juga terlalu pendek.

Dengan buku "Langkah Bermula" (Al-Muntalaq) yang berada ditangannya sebagai rujukan, beliau mengupas tajuk di atas tadi dengan menyentuh situasi dai'e yang kekadang leka dengan kemampuan diri, terpaut dan terpesona dengan hasil yang dituai membuatkan seseorang dai'e khususnya "orang muda" atau yang sudah "terlalu lama" cepat terbuai dengan amal kebaikan yang tidak berganjak.

Amal kebaikannya hanya sekadar mengisi masa dan peluang yang ada. Tidak berojektif atau tidak ada anjakan perubahan dalam amal. Membuatkan amal kebaikannya dilaksanakan berdasarkan kemampuan diri sendiri yang dia tahu. Sedangkan jika amal kebaikannya diprogramkan mengikut asas-asas dakwah seperti dai'e yang lain dari ikhwan ISMAnya maka sudah pasti kita akan dapat melihat kemahiran dirinya semakin maju ke depan.

Dai'e itu pasti dan sememangnya mampu untuk menggunakan segala bentuk kemampuan diri yang ada padanya untuk mengesani manusia dengan ruh iman. Membina generasi baru yang mempunyai matlamat dalam segala gerak kerja kehidupan. Samaada kerja yang berbentuk mengisi hajat diri sebagai manusia atau amal yang menjuruskan kepada kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat.

Kafilah manusia dagang yang sudah ditiupkan dan dibina ruh iman dalam diri mereka ini dengan melaksanakan segala perkara yang berkaitan dengan ketaqwaan, keimanan dan ketaatan diri kepada Allah di bawah seliaan, tunjuk ajar dan bimbingan dari dai'e yang mempunyai objektif yang jelas sudah pasti mudah untuk diprogramkan di dalam golongan orang-orang yang bersiap diri untuk bertemu dengan Allah.

Ketika itu kita akan melihat golongan mujahidin ini mempunyai tindak tanduk yang luar biasa dan menghairankan manusia sekitarnya kerana kemampuan diri mereka digunakan sebaik-baiknya untuk mengajak diri, ahli keluarga dan masyarakat setempat ke arah pengabdian diri kepada Allah secara bersahaja, tidak menekan dan tidak juga terlalu lembut.

Inilah manusia yang hidup dengan mendapat cahaya petunjuk Rabbani. Mereka sentiasa berhubungan dengan Allah. Mereka meletakkan diri mereka di bawah naungan al-Quran. Melaksanakan segala arahan wahyu, mendidik diri akur dengan apa yang telah digariskan oleh Allah melalui al-Quran (KitabNya), Hadith (rujukan kedua selepas al-Quran) dan juga sunnah Sohaabah yang agung. Mereka menilai diri mereka mengikut cara mereka yang tersendiri. Mereka inilah generasi harapan dan warisan para Rasul, Anbiya', Sahabat dan Salafus Soleh.

Allah berfirman di dalam al-Quran yang bermaksud: "Jadilah kamu 'Rabbaaniyiin' mengikut sebagaimana yang ada di dalam kitab daripada apa yang kamu pelajari".

Oleh itu amat jelas di sini dai'e yang mempunyai jiwa yang benar-benar bersih dan diprogramkan melalui objektif "Membina Generasi Harapan" sahaja yang mampu kedepan dengan penuh tanggungjawab. Baik terhadap dirinya, keluarganya atau masyarakat setempatnya.

Pendek kata kemampuan mereka menguasai diri (memerintah diri) mengikut acuan iman yang sebenar dan kefahaman yang jelas sahaja akan dapat men"tahqiq"kan (merealitikan) konsep Kami Mahu Upah Dari Allah. Adapun sebaliknya... jika sebaliknya... amal kebaikannya akan berhasil sekadar untuk kepuasan diri dan tetap akan mendapat pahala dari Allah. Tetapi untuk membina generasi pewaris kebaikan, ianya amat jauh.

Moga artikel ini memberi manfaat, khususnya untuk diri saya sendiri dan mereka yang mahu memajukan diri dengan iman.

sumber : citaimpian.blogspot.com

Monday, 22 February 2010

Ulang Tahun Ke-61 Kesyahidan Hasan Al-Banna

Pada 12.2.2010, genap 61 tahun syahidnya Imam Hasan Al-Banna, pengasas jemaah Ikhwan Muslimin, sebuah organisasi Islam paling berpengaruh di dunia pada hari ini. Ketika dibunuh beliau berumur semuda 43 tahun , namun asas Fikrah dan Manhaj perjuangan Islam yang beliau asaskan berjaya mengumpul 3-4 juta rakyat Mesir ketika itu dan hingga ke hari ini terus tertanam kukuh dan berkembang pesat mengharungi cabaran sepanjang zaman dan mengatasi brbagai tentangan Kini gerakan Ikhwan Muslimin terdapat dalam lebih dari 100 buah negara di dunia, menyumbang bakti kepada umat Islam dengan penuh kasih sayang disamping ia tegas dan penuh berani mempertahankan umat dari serangan-serangan sengit musuh Islam diberbagai aspek budaya sosial, ekonomi, politik maupun ketenteraan.

Foto Imam Hasan Al-Banna yang terakhir ketika mengimamkan solat Maghrib di markaz pertubuhan Syubban Muslimin, Jalan Ramses, Kaherah. Ketika itu kesemua anggota Ikhwan Muslimin yang berpengaruh telah dipenjarakan, kecuali beliau seorang kerana dia menjadi sasaran untuk dibunuh. Ketika beliau keluar dari markaz ini, beliau ditembak di tepi Jaan Ramses dan meninggal dunia syahid di Hospital Qasr Aini, Kaherah lantaran arahan pihak atasan agar beliau dibiar bersendirian tanpa rawatan sehingga menghembuskan nafas terakhir.

Diantara ciri-ciri keistimewaan dakwah Ikhwan Muslimin yang diasaskan oleh Imam Hasan Al-Banna ialah :

  1. Menanam fikrah atau kefahaman Islam yang sahih bersumberkan ilmu dari Al-Quran dan As-Sunnah. Tarbiyah adalah perkara yang terpenting dalam dakwah Ikhwan Muslimin. Dengan ini jalan Dakwahnya jelas, landasannya terang dari awal hingga ke akhir, anggotanya berkualiti dan teguh, sukar untuk menyimpang dari agenda Islam sendiri yang sahih hingga terpaksa mengikut agenda-agenda pihak lain.
  2. Syumul dakwah Ikhwan Muslimin sama seperti syumulnya Islam itu sendiri, tidak mengabaikan mana-mana aspek pun samada diaspek ruh, jasad maupun aqal. Dakwahnya juga menggarap semua aspek dan aktiviti ilmiah, riadhah, ekonomi, ikatan ruhani, kebajikan, politik, organisasi dan sebagainya.
  3. Dakwah yang berpijak dialam nyata, menggunakan segala wasilah (cara) terkini dalam menyampaikan Islam yang sahih kepada masyarakat, menekankan pembinaan ilmu dan akhlak ahli, mengutamakan kerja yang praktikal lagi produktif berbanding teori dan perdebatan, kesatuan berbanding perpecahan dalam menggembeling tenaga ummah berhadapan dengan cabaran manusia dan zaman.
  4. Pergerakan dan fasa Dakwahnya sentiasa serasi dengan Sunnah Allah swt terhadap perjalanan alam dan penciptaanNya. Oleh kerana itu usaha Dakwah ini dibuat sangat bersungguh-sungguh tetapi meyakini perubahan di dalam masyarakat yang akan berlaku adalah dengan beransur-ansur, tidak memilih corak keganasan atau mengangkat senjata, tetapi menumpu kearah mendidik jiwa dan menanam keyakinan kedalam hati dan akal orang ramai sehingga jelas kepada mereka akan Islam dan tuntutannya ke atas mereka untuk turut beramal dan memperjuangkannya. Matlamat Islam zaman kini dicapai bukan sekadar berjaya mencari laluan ke Parlimen semata-mata seperti yang difahami ramai pejuang nasionalis maupun islamis, bahkan ia lebih besar dari itu iaitu dengan membina generasi baru Islam yang memiliki keperibadian Islam sejati, membina keluarga Islam yang kukuh, membentuk masyarakat Islam yang peka dan bersedia memikul tanggungjawab menyebarkan Dakwah ke seluruh alam. Mereka inilah yang memilih, melahir dan merealisasikan Kerajaan Islam dan Negara Islam yang dicita-cita oleh Islam.

Fikrah Islam yang dibawa Hasan Al-Banna juga mampu meletakkan semangat bangsa dan cinta tanahair ke landasannya yang sebenar. “Wahai Ikhwan sekelian. Sungguh ini merupakan nikmat yang besar dan kegembiraan yang melebihi kata-kata dan keterangan apabila Ikhwan berhimpun dan berkasih sayang di jalan Allah taala, datang dari berbagai negeri, tempat-tempat yang berjauhan, berhimpun di tempat yang satu. Bukan ikatan saudara mara, kaum kerabat, keturunan, hubungan perkahwinan, kepentingan kebendaan atau keduniaan yang menghimpunkan mereka. Akan tetapi yang menghimpunkan ialah kasih sayang dijalan Allah, bertemu keranaNya, bekerja untukNya. Terimalah khabar gembira wahai Ikhwah Akhawat dimana saya berharap kita termasuk mereka yang menyambut seruan Allah hari dimana Dia menyeru “Dimanakah mereka yang berkasih sayang keranaKu, dimanakah mereka yang saling ziarah menziarah keranaKu, dimanakah mereka yang duduk bersama keranaKu ? Pada hari ini Aku menaungi mereka dengan keagunganKu iaitu hari yang tiada sebarang naungan selain naunganKu”. Sungguh kamu telah menerima undangan, segera datang, berhimpun di perhimpunan yang meriah ini, tatkala kita melihat banyak perhimpunan-perhimpunan lain berlaku kemudian ia habis begitu sahaja, diulangi berulang kali namun ia tetap tidak membuahkan apa-apa lantaran berlakunya perpecahan hati dan terdapat perbezaan hawa dan selera. Adapun perhimpunan ini, ia mengesahkan kesatuan hati-hati kamu, pertautan ruh-ruh kamu, keteguhan ikatan kamu. Mudah-mudahan Allah menjaga dan menjadikannya ikhlas demi mencari wajah dan keredhaanNya”. [Hasan Al-Banna 11 Zulhijjah 1353H] (Foto hiasan : Konvensyen Pemikiran Hasan Al-Banna pada 30.1.2010, 2 minggu lalu, anjuran Ikatan Muslimin Malaysia].

Semoga ALlah swt menerima segala amalan beliau, memaafkan kesalahannya dan memasukkannya ke dalam Syurga Firdaus bersama para Nabi, Siddiqin, Syuhadak dan Solohin. Merekalah sebaik-baik teman di Akhirat kelak.

sumber : inijalanku.wordpress.com

Sunday, 21 February 2010

Islamisasi Malaysia

Assalamualaikum w.b.t.

Lama benar saya tidak menulis. Semenjak masuk ke UIAM Gombak, menulis merupakan suatu kerja yang amat-amat berat sekali untuk saya lakukan. Entah mengapa. Tidak mengapa, bukan menulis yang ingin saya katakan, tetapi saya berniat ingin berkongsi pandangan saya dengan anda sekalian.

Islamisasi Malaysia, bunyinya amat gah. Makna tepatnya?? Maaf, saya pun tak tahu. Sekadar terlintas di minda menulis tajuk segah di atas.


Secara jujurnya, saya melihat negara kita, Malaysia, sedang mengalami proses islamisasi. Apakah proses islamisasi tersebut? Ianya boleh ditafsirkan sebagai perlahan-lahan melangkah menuju ke suatu arah dan suasana yang lebih islamik berbanding sebelum ini.

Pertama, ketika 14Februari yang lalu, ketika saya sedang bercuti di Taiping, sempat saya menonton berita. Satu tajuk yang amat menarik perhatian saya adalah ketika mana pembaca berita memyampaikan berita yang bertajuk "Umat Islam diseru tidak menyambut "Valetine's Day". Bukankah ini suatu yang positif?? Jika selama ini hanya ustaz, ustazah, dai'e, dai'eah, dan yang seangkatan dengannya sahaja yang bertungkus-lumus menyebarkan fahaman ini, sekarang di kaca television sendiri terpaparnya perkara ini.

Kedua, kita dapat melihat bagaimana banyak pihak yang sebelum ini terlena dan tidak berapa mengendahkan tentang hal ehwal umat Islam di Malaysia, bangkit berjuang menentang penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian. Bukankah ini suatu yang positif?? Jika selama ini mereka malu-malu alah hendak menyebut tentang Islam, sekarang mereka yang sedaya-upaya berusaha untuk membantah ketika sensitiviti umat Islam digugat.


Ketiga, wujudnya banyak blog, website, forum dan pelbagai lagi yang berunsur islamik. Tidak ketinggalan lahirnya akhbar iLuvIslam(bukan promote) dalam pasaran akhbar tanah air, merancakkan lagi kemeriahan taburan perkara yang berunsur islamik di Malaysia. Bukankah ini suatu yang positif?? Jika selama ini hanya mendengar ceramah-ceramah agama di masjid dan surau untuk menambahkan info tentang Islam, sekarang di mana-mana kita boleh mendapatkan info tersebut.

Keempat, berkembangnya pemikiran Islamik di kalangan pelajar-pelajar IPT di Malaysia, dan juga yang sedang belaajr di luar negara. Walaupun dalam skala yang kecil, namun kerancakan program-program berunsur Islam di kampus-kampus pengajian dalam dan luar negara jelas membuktikan perkembangan ini berlaku. Bukankah ini suatu yang positif?? Jika selama ini hanya pertandingan "battle of the band", majlis tari-menari yang mempolopori program-program di kampus kita, sekarang program-program berunsur Islamik juga rancak memeriahkan kehidupan kampus.



Kelima, popularnya perkataan usrah arau halaqah di kalangan muda-mudi tanah air. Mungkin tidak sepopular futsal ataupun konsert, namun kadar kepopularannya makin meningkat dari hari ke hari. Bukankah ini suatu yang positif?? Jika selama ini hendak mendengar perkataan usrah pun terasa amat janggal, apatah lagi mengikutinya, sekarang sudah ada sekolah-sekolah dan universiti-universiti yang mewajibkan pelajar Islamnya mengikuti program usrah umum atau nama lainnya, smart group.


Banyak lagi sebenarnya jika kita teliti dengan sedalam-dalamya. Mungkin, ramai yang tidak bersetuju dengan pandangan saya ini, namun, marilah kita melihat ini dari satu sudut yang lebih positif. Bukanlah saya bermaksud bahawa kita sudah berpuas hati dengan keadaan sekarang. Namun ini merupakan satu pemangkin semangat kepada kita semua, bahawa usaha untuk membawa Islam yang syumul itu perlu kita teruskan. Suasana sekarang jauh lebih baik daripada suasana era 60an dan 70an. Ini jelas membuktikan yang kita mampu mengubah nasib kaum kita, yang penting kita berusaha untuk mengubahnya.

InsyaAllah, dengan usaha yang bersungguh-sungguh, dan keikhlasan hanya kerana Allah SWT, kita akan dapat pergi jauh lebih baik lagi daripada suasana sekarang.

Teruskan Perjuangan!! Man jadda, wa jadda!!

Wassalam . . .

sumber : jalananterus.blogspot.com

Tuesday, 9 February 2010

Mampukah Aku Memiliki Wanita Seperti Ini ?.


Assalamualaikum W.B.R..


"Alangkah indahnya hidup ini..andai dapat ku tatap dirimu...."


Bait-bait kata ini membuatkan hari ini saya teringat kepada beberapa orang perempuan. Hem… Siapakah yang saya teringat itu? Perempuan-perempuan ini, ada yang saya kenal masa tadika. Ada pula yang saya kenal masa sekolah rendah. Ada pula yang saya kenal masa sekolah menengah. Apabila saya dewasa, saya berusaha memeriksa latar belakang perempuan-perempuan ini, dan mengkaji kehidupan mereka. Mudah cerita, saya suka dengan perempuan-perempuan ini sebenarnya. Pada saya, mereka amat bermakna dalam kehidupan saya. Oleh kerana saya teringat akan mereka, maka saya ingin perkenalkan mereka kepada kalian.


Perempuan-perempuan ini, adalah perempuan-perempuan yang DILUPAKAN barangkali.

Hari ini, perempuan melihat kepada siapa untuk mereka contohi?

Hari ini, lelaki akan memilih perempuan yang bagaimana untuk dijadikan isteri?

Hari ini, ibu bapa akan membesarkan anak perempuan mereka mengikut perempuan yang mana?

Hari ini, masyarakat akan mengangungkan perempuan yang bagaimana?

Hari ini, perempuan jenis apakah yang dikira sebagai mulia?

Hari ini, perempuan bagaimanakah yang lelaki puja?

Persoalan ini, anda boleh jawab sendiri di dalam hati, dengan melihat keadaan sekeliling kita. Anda akan melihat satu jawapan yang sama, walau di mana sahaja anda berada. Perempuan jenis ‘itu’. ‘Itu’ itu anda terjemahkan sendiri dengan pengamatan anda pada keadaan hari ini.


Kita lihat hari ini, masyarakat, baik lelaki atau perempuan, orang tua atau anak-anak, telah melupakan sebahagian perempuan-perempuan agung yang sepatutnya dijadikan contoh, qudwah untuk wanita-wanita seluruh dunia, sepanjang zaman. Sesungguhnya, figur-figur inilah yang mengusung panji ISLAM dalam kehidupan, seterusnya memuliakan diri mereka dengan kalimah ALLAH SWT. Maka hari ini, saya nak memperingati perempuan-perempuan yang dilupakan oleh ummah ini.


PERSIS WANITA DAMBAAN MUSLIMIN.........




Ramai manusia sudah melupakan UMMUL MUKMININ KHADIJAH BINTI KHUWAILID. . Dialah yang digelar Afifah Solehah (wanita suci). Seorang wanita yang sanggup berkorban segala kekayaannya untuk membantu dakwah Rasulullah SAW. Dialah yang paling pertama beriman, tanpa meragukan seruan Rasulullah SAW. Dialah wanita, yang menenangkan suaminya yang ketakutan tanpa memperlekehkan. Dialah wanita, yang tegar bertahan susah senang bersama suaminya, sehingga nyawa ditarik ALLAH SWT. Bayangkan, dia adalah seorang yang kaya raya, hartawan, tetapi sanggup dipulau bersama Rasulullah SAW selama 3 tahun 3 bulan dan makan pucuk kayu sahaja hingga pecah-pecah mulut.


FATIMAH AZ ZAHRA....


Ramai juga terlupa dengan FATIMAH AZ ZAHRA puteri Rasulullah SAW. Dialah yang bertahan di sisi Rasulullah SAW ketika ayahandanya itu diseksa teruk. Tanpa kecewa, tanpa rasa hendak berputus asa, dia sentiasa membantu ayahandanya yang sering disakiti. Tangannya yang bersih dan suci itulah yang mencuci najis yang dibalingkan ke tubuh ayahandanya. Tangannya yang suci itulah yang membersihkan segala luka ayahandanya. Seorang wanita yang tabah, kuat menempuhi segala dugaan.


ASIAH...


Ramai yang telah terlupa akan seorang wanita bernama ASIAH. Dia adalah isteri kepada Firaun yang menentang Musa. ALLAH telah menjadikan bicara lembutnya menyelamatkan Musa AS dari dibunuh Firaun. ALLAH juga menjadikan dia antara yang beriman dengan seruan Musa AS. Malah, ALLAH telah merakamkan namanya di dalam Al-Quran, dan menjanjikan kepadanya syurga atas balasan ketabahannya dalam mengharungi hidup bersama Firaun dan menerima segala seksaannya dalam mengekalkan deen ISLAM dalam dirinya.


MASYITAH


Ramai pula yang tidak tahu berkenaan MASYITAH. Dia adalah tukang penyisir rambut anak Firaun. Beriman kepada ALLAH SWT dan Nabi Musa, kemudian keimanannya diketahui oleh Firaun. Akhirnya dia bersama suami, serta anaknya yang masih bayi telah dicampakkan ke dalam kuali penuh minyak mendidih. Walaupun nyawa di hujung tanduk, imannya tidak tergadai, malah terjun dengan penuh keyakinan. Masyitah mati syahid mempertahankan imannya dari digadai.


MARYAM


Ramai juga yang telah terlupa kepada MARYAM, ibu kepada Isa AS. Sang Perawan itu menjaga dirinya, mengabdikan diri dalam bilik yang terkunci, ALLAH memuliakannya dengan memilih Zakaria as sebagai penjaga. Maryam yang suci inilah dipilih ALLAH untuk mengandungkan Isa AS. Apabila dia melahirkan Isa AS dan ditohmah dengan pelbagai dugaan, dia bergantung kepada ALLAH, dan bersangka baik atas segala apa yang berlaku ke atasnya. Akhirnya anaknya Isa AS boleh berbicara dan menyeru manusia sedari buaian.


Siapakah yang hendak mencontohi Nusaibah RAH? Ketika Perang Uhud, Nusaibah keluar memberi minum kepada pasukan Muslimin yang kehausan dan merawat mereka yang mendapat luka. Apabila tentera Islam menjadi terdesak dan lari dari medan perang, cuma ada seratus orang sahaja yang tetap bertahan dan Nusaibah adalah salah seorang yang menghunuskan pedang serta memakai perisai bagi melindungi Rasulullah dari diserang musuh. Kesungguhan Nusaibah melindungi Rasulullah begitu hebat, hinggakan Rasulullah berkata, “Aku tidak menoleh ke kiri dan ke kanan kecuali melihat Ummu Imarah (Nusaibah) berperang dihadapanku.”

Ketika itu, anaknya Abdullah luka parah ditikam musuh. Dia mengikat luka anaknya lalu berkata, “Bangun wahai anakku.” Anaknya itu terus bangun dan melawan tentera musuh. Rasulullah yang melihat peristiwa itu bersabda. “Wahai Ummu Imarah, siapakah yang mampu berbuat seperti mana yang engkau lakukan?” Ketika tentera musuh yang menikam anaknya itu menghampiri, Rasulullah berkata kepadanya, “Ini dia orang yang telah melukakan anakmu.” Nusaibah menghampiri orang itu dan menikam betisnya dengan pedang. “Ya, Ummu Imarah! Engkau berjaya membalasnya,” kata Rasulullah sambil tersenyum melihat kesungguhan Nusaibah hatta Rasulullah SAW pun bersorak untuknya. Siapakah yang mengingati Ummu Imarah ini?


UMMU SULAIM...

Siapakah pula yang hendak menjadi seperti UMMU SULAIM? Dia berkahwin dengan Abu Talhah dengan mahar iman. Abu Talhah seorang kafir ketika itu, jatuh hati kepada Ummu Sulaim yang masih muslim. Ummu Sulaim berkata: “Jika hendak mengahwiniku, maka maharnya adalah iman”. Maka islamlah Abu Talhah. Sehingga ada sahabat yang berkata, “Aku belum pernah melihat seorang wanita sama sekali yang lebih mulia maskawinnya dibandingkan dengan maskawin Ummu Sulaim.” Malah, dia mentarbiyyah suaminya, sehingga suaminya menjadi seorang sahabat yang komited. Siapa yang tidak kenal dengan Abu Talhah? Dialah yang menyambut semua panahan yang ditujukan kepada Rasulullah SAW, pada hari Uhud dengan belakang tubuhnya. Lihatlah bagaimana Ummu Sulaim mentarbiyyah suaminya? Adakah lagi isteri yang sebegitu hari ini?



AISYAH R.A..



Siapakah pula yang hendak mencontohi isteri Rasulullah SAW, AISYAH RA? Ketika peristiwa Hadith Ifki (kisah rekaan) berlaku, menumpahkan fitnah ke atasnya, mengotorkan namanya, dia tetap teguh, yakin kepada ALLAH SWT. Tiada sebentar pun dia bersangka buruk kepada ALLAH SWT bila ditimpa dugaan.


ASMA' BINTI ABU BAKAR..


Siapakah pula yang mengingati ASMA' BINTI ABU BAKAR?? Dia digelar Zat An-Nitaqain kerana mengoyakkan tali pinggangnya kepada dua untuk membawa makanan kepada Rasulullah SAW dan bapanya Abu Bakr RA ketika persembunyian di Gua Thur. Dialah juga yang dilempang oleh Abu Jahal sehingga tercabut subang di telinganya, kerana tidak mahu memberitahu posisi Rasulullah SAW dan bapanya ketika hijrah. Dialah juga yang mentarbiyyah anaknya, Abdullah Ibn Zubair RA, sehingga menjadi seorang sahabat Rasulullah SAW yang berani.

KHANSA


Siapakah pula yang ingat kepada KHANSA? Dia mempunyai empat orang anak. Dia mentarbiyyah empat orang anaknya dengan baik. Apabila mendapat seruan jihad, dihantarnya anaknya yang sulung. Anak sulungnya syahid. Dihantar pula yang kedua. Yang kedua juga syahid. Dihantar pula yang ketiga. Yang ketiga juga syahid. Begitu jugalah juga dia menghantar anaknya yang keempat, dan yang keempat itu pun syahid. Akhirnya dia menangis. Orang berkata, “Khansa kesedihan kerana kehilangan semua anaknya” Tetapi tahukah kalian apakah jawapannya? “Diamlah kalian, sesungguhnya aku bersedih kerna aku tidak punya anak lagi untuk dihantar berjihad di jalan ALLAH”


Wahai perempuan hari ini, siapakah antara kamu yang mengingati mereka?

Wahai lelaki hari ini, siapakah antara kamu yang mengenang mereka?

Wahai ummah, hari ini perempuan mana yang kamu puja dan puji?

Oh masyarakat, hari ini perempuan bagaimana yang kamu sanjungi?
Oh perempuan, hari ini perempuan mana yang kamu ikuti dan contohi?
Oh lelaki, hari ini perempuan yang bagaimana kamu gila-gilai untuk jadikan isteri?

Siapa?

Sesungguhnya perempuan-perempuan dalam lipatan sirah ini telah dilupakan. Mereka sememangnya perempuan-perempuan yang telah dilupakan. Sedangkan pada diri mereka, terdapat kemuliaan yang tiada tandingan. Dan hari in saya teringatkan perempuan-perempuan itu..


Mampukah saya yang kerdil ini memiliki wanita seperi mereka?

sumber : nalurisianakmuda.blogspot.com

Friday, 4 September 2009

Memburu Lailatul Qadar


Hari ini hari ke-14 kita berpuasa. Dalam beberapa hari lagi kita akan memasuki 10 malam terakhir Ramadhan. Moga kita cukup kuat dan bersedia untuk menghidupkan 10 malam terakhirRamadhan ini.

Secara ringkas ingin saya kongsikan beberapa maklumat tentang malam lailatul qadr.

  1. Ibnu Hajar, ulama yang mentafsirkan Sahih Bukhari berkata bahawa terdapat 39 pendapat ulama berkenaan bilakah malam lailatul qadr.
  2. Pendapat yang paling kuat adalah ia jatuh pada salah satu daripada 10 malam terakhir Ramadhan berdasarkan kepada beberapa hadis antaranya: “… carilah ia pada 10 yang terakhir dari bulan Ramadhan.”
  3. 10 malam terakhir bulan Ramadhan tidak semestinya bermula pada malam ke 21. Sebaliknya 10 malam terakhir itu dikira dari belakang. Jika tahun ini Ramadhan hanya 29 hari, 10 malam terakhir bermula dari malam ke 20 Ramadhan.
  4. Tidak ada tanda bahawa malam itu adalah malam lailatul qadr. Pendapat yang mengatakan bahawa cuaca akan dingin, suasana akan tenang, malam tidak berbintang dan sebagainya adalah pendapat yang tidak berasas sama sekali.
  5. Berkenaan ianya akan jatuh pada malam-malam ganjil, ganjil itu juga dikira dari belakang berdasarkan kepada beberapa hadis seperti “…. tujuh yang baki …. tiga yang baki…” dan sebagainya. Dengan itu perlu dilakukan ibadah mengejar lailatul qadr juga pada malam-malam 20, 22, 24, 26, 28 & 30.
  6. Ibadah yang perlu ditumpukan pada malam 10 malam yang terakhir adalah solat malam, tilawah al-Quran & iktikaf.
  7. Perlukah solat malam mengikut tertib seperti yang biasa dilakukan oleh masyarakat Islam di Malaysia : solat taubat, solat tasbih dan solat hajat? Jawapannya tidak perlu. Sebaliknya boleh dilakukan dalam apa bentuk yang kita selesa.
  8. Adakah solat tasbih perlu dilakukan pada setiap 10 malam terakhir itu? Solat tasbih adalah solat yang menjadi khilaf ulama. Ibnu Taimiah berpendapat hadis berkenaan solat tasbih adalah hadis palsu. Dr. Yusof Qardhawi berpendapat hadis tersebut adalah dhaif dan beliau tidak menggalakkan orang ramai untuk melakukannya walau pun beliau tidak menolak bahawa ia harus dilakukan.
  9. Jika seseorang itu tidak menghafal al-Quran dan ingin melakukan solat dengan bacaan al-Quran yang panjang, beliau boleh memegang al-Quran sambil solat dengan syarat jangan melakukan pergerakan yang banyak selain dari memegang al-Quran tersebut.
  10. Jika beliau letih, beliau boleh solat duduk (samada duduk seperti tahiyat atau duduk di atas kerusi). Solat sunat boleh dilakukan dengan cara duduk.
  11. Iktikaf di waktu malam kemudian ke tempat kerja selepas Subuh, dan kemudian pulang semula ke masjid untuk beriktikaf; ketika berada di tempat kerja, sebahagian ulama berpendapat bahawa beliau masih lagi di dalam keadaan iktikaf dan masih mendapat pahala iktikaf.
  12. Ibadah-ibadah lain seperti sedekah juga akan digandakan pahalanya di malam lailatul qadr.
  13. Urusan-urusan dakwah lain seperti mendamaikan antara dua yang bermusuhan dan sebagainya juga akan digandakan pahalanya pada malam lailatul qadr. Tetapi harus diatur agar urusan-urusan seumpama itu memberikan ruang juga untuk ibadah-ibadah khusus.
  14. Urusan-urusan sambutan Raya seperti membeli baju dan lain-lain seharusnya dilakukan awal sebelum 10 malam terakhir itu agar kita dapat memberikan tumpuan kepada 10 malam terakhir.

Wallahu a’lam.

sumber : satuperkongsian.wordpress.com

Thursday, 30 July 2009

Mereka Yang Kahwin Dulu..


Satu sms masuk ke dalam hp aku yg mencecah 2 tahun usianya, “ Anta bila lagi ?. ” “ Bila apa ?.” “ Esok Fikri dah nak akad, anak buah dulu pada naqib nampak gaya. ” Aku hanya tertawa dalam hati. Tapi awas!. Kalau silap bertanya soalan cepu emas seperti itu pada orang yg salah, mungkin kena tembak. Seingat aku, Fikri bukan orang yg pertama nikah mendahului aku. Masih ada 2 insan sebelum dia yg tidak kamu ketahui. Siapakah mereka ?. Haa, itu yg kita kena cari.

Sabda nabi “ Berkahwin itu menyempurnakan separuh agamamu. Maka bertaqwalah kepada Allah pada separuh yg lain. ” Sungguh, berkahwin itu merupakan antara ni’mat dunia yg terindah. Sang teruna belajar menyantuni si dara. Manakala si dara pula cuba berbasa-basi pada tempoh awal perkahwinan. Haha, semua itu lakonan belaka. Akan terdedah nanti sikap sebenar mereka bila tiba masanya.

Maka dgn itu wajarlah kita mempersiapkan diri agar bisa menempuh hari-hari bersama. Kita kadang-kadang meletakkan expectation yg terlalu tinggi kepada bakal pasangan. Tambahan pula bagi mereka yg menemui pasangan pada jalan dakwah. Si dia digambarkan sebagai manusia yg perfect. Hari-harinya dihiasi dgn kerja dakwah yg banyak, ke hulu & ke hilir bagai hulubalang mengawal pelabuhan Melaka. Sungguh mengasyikkan bila mahligai yg dibina dihiasi dgn kuntuman cinta. Namun hari tak selalunya cerah. “ Macam nie ke dia yg sebenarnya. ” Nyatalah kekecewaan tatkala dialog sebegitu didendangkan dalam hati.

Haha, melalut pulak kita. Tapi gitulah kan. Perkahwinan, cinta & rumah tangga disulami dgn tanggungjawab yg harus dilaksanakan. Moga Allah memberi kekuatan kepada mereka yg mendahului saya untuk melaksanakannya. Kalau dulu saya menunjukkan jalan dakwah pada mereka, sudah tiba masanya saya pula berguru dgn mereka dalam soal sebegini. Menariknya mereka merupakan pelajar perubatan & berkahwin pula dgn pelajar perubatan juga !.


Fikri & Izaidah

Tahniah kepada Fikri & Izaidah yg selamat diijabkabulkan pada 18 Julai lalu dgn sekali lafaz. Dah banyak kali praktis kot ?. Tahniah juga kepada Aiman & Asma’ atas kelahiran cahayamata puteri sulong mereka, Asiah Awatiff. Semoga kuntuman cinta antum akan terus mekar menghiasi jalan yg penuh onak & duri.

Tuesday, 14 July 2009

Kuliah Subuh Revealing Light

Pada Sabtu, 11 Julai yg lalu saya diberi kesempatan menyampaikan kuliah Subuh kepada mahasiswa optometri Universiti Teknologi Mara ( UiTM ) Jalan Othman, Petaling Jaya di Desa Rimba Dusun Eco Resort, Bentong. Program yg diberi nama Revealing Light dihadiri 90 mahasiswa yg terdiri daripada tahun 1 hingga tahun 4. Program bertujuan mengeratkan lagi silaturrahim yg terjalin antara senior & junior di samping memberi pendedahan kepada pelajar baru mengenai kursus tersebut.


Sememangnya mencabar tatkala saya dipelawa memberikan kuliah, apatah lagi kuliah Subuh. Kata org, lepas Subuh adalah waktu prime time yg tak harus disia-siakan. Terkadang sudah menjadi budaya tidur selepas Subuh. Lantas saya memikirkan satu persembahan yg menarik agar hadirin yg mendengar tidak hanyut dibuai mimpi. Masa yg diberikan selama sejam agak lama untuk membuatkan mahasiswa yg berada di depan saya terus celik.


Saya bertolak pada malam sebelumnya. Hajatnya mahu meninjau keadaan sekeliling di samping berbincang dgn komiti program isi kuliah saya. Ternyata mereka berpuas hati & menyarankan agar saya tetap dgn apa yg dibincangkan. “ Insya Allah kuliah Subuh esok lain daripada yg lain,” kata saya. “Nampaknya begitulah. Banyak video. Kalau cakap ja, memang mengantuk & tertidur peserta nanti. ” kata komiti program.


Video demi video saya tunjukkan kepada mahasiswa di depan saya. Selepas satu video ditayangkan saya memberi ulasan & menyampaikan mesej yg terkandung di sebalik cerita. Saya dapat lihat hanya seorg dua yg terlentok manakala yg lain terpaku matanya mendengar penjelasan. “Hebatnya umat Melayu pada zaman Kesultanan Melaka kerana Islam yg mereka anuti. Sebelum kedatangan Islam org tanah melayu pakainya cawat, berak atas pokok, ” saya menjelaskan. Tertawa hadirin yg ada.


“ Tetapi Islam telah mengangkat darjat kita sehingga dikenali seantero dunia. Diceritakan pedagang datang dari 82 buah negara berdagang di Melaka pada kurun ke-15. 82 negara nie banyak rakan2 sekalian. Sekarang pun sekitar 160 negara di dunia. Tak banggakah kita bila nenek moyang Ronaldo, Figo malahan David Beckham bertutur dalam bahasa Melayu bila berdagang di sini ?!!. ” Sekali lagi hadirin tertawa. Namun saya berharap mesej saya sampai. “ Bahasa Melayu bukan hanya dipertuturkan di Pelabuhan Melaka, malah ia digunakan dalam urusan perdagangan di Venice & pelabuhan utama dunia ketika itu. Sebab apa kita begitu hebat dulu ?. Sebab kita mengamalkan Islam dgn betul. ”


Waktu menginjak perlahan & saya menamatkan kuliah pada jam 7.30 pagi. “ Kita seronok dgr kejayaan nenek moyang kita tapi ingatlah, kita juga mampu buat seperti mereka, bahkan lebih lagi. Mula dgn diri kita, amalkan Islam dgn betul. Bagaimana solat kita, puasa kita, bacaan quran, hubungan dgn Allah, rakan, pensyarah, ahli keluarga & ibu bapa ?. Ingatlah rakan2 sekalian, perubahan itu harus berlaku dalam diri, diikuti keluarga & masyarakat. ” Hati berasa puas kerana saya berjaya menyampaikan isi kuliah dgn baik dalam keadaan peserta tidak tertutup matanya !!. Semoga apa yg didengar akan turun ke hati & dipraktikkan dalam kehidupan seharian.