Saturday, 28 February 2009

Saidina Ali radiyallahu 'anhu @ karramallahu wajhah ?.

Kenapa Saidina Ali digelar karamallahu wajhahu?

Secara ringkasnya;

1. Karamallahu wajhahu kita tidak masukkan dalam kategori gelaran. Sebaliknya ia adalah doa. Ia bermaksud ‘moga-moga Allah memuliakan wajahnya’. Ia sama seperti radiallahu anhu (moga-moga Allah meredhainya), sollallahu alaihi wassalam (moga-moga Allah mencurahkan doa selawat dan salam kesejahteraan ke atasnya), rahimahullah (moga-moga Allah merahmatinya).

Huraian tambahan bagi yang mempunyai asas-asas dalam Bahasa Arab;

fi’il madhi (kata kerja lepas) selain menunjukkan makna bahawa perbuatan tersebut telah berlaku, ia juga boleh digunakan untuk doa dan seruan. Untuk doa seperti contoh-contoh di atas. Untuk seruan contohnya seperti lafaz dalam iqamah ‘qad qamatissolah’ yang tidak boleh diterjemahkan ‘telah didirikan sembahyang’ kerana sembahyang belum bermula lagi. Lebih tepat diterjemahkan ‘marilah mendirikan sembahyang’.

Walau pun kedua-dua penggunaan ini tidak begitu popular dalam penggunaan fi’il madhi.

2. Doa-doa yang biasa kita ucapkan selepas menyebut nama Nabi Muhammad s.a.w., para Nabi yang lain dan para sahabat r.a. sebenarnya diambil oleh ulama’ silam dari al-Quran. Sebab itu ianya dari segi adabnya tidak ditukar-tukar dan ditambah-tambah kerana bagi ulama’ silam, doa yang Allah ucapkan kepada golongan itu adalah yang terbaik untuk digunakan.

- Nabi Muhammad; kita ucapkan doa sollallahu alaihi wassalam kerana Allah berfirman:

“Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w). Wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.” (Al-Ahzab: 56)

- Para Nabi selain dari Nabi Muhammad s.a.w.; kita ucapkan alaihissalam merujuk kepada beberapa potong ayat al-Quran. Antaranya:

Salam sejahtera kepada Nabi Nuh dalam kalangan penduduk seluruh alam.” (Soffat: 79)

Salam sejahtera kepada Nabi Ibrahim.” (Soffat: 109)

Salam sejahtera kepada Nabi Musa dan Nabi Harun.” (Soffat: 120)

Salam sejahtera kepada Nabi Ilyas.” (Soffat: 130)

“Dan segala keselamatan serta kesejahteraan dilimpahkan kepadaku (nabi Isa) pada hari aku diperanakkan dan pada hari aku mati, serta pada hari aku dibangkitkan hidup semula (pada hari kiamat).” (Maryam: 33)

- Manakala para sahabat kita ucapkan radiallahu anhu merujuk kepada firman Allah:

“Dan orang-orang yang terdahulu - yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dari orang-orang ‘Muhajirin’ dan ‘Ansar’, dan orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat), Allah reda akan mereka dan mereka pula reda akan Dia, serta ia menyediakan untuk mereka syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah kemenangan yang besar.” (At-Taubah: 100)

“Demi sesungguhnya! Allah reda akan orang-orang yang beriman, ketika mereka memberikan pengakuan taat setia kepadamu (Wahai Muhammad) di bawah naungan pohon (yang termaklum di Hudaibiyah); maka (dengan itu) ternyata apa yang sedia diketahuiNya tentang (kebenaran iman dan taat setia) yang ada dalam hati mereka, lalu ia menurunkan semangat tenang tenteram kepada mereka, dan membalas mereka dengan kemenangan yang dekat masa datangnya.” (Al-Fath: 18)

“Engkau tidak akan dapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, tergamak berkasih-mesra dengan orang-orang yang menentang (perintah) Allah dan RasulNya, sekalipun orang-orang yang menentang itu ialah bapa-bapa mereka, atau anak-anak mereka, atau saudara-saudara mereka, ataupun keluarga mereka. mereka (yang setia) itu, Allah telah menetapkan iman dalam hati mereka, dan telah menguatkan mereka dengan semangat pertolongan daripadanya; dan dia akan memasukkan mereka ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka tetap kekal di dalamnya. Allah redha akan mereka dan mereka redha (serta bersyukur) akan nikmat pemberianNya. Merekalah penyokong-penyokong (agama) Allah. Ketahuilah! Sesungguhnya penyokong-penyokong (agama) Allah itu ialah orang-orang yang berjaya.” (Al-Mujadilah: 22)

3. Berbalik kepada persoalan asal; adakah karamallahu wajhah khas untuk Saidina Ali?

Ada beberapa pendapat di dalam masalah ini. Ada yang mengatakan gelaran tersebut khas untuk Saidina Ali r.a. kerana Saidina Ali r.a. tidak pernah menyembah berhala sepanjang hidupnya. Ada yang mengatakan kerana Saidina Ali r.a. tidak pernah melihat kemaluannya sepanjang hidupnya. Hujah ini nampak longgar kerana bukan Saidina Ali r.a. seorang sahaja yang mempunyai sejarah hidup demikian. Wallahu a’lam.

Ada pandangan yang mengatakan doa ini sengaja direka oleh golongan Syiah untuk melebihkan Saidina Ali r.a. dari para sahabat yang lain. Wallahu a’lam.

Pandangan saya;

Lebih afdhal untuk kita mendoakan mereka dengan lafaz-lafaz doa yang telah dipilih oleh ulama’ silam daripada al-Quran. Walau pun begitu tidak salah mendoakan Saidina Ali dengan doa karamallahu wajhah asalnya ia bukan untuk tujuan mengagongkan Saidina Ali r.a. melebihi kadar yang dibenarkan oleh syarak.

Wallahu a’lam.

Sumber : www.satuperkongsian.wordpress.com

P/S : Saya juga pernah ditanya soalan sedemikian & kebetulan berjumpa dgn artikel ini di blog berkenaan.

1 comment:

  1. saya bersetuju dengan post ini.

    ramai yang tidak tahu mengenai perkara ni. malah sudah menjadi adat dan tradisi kita.

    jangan menjadikan yang sunat itu wajib dan wajib itu sunat.

    nice info usamah al-qassam! =D

    ReplyDelete

Komen anda amat dialu-alukan.