Showing posts with label Tokoh. Show all posts
Showing posts with label Tokoh. Show all posts

Tuesday, 19 July 2011

Sajak Syed Qutb

Seandainya kau tangisi kematianku
Dan kau siram pusaraku dengan air matamu
Maka di atas tulangku yang hancur luluh
Nyalakanlah obor buat umat mulia ini
Dan teruskan perjalanan ke gerbang jaya

Kematianku adalah suatu perjalanan
Mendapatkan Kekasih yang sedang merinduku
Taman-taman di syurga bangga menerimaku
Burung-burung berkicau riang menyambut ku
Berbahagialah hidupku di alam abadi

Puaka kegelapan pasti akan hancur
Dan alam ini akan disinari fajar lagi
Biarlah roh ku terbang mendapatkan rindunya
Janganlah gentar berkelana ke alam abadi
Nun di sana fajar sedang memancar

sumber : saifulislam.com

Saturday, 6 November 2010

Untukmu Jiwa-Jiwa Kami


Kami tidak mengambil pendirian ini melainkan kerana kesedaran tentang tanggungjawab yang memenuhi perasaan kami, yang melonjak-lonjak di dalam hati-hati kami. Sesungguhnya terlalu berat bagi kami untuk melihat apa yang melingkungi bangsa kami, kemudian kami hanya diam menyerah tanpa berbuat apa-apa atau kami redha dengan kehinaan atau tunduk kepada bisikan tiada lagi harapan. Kami bekerja untuk manusia di jalan Allah lebih banyak daripada kami berkerja untuk diri kami. Maka percayalah wahai umatku yang tercinta, kami untuk kamu bukan untuk orang lain. Kami tidak akan sekali-kali melawan atau menzalimi kamu.

Manal Ismail
Calon MP IM al-Buhairah Mesir


Umar Abdul Rashid

Friday, 5 November 2010

Kita Masih Jauh


Oleh : Mohd Hisham Mohd Sharif, Pengerusi PEMBINA Kedah

Ketika Kota Konstantinople telah ditawan, dan waktu Jumaat telah masuk, Sultan Muhammad Al Fateh berkenan untuk memilih imam bagi memimpin solat Jumaat yang pertama di Kota Konstantinople. Namun cara pemilihannya agak unik, beliau memanggil seluruh tenteranya dan meminta mereka semua berdiri dengan teratur.

Setelah semuanya dalam kedudukan yang tersusun, maka dia pun bertanya kepada tentera-tenteranya.

“Siapa di antara kamu yang pernah meninggalkan solat fardhu, sila duduk." Tidak ada siapa di kalangan anggota tenteranya yang duduk.

Kemudian beliau bertanya lagi.

“Siapa di antara kamu yang pernah meninggalkan solat-solat sunat yang utama?” Ketika ini sebilangan kecil dari anggota tenteranya duduk.

Kemudian beliau bertanya lagi.

“Siapa di antara kamu yang pernah meninggalkan solat tahajjud sila duduk.” Kali ini seluruh anggota tenteranya duduk kecuali beliau sendiri dan akhirnya beliau sendiri yang memimpin solat berjemaah di Kota Konstantinople.

Ternyata beliau adalah orang yang paling soleh dan dekat dengan Allah di kalangan tenteranya, maka benarlah sabda junjungan bahawa yang akan menakluk Konstantinople itu adalah tentera yang terbaik dipimpin oleh pemimpin yang terbaik.

Maha suci Allah, jika beginilah kualiti pemimpin dan tentera Sultan Muhammad Al Fateh yang menakluk dan membebaskan Kota Konstantinople dari jajahan Byzantine, maka tidak hairanlah pertolongan Allah akan sentiasa bersama dengan mereka.

Jika kita bertanyakan soalan yang sama pada generasi muda hari ini, mungkin pada soalan yang pertama sahaja telah ramai yang ‘kantoi’ apatah lagi apabila ditanyakan soalan kedua dan ketiga. Mungkin jika ditanya soalan ini kepada kumpulan para pendakwah hari ini pun, belum tentu natijahnya sama dengan apa yang didapati Sultan Muhammad Al Fateh kepada tenteranya.

Hari ini, kita berada dalam satu generasi yang lebih menghafaz nama-nama artis dan pemain bola sepak handalan daripada sahabat-sahabat Nabi dan nama pahlawan-pahlawan Islam sepanjang zaman. Lebih bermaklumat tentang sejarah juara Piala Dunia dari 1930-an berbanding sejarah agung umat Islam. Generasi yang lebih ghairah dan cinta kepada bola sepak berbanding cinta kepada keimanan dan kehidupan Islam yang indah. Generasi yang sanggup bangun malam untuk melihat pasukan kegemaran berbanding bangun malam untuk memohon keampunan.

Ternyatalah bahawa sebenarnya kita masih jauh dengan kemenangan, selagi mana generasi hari ini tidak dididik dengan didikan Islam yang sebenar dan menghayati kehidupan Islam secara total, maka selagi itulah umat akan terus dijajah dan diratah oleh musuh.

Penyelesaian kepada kemelut yang melanda hari ini hanyalah dengan mengembalikan semula jatidiri dan kemuliaan Islam kepada setiap peribadi muslim. Generasi hari ini haruslah dididik untuk cinta kepada keimanan lebih dari cinta kepada hiburan dan kelalaian. Cinta kepada kebaikan dan kesungguhan lebih dari cinta kepada kerehatan dan kemalasan. Lebih cinta untuk membaca Al-Quran dan solat malam berbanding membaca analisis Piala Dunia dan bangun malam kerana bola.

Projek membina generasi Muhammad Al Fateh adalah projek besar yang memerlukan kepada persediaan yang rapi, kesabaran yang tinggi dan kebijaksanaan yang bukan calang-calang kerana generasi yang ingin dibina adalah generasi yang mempunyai kesungguhan dan tekad yang kuat untuk menolak godaan hawa nafsu.

Kita harus mengoreksi diri kita dan memeriksa, apakah kita telah terlibat dalam projek pembinaan generasi Al Fateh. Jika tidak, bagaimana kita harus bermula? Hanya kita sendiri yang boleh mencari jawapannya.

“Ramai yang boleh berdakwah, tetapi tidak ramai yang cinta pada dakwah”.

sumber : pembina.com.my

Monday, 22 February 2010

Ulang Tahun Ke-61 Kesyahidan Hasan Al-Banna

Pada 12.2.2010, genap 61 tahun syahidnya Imam Hasan Al-Banna, pengasas jemaah Ikhwan Muslimin, sebuah organisasi Islam paling berpengaruh di dunia pada hari ini. Ketika dibunuh beliau berumur semuda 43 tahun , namun asas Fikrah dan Manhaj perjuangan Islam yang beliau asaskan berjaya mengumpul 3-4 juta rakyat Mesir ketika itu dan hingga ke hari ini terus tertanam kukuh dan berkembang pesat mengharungi cabaran sepanjang zaman dan mengatasi brbagai tentangan Kini gerakan Ikhwan Muslimin terdapat dalam lebih dari 100 buah negara di dunia, menyumbang bakti kepada umat Islam dengan penuh kasih sayang disamping ia tegas dan penuh berani mempertahankan umat dari serangan-serangan sengit musuh Islam diberbagai aspek budaya sosial, ekonomi, politik maupun ketenteraan.

Foto Imam Hasan Al-Banna yang terakhir ketika mengimamkan solat Maghrib di markaz pertubuhan Syubban Muslimin, Jalan Ramses, Kaherah. Ketika itu kesemua anggota Ikhwan Muslimin yang berpengaruh telah dipenjarakan, kecuali beliau seorang kerana dia menjadi sasaran untuk dibunuh. Ketika beliau keluar dari markaz ini, beliau ditembak di tepi Jaan Ramses dan meninggal dunia syahid di Hospital Qasr Aini, Kaherah lantaran arahan pihak atasan agar beliau dibiar bersendirian tanpa rawatan sehingga menghembuskan nafas terakhir.

Diantara ciri-ciri keistimewaan dakwah Ikhwan Muslimin yang diasaskan oleh Imam Hasan Al-Banna ialah :

  1. Menanam fikrah atau kefahaman Islam yang sahih bersumberkan ilmu dari Al-Quran dan As-Sunnah. Tarbiyah adalah perkara yang terpenting dalam dakwah Ikhwan Muslimin. Dengan ini jalan Dakwahnya jelas, landasannya terang dari awal hingga ke akhir, anggotanya berkualiti dan teguh, sukar untuk menyimpang dari agenda Islam sendiri yang sahih hingga terpaksa mengikut agenda-agenda pihak lain.
  2. Syumul dakwah Ikhwan Muslimin sama seperti syumulnya Islam itu sendiri, tidak mengabaikan mana-mana aspek pun samada diaspek ruh, jasad maupun aqal. Dakwahnya juga menggarap semua aspek dan aktiviti ilmiah, riadhah, ekonomi, ikatan ruhani, kebajikan, politik, organisasi dan sebagainya.
  3. Dakwah yang berpijak dialam nyata, menggunakan segala wasilah (cara) terkini dalam menyampaikan Islam yang sahih kepada masyarakat, menekankan pembinaan ilmu dan akhlak ahli, mengutamakan kerja yang praktikal lagi produktif berbanding teori dan perdebatan, kesatuan berbanding perpecahan dalam menggembeling tenaga ummah berhadapan dengan cabaran manusia dan zaman.
  4. Pergerakan dan fasa Dakwahnya sentiasa serasi dengan Sunnah Allah swt terhadap perjalanan alam dan penciptaanNya. Oleh kerana itu usaha Dakwah ini dibuat sangat bersungguh-sungguh tetapi meyakini perubahan di dalam masyarakat yang akan berlaku adalah dengan beransur-ansur, tidak memilih corak keganasan atau mengangkat senjata, tetapi menumpu kearah mendidik jiwa dan menanam keyakinan kedalam hati dan akal orang ramai sehingga jelas kepada mereka akan Islam dan tuntutannya ke atas mereka untuk turut beramal dan memperjuangkannya. Matlamat Islam zaman kini dicapai bukan sekadar berjaya mencari laluan ke Parlimen semata-mata seperti yang difahami ramai pejuang nasionalis maupun islamis, bahkan ia lebih besar dari itu iaitu dengan membina generasi baru Islam yang memiliki keperibadian Islam sejati, membina keluarga Islam yang kukuh, membentuk masyarakat Islam yang peka dan bersedia memikul tanggungjawab menyebarkan Dakwah ke seluruh alam. Mereka inilah yang memilih, melahir dan merealisasikan Kerajaan Islam dan Negara Islam yang dicita-cita oleh Islam.

Fikrah Islam yang dibawa Hasan Al-Banna juga mampu meletakkan semangat bangsa dan cinta tanahair ke landasannya yang sebenar. “Wahai Ikhwan sekelian. Sungguh ini merupakan nikmat yang besar dan kegembiraan yang melebihi kata-kata dan keterangan apabila Ikhwan berhimpun dan berkasih sayang di jalan Allah taala, datang dari berbagai negeri, tempat-tempat yang berjauhan, berhimpun di tempat yang satu. Bukan ikatan saudara mara, kaum kerabat, keturunan, hubungan perkahwinan, kepentingan kebendaan atau keduniaan yang menghimpunkan mereka. Akan tetapi yang menghimpunkan ialah kasih sayang dijalan Allah, bertemu keranaNya, bekerja untukNya. Terimalah khabar gembira wahai Ikhwah Akhawat dimana saya berharap kita termasuk mereka yang menyambut seruan Allah hari dimana Dia menyeru “Dimanakah mereka yang berkasih sayang keranaKu, dimanakah mereka yang saling ziarah menziarah keranaKu, dimanakah mereka yang duduk bersama keranaKu ? Pada hari ini Aku menaungi mereka dengan keagunganKu iaitu hari yang tiada sebarang naungan selain naunganKu”. Sungguh kamu telah menerima undangan, segera datang, berhimpun di perhimpunan yang meriah ini, tatkala kita melihat banyak perhimpunan-perhimpunan lain berlaku kemudian ia habis begitu sahaja, diulangi berulang kali namun ia tetap tidak membuahkan apa-apa lantaran berlakunya perpecahan hati dan terdapat perbezaan hawa dan selera. Adapun perhimpunan ini, ia mengesahkan kesatuan hati-hati kamu, pertautan ruh-ruh kamu, keteguhan ikatan kamu. Mudah-mudahan Allah menjaga dan menjadikannya ikhlas demi mencari wajah dan keredhaanNya”. [Hasan Al-Banna 11 Zulhijjah 1353H] (Foto hiasan : Konvensyen Pemikiran Hasan Al-Banna pada 30.1.2010, 2 minggu lalu, anjuran Ikatan Muslimin Malaysia].

Semoga ALlah swt menerima segala amalan beliau, memaafkan kesalahannya dan memasukkannya ke dalam Syurga Firdaus bersama para Nabi, Siddiqin, Syuhadak dan Solohin. Merekalah sebaik-baik teman di Akhirat kelak.

sumber : inijalanku.wordpress.com

Monday, 8 February 2010

Pasca Kobanna


Saya cuba mencari-cari komen peserta yang hadir dalam Konvensyen Pemikiran al-Banna yang berlangsung pada Sabtu lepas. Ada yang saya dapat melalui SMS, ada yang melalui Fecebook. Ada juga komen lisan dan pelbagai lagi. Ada yang positif dan ada juga yang negatif.

Sebelum saya ulas secara umum tentang komen-komen tersebut, saya ucapkan tahniah yang tidak terhingga kepada semua AJK Kobanna yang telah bertungkus lumus siang dan malam selama berminggu-minggu untuk menjayakannya. Nama-nama, saya tak dapat nak tuliskan di sini sebab terlalu banyak. Tulis nama orang ni, tertinggal nama orang tu. Nanti ada yang kecil hati pula. Jadi saya ucapkan tahniah dan syabas secara umum sahaja di sini.

Komen paling kelakar adalah apabila ada peserta yang sedikit merungut kerana Konvensyen tidak berlangsung seperti yang dia sangkakan. Rungutnya: “Ingatkan Hasan al-Banna yang bentang kertas kerja, rupanya orang Melayu je.” Rupanya ada juga yang masih tidak kenal Hasan al-Banna.Tapi apa pun, peserta tersebut telah mengikuti konvensyen dengan begitu baik sekali.

Secara umum saya berharap kepada semua peserta dan juga yang tidak hadir agar meneliti semula kertas-kertas kerja dan ucaptama yang telah dibentangkan. Nantikan VCDnya yang insyaAllah akan terbit dalam beberapa masa lagi. Sesetengah idea yang dibentangkan mungkin baru pada sebahagian kita. Jangan terus menolaknya, tapi renung dan fikirkan dengan pandangan yang terbuka. Kita mungkin telah terlalu lama diperangkap oleh blok-blok politik. Sebab itu ada sebahagian terus buat pertanyaan: “Adakah ini maknanya ISMA akan mengundi parti sekian-sekian?” Apa yang kita nak cadangkan adalah suatu yang berada di luar dari blok-blok tersebut. Saudara bebaskan diri dari blok itu, saudara akan lihat banyak jalan penyelesaian kepada masalah kita di luar sana.

Secara umum saya juga berharap agar ahli-ahli ISMA faham kedudukan mereka sekarang. Kita perlu mula belajar memainkan peranan yang lebih luas dari rutin kita sebelum ini. Anggaplah diri saudara-saudara sekelian sebagai hero yang dinantikan oleh masyarakat Islam Malaysia. Bukan nak angkat bakul sendiri. Bukankah meletakkan diri sebagai pemimpin adalah seruan al-Quran kepada kita? Tarbiah yang kita lalui setiap hari, inilah tujuan dan matlamatnya. Ia adalah proses berterusan yang memampukan kita untuk menyumbang ke arah perubahan hakiki di dalam masyarakat. Kalau kita tak mampu sumbang sesuatu, ada masalah pada tarbiah yang dilalui selama ini.

Akhirnya saya berdoa agar semua kita mampu menanggung getaran halus Kobanna. Bila kita mula menyuarakan pandangan, kita akan dapat peminat dan pengkritik. Dengan itu hati kita kena besar dan jiwa kita kena tabah. Kita perlu berusaha terus menjelaskan pandangan tanpa jemu agar suara kita tidak disalahfahami. Jangan mudah melatah kerana masalah biasanya akan selesai dengan langkah yang tenang.

Wallahu a’lam.


sumber : satuperkongsian.wordpress.com

Tuesday, 3 November 2009

Kalam JKP : Ayuh Kita Pecahkan Ruyungnya


Pada ketika ini, kebanyakan pelajar-pelajar IPT sedang sibuk mengulang kaji pelajaran bagi menghadapi peperiksaan yang bakal menjelang. Begitu juga adik-adik kita di Tingkatan lima yang akan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kurang sebulan daripada sekarang. Tidak kurang juga mereka yang sedang menghadapi peperiksaan itu sekarang. Kiranya belum terlewat untuk saya ucapkan selamat maju jaya kepada semua pelajar yang bakal dan sedang menghadapi peperiksaan. Semoga Allah mengurniakan kejayaan cemerlang kepada anda semua, seterusnya membuka jalan seluas-luasnya kepada anda untuk menyumbang kepada kesejahteraan umat.

Pada ketika ini juga, para jemaah haji dari seluruh pelusuk dunia mula membanjiri tanah suci semata-mata demi menyahut panggilan Ilahi dan menjadi tetamu-Nya. Laungan talbiah, Labbaika Allahumma Labbaik, bakal berkumandang nyaring di udara, lambing ketulusan hati para jemaah haji dan kesungguhan mereka dalam mengerjakan rukun Islam kelima ini. Semoga Allah mengurniakan haji yang mabrur kepada mereka, mengampunkan dosa-dosa mereka serta menjadikan mereka lebih komited kepada Islam sekembalinya mereka ke tanah air.

Saudara-saudara sekalian!

Tidak berapa lama lagi, kita akan menyambut hari raya Aidil Adha, iaitu hari raya korban. Lazimnya pada hari raya korban ini, ramai saudara-saudara kita yang akan melakukan ibadah korban. Lembu, kambing, kerbau mahupun unta bakal disembelih bagi merebut redha Allah. Setiap bulu binatang korban merupakan kebajikan kepada tuannya, sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W:

"Korban itu bagi tuannya dengan setiap bulunya adalah kebajikan".(Riwayat Tirmidzi, Ibnu Majah dan al-Hakim)

Saban tahun kita menyaksikan penyembelihan haiwan korban. Akan tetapi, adakah kita benar-benar menghayati falsafah dan pengajaran di sebalik pensyariatan ibadah korban ini?

Sebenarnya, ibadah korban ini merupakan menifestasi ketaatan dan ketundukan Saidina Ibrahim A.S dan Saidina Ismail A.S kepada Allah. Nabi Ibrahim A.S telah diperintahkan oleh Allah untuk menyembelih anak kesayangannya Nabi Ismail A.S. Ketika Nabi Ibrahim A.S bersedia untuk menyempurnakan perintah Allah ini, kedengaran seruan:

"Wahai Ibrahim! Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu!" (Ash-Shaffat: 104-105)

Lalu Allah memerintahkan Nabi Ibrahim A.S menyembelih seekor binatang sembelihan yang besar sebagai ganti kepada Nabi Ismail A.S. Peristiwa agung inilah yang dikenangi setiap kali majlis penyembelihan haiwan korban semasa hari raya Aidil Adha. Pengorbanan suci inilah yang sepatutnya diinsafi serta dicontohi oleh setiap orang Islam yang menyaksiakan ibadah korban pada setiap tahun.

Sahabat-sahabat pewaris umat sekalian,

Sesungguhnya setiap kejayaan perlu kepada pengorbanan. Bak kata pepatah melayu: "kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya". Qudwah kita Rasulullah S.A.W juga pernah bersabda:

"Ketahuilah sesungguhnya kemenangan bersama kesabaran, dan kelapangan bersama kesusahan. Sesungguhnya berserta kesukaran itu ada kemudahan" (Hadis No. 19 Matan Arba'ien)

Tanpa pengorbanan masa, keinginan, tenaga dan harta pelajar-pelajar kita tidak akan dapat mengecap kejayaan dalam peperiksaan. Tanpa pengorbanan harta, masa dan tenaga, para jemaah haji tidak akan sampai ke tanah suci bagi mengerjakan haji. Tidak ada apa-apa perkara yang bernilai yang mampu kita sumbangkan kepada manusia, jika kita tidak bersedia untuk berkorban. Sejarah perjuangan Islam sarat dengan contoh-contoh pengorbanan. Demikian juga sejarah manusia keseluruhannya. Orang-orang yang hebat dalam sejarah adalah orang-orang yang sanggup berkorban...

Oleh itu wahai sahabat-sahabatku, ayuh kita berkorban demi Islam yang kita cintai!

Abu Laits as Samarqandi meriwayatkan dengan sanadnya dari ibn Abbas, Nabi s.a.w bersabda:-

"Tiada sesuatu hari yang mana orang beramal soleh di dalamnya, yang lebih disukai oleh Allah daripada hari-hari ini (1 hingga 10 zulhijjah)"

Sahabat bertanya: "Walaupun jihad fi sabilillah ya Rasulullah?"

Jawab Rasulullah s.a.w.: "Walaupun jihad fi sabilillah kecuali jika seorang keluar dengan membawa semua hartanya dan tidak ekembali sama sekali (yakni habis semua hartanya dan mati syahid)"

sumber : pembina.com.my

Sunday, 3 August 2008

Salahuddin Al-Ayubi


Salahuddin Al-Ayubi adalah seorang pahlawan & raja yang gagah berani. Beliau masyhur dengan kewarakan dan keberanian yang luar biasa sehingga berjaya mengalahkan tentera Salib yang terkenal dengan kezaliman dan keperkasaan. Dilahirkan pada tahun 1138. Ayahnya keturunan Kurdistan. Salahuddin telah berjinak-jinak dengan peperangan apabila telah meningkat dewasa. Beliau sempat berperang di Mesir bersama dengan Shirkuh, bapa saudaranya di bawah panji Kerajaan Fatimiyyah.

Pada tahun 1169, Shirkuh telah dilantik sebagai wazir ( menteri ) di bawah naungan Kerajaan Fatimiyyah. Kemudian Salahuddin telah dilantik sebagai wazir apabila bapa saudaranya meninggal dunia. Beliau telah berjaya memadamkan pemberontakan dalam negeri dan turut berjaya menumpaskan serangan pihak Frank dan Byzantine yang cuba hendak menakluk Kaherah.

Akhirnya beliau menjadi Raja Mesir pada tahun 1175 mengantikan raja terakhir dari dinasti Fatimiyyah yang mangkat dan diiktiraf oleh Khalifah di Baghdad sebagai pemerintah Mesir yang sah setahun kemudian. Beliau memakai gelaran Sultan Al-Malikun Nasir.

Pada tahun 1187 berlaku Perang Salib antara tentera Islam yang dipimpin oleh Salahuddin Al-Ayubi dengan tentera Kristian yang diketuai oleh King Richard ( Raja England ) setelah beberapa tindakan provokasi yang dilakukan oleh pihak Kristian. Mereka bukan sahaja mengancam negara-negara Islam, malah telah merampas beberapa wilayah Islam di Baitul Muqaddis dan dijadikan negeri Kristian.

Dalam peperangan tersebut, tentera Islam telah berjaya merampas Baitul Muqaddis dan 10,000 tentara Salib terkorban. Di sini Salahuddin Al-Ayubi telah menunjukkan ketinggian budi dengan tidak membalas perbuatan tentera Salib yang zalim semasa menawan Baitul Muqaddis dan negeri-negeri yang dilalui mereka. Beliau telah memberi perlindungan kepada semua tawanan perang, perempuan, orang tua dan anak-anak tentera Salib dan memberi mereka tempoh 40 hari untuk meninggalkan Baitul Muqaddis. Akhirnya seluruh tanah Palestin dapat ditawan semula. Walau bagaimanapun, orang-orang Kristian dibenarkan mengunjungi Baitul Muqaddis melalui satu perjanjian damai yang ditandatangani pada 1192.