Monday, 11 July 2011

Hamba-Mu




Ke arah satu perjalanan,
Dalam sebuah kehidupan,
Demi untuk mengecapi,
Hasrat murni di dalam hati

Usaha dengan doa,
Masanya akan tiba,
Dengan restu Ilahi,
Kelak pasti akan ditemui

Suluhkan cahaya di hati terang,
Tunjukkan jalan seandainya hilang,
Dekatkan perjalanan yang bakal ditempuh,
Tegakkan semangat bila luntur,
Setibanya di sisi-Mu ku berserah,
Terimalah ku hamba-Mu Allah

Sekiranya takdir menguji,
Cekalkanlah hasrat dihati,
Semoga kesusahan bisa,
Mengajar erti terus azam



Usaha dengan doa,
Masanya akan tiba,
Dengan restu Ilahi,
Kelak pasti akan ditemui


Suluhkan cahaya di hati terang,
Tunjukkan jalan seandainya hilang,
Dekatkan perjalanan yang bakal ditempuh,
Tegakkan semangat bila luntur,
Setibanya di sisi-Mu ku berserah,
Terimalah ku hamba-Mu Allah



OST Imam Muda

Saturday, 9 July 2011

Vios Manual - 8 Bulan

Sudah 8 bulan saya menggunakan Vios 1.5J manual. Walaupun tinggal di Lembah Klang, manual tetap menjadi pilihan kerana sudah tentu orang muda mahukan kuasa berbanding keselesaan. Sampai masanya kereta akan bertukar ke transmisi auto.


Kereta ini sudah 5 kali diservis, pada 1000km, 5000km, 10000km, 15000km & 20000km. Jumlah keseluruhan bayaran servis sekitar RM 800. Semasa mencapai 10000km, saya memilih menggunakan minyak pelincir 5000km sedangkan sepatutnya 10000km. Jadi tak perlu servis pada kadar 15000km.


Berdasarkan pengalaman, penggunaan petrol juga sangat memuaskan. Saya senaraikan destinasi & jumlah petrol yang digunakan. Agak-agak saja. Kelajuan sekitar 120km/j dengan 2 orang penumpang menggunakan Ron 95.



Perjalanan sehala :


Gombak – Bandar Melaka : RM 12


Gombak – Bandar Kuantan : RM 25


Gombak – Sg Petani : RM 35-40



Pergi balik :


Gombak – Bangi : RM 10


Sg Petani – Padang Besar : RM 30



Secara purata dengan isian RM 50 petrol, kenderaan saya mampu bergerak antara 420km sehingga 480km. Sekian saja perkongsian saya kali ini. Semoga bermanfaat.

Sunday, 24 April 2011

Kuliah Jumaat Di Masjid Ubudiah Shah Alam

Sudah lama saya tidak bercakap mengenai Palestin di khalayak. Tawaran dari Aman Palestin melalui panggilan telefon pagi tadi masih saya pertimbangkan. “ Boleh bagi kuliah Jumaat esok di Masjid Ubudiah Seksyen 18 Shah Alam ?. ” Begitulah pertanyaan daripada seorang staf Aman Palestin yang telah lama saya kenali. “ Insya Allah, boleh bagi sedikit masa untuk saya fikirkan ? ”

Memberi kuliah di surau & masjid bukanlah asing bagi saya. Malah saya pernah memberikan kuliah di Masjid Raya Baiturrahman, Banda Aceh sewaktu misi pendidikan ke sana. Saya kira sukar peluang itu saya dapatkan di Malaysia. Layakkah saya berkuliah di masjid negeri ?. Insya Allah satu hari nanti.

Saya meneliti emel yang diberikan setelah bersetuju menyampaikan kuliah. Satu persatu bahan dicetak & dibaca. Kemudian saya tandakan isi-isi penting yang akan disebut esok. Setelah itu saya layari internet mencari bahan-bahan berkaitan. “ Semoga Allah memudahkan urusan aku esok, ” saya berdoa dalam hati.

Shah Alam bukanlah tempat yang asing bagi saya. Akan tetapi saya sesat juga dalam perjalanan ke Masjid Ubudiah. Sesat bukan kerana tiada perancangan, tetapi terlepas tanda jalan penting menuju ke sana. Saya kira sudah lambat apabila sampai, tetapi rupanya tidak. “ Ustaz boleh ceramah sampai masuk waktu zohor. ” kata pengerusi masjid. Biasalah, semua orang yang berceramah di masjid akan dipanggil ustaz.

Masjid yang tadinya kosong kini beransur penuh. Seorang demi seorang jemaah memenuhi ruang solat utama. Saya yang berbaju melayu, mengenakan seluar slack & berkopiah meneruskan kuliah sambil memerhatikan jemaah yang masuk. “ Saya yakin sudah acap kali tuan-tuan mendengar akan isu Palestin. Barangkali tuan-tuan membaca di akhbar & majalah, menonton dokumentari di televisyen, mendengar ceramah atau forum di corong radio. Persoalannya, apakah tindakan kita sesudah semua itu ?, ” kata saya.

“ Cukupkah hanya dengan membaca, menonton & mendengar ?. Apakah kita tidak malu membiarkan kiblat pertama umat Islam diinjak-injak sedemikian rupa ?. Ada yang mampu kita sumbangkan untuk saudara kita di sana, ” saya menambah. Projek-projek terkini Aman Palestin saya promosikan. Jemaah yang ada kelihatan berminat apabila mendengar projek disebut satu persatu. “ Dengan hanya RM 150 sebulan kita mampu membiayai seorang pelajar sehingga dia menamatkan pengajian. Apalah sangat RM 150 sebulan tu. Duit petrol kita barangkali lebih banyak. Tuan-tuan pilih yang berkenan di hati. Besar nanti boleh buat menantu, ” cadangan saya disambut dengan gelak ketawa.

Saya berhenti 5 minit sebelum masuk waktu zohor kerana sakit gigi. Sememangnya saya menahan kesakitan semasa memberikan kuliah tadi. “ Terima kasih tuan haji berikan kami peluang pada hari ini, ” saya bersalam dengan pengerusi masjid. Pengerusi masjid menjawab, “ Eh, tak. Kami yang perlu berterima kasih kepada Aman Palestin sebab bersungguh-sungguh jalankan kempen ni. Lepas ni boleh ustaz bagi kuliah lagi di sini ?. ” Saya berlalu sambil tersenyum.

Friday, 4 February 2011

Catatan Hari-Hari Rusuhan 2

10. Pagi Jumaat 28 Januari (Jum’ah al-ghodhob) mula menunjukkan tanda-tanda kecil tentang peristiwa besar yang bakal terjadi pada hari tersebut. Suq Sayyarat yang biasanya penuh melimpah dengan kereta, hanya dipenuhi sebilangan kecil kereta sahaja. Ada sesetengah tempat yang mengiklankan senarai-senarai tempat yang akan menjadi pusat bermulanya demonstrasi selepas solat Jumaat, antaranya termasuklah masjid besar kawasan Hayy ‘Ashir, Masjid As-Salam. Ikhwan dikhabarkan akan bersama mengambil peranan di dalam demonstrasi hari itu.

11.
Saya kebetulan diminta mengambil pelancong yang akan tiba dari Malaysia jam 11.30 pagi di airport, sebelum membawa mereka ke hotel mereka di Tahrir.

12.
Ketika keluar dari rumah jam 10.30 pagi, saya mula sedar talian telefon sudah tidak lagi berfungsi. Dengan itu bermakna semua cara perhubungan sudah disekat, dan tiada lagi cara berkomunikasi antara satu sama lain bagi masyarakat awam. Dari Hayy ‘Ashir, saya bersama Akid dan Abdullah Husaini bertolak ke airport untuk mengambil keluarga Akid. Jalan sepanjang dari Hayy ‘Ashir ke airport menyeramkan kerana terlalu lengang. Perjalanan yang biasanya mengambil masa 20-25 minit menjadi hanya 10-15 minit pada hari itu. Di sepanjang perjalanan tiada pula sebarang tanda akan terjadi perkumpulan dan demonstrasi. Di stesen minyak dan di airport kesemua urusan berjalan seperti biasa.

13.
Selesai mengambil keluarga Akid, kami bertolak keluar dari airport. Waktu itu azan Solat Jumaat sudah dilaungkan. Saya mengambil jalan El-Orouba sebelum menaiki Kubri 6 Oktober. Sepanjang perjalanan keadaan sangat tenang, dan lalu lintas sangat kosong dan lancar.

14.
Semakin mendekati kawasan Tahrir kelihatan beberapa hentian polis untuk pemeriksaan. Walau bagaimanapun pemeriksaan yang dijalankan hanya rambang, mungkin sekadar bertujuan menggertak. Trak polis tidak kelihatan sangat di jalan-jalan utama.

15.
Setelah turun dari Kubri 6 Oktober memasuki kawasan Tahrir (sepanjang Kournish Nil, menghadap Sungai Nil) mula kelihatan trak-trak polis yang beratur di sepanjang kawasan-kawasan ‘hot-spot’, dikelilingi oleh barisan polis dan FRU berpakaian serba hitam. Antara tempat yang paling banyak dikawal ialah pejabat stesyen TV dan radio Mesir.

16.
Sepanjang perjalanan saya mencari hotel, kelihatan kelompok-kelompok manusia menunaikan solat Jumaat. Kawasan sekitar masjid dikawal pihak keselamatan, namun secara longgar. Jalanraya masih lengang dan belum ada sebarang sekatan jalan.

17.
Tiba di hotel dan check-in, para jemaah yang menunaikan solat Jumaat kebanyakannya sudah selesai. Di beberapa tempat jemaah mengerumuni seorang coordinator demonstrasi mendengar arahan.

18.
Lorong hotel tempat saya menghantar tetamu rupanya ialah salah satu lorong tempat demonstrasi terjadi. Di satu hujung jalan mereka yang terlibat dengan demonstrasi melaungkan laungan-laungan rusuhan seperti ‘Tahya Masr’, manakala di satu hujung lagi polis dan FRU berkawal tanpa sebarang tindakan. Sekali-sekala kelihatan mereka berpecah lari bila diancam gas beracun daripada polis.

19.
Melalui pihak hotel dan TV di lobi hotel, saya fahami jalanraya utama di sekitar Tahrir dan Ramses sudah ditutup oleh polis, dan dipenuhi oleh mereka yang berdemonstrasi.

sumber : Atas Jalan Lurus

Catatan Hari-Hari Rusuhan 1

1. Api rusuhan bermula pada 25 Januari 2011 sempena Hari Polis di Mesir. Beberapa kumpulan reformis (sosialis, independen, haluan kiri) mula menyebarkan maklumat tentang demo yang akan berlangsung pada 25 januari malam 25 Januari 2011. Alam twitter dan facebook mula gegak dengan berbagai maklumat tentang koordinasi rusuhan untuk hari esoknya. Secara lahiriah belum ada apa-apa yang terjadi di mana-mana kawasan sekitar Cairo, kecuali beberapa demo kecil di kawasan-kawasan luar Cairo seperti di Syarqiyyah.

2.
Pagi 25 Januari belum menampakkan sebarang tanda-tanda besar. Berita tengahari melaporkan lebih daripada 10 000 orang turun berdemo di sekitar Tahrir. Twitter dan facebook meriah dengan laporan-laporan dari medan demo. Ada yang mengawal flyover dan jambatan di sekitar Tahrir, walaupun dijaga dan dikawal oleh polis dan FRU. Polis dan FRU dikhabarkan tidak bersungguh untuk membendung rusuhan. Kemungkinan sengaja ingin membiarkan atau mungkin juga kerana terpaksa bekerja pada hari cuti. Para suri rumah yang menetap di Tahrir dilaporkan membaling peralatan dapur kepada polis-polis di bawah.

3.
Masuk waktu maghrib akses ke Twitter melalui web mula disekat. Namun Twitter kekal aktif kerana pengguna dari Mesir menggunakan ‘backdoor’ untuk mengakses, tambahan pula kebanyakan ahli Twitter yang aktif memberi update menggunakan Blackberry, yang masih bebas mengakses Twitter.

4.
Selepas Isya’ khabar dari Tahrir menyatakan semakin ramai yang menyertai rusuhan. Angka 30 000 orang pada waktu siang berganda. Kebanyakan jalan-jalan utama di Tahrir sudah ‘dikuasai’ oleh rakyat yang merusuh. Semakin lewat malam semakin ramai yang menyertai demonstrasi, termasuk dari kalangan yang berkeluarga bersama dengan anak-anak.

5.
Pihak berkuasa keselamatan diberitakan banyak berkawal di pusat-pusat informasi dan media seperti stesyen tv dan radio di sepanjang Kournish Nil. Wartawan Al-Jazeera yang ingin membuat liputan dikatakan diberi amaran oleh polis. Usaha untuk mengawal maklumat yang keluar kepada masyarakat awam meningkat.

6. Berita terakhir berkaitan rusuhan di Tahrir ialah sekitar jam 2.00 pagi. Hanya segelintir yang kekal bertapak di kawasan Tahrir, sedang majoriti pulang ke rumah memandangkan esok harinya merupakan hari kerja. Pihak keselamatan juga dilaporkan mula mengosongkan kawasan Tahrir selepas itu.

7.
26 Januari 2011 – Kehidupan majoriti rakyat Mesir berjalan semula seperti biasa. Ada yang meneruskan demonstrasi di Tahrir tapi jumlahnya kecil. Banyak nasihat di Twitter untuk menyimpan tenaga untuk satu lagi demonstrasi besar-besaran yang dirancang pada hari Jumaat 28 Januari selepas solat Jumaat. Sasaran bilangan yang akan keluar pada hari tersebut ialah sekitar 1 juta orang. #Jan25 di Twitter ‘trending’.

8.
Seharian berita-berita utama mula melaporkan akhbar tentang hari sebelumnya. Khabar tentang Tahrir tidak seganas khabar tentang rusuhan di Suez dan Alexandria. Peluru hidup dilepaskan di sana dan terdapat tidak kurang dari 5 orang yang mati. 25 Januari digelar ‘yaum al-ghodhob’.

9.
Sehingga ke awal malam 27 Januari tidak terdapat sebarang peristiwa besar yang terjadi di sekitar Kaherah. Para penyusun demonstrasi dikatakan sedang bersiap-siap dan sentiasa memberi maklumat kepada masyarakat awam melalui Twitter dan facebook (menggunakan proxy, rockmelt, dan Blackberry) sebelum akses internet terputus seluruhnya lebih kurang jam 10.30 malam. Juga sempat tersebar sebelum kehilangan akses internet, khabar tentang beberapa perkara yang akan terjadi pada keesokan hari, antaranya : SMS dan talian telefon disekat, bank-bank akan ditutup dan ATM tidak berfungsi, serta kemungkinan akan keluar perintah berkurung. Semuanya untuk menghalang daripada merebaknya rusuhan yang dijangka lebih ganas dan besar berkali ganda berbanding yang terjadi pada 25 Januari.

sumber : Atas Jalan Lurus

Thursday, 3 February 2011

Perkembangan Terkini Pelajar Malaysia Di Mesir - 2 Februari 3 Petang

Laporan terkini situasi rakyat & pelajar Malaysia di Mesir pada pukul 3.10 petang ( waktu Malaysia ), Kedutaan Malaysia di Kaherah telah membuat pengumuman bahawa para pelajar akan mula dipindahkan petang ini. Mereka akan dipindahkan ke Jeddah bermula dengan yang telah berkeluarga, kanak-kanak, perempuan, orang tua & seterusnya pelajar-pelajar bujang.

Proses perpindahan ini akan dilakukan secara beransur-ansur & dijangkakan akan mengambil masa sekitar satu minggu atau lebih. Para pelajar yang berada di Kaherah akan dipindahkan dahulu memandangkan rakyat Malaysia yang berada di muhafazah-mufahazah lain sukar untuk bergerak disebabkan banyak jalan yang ditutup.

Menurut laporan daripada Ustaz Suhaib Ar-rumy bin Selamat, Pengerusi ISMA Mesir, semua ahli ISMA Mesir telah pun dalam keadaan bersedia untuk berpindah & tuan rumah juga telah dimaklumkan akan perpindahan mereka untuk satu tempoh.

ISMA Mesir juga mengumumkan talian hotline bilik gerakan ISMA Mesir di Kaherah telah diwujudkan. Oleh itu ibu bapa & waris boleh menghubungi hotline tersebut jika ingin mengetahui keadaan terkini anak, waris atau keluarga mereka di Mesir. Talian tersebut boleh dihubungi dengan mendail nombor +20224107642.

Jika gagal, talian hotline itu juga boleh dihubungi dengan menggunakan Skype. Cara-caranya seperti berikut :

1. Muat turun perisian Skype di http://www.skype.com/intl/en-us/get-skype/on-your-computer/windows/
2. Install Skype ke dalam komputer anda.
3. Daftar satu akaun baru ( jika belum ada ).
4. Beli credit secara online tekan pilihan ‘buy credit’ dan ikut arahan seterusnya hingga berjaya. Kad kredit diperlukan untuk urusan ini ).
5. Setelah berjaya masukkan nombor talian hotline bilik gerakan ISMA Mesir di ruang panggilan seperti berikut +20224107642.
6. Jika mempunyai masalah sila hubungi Ustaz Ahmad Ala’uddin Kamal Al-Hafiz daripada Sekratariat Luar Negara ISMA di talian 019-2887797.

Berikut panduan yang perlu diikuti apabila berjaya bercakap dengan petugas di bilik gerakan ISMA Mesir :

1. Perkenalkan diri anda.
2. Maklumkan butir-butir diri anak, waris atau keluarga anda ( nama, muhafazah, nombor telefon )
3. Jika maklumat ada, anda akan dimaklumkan oleh petugas tersebut.
4. Jika belum ada maklumat, petugas akan menghubungi anak, waris atau keluarga anda untuk mengetahui status mereka.
5. Jika anda berhajat bercakap dengan anak, waris atau keluarga anda, sila buat temujanji dengan petugas tersebut.
6. Petugas bilik gerakan akan memberi cadangan waktu yang sesuai untuk bercakap kerana pelajar tidak digalakkan keluar rumah ekoran keadaan yang genting.
7. Hanya waris yang berada di Kaherah sahaja boleh dihubungi untuk bercakap.

Menurut Ustaz Suhaib lagi ahli-ahli ISMA Mesir masih berada dalam keadaan baik. Namun penutupan semua bank di sana menyebabkan mereka sukar mengeluarkan wang untuk berbelanja. Pusat-pusat tukaran wang, kedai-kedai runcit & pasaraya juga telah ditutup sejak beberapa hari lepas.

Namun ahli-ahli ISMA Mesir yang peka dengan keadaan semasa di Mesir telah membuat persediaan awal untuk menghadapi keadaan genting ini samada mereka yang berada di Kaherah & juga kawasan-kawasan lain seperti Tanta, Mansurah, Dumyat & sekitarnya. Justeru itu bekalan makanan masih mencukupi & mampu menampung kehidupan mereka untuk beberapaketika lagi jika proses perpindahan tidak berlaku segera.

Perkembangan ini dilaporkan oleh Ustaz Ahmad Ala’uddin Kamal Al-Hafiz daripada Sekratariat Luar Negara ISMA yang berhubung secara langsung dengan Ustaz Suhaib Ar-rumy bin Selamat, Pengerusi ISMA Mesir pada pukul 3.10 petang (waktu Malaysia ) sebentar tadi. ISMAWeb akan membawakan laporan terkini keadaan di Mesir setiap 4-5 jam.

sumber : ismaweb.net