Wednesday 4 November 2009

Umat Islam Diseru Bersatu Protes Pencabulan Al-Aqsa

Dr Yusuf al-Qaradawi

1 November - Dr Yusuf al-Qaradawi, Pengerusi Kesatuan Ulama Islam Sedunia telah menyeru agar umat Islam di seluruh dunia bersatu di dalam satu saf kebangkitan dan perarakan bagi memprotes pencabulan yang menjijikkan serta tidak dapat dimaafkan terhadap Masjid Suci Al-Aqsa. Serangan terhadap kesucian masjid tersebut oleh penjajah Israel tidak dapat diterima dan mesti ditentang berhabis-habisan.

Dalam satu wawancara melalui telefon yang ditayangkan oleh Al-Jazeera, Qaradawi menegaskan bahawa “Melindungi Al-Aqsa bukanlah suatu pilihan tetapi adalah suatu kewajipan di atas bahu satu pertiga billion orang Arab khususnya dan satu setengah billion umat Islam secara umumnya”.

Beliau menyambung lagi, “Masanya telah tiba untuk menunjukkan dengan jelas tentang kebencian umat Islam sejagat terhadap serangan terkutuk ke atas salah sebuah tempat yang paling suci di dunia. Perkara ini terlalu melampaui batas dan langkah serius mesti diambil supaya serangan berterusan oleh tentera penjajah Israel dapat dihentikan”.

Beliau merayu kepada Raja Mohamed dari Maghribi, Pengerusi Jawatankuasa Al-Aqsa di dalam Liga Muslim untuk mengadakan satu perjumpaan dengan segera bagi membincangkan langkah-langkah yang perlu diambil untuk menyekat keganasan Israel yang tidak boleh dibiarkan lagi. Qaradawi menegaskan bahawa “Tindakan harus diambil untuk mengembalikan kemegahan dan kemuliaan Al-Aqsa ke kedudukannya yang asal iaitu sebaris dengan tanah suci Masjid Al-Haram dan Masjid An-Nabawi”.

Qaradawi mengingatkan semua pemimpin Arab dan Islam tentang tanggungjawab mereka terhadap Al-Aqsa dan menyatakan “Serangan berterusan dan kebiadaban Israel terhadap Al-Aqsa mesti dihentikan dengan tentangan dan kekuatan kerana ini adalah satu kewajipan bagi setiap individu dan bagi semua orang, bukan sahaja melindungi masjid tersebut, malah menjangkau 144 ribu meter persegi kawasan yang meliputi struktur dan halaman masjid tersebut”.

Ikhwanweb

Penterjemah:
Lufti Abbas bin Bidin
Wartawan/Penulis
Media ISMA

sumber : ismaweb.net

No comments:

Post a Comment

Komen anda amat dialu-alukan.