Thursday 11 March 2010

Kami Mahu Upah Dari Allah

Tajuk di atas benar-benar mencuit hati kecil saya takkala mana mendengar tazkirah berupa sentuhan iman yang disampaikan oleh YDP ISMA Kelantan Ustaz Sharipudin Ab. Kadir di dalam salah satu pertemuan. Beliau menghuraikan tajuk tersebut secara mendatar, tidak terlalu panjang, tidak juga terlalu pendek.

Dengan buku "Langkah Bermula" (Al-Muntalaq) yang berada ditangannya sebagai rujukan, beliau mengupas tajuk di atas tadi dengan menyentuh situasi dai'e yang kekadang leka dengan kemampuan diri, terpaut dan terpesona dengan hasil yang dituai membuatkan seseorang dai'e khususnya "orang muda" atau yang sudah "terlalu lama" cepat terbuai dengan amal kebaikan yang tidak berganjak.

Amal kebaikannya hanya sekadar mengisi masa dan peluang yang ada. Tidak berojektif atau tidak ada anjakan perubahan dalam amal. Membuatkan amal kebaikannya dilaksanakan berdasarkan kemampuan diri sendiri yang dia tahu. Sedangkan jika amal kebaikannya diprogramkan mengikut asas-asas dakwah seperti dai'e yang lain dari ikhwan ISMAnya maka sudah pasti kita akan dapat melihat kemahiran dirinya semakin maju ke depan.

Dai'e itu pasti dan sememangnya mampu untuk menggunakan segala bentuk kemampuan diri yang ada padanya untuk mengesani manusia dengan ruh iman. Membina generasi baru yang mempunyai matlamat dalam segala gerak kerja kehidupan. Samaada kerja yang berbentuk mengisi hajat diri sebagai manusia atau amal yang menjuruskan kepada kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat.

Kafilah manusia dagang yang sudah ditiupkan dan dibina ruh iman dalam diri mereka ini dengan melaksanakan segala perkara yang berkaitan dengan ketaqwaan, keimanan dan ketaatan diri kepada Allah di bawah seliaan, tunjuk ajar dan bimbingan dari dai'e yang mempunyai objektif yang jelas sudah pasti mudah untuk diprogramkan di dalam golongan orang-orang yang bersiap diri untuk bertemu dengan Allah.

Ketika itu kita akan melihat golongan mujahidin ini mempunyai tindak tanduk yang luar biasa dan menghairankan manusia sekitarnya kerana kemampuan diri mereka digunakan sebaik-baiknya untuk mengajak diri, ahli keluarga dan masyarakat setempat ke arah pengabdian diri kepada Allah secara bersahaja, tidak menekan dan tidak juga terlalu lembut.

Inilah manusia yang hidup dengan mendapat cahaya petunjuk Rabbani. Mereka sentiasa berhubungan dengan Allah. Mereka meletakkan diri mereka di bawah naungan al-Quran. Melaksanakan segala arahan wahyu, mendidik diri akur dengan apa yang telah digariskan oleh Allah melalui al-Quran (KitabNya), Hadith (rujukan kedua selepas al-Quran) dan juga sunnah Sohaabah yang agung. Mereka menilai diri mereka mengikut cara mereka yang tersendiri. Mereka inilah generasi harapan dan warisan para Rasul, Anbiya', Sahabat dan Salafus Soleh.

Allah berfirman di dalam al-Quran yang bermaksud: "Jadilah kamu 'Rabbaaniyiin' mengikut sebagaimana yang ada di dalam kitab daripada apa yang kamu pelajari".

Oleh itu amat jelas di sini dai'e yang mempunyai jiwa yang benar-benar bersih dan diprogramkan melalui objektif "Membina Generasi Harapan" sahaja yang mampu kedepan dengan penuh tanggungjawab. Baik terhadap dirinya, keluarganya atau masyarakat setempatnya.

Pendek kata kemampuan mereka menguasai diri (memerintah diri) mengikut acuan iman yang sebenar dan kefahaman yang jelas sahaja akan dapat men"tahqiq"kan (merealitikan) konsep Kami Mahu Upah Dari Allah. Adapun sebaliknya... jika sebaliknya... amal kebaikannya akan berhasil sekadar untuk kepuasan diri dan tetap akan mendapat pahala dari Allah. Tetapi untuk membina generasi pewaris kebaikan, ianya amat jauh.

Moga artikel ini memberi manfaat, khususnya untuk diri saya sendiri dan mereka yang mahu memajukan diri dengan iman.

sumber : citaimpian.blogspot.com

No comments:

Post a Comment

Komen anda amat dialu-alukan.