Friday, 4 February 2011

Catatan Hari-Hari Rusuhan 2

10. Pagi Jumaat 28 Januari (Jum’ah al-ghodhob) mula menunjukkan tanda-tanda kecil tentang peristiwa besar yang bakal terjadi pada hari tersebut. Suq Sayyarat yang biasanya penuh melimpah dengan kereta, hanya dipenuhi sebilangan kecil kereta sahaja. Ada sesetengah tempat yang mengiklankan senarai-senarai tempat yang akan menjadi pusat bermulanya demonstrasi selepas solat Jumaat, antaranya termasuklah masjid besar kawasan Hayy ‘Ashir, Masjid As-Salam. Ikhwan dikhabarkan akan bersama mengambil peranan di dalam demonstrasi hari itu.

11.
Saya kebetulan diminta mengambil pelancong yang akan tiba dari Malaysia jam 11.30 pagi di airport, sebelum membawa mereka ke hotel mereka di Tahrir.

12.
Ketika keluar dari rumah jam 10.30 pagi, saya mula sedar talian telefon sudah tidak lagi berfungsi. Dengan itu bermakna semua cara perhubungan sudah disekat, dan tiada lagi cara berkomunikasi antara satu sama lain bagi masyarakat awam. Dari Hayy ‘Ashir, saya bersama Akid dan Abdullah Husaini bertolak ke airport untuk mengambil keluarga Akid. Jalan sepanjang dari Hayy ‘Ashir ke airport menyeramkan kerana terlalu lengang. Perjalanan yang biasanya mengambil masa 20-25 minit menjadi hanya 10-15 minit pada hari itu. Di sepanjang perjalanan tiada pula sebarang tanda akan terjadi perkumpulan dan demonstrasi. Di stesen minyak dan di airport kesemua urusan berjalan seperti biasa.

13.
Selesai mengambil keluarga Akid, kami bertolak keluar dari airport. Waktu itu azan Solat Jumaat sudah dilaungkan. Saya mengambil jalan El-Orouba sebelum menaiki Kubri 6 Oktober. Sepanjang perjalanan keadaan sangat tenang, dan lalu lintas sangat kosong dan lancar.

14.
Semakin mendekati kawasan Tahrir kelihatan beberapa hentian polis untuk pemeriksaan. Walau bagaimanapun pemeriksaan yang dijalankan hanya rambang, mungkin sekadar bertujuan menggertak. Trak polis tidak kelihatan sangat di jalan-jalan utama.

15.
Setelah turun dari Kubri 6 Oktober memasuki kawasan Tahrir (sepanjang Kournish Nil, menghadap Sungai Nil) mula kelihatan trak-trak polis yang beratur di sepanjang kawasan-kawasan ‘hot-spot’, dikelilingi oleh barisan polis dan FRU berpakaian serba hitam. Antara tempat yang paling banyak dikawal ialah pejabat stesyen TV dan radio Mesir.

16.
Sepanjang perjalanan saya mencari hotel, kelihatan kelompok-kelompok manusia menunaikan solat Jumaat. Kawasan sekitar masjid dikawal pihak keselamatan, namun secara longgar. Jalanraya masih lengang dan belum ada sebarang sekatan jalan.

17.
Tiba di hotel dan check-in, para jemaah yang menunaikan solat Jumaat kebanyakannya sudah selesai. Di beberapa tempat jemaah mengerumuni seorang coordinator demonstrasi mendengar arahan.

18.
Lorong hotel tempat saya menghantar tetamu rupanya ialah salah satu lorong tempat demonstrasi terjadi. Di satu hujung jalan mereka yang terlibat dengan demonstrasi melaungkan laungan-laungan rusuhan seperti ‘Tahya Masr’, manakala di satu hujung lagi polis dan FRU berkawal tanpa sebarang tindakan. Sekali-sekala kelihatan mereka berpecah lari bila diancam gas beracun daripada polis.

19.
Melalui pihak hotel dan TV di lobi hotel, saya fahami jalanraya utama di sekitar Tahrir dan Ramses sudah ditutup oleh polis, dan dipenuhi oleh mereka yang berdemonstrasi.

sumber : Atas Jalan Lurus

Catatan Hari-Hari Rusuhan 1

1. Api rusuhan bermula pada 25 Januari 2011 sempena Hari Polis di Mesir. Beberapa kumpulan reformis (sosialis, independen, haluan kiri) mula menyebarkan maklumat tentang demo yang akan berlangsung pada 25 januari malam 25 Januari 2011. Alam twitter dan facebook mula gegak dengan berbagai maklumat tentang koordinasi rusuhan untuk hari esoknya. Secara lahiriah belum ada apa-apa yang terjadi di mana-mana kawasan sekitar Cairo, kecuali beberapa demo kecil di kawasan-kawasan luar Cairo seperti di Syarqiyyah.

2.
Pagi 25 Januari belum menampakkan sebarang tanda-tanda besar. Berita tengahari melaporkan lebih daripada 10 000 orang turun berdemo di sekitar Tahrir. Twitter dan facebook meriah dengan laporan-laporan dari medan demo. Ada yang mengawal flyover dan jambatan di sekitar Tahrir, walaupun dijaga dan dikawal oleh polis dan FRU. Polis dan FRU dikhabarkan tidak bersungguh untuk membendung rusuhan. Kemungkinan sengaja ingin membiarkan atau mungkin juga kerana terpaksa bekerja pada hari cuti. Para suri rumah yang menetap di Tahrir dilaporkan membaling peralatan dapur kepada polis-polis di bawah.

3.
Masuk waktu maghrib akses ke Twitter melalui web mula disekat. Namun Twitter kekal aktif kerana pengguna dari Mesir menggunakan ‘backdoor’ untuk mengakses, tambahan pula kebanyakan ahli Twitter yang aktif memberi update menggunakan Blackberry, yang masih bebas mengakses Twitter.

4.
Selepas Isya’ khabar dari Tahrir menyatakan semakin ramai yang menyertai rusuhan. Angka 30 000 orang pada waktu siang berganda. Kebanyakan jalan-jalan utama di Tahrir sudah ‘dikuasai’ oleh rakyat yang merusuh. Semakin lewat malam semakin ramai yang menyertai demonstrasi, termasuk dari kalangan yang berkeluarga bersama dengan anak-anak.

5.
Pihak berkuasa keselamatan diberitakan banyak berkawal di pusat-pusat informasi dan media seperti stesyen tv dan radio di sepanjang Kournish Nil. Wartawan Al-Jazeera yang ingin membuat liputan dikatakan diberi amaran oleh polis. Usaha untuk mengawal maklumat yang keluar kepada masyarakat awam meningkat.

6. Berita terakhir berkaitan rusuhan di Tahrir ialah sekitar jam 2.00 pagi. Hanya segelintir yang kekal bertapak di kawasan Tahrir, sedang majoriti pulang ke rumah memandangkan esok harinya merupakan hari kerja. Pihak keselamatan juga dilaporkan mula mengosongkan kawasan Tahrir selepas itu.

7.
26 Januari 2011 – Kehidupan majoriti rakyat Mesir berjalan semula seperti biasa. Ada yang meneruskan demonstrasi di Tahrir tapi jumlahnya kecil. Banyak nasihat di Twitter untuk menyimpan tenaga untuk satu lagi demonstrasi besar-besaran yang dirancang pada hari Jumaat 28 Januari selepas solat Jumaat. Sasaran bilangan yang akan keluar pada hari tersebut ialah sekitar 1 juta orang. #Jan25 di Twitter ‘trending’.

8.
Seharian berita-berita utama mula melaporkan akhbar tentang hari sebelumnya. Khabar tentang Tahrir tidak seganas khabar tentang rusuhan di Suez dan Alexandria. Peluru hidup dilepaskan di sana dan terdapat tidak kurang dari 5 orang yang mati. 25 Januari digelar ‘yaum al-ghodhob’.

9.
Sehingga ke awal malam 27 Januari tidak terdapat sebarang peristiwa besar yang terjadi di sekitar Kaherah. Para penyusun demonstrasi dikatakan sedang bersiap-siap dan sentiasa memberi maklumat kepada masyarakat awam melalui Twitter dan facebook (menggunakan proxy, rockmelt, dan Blackberry) sebelum akses internet terputus seluruhnya lebih kurang jam 10.30 malam. Juga sempat tersebar sebelum kehilangan akses internet, khabar tentang beberapa perkara yang akan terjadi pada keesokan hari, antaranya : SMS dan talian telefon disekat, bank-bank akan ditutup dan ATM tidak berfungsi, serta kemungkinan akan keluar perintah berkurung. Semuanya untuk menghalang daripada merebaknya rusuhan yang dijangka lebih ganas dan besar berkali ganda berbanding yang terjadi pada 25 Januari.

sumber : Atas Jalan Lurus

Thursday, 3 February 2011

Perkembangan Terkini Pelajar Malaysia Di Mesir - 2 Februari 3 Petang

Laporan terkini situasi rakyat & pelajar Malaysia di Mesir pada pukul 3.10 petang ( waktu Malaysia ), Kedutaan Malaysia di Kaherah telah membuat pengumuman bahawa para pelajar akan mula dipindahkan petang ini. Mereka akan dipindahkan ke Jeddah bermula dengan yang telah berkeluarga, kanak-kanak, perempuan, orang tua & seterusnya pelajar-pelajar bujang.

Proses perpindahan ini akan dilakukan secara beransur-ansur & dijangkakan akan mengambil masa sekitar satu minggu atau lebih. Para pelajar yang berada di Kaherah akan dipindahkan dahulu memandangkan rakyat Malaysia yang berada di muhafazah-mufahazah lain sukar untuk bergerak disebabkan banyak jalan yang ditutup.

Menurut laporan daripada Ustaz Suhaib Ar-rumy bin Selamat, Pengerusi ISMA Mesir, semua ahli ISMA Mesir telah pun dalam keadaan bersedia untuk berpindah & tuan rumah juga telah dimaklumkan akan perpindahan mereka untuk satu tempoh.

ISMA Mesir juga mengumumkan talian hotline bilik gerakan ISMA Mesir di Kaherah telah diwujudkan. Oleh itu ibu bapa & waris boleh menghubungi hotline tersebut jika ingin mengetahui keadaan terkini anak, waris atau keluarga mereka di Mesir. Talian tersebut boleh dihubungi dengan mendail nombor +20224107642.

Jika gagal, talian hotline itu juga boleh dihubungi dengan menggunakan Skype. Cara-caranya seperti berikut :

1. Muat turun perisian Skype di http://www.skype.com/intl/en-us/get-skype/on-your-computer/windows/
2. Install Skype ke dalam komputer anda.
3. Daftar satu akaun baru ( jika belum ada ).
4. Beli credit secara online tekan pilihan ‘buy credit’ dan ikut arahan seterusnya hingga berjaya. Kad kredit diperlukan untuk urusan ini ).
5. Setelah berjaya masukkan nombor talian hotline bilik gerakan ISMA Mesir di ruang panggilan seperti berikut +20224107642.
6. Jika mempunyai masalah sila hubungi Ustaz Ahmad Ala’uddin Kamal Al-Hafiz daripada Sekratariat Luar Negara ISMA di talian 019-2887797.

Berikut panduan yang perlu diikuti apabila berjaya bercakap dengan petugas di bilik gerakan ISMA Mesir :

1. Perkenalkan diri anda.
2. Maklumkan butir-butir diri anak, waris atau keluarga anda ( nama, muhafazah, nombor telefon )
3. Jika maklumat ada, anda akan dimaklumkan oleh petugas tersebut.
4. Jika belum ada maklumat, petugas akan menghubungi anak, waris atau keluarga anda untuk mengetahui status mereka.
5. Jika anda berhajat bercakap dengan anak, waris atau keluarga anda, sila buat temujanji dengan petugas tersebut.
6. Petugas bilik gerakan akan memberi cadangan waktu yang sesuai untuk bercakap kerana pelajar tidak digalakkan keluar rumah ekoran keadaan yang genting.
7. Hanya waris yang berada di Kaherah sahaja boleh dihubungi untuk bercakap.

Menurut Ustaz Suhaib lagi ahli-ahli ISMA Mesir masih berada dalam keadaan baik. Namun penutupan semua bank di sana menyebabkan mereka sukar mengeluarkan wang untuk berbelanja. Pusat-pusat tukaran wang, kedai-kedai runcit & pasaraya juga telah ditutup sejak beberapa hari lepas.

Namun ahli-ahli ISMA Mesir yang peka dengan keadaan semasa di Mesir telah membuat persediaan awal untuk menghadapi keadaan genting ini samada mereka yang berada di Kaherah & juga kawasan-kawasan lain seperti Tanta, Mansurah, Dumyat & sekitarnya. Justeru itu bekalan makanan masih mencukupi & mampu menampung kehidupan mereka untuk beberapaketika lagi jika proses perpindahan tidak berlaku segera.

Perkembangan ini dilaporkan oleh Ustaz Ahmad Ala’uddin Kamal Al-Hafiz daripada Sekratariat Luar Negara ISMA yang berhubung secara langsung dengan Ustaz Suhaib Ar-rumy bin Selamat, Pengerusi ISMA Mesir pada pukul 3.10 petang (waktu Malaysia ) sebentar tadi. ISMAWeb akan membawakan laporan terkini keadaan di Mesir setiap 4-5 jam.

sumber : ismaweb.net

Ikhwan Dipelawa Sertai Kerajaan Baru Mesir

Pertubuhan Ikhwanul Muslimin ( Ikhwan ) Mesir yang berpengaruh dipelawa menyertai kerajaan baru Mesir selepas tergulingnya rejim diktator Hosni Mubarak.

Ini dibayangkan oleh Ketua Pembangkang Mesir, Muhamad El-Baradei dalam temuramahnya dengan wartawan CNN, Fareed Zakaria beberapa hari lalu di tengah-tengah pemberontakan rakyat Mesir yang menuntut rejim Hosni Mubarak meletakkan jawatan.

“ Mereka (Ikhwanul Muslimin ) adalah orang baik.” Katanya, “ Mereka terpelajar, patriotik, berakhlak baik & mereka adalah rakyat Mesir yang setia. ”

El-Baradei yang kini dalam tahanan rumah ditanya pandangannya adakah Ikhwanul Muslimin itu sama seperti kumpulan militan Al-Qaeda, kumpulan militan yang lain seperti di Iran & di tempat lain. Beliau menjawab, “ Sama sekali tidak, mereka rakyat Mesir yang patriotik, terpelajar. ”

Tokoh yang mendapat Hadiah Nobel Keamanan kerana peranannya sebagai Pengarah Agensi Kuasa Nuklear Bangsa-Bangsa Bersatu itu menyatakan kesediaannya memimpin kerajaan baru Mesir jika rakyat mahukan khidmatnya walapun beliau kini ada tugas lain.

“ Bagi saya sudah tentu Ikhwan akan dipelawa menyertai kerajaan baru Mesir kerana jamaah Islam itu sangat berpengaruh, orang baik dan terpelajar, ” katanya lagi.

Sekiranya kerajaan baru Mesir pimpinan El-Baradei itu menyertakan sekali jamaah Ikhwan, maka ini berbeza dengan apa yang dilakukan oleh kerajaan baru di Tunisia selepas Presiden Zein Al-Abidin bin Ali digulingkan oleh satu pemberontakan di Tunisia baru-baru ini.

Kerajaan baru itu sama sekali mengenepikan Ikhwanul Muslimin Tunisia yang juga berpengaruh.

El-Baradei mendesak Amerika supaya ‘meninggalkan’ Hosni Mubarak & jangan melibatkan diri dengan krisis di Mesir sekarang. Ulama tersohor Dr. Yusuf Al-Qaradawi turut menggesa supaya Hosni Mubarak & kabinetnya meletakkan jawatan.

Sementara itu Ikhwan belum lagi mengeluarkan kenyataan mengenai cadangan El-Baradei itu yang mungkin dianggap terlalu awal.

Tetapi dipercayai Ikhwan sangat berhati-hati dalam membuat keputusan seperti ini berdasarkan pengalaman pahitnyan di masa lalu. Di zaman rejim Gamal Abd Naseer dan Anwar Sadat yang pada awalnya menghulurkan kerjasama tetapi akhirnya rejim tersebut membunuh & menahan serta menyeksa beribu-ribu ahli Ikhwan hingga kini di zaman Hosni Mubarak.

Muhamad El-Baradei mengkritik dasar Amerika di Asia Barat termasuk dasar Barack Obama di Mesir yang menurutnya sama sekali bertentangan dengan aspirasi rakyat Mesir menyebabkan dasar Amerika itu gagal sama sekali.

Sementara itu kenyataan terkini dari pemimpin Ikhwanul Muslimin Mesir, Dr. Mohamed Badie menyeru umat Islam di Mesir supaya bersatu & optimis kepada perjuangan ini.

Beliau menyeru umat Islam supaya bersedia menghadapi tindakan golongan penindas & bersedia berjuang, berkorban untuk menjamin masa depan lebih baik.

Jika rakyat takut & bimbang kata Dr. Mohamed Badie, akan hanya menyebabkan berterusannya rasuah, kezaliman dan kemusnahan.

Pemimpin Ikhwanul Muslimin itu menekankan bahawa inilah perjuangan & pengorbanan yang perlu dibayar di mana kebebasan bersuara tidak akan diperoleh kecuali rakyat belajar untuk berjuang, menuntut hak asasi mereka.

Sheikh Badie menyeru semua umat Islam & bangsa Arab menyuarakan bantahan mereka terhadap merebaknya gejala rasuah, tekanan terhadap kebebasan bersuara yang selama ini dianggap oleh rejim lama Mubarak sebagai tidak penting.

Kebebasan bersuara ini menurutnya perlu dilindungi & pihak berkuasa tidak mempunyai hak untuk menafikannya.

Baginya rasuah yang kini terus berleluasa dilakukan oleh rejim diktator di mana rakyat mesti menentangnya.

Menurut pemimpin Ikwanul Muslimin itu dunia Arab telah berada di bawah pemerintahan diktator yang bertujuan mengawal sepenuhnya segala aspek, khususnya kekayaan negara di mana menyebabkan rakyat miskin, pengangguran, rasuah, penyelewengan, pembaziran & kepura-puraan.

Pemimpin pemerintah Arab pula kata beliau lagi, memerintah secara kuku besi dan mengawal kebangkitan rakyat untuk kesejahteraan raayat.

Pemimpin Ikhwan itu system pemerintaha dektator dunia Arab menyebabkan golongan yang kaya bertambah kaya, yang miskin terus miskin, tidak ada usaha melakukan perubahan.

Sementara itu, di tengah-tengah suasana pemberontakan di Mesir ini, ada suara kebimbangan amat sangat dari rejim Israel di Tel Aviv. Dalam satu temu ramahnya dengan CNN, bekas duta Isreal di Mesir, Eli Shaked memberitahu bahawa jika Hosni Mubarak digulingkan, dikhatirinya kumpulan Islam akan berkuasa & akan bersikap keras terhadap Israel & dunia Barat.

Sementara itu dijangkakan lebih sejuta orang akan menyertai lagi tunjuk perasaan di Tahrir Square ( Medan Kebebasan ) di Kaherah & beberapa tempat lain di mesir dalam beberapa jam lagi untuk menuntut rejim Hosni Mubarak meletak jawatan segera.

Kumpulan yang menggelar diri mereka ‘ Gerakan 6 April ’ merancang mengadakan demonstrasi lebih sejuta rakyat di tengah-tengah kebencian rakyat terhadap rejim Hosni Mubarak.

Para penunjuk perasaan yang masih bertahan di medan tersebut tidak pedulikan perintah berkurung yang dikeluarkan oleh tentera. “ Kami akan kekal di sini & akan memperkukuh gerakan kami serta kami tidak akan berganjak dari sini, ” kata penunjuk perasaan yang dirakam oleh TV Aljazeera.

Channel tersebut kemudiannya telah ditutup oleh rejim Mubarak. Enam wartawan & jurugambarnya ditahan.

Antara yang menyertai tunjuk perasaam itu ialah para hakim & majistret, para doktor & jurutera, pegawai kerajaan & swasta serta penulis. Diberitakan lebih seratus orang telah terbunuh & cedera. Semua komunikasi dengan Mesir telah terputus.

Penunjuk perasaan menolak jaminan Hosni Mubarak untuk melaksanaskan pembaharuan ekonomi & politik. Jaminan itu menurut mereka terlalu kecil dan sudah terlambat.


Sumber

Perancangan Kewangan Islam

1.0 Pengenalan

Sebagai seorang dewasa yang bertanggungjawab anda perlu menggunakan akal fikiran anugerah Allah sebaik-baiknya. Akal dikurniakan kepada manusia bukan sekadar menghafal ilmu & maklumat tetapi menjadi penasihat yang terbaik kepada diri sendiri terutamanya dalam menghadapi cabaran keinginan hawa nafsu yang tidak terbatas.

Allah SWT sering mengingatkan manusia supaya berfikir, merenung, memerhati, menganalisa, memahami & mengambil pengajaran. Menggunakan akal fikiran dalam merancang, mengatur, menyusun & menentukan keutamaan juga merupakan usaha awal yang wajib dilakukan bagi mensyukuri nikmat akal fikiran.

Dalam rencana ringkas ini saya terangkan bagaimana membuat perancangan kewangan untuk diri & keluarga anda.

2.0 Kenapa Menguruskan Kewangan Satu Keperluan ?

Sebelum saya meneruskan aspek-aspek pengurusan keluarga, terlebih dahulu anda perlu mempunyai kesedaran terhadap keperluan membuat perancangan & pengurusan hidup secara betul.

Anda boleh lihat alam kehidupan ini, perhatikan, fikirkan, bayangkan. Apakah alam ciptaan Allah ini tidak teratur, tidak tersusun, tidak wujud proses-proses tertentu yang berlaku secara tertib yang telah ditentukan Allah. Maha Suci Allah daripada kekurangan.

Allah telah menjelaskan bahawa semua yang telah berlaku, sedang berlaku & akan berlaku telah termaktub dalam Al-Quran. Allah yang Maha Bijaksana, Maha Mengetahui, Maha Berkuasa telah terlebih dahulu menulis segara perencanaannya bagi menguruskan pentadbiran alam semesta ini .

Manusia juga perlu memikirkan apakah objektif hidupnya, apakah impiannya, apakah yang dikehendakinya, apakah ingin dicapai dalam hidupnya, apakah yang ingin dilakukan pada masa hadapan, kemudian menulis segala perancangannya supaya menjadi panduan pengurusan.

Inilah sunnatullah yang paling agung & inilah gunanya nikmat akal yang Allah anugerahkan kepada manusia. Malangnya majoriti manusia tidak menggunakannya secara maksima. Allah SWT memerintahkan manusia meniru & mencontohi-Nya dalam menguruskan alam ini. Alam semesta begitu hebat kerana ketelitian dan ketertiban sistem yang telah ditentukan Allah SWT.

Bagaimana kehidupan di sebuah bandaraya jika dibentuk tanpa sistem yang bersepadu? Tiada sistem pengangkutan yang tersusun, tiada jaringan jalanraya, tiada petunjuk & tanda-tanda jalan, tiada sistem kumbahan, tiada saliran & pengairan. Bayangkan masa hadapan penduduk jika semua najis bandaraya itu di salurkan ke merata tempat atau di salurkan ke sungai ?

Bagaimanakah masa hadapan sebuah syarikat yang tiada sistem kewangan yang betul, tiada catatan untung rugi, tiada pengagihan terhadap perbelanjaan secara seimbang, tiada sistem pemantauan terhadap perolehan? Anda tentu boleh bayangkan kebenaran kenyataan bahawa : “ Jika anda gagal merancang, anda merancang untuk gagal ”.

Namun adakah anda perihatin terhadap pengurusan kewangan anda? Apakah kegagalan anda merancang kewangan tidak membawa kepada kegagalan atau kerugian di masa hadapan ?

Anda adalah pemimpin kepada diri & keluarga. Andalah yang bertanggungjawab membuat pelan perancangan kewangan untuk diri & keluarga. Andalah bertanggungjawab memberi nafkah kepada mereka, bertanggungjawab menyediakan pendapatan kewangan yang berterusan untuk menyara kehidupan mereka walaupun anda tidak berupaya disebabkan lumpuh, menghidap penyakit kritikal atau meninggal dunia.

3.0 Apakah Bijak Menyerahkan Nasib Anda Kepada Orang Lain ?

Orang lain sentiasa berfikir bagaimana meningkatkan keuntungan jika mereka dibiarkan menentukan nasib anda. Jika ibu bapa anda tidak menabung untuk kos pendidikan anda bermakna mereka menyerahkan kos tersebut kepada pihak lain sama ada kerajaan, bank & sebagainya bagi menampung kos itu.

Jika kos pendidikan tersebut sebanyak RM60,000.00 anda perlu membayar sehingga RM 180,000.00. Kemudian jika anda ingin berkahwin anda mungkin memerlukan sekurang-kurangnya RM 20,000.00 & sudah pasti sekali lagi anda perlu meminta pihak ketiga membiayai kos tersebut. Anda sekali lagi terpaksa membayar balik sehingga RM60,000.00. Bagaimana pula untuk memiliki sebuah rumah & kenderaan ?

Adakah anda akan mengulangi perkara yang sama untuk anak-anak anda ? Jika begini sikap anda apakah generasi umat Islam akan berubah? Sedarkah anda bahawa bangsa Melayu yang Islam & berbangga dengan Islam ini sudah ketinggalan daripada bangsa lain & kekayaan negara hanya dimiliki sebanyak 18% berbanding bangsa lain yang bukan merupakan penduduk majoriti.

Apakah anda sanggup menjadi bangsa yang diperbodohkan kerana gagal menguruskan kewangan & meneruskan tradisi bangsa yang hidup dalam belenggu hutang sepanjang hayat serta mewariskannya pula kepada generasi akan datang ?

Jika tidak anda terlebih dahulu perlu berubah !!!.

4.0 Bagaimana Anda Perlu Merancang ?

Cuba analisa pernyataan di bawah, mana satukah diri anda ?

1. Adakah anda terlebih dahulu menulis segala matlamat kewangan yang anda impikan, kemudian mencari jalan bagaimana mendapatkan wang bagi merealisasikan impian itu.

2. Atau anda mencari apa saja kerja yang termampu kemudian berbelanja dengan apa yang ada.

3. Atau anda dapatkan apa sahaja pekerjaan yang selayaknya & anda merancang perbelanjaan mengikut kemampuan anda ?.

4. Atau anda mencari pekerjaan yang selayaknya & berbelanja dengan semua pendapatan yang ada tanpa merancang ?

5. Anda mencari pekerjaan yang selayaknya kemudian anda menulis matlamat kewangan anda & berbelanja berdasarkan objektif yang anda tentukan ?

  1. Atau apakah pilihan identiti individu yang ingin anda miliki ?.

Jika no 3 atau 5 menjadi pilihan anda teruslah membaca kerana ia dapat memberi idea untuk anda memulakan satu perubahan dalam hidup.

5.0 Perancangan Kewangan Islam

Perancangan kewangan Islam meliputi :

1. Menentukan objektif kewangan yang dibenarkan Islam

2. Menyusun objektif mengikut keutamaan

3. Mengambil kira kemampuan & kekuatan kewangan sedia ada

4. Mengenalpasti risiko kewangan

5. Mengenal pasti peluang

6. Menganalisa kelemahan, kekuatan & peluang yang ada dalam menghadapi risiko

7. Merangka strategi bagi mencapai objektif yang telah ditetap & bersedia menghadapi risiko-risiko kewangan

6.0 Objektif Kewangan Islam

Sebagai seorang mukallaf anda perlu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap diri, terhadap tanggungan & Allah swt.

  1. Objektif anda perlulah menyeluruh & lengkap
  2. Objektif anda perlulah tersusun berdasarkan keutamaan syara’
  3. Objektif anda perlu specifik & boleh diukur
  4. Objektif anda mestilah sesuatu yang boleh dicapai
  5. Objektif anda mestilah realistik dengan kemampuan
  6. Objektif anda perlulah dalam jangkamasa tertentu

7.0 Apakah Objektif Kewangan Anda Secara Spesifik ?

Sebenarnya andalah yang perlu menentukan apakah tujuan anda mencari & mengumpulkan wang. Bagi membantu anda berfikir dengan mudah saya sertakan beberapa poin dalam menentukan objektif kewangan anda.

  1. Sarahidup
  2. Kecemasan
  3. Sumbangan kepada ibu-bapa
  4. Pendidikan anak-anak
  5. Persaraan
  6. Menunaikan haji
  7. Organisasi kemasyarakatan anda
  8. Keraian ( kenduri, jamuan sempena tertentu, aqiqah & perkahwinan anak-anak )
  9. Melancong
  10. Menambahkan keselesaan hidup

Bil

Perkara

Jumlah diperlukan

sebulan

Tarikh diperlukan

Tarikh tamat

Tempoh untuk menabung

Total Jumlah diperlukan

Tabungan bulanan

1

Sarahidup

36,000 setahun selama 30 tahun

sekarang

Sehingga umur 55 tahun


1,080,000


2

Kecemasan

20,000

sekarang

Sehingga umur 75


20,000 setiap masa


3

Penyakit kritikal

20,000-100,000

Ketika umur 35 tahun

Sehingga umur 65 tahun

10 tahun jika umur anda sekarang 25 thn

100k

833

4

Persaraan

36,000 setahun selama 20 tahun

Ketika umur 55

Sehingga umur 75

30 tahun jika umur sekaran 25 tahun

720k

2000

5

Pendidikan anak-anak di IPT

60,000 seorang

Ketika umur setiap anak 18 tahun


18 tahun jika bermula sejak anak dilahirkan


277 seorang

6.

Menunaikan haji

40,000

2 orang

Ketika umur 55


30 tahun jika umur sekaran 25 tahun


111

7

Perkahwinan anak2

20,000 seorang ketika umur anak 26 tahun



26 tahun jika mula menabung sejak dilahirkan.


64 seorang

8

Modal perniagaan untuk anak2

100k

Ketik anak berumur 26 tahun


26 tahun


320 seorang.

8.0 Analisa Keperluan Kewangan

Semua keperluan di atas memerlukan anda menyimpan RM 8 271 tanpa terkecuali setiap bulan

  1. Sarahidup.

Untuk kos sarahidup yang bernilai RM3000 sebulan anda perlu menyediakan pendapatan sebanyak 36,000 bagi tempoh 12 bulan dan 1juta 80 ribu sehingga umur bersara. Oleh itu anda perlu hidup, sihat & mampu bekerja bagi menghasilkan pendapatan minima 3000 sebulan sehingga umur 55.

  1. Kecemasan akibat kemalangan.

Biasanya kos rawatan pembedahan memasukkan besi bagi menampung tulang yang patah sebanyak RM20,000.00 . Maka anda perlu ada tunai sebanyak RM20,000 sekarang.

  1. Penyakit kritikal.

Penyakit kritikal adalah seperti barah, serangan jantung, kegagalan buah pinggang & sebagainya di mana kos pembedahan pemindahan organ, pintasan kronori memakan belanja RM20,000.00 & anda perlu menyediakan sekurang-kurangnya sebanyak RM100,000.00 bagi rawatan penyakit kritikal ini sekurang-kurangnya ketika usia anda mencecah 35 tahun.

Jika anda memilih untuk menggunakan duit tabungan untuk kos-kos rawatan tersebut anda perlu manabung sebanyak RM 800 sebulan.

  1. Persaraan.

Jika umur anda kini 25 tahun & merancang untuk bersara pada umur 55 sehingga usia anda menjangkau 75 tahun maka anda perlu bersedia dengan dana yang mencukupi untuk temph 20 tahun.

Jika keperluan hidup anda waktu itu RM1000 sebulan mengikut nilai hari ini maka berdasarkan kenaikan kadar inflasi 5% setahun anda memerlukan sebanyak RM 4322 sebulan atau RM51864 setahun atau RM1,037,280.00 untuk 20 tahun.

Oleh itu jika kadar keuntungan tahunan 5% anda perlu menabung sebanyak RM14869 setahun atau RM 1239 sebulan.

Ancaman Kehilangan Punca Pendapatan

Jika anda mendapat VSS atau jika syarikat anda ditutup anda mungkin akan mendapat pekerjaan lain selepas satu bulan. Tetapi jika anda hilang upaya kekal atau meninggal dunia keluarga anda akan kehilangan seluruh pendapatan yang dijana oleh anda selama ini.

Ketika ini siapakah yang akan menyediakan kos keperluan sara hidup keluarga anda ?

Atau jika anda terlibat dalam kemalangan dan kos pembedahan sebanyak RM 20,000 perlu disediakan sekarang. Siapakah yang anda harapkan akan membantu anda ?

Penyelesaian sara hidup

Jika salah seorang suami atau isteri ditimpa musibah seperti kemalangan yang menyebabkan hilang upaya kekal, meninggal dunia atau terlantar disebabkan penyakit kritikal sudah pasti sebahagian pendapatan keluarga lesap. Jika keluarga hanya ditanggung oleh suami & isteri tidak memiliki apa-apa pendapatan maka risiko semakin berat.

Peluang yang ada yang boleh meringankan bebanan kewangan adalah dengan memiliki takaful bagi melindungi manfaat sarahidup & sekurang-kurangnya anda memerlukan perlindungan sebanyak RM 1 Juta supaya keluarga anda boleh hidup selama 30 tahun lagi. Atau 500,000 untuk 15 tahun, atau 250,000 untuk 8 tahun dan 100,000 untuk 3 tahun.

Kecemasan

Tidak ada cara lain melainkan anda mengambil perlindungan rawatan akibat kemalangan sebanyak RM20,000, ditambah keatas polisi untuk perlindungan sarahidup.

9.0 Perlindungan Takaful Dibiayai Oleh Syarikat

Anda mungkin mengambil sikap tidak menyertai mana-mana pelan takaful walaupun mampu membahagikan pendapatan anda mungkin disebabkan anda adalah kakitangan kerajaan atau majikan telah menyediakan pelan tersebut.

Persoalannya adakah ia mencukupi ?

Sanggupkah anda menunggu giliran di hospital kerajaan untuk satu-satu rawatan penting yang anda boleh dapatkan segera di hospital swasta. Adakah anda akan berterusan berkhidmat di syarikat tersebut & tidak diberhentikan?

Bagaimana jika anda ditawarkan gaji yang lebih tinggi di syarikat lain pada usia 40 tahun ?. Apakah anda akan menolaknya ? Bagaimana jika ketika itu anda telah disahkan mengidap 1 daripada 36 penyakit kritikal yang menjadikan anda tidak layak menerima perlindungan takaful atau syarkiat anda hanya menawarkan perlindungan sebanyak 20% daripada kos keperluan sebenar ?

Jawapannya lebih baik anda yang menentukan keselamatan anda bukan menyerahkan kepada orang lain. Kerana sikap meletakkan nasib kepada orang lain bukanlah perancangan yang bijak.

Sebenarnya anda telah banyak bekorban wang ringgit untuk keperluan-keperluan lain bagi kebaikan keluarga anda, kenapa anda tidak bekorban sedikit untuk memastikan kebahagiaan & keselesaan diri anda terjamin ketika anda benar-benar memerlukannya.

10.0 Faedah Menyertai Plan Takaful

  1. Perlindungan kos sarahidup, rawatan kecemasan, kos rawatan penyakit kritikal, tabung pendidikan, persaraan, perkahwinan anak & menunaikan haji dan modal perniagaan untuk anak-anak anda.

Sekiranya anda menyimpan RM2000 sebulan di institusi kewangan seperti kwsp, bank2 & tabung haji anda perlu menabung secara berterusan selama 30 tahun untuk menjana RM1.1 juta dengan kadar keuntungan 3% setahun tetapi dalam tempoh tersebut anda tidak mempunyai apa-apa perlindungan.

Jika anda menabung wang anda di Etiqa Takaful sebanyak RM2000 sebulan sehingga umur anda 65 tahun, anda mendapat perlindungan sarahidup sebanyak 1 juta sertamerta jika akibat kemalangan & selepas 120 hari jika disebabkan penyakit yang lain. Anda juga mendapat perlindungan pembiayaan kos rawatan hospital sehingga 90% daripada keseluruhan kos sehingga maksima RM60,000 setahun sehingga RM180,000 seumur hidup.

Tambahan itu jumlah tabungan anda semasa matang dengan kadar keuntungan 4% adalah sebanyak RM2.2 juta.

Jika anda ditakdirkan meninggal dunia pada usia 63 tahun total tabungan dan perlindungan yang anda wariskan kepada waris-waris anda sebanyak RM3.2 juta. Dengan itu waris anda akan memiliki modal bagi membina empayar baru kewangan Islam.

Jika tidak mungkin waris-waris anda akan menanggung hutang2 anda & hutang mereka lagi satu generasi sehingga anak-anak anda memilih untuk merancang kewangan mereka. Cukuplah umat Islam ketinggalan dalam aspek kewangan lebih 15 tahun dibelakang bangsa lain..

Jumpalah perunding kewangan anda hari ini, anda mampu merubahnya !!.

Umar Abdul Rashid Al-Hafiz

Dr Kewangan

013-2002569