Thursday, 11 February 2010

Belia & Politik

Telah sekian lama saya menyimpan hasrat untuk mengkaji dan menulis tentang topik di atas, namun kesibukan kerjaya dan aktiviti berpersatuan ternyata menjadi batu penghalang. Walaubagaimanapun sewaktu menjalani rutin harian membaca akhbar New Straits Times baru-baru ini, kolum kegemaran saya, "Opinion" membicarakan perbincangan yang cukup menarik. Tulisan ringkas bertajuk "For our young adults, it's too much trouble" (Ianya sangat sukar bagi generasi muda kita) memperlihatkan bagaimana generasi muda negara tidak melihat mengundi sebagai keutamaan dalam hidup mereka. Artikel tersebut seolah melengkapkan peta keseluruhan tajuk yang ingin saya nukilkan di sini.

Apabila saya menyebut belia, saya maksudkan golongan yang berumur antara 17 hingga 40 tahun. Manakala definisi politik yang saya gunapakai ialah proses di mana sekumpulan manusia membuat keputusan kolektif. Perkataan ini berasal dari bahasa Greek yang bermaksud urusan negara. Walaupun politik begitu sinonim dengan proses kenegaraan atau kerajaan sebagaimana yang difahami oleh kebanyakan daripada kita, saya cuba bawakan definisi lebih luas yang merangkumi aspek hubungan sosial dalam pelbagai institusi kemasyarakatan yang dibentuk dari sel-sel yang merupakan individu atau rakyat perseorangan. Maksud politik yang ingin saya huraikan juga jauh dari politik kepartian yang mendominasi persada negara kita buat masa ini.

Hakikatnya, tahap kepedulian golongan belia Malaysia terhadap politik berada pada tahap yang sangat rendah. Salah satu indikator yang menyokong fakta tersebut ialah statistik yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menunjukkan 4.39 juta atau 28 peratus rakyat negara kita yang berkelayakan masih belum mendaftar sebagai pengundi dan majoritinya adalah terdiri dari golongan muda. Dan anda mungkin merupakan salah seorang daripada mereka!

Bagi mengupas isu ini secara adil dan tepat, skop perbincangan perlu diperluas kerana saya berpendapat mendaftar sebagai pengundi cuma merupakan salah satu indikator kepedulian belia terhadap politik, namun bukan tanda aras sebenar. Malah para belia dan telah berdaftar dan membuang undi dalam setiap pilihanraya sekalipun tidak bermakna mereka benar-benar memahami, menghargai dan mengambil berat tentang politik serta pelbagai isu sekitarnya.

Antara indikator lain yang ingin saya bawakan ialah penglibatan anak-anak muda dalam pesatuan-persatuan belia di Malaysia. Statistik menunjukkan bahawa hanya 2.9 peratus golongan belia yang menyertai dan bergiat aktif di dalam persatuan belia atau badan bukan kerajaan (NGO) di negara kita. Golongan belia selebihnya saya bahagikan kepada dua. Yang pertama ialah belia-belia yang mengisi statistik keruntuhan moral kronik yang melanda negara seperti lumba haram, seks bebas, dadah, gengsterisme, jenayah juvana, hiburan melampau dan banyak lagi. Manakala golongan kedua ialah generasi muda yang duduk berdiam diri dengan agenda kehidupan masing-masing tanpa memperdulikan masyarakat sekeliling.

Tanpa perlu pergi lebih jauh, cuba anda perhatikan realiti di kawasan setempat anda. Berapa ramaikah para belia yang terlibat dengan institusi kemasyarakatan setempat seperti Ahli Jawatankuasa (AJK) surau dan masjid, persatuan-persatuan penduduk serta badan-badab kebajikan dan sukarelawan masyarakat lainnya. Kemungkinan besar, jari-jemari di tangan anda sudah cukup untuk menghitungnya! Kita belum berbicara tentang memegang jawatan-jawatan utama dalam mewakili rakyat setempat di arena politik tanahair. Jika institusi kecil masyarakat pun dipandang sepi, apatah lagi tangungjawab dan kedudukan yang lebih tinggi untuk memacu pentadbiran dan pembangunan negara.

Di mana silapnya?

Memahami tabiat golongan belia dan percaturan politik setempat merupakan pra-syarat kepada pemahaman yang tepat kepada punca kemelut ini. Secara ringkas, saya dapat simpulkan punca utama kepada komplikasi ini ialah hilangnya jatidiri dan karakter dalam diri anak-anak muda kita hari ini. Mereka kehilangan identiti diri, kabur matlamat hidup, hanyut dibawa arus deras hedonisme serta hilang sokongan sosial masyarakat sekeliling. Akhirnya mereka hanya mampu mengisi statistik-statistik keruntuhan moral yang saya sebutkan sebelum ini. Jika diri sendiri pun tidak mampu dipimpin, apalagi yang mahu diharapkan daripada mereka?

Namun, masih ada sebilangan kecil belia yang bernasib baik. Mereka berperibadi bersih, berpendidikan tinggi dan mempunyai status sosial yang baik. Tetapi permasalahan lain pula yang melanda. Pertama, matlamat hidup yang berbentuk individualisme dan meminggirkan sumbangan kepada agama dan negara. Kedua, pendedahan dan kefahaman yang dangkal tentang konsep politik dan aplikasinya. Selain itu, generasi belia hari ini juga tidak memahami kepentingan politik dalam membangunkan agenda bangsa dan agama.

Secara realiti, ketika di bangku sekolah, perihal politik langsung tidak diendahkan kerana pada persepsi mereka politik merupakan urusan ‘orang-orang dewasa'. Malah ketika mula berkecimpung dalam alam universiti atau kolej, sistem politik kampus yang persis politik kepartian negara ternyata menyebabkan mereka kecewa dan mengambil langkah mengundurkan diri. Setelah berkerjaya, kesibukan kerja dan pengurusan keluarga menjadikan mereka terus jauh dari terlibat dengan masyarakat setempat dan politik secara amnya.

Dapat simpulkan bahawa kehendak dan hasrat golongan ‘emas' ini yang tidak mampu ditampung oleh sistem politik tempatan semasa menjadi punca utama. Lantas lahirlah golongan belia yang berpendapat bahawa politik tidak ada kaitan langsung dengan kehidupan mereka. Mereka turut merasakan bahawa ahli politik yang dilantik tidak mampu mewakili hasrat dan agenda generasi muda disebabkan jurang umur, status ekonomi dan latar belakang pendidikan yang ketara.

Pelbagai usaha termasuk oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengisytiharkan 1985 sebagai Tahun Antarabangsa Untuk Belia, perlaksanaan dokumen PBB, Plan of Action for Youth Programmes for the Year 2000 and Beyond, Dasar Pembangunan Belia Negara (1997), Program Belia Komanwel (1998) dan Persidangan Pertama Menteri Belia SeDunia (1998) ternyata tidak banyak mengubah fenomena pembangunan belia serta penglibatan mereka dalam menyumbang terus kepada masyarakat dan negara.

Jadi, apakah masa depan belia negara dalam menggarap politik setempat? Ya, sudah tentu ianya banyak bergantung kepada peranan bersama institusi keluarga, sistem pendidikan, media massa, badan-badan bukan kerajaan, serta kerajaan sendiri untuk membina jatidiri generasi muda serta mengurangkan kalau tidakpun menutup terus jurang antara golongan ini dan arena politik itu sendiri. Pemahaman politik yang jelas serta perlaksanaannya dalam bentuk yang sihat perlu diterapkan kepada golongan muda demi memastikan penglibatan mereka yang lebih proaktif dan agresif dalam arena ini.

Sebagai contoh, pengalaman peribadi saya menghadiri Konvensyen Pemikiran Hasan Al Banna Dalam Melakar Sejarah Bangsa anjuran Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) ternyata memberikan pengalaman yang berharga. Melalui pemerhatian kasar saya, lebih 80 peratus daripada peserta konvensyen yang membincangkan perihal politik tanahair merupakan golongan belia terutamanya para pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta. Walaupun, kehadiran satu program ini tidak mencerminkan keadaan keseluruhan belia negara, saya tetap optimis ianya merupakan suatu petanda baik yang perlu disuburkan demi melihat peranan yang lebih besar dimainkan oleh golongan belia dalam arena politik negara. Lebih banyak program-program seumpama ini serta aktiviti-aktiviti khidmat masyarakat, kesukarelawanan, kursus-kursus kepimpinan dan jatidiri perlu dianjurkan bagi mendidik generasi muda kita asas-asas politik sebelum mereka berkecimpung dalam bidang politik yang lebih mencabar.

Nukilan,

Muhammad Lukman Al Hakim Bin Muhammad.
Pengerusi,
PEMBINA Melaka.

sumber : pembina.com.my

Tuesday, 9 February 2010

Mampukah Aku Memiliki Wanita Seperti Ini ?.


Assalamualaikum W.B.R..


"Alangkah indahnya hidup ini..andai dapat ku tatap dirimu...."


Bait-bait kata ini membuatkan hari ini saya teringat kepada beberapa orang perempuan. Hem… Siapakah yang saya teringat itu? Perempuan-perempuan ini, ada yang saya kenal masa tadika. Ada pula yang saya kenal masa sekolah rendah. Ada pula yang saya kenal masa sekolah menengah. Apabila saya dewasa, saya berusaha memeriksa latar belakang perempuan-perempuan ini, dan mengkaji kehidupan mereka. Mudah cerita, saya suka dengan perempuan-perempuan ini sebenarnya. Pada saya, mereka amat bermakna dalam kehidupan saya. Oleh kerana saya teringat akan mereka, maka saya ingin perkenalkan mereka kepada kalian.


Perempuan-perempuan ini, adalah perempuan-perempuan yang DILUPAKAN barangkali.

Hari ini, perempuan melihat kepada siapa untuk mereka contohi?

Hari ini, lelaki akan memilih perempuan yang bagaimana untuk dijadikan isteri?

Hari ini, ibu bapa akan membesarkan anak perempuan mereka mengikut perempuan yang mana?

Hari ini, masyarakat akan mengangungkan perempuan yang bagaimana?

Hari ini, perempuan jenis apakah yang dikira sebagai mulia?

Hari ini, perempuan bagaimanakah yang lelaki puja?

Persoalan ini, anda boleh jawab sendiri di dalam hati, dengan melihat keadaan sekeliling kita. Anda akan melihat satu jawapan yang sama, walau di mana sahaja anda berada. Perempuan jenis ‘itu’. ‘Itu’ itu anda terjemahkan sendiri dengan pengamatan anda pada keadaan hari ini.


Kita lihat hari ini, masyarakat, baik lelaki atau perempuan, orang tua atau anak-anak, telah melupakan sebahagian perempuan-perempuan agung yang sepatutnya dijadikan contoh, qudwah untuk wanita-wanita seluruh dunia, sepanjang zaman. Sesungguhnya, figur-figur inilah yang mengusung panji ISLAM dalam kehidupan, seterusnya memuliakan diri mereka dengan kalimah ALLAH SWT. Maka hari ini, saya nak memperingati perempuan-perempuan yang dilupakan oleh ummah ini.


PERSIS WANITA DAMBAAN MUSLIMIN.........




Ramai manusia sudah melupakan UMMUL MUKMININ KHADIJAH BINTI KHUWAILID. . Dialah yang digelar Afifah Solehah (wanita suci). Seorang wanita yang sanggup berkorban segala kekayaannya untuk membantu dakwah Rasulullah SAW. Dialah yang paling pertama beriman, tanpa meragukan seruan Rasulullah SAW. Dialah wanita, yang menenangkan suaminya yang ketakutan tanpa memperlekehkan. Dialah wanita, yang tegar bertahan susah senang bersama suaminya, sehingga nyawa ditarik ALLAH SWT. Bayangkan, dia adalah seorang yang kaya raya, hartawan, tetapi sanggup dipulau bersama Rasulullah SAW selama 3 tahun 3 bulan dan makan pucuk kayu sahaja hingga pecah-pecah mulut.


FATIMAH AZ ZAHRA....


Ramai juga terlupa dengan FATIMAH AZ ZAHRA puteri Rasulullah SAW. Dialah yang bertahan di sisi Rasulullah SAW ketika ayahandanya itu diseksa teruk. Tanpa kecewa, tanpa rasa hendak berputus asa, dia sentiasa membantu ayahandanya yang sering disakiti. Tangannya yang bersih dan suci itulah yang mencuci najis yang dibalingkan ke tubuh ayahandanya. Tangannya yang suci itulah yang membersihkan segala luka ayahandanya. Seorang wanita yang tabah, kuat menempuhi segala dugaan.


ASIAH...


Ramai yang telah terlupa akan seorang wanita bernama ASIAH. Dia adalah isteri kepada Firaun yang menentang Musa. ALLAH telah menjadikan bicara lembutnya menyelamatkan Musa AS dari dibunuh Firaun. ALLAH juga menjadikan dia antara yang beriman dengan seruan Musa AS. Malah, ALLAH telah merakamkan namanya di dalam Al-Quran, dan menjanjikan kepadanya syurga atas balasan ketabahannya dalam mengharungi hidup bersama Firaun dan menerima segala seksaannya dalam mengekalkan deen ISLAM dalam dirinya.


MASYITAH


Ramai pula yang tidak tahu berkenaan MASYITAH. Dia adalah tukang penyisir rambut anak Firaun. Beriman kepada ALLAH SWT dan Nabi Musa, kemudian keimanannya diketahui oleh Firaun. Akhirnya dia bersama suami, serta anaknya yang masih bayi telah dicampakkan ke dalam kuali penuh minyak mendidih. Walaupun nyawa di hujung tanduk, imannya tidak tergadai, malah terjun dengan penuh keyakinan. Masyitah mati syahid mempertahankan imannya dari digadai.


MARYAM


Ramai juga yang telah terlupa kepada MARYAM, ibu kepada Isa AS. Sang Perawan itu menjaga dirinya, mengabdikan diri dalam bilik yang terkunci, ALLAH memuliakannya dengan memilih Zakaria as sebagai penjaga. Maryam yang suci inilah dipilih ALLAH untuk mengandungkan Isa AS. Apabila dia melahirkan Isa AS dan ditohmah dengan pelbagai dugaan, dia bergantung kepada ALLAH, dan bersangka baik atas segala apa yang berlaku ke atasnya. Akhirnya anaknya Isa AS boleh berbicara dan menyeru manusia sedari buaian.


Siapakah yang hendak mencontohi Nusaibah RAH? Ketika Perang Uhud, Nusaibah keluar memberi minum kepada pasukan Muslimin yang kehausan dan merawat mereka yang mendapat luka. Apabila tentera Islam menjadi terdesak dan lari dari medan perang, cuma ada seratus orang sahaja yang tetap bertahan dan Nusaibah adalah salah seorang yang menghunuskan pedang serta memakai perisai bagi melindungi Rasulullah dari diserang musuh. Kesungguhan Nusaibah melindungi Rasulullah begitu hebat, hinggakan Rasulullah berkata, “Aku tidak menoleh ke kiri dan ke kanan kecuali melihat Ummu Imarah (Nusaibah) berperang dihadapanku.”

Ketika itu, anaknya Abdullah luka parah ditikam musuh. Dia mengikat luka anaknya lalu berkata, “Bangun wahai anakku.” Anaknya itu terus bangun dan melawan tentera musuh. Rasulullah yang melihat peristiwa itu bersabda. “Wahai Ummu Imarah, siapakah yang mampu berbuat seperti mana yang engkau lakukan?” Ketika tentera musuh yang menikam anaknya itu menghampiri, Rasulullah berkata kepadanya, “Ini dia orang yang telah melukakan anakmu.” Nusaibah menghampiri orang itu dan menikam betisnya dengan pedang. “Ya, Ummu Imarah! Engkau berjaya membalasnya,” kata Rasulullah sambil tersenyum melihat kesungguhan Nusaibah hatta Rasulullah SAW pun bersorak untuknya. Siapakah yang mengingati Ummu Imarah ini?


UMMU SULAIM...

Siapakah pula yang hendak menjadi seperti UMMU SULAIM? Dia berkahwin dengan Abu Talhah dengan mahar iman. Abu Talhah seorang kafir ketika itu, jatuh hati kepada Ummu Sulaim yang masih muslim. Ummu Sulaim berkata: “Jika hendak mengahwiniku, maka maharnya adalah iman”. Maka islamlah Abu Talhah. Sehingga ada sahabat yang berkata, “Aku belum pernah melihat seorang wanita sama sekali yang lebih mulia maskawinnya dibandingkan dengan maskawin Ummu Sulaim.” Malah, dia mentarbiyyah suaminya, sehingga suaminya menjadi seorang sahabat yang komited. Siapa yang tidak kenal dengan Abu Talhah? Dialah yang menyambut semua panahan yang ditujukan kepada Rasulullah SAW, pada hari Uhud dengan belakang tubuhnya. Lihatlah bagaimana Ummu Sulaim mentarbiyyah suaminya? Adakah lagi isteri yang sebegitu hari ini?



AISYAH R.A..



Siapakah pula yang hendak mencontohi isteri Rasulullah SAW, AISYAH RA? Ketika peristiwa Hadith Ifki (kisah rekaan) berlaku, menumpahkan fitnah ke atasnya, mengotorkan namanya, dia tetap teguh, yakin kepada ALLAH SWT. Tiada sebentar pun dia bersangka buruk kepada ALLAH SWT bila ditimpa dugaan.


ASMA' BINTI ABU BAKAR..


Siapakah pula yang mengingati ASMA' BINTI ABU BAKAR?? Dia digelar Zat An-Nitaqain kerana mengoyakkan tali pinggangnya kepada dua untuk membawa makanan kepada Rasulullah SAW dan bapanya Abu Bakr RA ketika persembunyian di Gua Thur. Dialah juga yang dilempang oleh Abu Jahal sehingga tercabut subang di telinganya, kerana tidak mahu memberitahu posisi Rasulullah SAW dan bapanya ketika hijrah. Dialah juga yang mentarbiyyah anaknya, Abdullah Ibn Zubair RA, sehingga menjadi seorang sahabat Rasulullah SAW yang berani.

KHANSA


Siapakah pula yang ingat kepada KHANSA? Dia mempunyai empat orang anak. Dia mentarbiyyah empat orang anaknya dengan baik. Apabila mendapat seruan jihad, dihantarnya anaknya yang sulung. Anak sulungnya syahid. Dihantar pula yang kedua. Yang kedua juga syahid. Dihantar pula yang ketiga. Yang ketiga juga syahid. Begitu jugalah juga dia menghantar anaknya yang keempat, dan yang keempat itu pun syahid. Akhirnya dia menangis. Orang berkata, “Khansa kesedihan kerana kehilangan semua anaknya” Tetapi tahukah kalian apakah jawapannya? “Diamlah kalian, sesungguhnya aku bersedih kerna aku tidak punya anak lagi untuk dihantar berjihad di jalan ALLAH”


Wahai perempuan hari ini, siapakah antara kamu yang mengingati mereka?

Wahai lelaki hari ini, siapakah antara kamu yang mengenang mereka?

Wahai ummah, hari ini perempuan mana yang kamu puja dan puji?

Oh masyarakat, hari ini perempuan bagaimana yang kamu sanjungi?
Oh perempuan, hari ini perempuan mana yang kamu ikuti dan contohi?
Oh lelaki, hari ini perempuan yang bagaimana kamu gila-gilai untuk jadikan isteri?

Siapa?

Sesungguhnya perempuan-perempuan dalam lipatan sirah ini telah dilupakan. Mereka sememangnya perempuan-perempuan yang telah dilupakan. Sedangkan pada diri mereka, terdapat kemuliaan yang tiada tandingan. Dan hari in saya teringatkan perempuan-perempuan itu..


Mampukah saya yang kerdil ini memiliki wanita seperi mereka?

sumber : nalurisianakmuda.blogspot.com

Monday, 8 February 2010

Perubahan Fasa

Perubahan fasa dalam kehidupan seseorang merupakan satu tempoh yang penuh dengan cabaran yang tidak terduga. Tahun ini merupakan tahun permulaan dalam bidang karierku, pasti berbeza dengan tempoh pembelajaran selama 7 tahun di ipt, pasti ku rindui suasana menimba ilmu itu. Perubahan fasa pembelajaran kepada fasa kerjaya perlu di teliti agar apa yang aspirasi dan agenda sebagai seorang pelajar tidak terkubur begitu sahaja. Sebagai seorang yg menerima scholarship drpd Sime Darby, aku terpaksa akur dengan kontrak yang telah kami persetujui, khidmat selama lima tahun atas balasan terhadap 5 semester penajaan. Namun, menanti panggilan untuk 'job placement' merupakan dugaan yang pertama.

"Penantian itu satu penyeksaan"

Tahun ni jugak akan memperlihatkan perubahan fasa daripada gelaran 'suami' kepada 'ayah', dengan izin Allah jua. Makin besar jua tanggungjawab yang harus dipikul. Menerima anugerah cahaya mata bererti menerima rezeki dan tanggungjawab. Gagal bersyukur atas rezeki yang dikurniakan dan gagal melaksanakan tanggungjawab bererti menempah malapetaka. Rezeki mendapat seorang isteri yang solehah pun belum tersyukuri lagi. Allah.... terasa berat utk aku menghadapi perubahan fasa ini.....

Itu belum cerita tentang mengidamkan keluarga "mawaddah wa rahmah" lagi....

Kini adikku pula memecahkan rekod dengan melangsungkan rumah tangga pada 15 feb ini. Dalam umur 23 tahun, fasa itu berlaku tatkala dia masih melanjutkan pelajaran di Mesir-medic. Mgkn gen-Y akan melalui fasa ini dengan begitu pantas. Namun Alhamdulillah semuanya mengikut kaedah Baitul Muslim yang betul.

Beberapa tips buat adikku:
  1. Komunikasi yg effektif- kerana kita bukanlah daripada golongan yang bercinta dan berkasih sayang sebelum bernikah (atau berkahwin sblm bernikah) maka masa inilah peluang untuk kita bermadu mesra, berkasih sayang dan meluahkan perasaan. Ketelusan itu penting dan berkomunikasi dengan baik dapat membina kefahaman yg baik antara pasangan. Jangan simpan apa yg terpendam di dalam hati atau persepsi dalam minda tetapi luahkan ia dengan cara yg baik, sopan dan berhikmah.
  2. Bertolak ansur- pasti setiap pasangan mempunyai kehendak dan minat masing2 sebelum berkahwin. kadang kala berlaku 'clash of interest' maka di sini lah kebijaksanaan dan komunikasi memainkan peranan supaya kita dapat bertolak ansur. Kadang kala kita terpaksa korbankan main bola di pagi ahad sebab nak teman isteri beli belah di pasar, kene tunggu isteri habis sembang dengan member2 dsb.
  3. Hubungan dengan Allah- kerana Allah yg memegang hati manusia dan Dia jua lah yg mempertemukan kita, maka sekiranya kita mahu hubungan ini kekal maka kita perlu menjaga hubungan kita dengan Allah. Syukurilah ni'mat mendapat isteri dengan dengan bermunajat kepada Allah dan tika menghadapi masalah maka adukanlah kepada Allah, insyaAllah segalanya menjadi muda....
Ucapan selamat maju jaya kepada pasangan muda yang berjaya menempuh fasa dengan keredhaan Allah...

sumber : bingkisanpemuda.blogspot.com

Warna-Warna Politik Malaysia : Nizar vs Zamry

Hidup ini penuh dengan kejutan. Begitu juga esok. Kejutan akan terus berlaku berikutan pengumuman keputusan mahkamah dalam perbicaraan Siapa MB Perak Yang Sah. Sekali baca, lucu pun ada. Kalau masa kecil-kecil dulu kita berebut straw, barang permainan dengan adik-beradik. Tapi sekarang bila dah besar, akal dah hidup di kepala, kita bisa saja kompromi. Balik kampung raya, kereta ada 2 tapi 5 orang ada lesen. Boleh bincang bila kau nak guna, bila aku nak guna. Bila mak & ayah guna. Semua mampu bertindak dengan matang.


Tapi aku hairan dengan orang politik. Dah besar malah lebih tua dariku tapi masih bersifat keanak-anakan. Bukan berebut straw tapi berebut kerusi, berebut negeri. Bertambah pelik bila yang bertelagah ada P.hD, ada I.r !. Lawak-lawak. Kadang-kadang susah nak bicara dengan orang cerdik ni. Dia rasa dia cerdik, jadi dia rasa hebat. Bila rasa hebat, ego dalam diri mula meninggi. Kalau dah ego, ikut kepala dia saja. Ini pengalaman saya jadi cerdik & berurusan dengan orang cerdik. Sekarang saya dah tak berapa cerdik. Maka saya dapat melihat dari kaca mata orang yang tak berapa cerdik.



Kan bagus kalau dapat guna P.hD & I.r tu untuk kepentingan bangsa & agama. Dah ramai melayu yang berjaya, tapi belum ramai yang dapat berfikir di luar kotak. Skil ni tak diajar secara langsung di kelas-kelas pengajian universiti. Kena cari & asah sendiri.


Hmmm….semoga keputusan esok mencerminkan kematangan kita.

Pasca Kobanna


Saya cuba mencari-cari komen peserta yang hadir dalam Konvensyen Pemikiran al-Banna yang berlangsung pada Sabtu lepas. Ada yang saya dapat melalui SMS, ada yang melalui Fecebook. Ada juga komen lisan dan pelbagai lagi. Ada yang positif dan ada juga yang negatif.

Sebelum saya ulas secara umum tentang komen-komen tersebut, saya ucapkan tahniah yang tidak terhingga kepada semua AJK Kobanna yang telah bertungkus lumus siang dan malam selama berminggu-minggu untuk menjayakannya. Nama-nama, saya tak dapat nak tuliskan di sini sebab terlalu banyak. Tulis nama orang ni, tertinggal nama orang tu. Nanti ada yang kecil hati pula. Jadi saya ucapkan tahniah dan syabas secara umum sahaja di sini.

Komen paling kelakar adalah apabila ada peserta yang sedikit merungut kerana Konvensyen tidak berlangsung seperti yang dia sangkakan. Rungutnya: “Ingatkan Hasan al-Banna yang bentang kertas kerja, rupanya orang Melayu je.” Rupanya ada juga yang masih tidak kenal Hasan al-Banna.Tapi apa pun, peserta tersebut telah mengikuti konvensyen dengan begitu baik sekali.

Secara umum saya berharap kepada semua peserta dan juga yang tidak hadir agar meneliti semula kertas-kertas kerja dan ucaptama yang telah dibentangkan. Nantikan VCDnya yang insyaAllah akan terbit dalam beberapa masa lagi. Sesetengah idea yang dibentangkan mungkin baru pada sebahagian kita. Jangan terus menolaknya, tapi renung dan fikirkan dengan pandangan yang terbuka. Kita mungkin telah terlalu lama diperangkap oleh blok-blok politik. Sebab itu ada sebahagian terus buat pertanyaan: “Adakah ini maknanya ISMA akan mengundi parti sekian-sekian?” Apa yang kita nak cadangkan adalah suatu yang berada di luar dari blok-blok tersebut. Saudara bebaskan diri dari blok itu, saudara akan lihat banyak jalan penyelesaian kepada masalah kita di luar sana.

Secara umum saya juga berharap agar ahli-ahli ISMA faham kedudukan mereka sekarang. Kita perlu mula belajar memainkan peranan yang lebih luas dari rutin kita sebelum ini. Anggaplah diri saudara-saudara sekelian sebagai hero yang dinantikan oleh masyarakat Islam Malaysia. Bukan nak angkat bakul sendiri. Bukankah meletakkan diri sebagai pemimpin adalah seruan al-Quran kepada kita? Tarbiah yang kita lalui setiap hari, inilah tujuan dan matlamatnya. Ia adalah proses berterusan yang memampukan kita untuk menyumbang ke arah perubahan hakiki di dalam masyarakat. Kalau kita tak mampu sumbang sesuatu, ada masalah pada tarbiah yang dilalui selama ini.

Akhirnya saya berdoa agar semua kita mampu menanggung getaran halus Kobanna. Bila kita mula menyuarakan pandangan, kita akan dapat peminat dan pengkritik. Dengan itu hati kita kena besar dan jiwa kita kena tabah. Kita perlu berusaha terus menjelaskan pandangan tanpa jemu agar suara kita tidak disalahfahami. Jangan mudah melatah kerana masalah biasanya akan selesai dengan langkah yang tenang.

Wallahu a’lam.


sumber : satuperkongsian.wordpress.com

Sunday, 7 February 2010

Resolusi Konvensyen Pemikiran Hasan Al-Banna


Pada 30 Januari 2010 Isma telah mengadakan konvensyen Pemikiran HAB dan telah berjaya menarik lebih dari 3,000 peserta dari seluruh negara. Konvensyen ini juga telah di hadiri oleh wakil NGO dan ahli2 politik. Dalam konvensyen tersebut Isma telah mengutarakan pandangannya terhap pemikiran HAB dalam menangani kemelut umat islam di negara ini.

Berikut adalah Resolusi yang di dapati hasil pembentangan beberapa kertas kerja dan perbincangan yang di adakan :-

RESOLUSI KONVENSYEN

”PEMIKIRAN HASSAN AL BANNA DALAM

MELAKAR AGENDA BANGSA”

Kemelut perbezaan ideologi dan kekeliruan identiti yang melanda bangsa Melayu Muslim, sebagai bangsa teras umat islam di negara ini, memerlukan satu jawaban yang mampu membawa satu penyelesaian yang menyeluruh. Penguasaan ideologi barat yang berasaskan humanisme telah berjaya mencengkam pemikiran bangsa Melayu sehingga mereka sudah tidak yakin dengan kemampuan diri dan terpaksa bergantung kepada bangsa lain. Lebih memburukan lagi apabila bangsa Melayu Muslim ini sanggup berganding bahu dengan bukan islam demi menjatuhkan bangsa Melayu Muslim yang lain. Perebutan kepada kuasa politik menyebabkan mereka hilang pertimbangan sehingga terpaksa berkompromi dalam ideologi perjuangan mereka. Dalam masa yang sama kesempatan ini di gunakan sepenuhnya oleh bangsa lain untuk menghina orang Melayu dan menuntut segala hak kesamarataan termasuk dalam isu-isu agama.

Sebagai bangsa majoriti, masa hadapan negara amat bergantung kepada keutuhan bangsa Melayu. Maka dengan itu konvesyen ini telah mengenegahkan pemikiran Imam Hassan Al Banna dalam menentukan metod yang praktikal bagi merubah masyarakat Melayu Muslim untuk menjadi sebuah bangsa yang mulia dan berwibawa. Hasil pembentangan dan perbincangan, konvensyen ini mengemukakan resolusi-resolusi berikut :-

1. Untuk menjayakan agenda Islam yang besar ianya mestilah bermula dengan membangunkan sebuah bangsa yang kuat. Oleh itu, selaku kaum majoriti, membangunkan semula bangsa Melayu Muslim menjadi pra syarat kepada kemuliaan islam di negara ini dan ia mesti menjadi gagasan utama pemimpin negara.

2. Perpecahan antara golongan Melayu Islamis dan Melayu Nasionalis yang berpunca dari sikap kepartian yang melampau menjadi punca kelemahan bangsa. Oleh itu ia mesti di hentikan segera supaya orang Melayu tidak terpesong dari tujuan asalnya dan terjebak dalam agenda orang lain.

3. Pemikiran humanisme yang meletakkan kehendak manusia sebagai matlamat dan pusat kehidupan akan melahirkan bangsa Melayu yang tiada identiti Kemelayuan dan Ketimurannya serta hilang jatidiri sebagai seorang yang berani dan berpegang teguh kepada agama. Untuk menyekat pemikiran ini masyarakat Melayu Muslim mesti dikembalikan semula kepada pendekatan keagamaan.

4. Model Fikrah Islam Syumul Al-Banna yang merangkumi aspek akidah, ibadah, tanah air, bangsa, toleransi, kuasa, akhlak, budaya, ekonomi dan undang-undang terbukti telah berjaya menangkis fahaman dan ideologi Barat dan mampu membangunkan kembali jatidiri masyarakat.

5. Usaha mengubah nasib orang Melayu Islam di tanah air sendiri tidak akan membuahkan hasil jika Islam tidak diambil sebagai dasar dan falsafah. Memisahkan Melayu daripada Islam dalam konteks pembangunan sebuah bangsa yang berdaulat tidak akan membawa kesejahteraan, sebaliknya keadaan akan menjadi semakin gawat dengan pelbagai isu politik, ekonomi dan sosial.

6. Kekuatan jiwa merupakan kekuatan utama dalam kebangkitan mana-mana umat di sepanjang sejarah manusia, tanpa mengenepikan ekonomi dan politik. Kesedaran rohani yang kita inginkan ialah hati yang hidup, kebangkitan perasaan dan sentimen yang sebenar, hati baru yang menyala, perasaan yang bergejolak serta roh yang bercita-cita tinggi. Semua ini mesti di tanam di dalam jiwa bangsa Melayu Muslim.

7. Dalam menilai dan menentukan sikap terhadap sesuatu isu, masyarakat Melayu Muslim mesti berpandu kepada Maqasid Syarak dengan hujjah dari nas yang sahih bukan berasaskan kepentingan kuasa politik.

8. Tahaluf muslim dengan non muslim tidak boleh membawa kepada wala’ kepada non muslim apatah lagi untuk membantu mereka bagi menjatuhkan muslim lain. Ia hanya di benarkan apabila non muslim memenuhi syarat yang di tentukan syarak.

sumber : suaradarigunung.wordpress.com