Friday, 26 February 2010

MELAYU : Dimanakah Silapnya Kita ?.

Demi diri manusia dan yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya). Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertaqwa. Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya – yang sedia bersih – bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan), Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya – yang sedia bersih – itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat). [Asy-Syams : 7-10]

“Abang Akmal, saya nak tanya satu soalan boleh?”, tanya Bobo. Bekas junior saya yang kini lepasan SPM.

“Hah tanyalah”

“Hm, kenapa mentaliti orang Melayu tak berubah?”

Soalan yang sangat agak memetik minda. Seolah-olah adik saya yang seorang ini ingin menguji nampaknya.

“Sebab suasana kita tak berubah”

“Maksud abang?”

“Orang-orang kita kan super-suasana. Ada suasana, kita akan mengikut. Sekitar itu sahajalah mentaliti”

“Betul juga tu”, Bobo mengiyakan.

“Lihatlah suasana yang sering bermain di negara kita. Suasana barat, lalu ramai yang memilih untuk meniru”, sambung saya.

“Hm.. Orang barat mencipta suasana dengan movie mereka. Kita pun terikut”

“Orang Melayu pula cipta movie, menunjukkan kebodohan kita sendiri kan?” Idea dari Bobo pula menyusul.

Ketawa kami. Memang ada benarnya kebanyakan filem negara kita tidak mencapai usikan akal yang memberi motivasi dan ‘suasana’ yang dimaksudkan. Filem barat pula berduyun-duyun sampai ke negara kita, menayangkan sejumlah suasana, atau ‘sunnah’ barat yang sangat kontra dengan budaya kita yang asalnya.

“Sebab itulah kita sepatutnya menggunakan ilmu yang kita ada ni untuk mencipta suasana, lebih-lebih lagi dalam hal media”, pesan saya.

“Walaupun sebab suasana ini ada kelemahannya, kita boleh menggunakan kesempatan suasana untuk kebaikan”, pandangan saya dengan perbincangan isu ini bersama Bobo.

Kadang-kadang saya terfikir juga isu melayu yang seringkali bermain di bibir-bibir mulut orang kita sendiri. Acapkali menyebut tentang bangsa Melayu, mengapakah tiada perkara yang baik keluar?

Di manakah silapnya kita?

Selama saya mempelajari sejarah, saya melihat tamadun demi tamadun bangun dengan memperjuangkan bangsa. Adalah satu perkara yang amat menyedihkan, belum pernah lagi saya membaca hal-hal bangsa yang menjatuhkan bangsa sendiri, melainkan ia wujud daripada bangsa saya sendiri.

Tidak tergamakkah membodohkan bangsa sendiri? Bahkan mengaku kalau diberi pilihan, tak mahu lahir dalam bangsa Melayu? Sehina inikah bangsa kita?

Saya teringat satu saat bual-bual makan bersama seorang pensyarah English Language di UIA, Sir Firdaus. Dia seorang yang berbangsa black American. Perbualan kami sepanjang sarapan pagi itu betul-betul mengajar saya banyak perkara.

Sir Firdaus banyak menceritakan perihal bangsanya, meskipun saya tiada kena mengena untuk tahu. Daripada penciptaan sains, pejuang bangsa, Red Indian dan sebagainya, habis diceritakan tentang hebatnya orang kulit hitam nak dibandingkan dengan si kulit putih Amerika sana.

Saya cuba merenung, seberapa banggakah kita ditakdirkan berbangsa Melayu?

Satu-satu bangsa yang kalau bukan kerana suasana dalam sejarah dahulu, kita tidak akan memeluk Islam.

Satu-satu bangsa kalau bukan kerana suasana, kita tidak akan pertahankan Islam tatkala missionari Kristian cuba menodai agama ini.

SUASANA & BUDAYA YANG TERHAKIS

Hal ini jika kita cuba merenung sejarah, kita begitu kuat memperjuangkan bangsa sendiri dalam mencapai kemerdekaan. Kita juga sehingga hari ini masih lagi bangsa yang Islam. Bukan sedikit, bukan separuh, bukan majoriti. Tetapi bangsa kita dikira salah satu bangsa dari seluruh dunia yang berlabel Islam.

Sedikit demi sedikit kita kehilangan budaya kita angkara memberi masuk suasana luar mendominasi generasi-generasi kita.

Bermula dari bahasa, kemudian tingkah laku. Akhirnya menjadi budaya. Budaya yang songsang oleh bangsa kita sebenar inilah angkara sebenar mengapa kita hilang rasa Melayu, dan semberono menghina bangsa sendiri.

“Me-layu”, itulah hinaan ramai orang. Semakin lama semakin ‘layu’. Pandai menuding jari, tetapi hakikatnya kita sendiri yang ‘layu’ dari mengenal siapa bangsa sendiri.

Lihatlah suasana hari ini yang begitu kuat bermain dengan isu-isu yang langsung tidak membantu kita dengan menyatukan bangsa Islam dominan di Malaysia ini. Bahkan isu-isu inilah yang menjatuhkan kita, daripada hidup bermasyarakat. Kini sedar tak sedar, kita menjadi bangsa yang assobiah dalam assobiah.

Akhirnya kita melihat, satu suasana yang merobek sosiobudaya Melayu kita sendiri dengan isu baru, suasana baru, menjatuhkan erti bermasyarakat daripada hidup bersepakat.

Tidak untung apa-apa. Tetapi merugikan diri sendiri.

Kalaulah memang ada musuh bangsa, tidakkah mereka ketawa melihat kita bertelagah megah di media?

Itulah suasana kita.

Sekitar perkara yang kecil, berulang dan berulang.

ANAK-ANAK KITA – OLEH M.NASIR

Ada satu lirik lagu yang sangat mendalam dan tersirat maknanya menyebut tentang anak-anak bangsa kita.

Anak Anak Kita

Anak-anak kitakah yang berlari telanjang
Di bawah mentari sumbing
Sambil bernyanyi lagu
Ketakutan hari-hari ini

Anak-anak kitakah yang memikul beban
Kesilapan kita
Hingga dia tak kenal
Budaya canggung bangsa sendiri

Selamatkan anak kita
Dari padang jerangkap samar
Selamatkan anak kita
Orde baru politikus usang

Anak-anak kitakah yang bermain
Di hutan belukar
Dengan senapang kayu ubi
Cambah tak kenal bahaya

Anak-anak kitakah yang tak tahu nak pulang
Bila petang
kerana terlalu sibuk main lastik
Dan berpistolan
Pistol-pistolan

Jaga-jaga anak kita
Jangan sampai jadi hamba
Jaga-jaga anak kita
Kita ini orang merdeka

Panggillah mereka pulang
Ayah nak ajar
Tentang kurang ajar
Jadi mereka takkan sendiri lagi

Panggillah mereka pulang
Ayah nak ajar
Tentang kurang ajar
Jadi mereka takkan dimomok lagi

Fikir
Selamatkah kita di tangan tukang karut itu
Fikir
Selamatkah kita di tangan dalang wayang itu
Fikir
Selamatkah kita di tangan ahli koporat itu
Fikir
Selamatkah kita di tangan doktor jiwa itu
Fikir
Selamatkah kita di tangan pakar kitab itu
Fikir
Selamatkah kita di tangan tuhan-tuhan itu

TAKKAN MELAYU HILANG DI DUNIA

Saya tertarik mengingati kata-kata keramat yang menjadi azimat turun-temurun dalam sejarah Melayu oleh Hang Tuah.

“Takkan Melayu hilang di dunia!”

Pada saya untuk memikirkan kata-kata singkat itu, seolah-olah itu hanya bahasa yang biasa dan tiada kiasan yang mempunyai ‘momentum’. Tetapi jika saya meletakkan diri saya pada situasi itu, zaman Hang Tuah seolah-olah saya mendengar kata-kata yang memaksudkan bangsa Melayulah bangsa pahlawan, bangsa yang bangkit dan bangsa yang perkasa.

Lalu saya kembali bermain dengan ayat itu dengan zaman ini, saya merasakan ‘takkan melayu hilang di dunia’ seolah-olah satu lawak jenaka. Yakni maksudnya kontra dengan didikan pemikiran yang mendefinisikan Melayu ini sendiri.

Hal telah memberi saya satu kesedaran bahawa tidak dapat dinafikan bahawa kita, termasuk diri saya sendiri benar-benar semakin pudar mengingati kolektif dan mutiara Melayu yang tertinggal di belakang. Lihatlah seberapa banyak yang masih mengamalkan tradisi, adab sopan dan kebijaksanaan berfalsafah dalam Melayu kita.

Tak mustahillah yang falsampah sahaja tinggal.

Pada saya kekuatan kita dalam berbangsa adalah ketikamana kita kembali pada sejarah. Kita mulai mengenal jatuh bangunnya bangsa kita, reaksi kita terhadap penjajah. Pada saya kegemilangan Melayu itu akan menjulang tinggi kembali ketika kita mula menghargai bahasa Melayu.

Kita sepatutnya pandai cakap bertapis, kita memang kuat sensitif, kita memang bersopan santun.

Jika tiada lagi nilai itu, kita pengkhianat bangsa. Meskipun agak kasar untuk saya katakan demikian, jelas jika nilai murni yang kita sepatutnya budayakan itu kita campak dan sepak terajang. Lupakan tentang keburukan, jika bukan itu yang kita utamakan. Bak kata Ustaz Hasrizal, setiap bangsa ada ‘daki’nya sendiri.

KENAPA BANGSA?

Saya bukanlah bercakap tentang bangsa atas sebab saya seorang pejuang bangsa, ataupun saya rasisme. Saya cuba ketengahkan isu bangsa tatkala kelompok sebangsa semakin menghina-hina. Kalau seorang dua yang menghina, lain cerita. Tetapi kini suara-suara sumbang ini diteladani, sehingga menjadi bualan yang biasa-biasa.

Ada pula istilah ‘waktu melayu’, ‘janji melayu’, ‘melayu sungguh’ dan sebagainya.

Adapun konteks yang ingin saya bincangkan ini adalah kita sebagai umat Melayu sekaligus beragama Islam perlu melihat satu perkara bahawa perjuangan yang kita akan bawa selepas ini adalah khazanah Islam ditengah-tengah masyarakat berbilang kaum ini, juga berbilang agama.

Boleh juga saya mengandaikan jika saya sendiri sebagai contoh, di Australia, tentu sekali kelompok atau komuniti yang paling saya selalu bersama mestilah daripada kalangan bangsa saya sendiri. Ketika itu barulah merasai kelompok bangsa muslim Melayu ini sebagai komuniti yang minoriti. Meskipun begitu fasih sekalipun saya berdialek Australia, saya tidak dapat mengelakkan diri dari kembali ke komuniti sebangsa saya sendiri. Di sanalah saya akan beraktiviti, berkongsi, membantu dan nasihat-menasihati.

Bagitu juga jika saya berada Jordan, meskipun di sana bermajoriti penduduk umat Islam, tentu sekali aktiviti-aktiviti dakwah, program dan sebagainya dijalankan dalam bentuk yang paling mudah untuk mendekati kalangan bangsa saya sendiri. Meskipun memegang syiar menggunakan bahasa Arab sebagai bahasa perantaraan, kita tak boleh menafikan bangsa inilah disuap dengan nasi, sambal ikan bilis, ayam masak merah beserta kicap tamin.

Kerana saya juga orang Melayu.

sumber : senikehidupan.wordpress.com

Tuesday, 23 February 2010

Pertanian Adalah Perniagaan

Pernahkan anda tahu bahawa Hasan Al-Banna mempunyai data yang lengkap akan keluasan tanah-tanah terbiar di bumi Mesir? Begitulah syumulnya fikrah beliau.

Sebut sahaja pertanian, dalam konteks dakwah ianya bukan sahaja asing kepada pendakwah di Malaysia ini, kerana ianya kerjaya yang tidak glamor dan agaknya berapa kerat sahaja para petani di Malaysia yang memiliki fikrah Islami. Dan golongan petani ini bukanlah golongan sasaran mad’u oleh duat di Malaysia ini. Dan tidak ramai usahawan tani Melayu yang benar-benar berjaya.

Saya agak bertuah kerana boleh bercakap tentang pertanian dan ternakan ikan, kerana dianugerah minat dengan tanah dan sedang ’sibuk’ bertani. Dulunya sekadar beriadhah di kebun, kini memikirkan pula untuk menjana wang dari pertanian ini. Saya kagum dengan dua orang doktor lain yang sudah berjaya dalam ladang pisang montelnya (masih seorang doktor pakar saraf), dan seorang lagi terus berhenti menjadi doktor untuk menjadi penternak jaya (kambing) sepenuh masa di Terengganu. Holistik dalam fikrah dan dalam berpengalaman banyak bidang.

Bersama jiran yang juga mempunyai minat yang sama, dan setelah berjaya menanam kira-kira 100 pokok-pokok buahan, kini saya sedang mengusahakan tanama pisang – hampir 1,500 pokok pisang (pisang berangan dan nipah). Sebelum ini nama-nama pisang pun saya keliru!

Rupanya baru saya tahu teknologi canggih terkini yang menggunakan benih pisang tisu kultur. Cuma yang membuat saya tertanya-tanya apabila pihak MARDI menjual sehingga RM2 untuk sebatang pokok, sedangkan pihak swasta menjualnya sekitar RM1.60. Sepatutnya badan kerajaan tidak mengambil keuntungan sedemikian rupa.

Dan baru saya tahu bahawa, petani kaum Cina sudah lama mengusahakan pisang tisu kultur ini. Ya, mereka sudah lama maju dalam perniagaan dan pendidikan serta dalam pertanian ini mereka juga jauh maju ke hadapan.

Juga saya baru tahu, dalam jangka setahun setengah, pokok pisang ini akan membiak secara produktif sehingga 3 batang dan menghasilkan 3 tandan pisang yang memberi pendapatan kira-kira RM60. Maka jika seribu pokok, pendapatan kasarnya ialah kira-kira RM60 ribu (18 bulan). Apa yang saya dapat tahu, petani Cina ini biasanya menanam di tanah pajak kira-kira 2-5 ribu pokok. Malah untuk mendapatkan benih tisu kultur ini kena tempah 2-3 bln lebih awal.

Sebelum ini saya pernah ‘main-main’ menanam pokok cili dan mengakui pokok cili ini perlu penjagaan rapi, tidak seperti pokok pisang pada 2 bulan pertama sahaja perlukan penjagaan rapi.

Bertani itu beridhah dan yakinlah dengan maksud sabda Nabi SAW iaitu dikira pahala sedekah sekiranya ulat-ulat @ binatang memakan tanaman- begitulah rahmat Allah dan mudahnya mencari pahala! Cuma di musim panas ini, lebih mencabar untuk menjaga tanaman serta wajah semakin gelap dan mungkin suka-suka menternak ayam kampung dan kambing pula. Juga sesekali seronok juga bertukar angin menulis di dalam kebun. Dan yakinlah bertani itu menjana wang.

Oleh: Dr Yusof bin Abbas,
Naib YDP ISMA Port Dickson

sumber : ismaweb.net

Qudwah Jama'i, Tanggungjawab Besar ISMA


Menegakkan qudwah jama’i menjadi tanggujawab besar ISMA pada marhalah ke depan ini. Sebagaimana kita semua faham bahawa dakwah terbahagi kepada dua sudut; qauli yang kita istilahkan sebagai bayan atau keterangan dan amali yang kita istilahkan sebagai qudwah.

Kedua-dua sudut ini perlu berjalan seiring. Pada masa kita mengajak orang kepada Islam/fikrah kita kita perlu dalam masa yang sama tunjukkan contoh apa yang kita seru secara amali. Kita pernah dengar satu pepatah berbunyi, “Perbuatan seorang kepada seribu orang lebih baik berbanding kata-kata seribu orang kepada seorang”. Demikian besarnya kesan qudwah berbanding bayan dalam dakwah.

Saya sering bercakap tentang kepentingan kita menguasai wasilah al bayan seperti kemahiran berceramah, berpidato, berdialog, menulis karangan, analisa, cerpen cerita, berkarya, berlakon, berseni dan sebagainya dan masih lagi menyeru untuk itu. Tetapi yang menjadi topik perbincangan ini ialah aspek amali iaitu qudwah.

Qudwah pula terbahagi kepada dua; qudwah di peringkat individu dan qudwah di peringkat jamaah/kumpulan.

Saya sering bercakap tentang qudwah di peringkat individu dan masih menyeru agar kita terus menampilkan kesungguhan dan kesegaran penghayatan Islam dalam segenap aspek kehidupan peribadi kita.

Kali ini saya ingin menarik perhatian ikhwah semua tentang peranan baru yang bakal dipikul oleh ISMA iaitu membentuk qudwah jama’i. ISMA perlu lahir sebagai simbol penghayatan Islam yang amali dalam bentuk jama’i. Ia merupakan satu tanggungjawab yang besar tetapi tidak dapat dielakkan.

Kita perlu menjadi simbol kepada pembentukan keluarga yang Islamik, simbol dalam pendidikan anak remaja yang baik, simbol sebagai seorang ibu bapa yang bertanggungjawab, simbol tanggungjawab sosial dan manfaat umum, simbol kepada pandangan yang sederhana dan pertengahan, simbol kepada menitik beratkan ilmu, simbol kepada toleransi, simbol kepada ketekunan buat kerja, simbol kepada menghidupkan syi’ar ibadah dan akhlak dan berbagai-bagai simbol lagi.

Itulah antara apa yang boleh disenarai, bahkan banyak lagi…

sumber : ustabdullahzaik.wordpress.com

PEMBINA Tandatangani MoU Bersejarah


Mesyuarat Agong Tahunan PEMBINA kali ke-3 yang berlangsung pada 13 Februari yang lepas telah menyaksikan suatu detik yang bersejarah buat Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) apabila suatu majlis menandatangani memorandum persefahaman diadakan antara PEMBINA dan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA). Dengan termeterainya memorandum persefahaman ini, ISMA diberi kepercayaan untuk menguruskan latihan dan peningkatan ahli-ahli PEMBINA. Memorandum ditandatangani oleh mantan Presiden PEMBINA, Dr. Kamil Azmi bin Tohiran bersama dengan Presiden Ikatan Muslimin Malaysia, Ust. Abdullah Zaik b Abdul Rahman. Majlis menandatangani memorandum persefahaman ini disaksikan oleh seluruh perwakilan PEMBINA dan wakil jawatankuasa pusat ISMA. Diharapkan melalui MoU yang telah ditandatangani, Ikatan Muslimin Malaysia dapat mencurahkan segala pengalaman yang ada untuk membantu meningkatkan kualiti keperibadian dan ketrampilan ahli-ahli PEMBINA seiring dengan hasrat PEMBINA untuk mewujudkan generasi belia Islam yang berkarisma, terkehadapan dan bermanfaat kepada masyarakat.


sumber : pembina.com.my

Kisah Piala Dunia 2006


Piala Dunia nama yang sinonim dengan perlawanan bolasepak antarabangsa, diadakan 4 tahun sekali. Ia pertandingan paling popular sehingga ia mengambil nama “Piala Dunia” atau “World Cup” tanpa menyebut nama jenis sukan tersebut berbanding sukan-sukan lain. Jika siaran secara langsung disiarkan diawal pagi seperti jam 3 atau 4 pagi, pastinya ramai manusia di merata dunia termasuk di Malaysia yang akan berjaga malam untuk menyaksikannya apatah lagi jika ia pertandingan akhir atau separuh akhir. Itu bagi manusia biasa terutama kaun lelaki. Adapun kepada ahli sukan lebih-lebih lagi pemain bola di semua peringkat samada negeri, daerah, sekolah maupun peringkat kampung, sudah tentu mereka lebih setia mengikuti perlawanan-perlawanan bolasepak utama, lebih-lebih lagi Piala Dunia atau “World Cup”.

Saya masih ingat ketika saya diundang ke United Kingdom pada Musim Piala Dunia 1998 atau 2002 (kurang ingat ..) untuk menyampaikan ceramah di satu perkhemahan musim panas, pihak penganjur terpaksa menyediakan sama kemudahan TV di tempat program kerana perlawanan akhir akan berlangsung semasa hari-hari program berjalan. Ini untuk menarik minat peserta-peserta baru atau sekurang-kurangnya perlawanan akhir tersebut tidak menjadi penghalang bagi mereka untuk menyertai Perkhemahan Musim Panas Islamik yang lebih memberi menfaat kepada mereka. Dimasa yang sama juga saya mendapat tahu Perlawanan Akhir Piala Dunia yang jatuhnya pada pagi Ahad menyebabkan banyak gereja menangguhkan sembahyang mingguannya dari kebiasaannya diadakan di waktu pagi ke waktu petang !

Saya terlibat bermain bola sejak dibangku sekolah rendah ketika di sekolah maupun di kampung. Ketika di peringkat sekolah menengah, saya bermain bolasepak mewakili Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kuantan, Pahang pada tahun 1981 atau 1982. Diantara perlawanan yang saya masih ingat ialah perlawanan bolasepak diantara MRSM Kuantan melawan Sekolah Menengah Sains (SMS) Pahang (kini Sekolah Sultan Ahmad Shah kalau tak silap), Jalan Gambang, Kuantan, Pahang, yang berkahir dengan kekalahan dipihak kami. Ditahun-tahun 1981-1982, saya juga diantara pemain yang mewakili MRSM Kuantan dalam pertandingan sepak takraw dan tennis. Walaupun sudah terlibat dalam Amal Dakwah ketika itu, disamping akan menghadapi peperiksaan SPM 1982, saya masih mendapati masa dan ruang untuk berlatih dan mewakili Maktab dalam acara-acara sukan tersebut. Masa masih banyak ketika diusia tersebut.

Kegilaan alam Piala Dunia boleh mencapai tahap tanpa had. Andres Escobar, pemain pertahanan Columbia menyentuh bola menyebabkan bola masuk ke gol sendiri dalam perlawanan awal Piala Dunia 22/6/1994 melawan Amerika memberi kemenangan 2-1 kepada Amerika dan Columbia terkeluar dari perlawanan sejak pusingan awal lagi. Columbia adalah negara pusat jutawan ganja sedunia. 10 hari selepas itu, pada 2/7/1994, sekembali ke tanahairnya Columbia, beliau ditembak mati dengan 12 das peluru, tiap kali disebut perkataan “G.O.A.L” oleh Humberto Munoz Castro, dipercayai orang upahan jutawan-jutawan dadah Columbia yang berjudi dengan perlawanan Piala Dunia. Pengkebumiannya dihadiri 120,000 orang. Munoz dihukum penjara 45 tahun, tetapi dibebaskan setelah 11 tahun oleh hakim yang dirahsiakan namanya, mungkin dirasuah dengan wang dadah juga.


Italy
1–1
(a.e.t.)
(5–3 pens.)

France

Perlawanan akhir Piala Dunia 2006 ialah diantara Italy melawan Perancis (rupa-rupanya …).

Adapun pada hari ini, tanggungjawab terhadap Allah dan Dakwah, menjaga dan meningkatkan diri sendiri, memimpin dan membimbing keluarga, mendidik sanak saudara serta menyelamat dan membina masyarakat telah mengisi segenap ruang hidup dan masa saya, sehingga ia juga sering mencuri masa tidur, makan dan rehat. Sering juga masa untuk meningkatkan diri melalui pembacaan dan bertaamul (pengamatan) hilang entah kemana dicelah-celah kesibukan mengharung tanggungjawab Dakwah yang berbagai. Tanpa saya sedari acara-acara popular di dunia sudah menjadi asing dari kamus hidup Pendakwah di Jalan Allah ini. Tiada satu acara sukan pun yang tersenarai dalam fikiran. Pernah suatu hari di tahun 1998 ketika di kampung isteri, setelah melihat saya tidak memberi respon yang “natural” ketika berbual-bual, abang ipar saya bertanya kehairanan, “Nama yang kita sebut tadi ‘Siti Nurhaliza’, Halim kenal tak?”. Saya menjawab, “Tak?”. Dia menjelaskan, “Siti Nurhaliza ni penyanyi paling terkenal di Tanahair ketika ini”.

Setelah 8 jam di udara, pesawat mendarat di Melbourne Airport. Saya cuba berpakaian biasa, bertshirt, supaya tiada masalah soal jawab tentang Keganasan (Terrorism) di imigresen nanti, apatah lagi pasport saya penuh dengan chop negara Saudi, Mesir, Syria, Lubnan dan Jordan. Seorang pegawai memeriksa beg sambil seorang lagi menanya soalan-soalan termasuk pandangan saya tentang “Jihad”, Usama bin Laden dan sebagainya. “How is it goin’ mite?”. “Not too bad, thanks”, jawab saya. Saya seronok menjawab soalan mereka menggunakan slang Australia yang saya masih ingat ketika hidup 5 tahun di sini dulu. “Okie (okay), that’s it. Have a nice die (day) mite (mate)”, kata beliau mengizinkan saya masuk ke Australia. Saya yang kononnya berketerampilan “happy go lucky” bersyukur kerana dimudahkan Allah masuk ke bumi Australia, tapi rupanya soalan belum habis lagi. ”By the wie (way), who do you think will win tonite” (kamu agak siapa yang akan menang malam ini), tanya beliau berseloroh. “Who? Win what?”, tanya saya. “Yeah, tonite. Who do you think will win the match tonite?”. Saya mula resah kerana bukan sahaja tak tahu nak jawab apa, bahkan saya tak tahu apa yang berlaku pun malam tu. Rupa-rupanya disaat itu perlawanan akhir Piala Dunia 2006 sedang rancak berjalan secara langsung !! Sepanjang perjalanan dari Melbourne Airport ke rumah teman di metropolitan Melbourne, jalanraya lengang tanpa kenderaan bergerak. Semua orang berada di rumah menyaksikan perlawanan akhir tersebut, sedang saya tidak mengetahuinya langsung !

Melbourne Airport

Walaupun nampaknya keterampilan “happy go lucky” yang cuba saya rancang di Melbourne Airport seperti diatas rupanya masih belum sempurna kerana jejaka ini tak mengikuti pun World Cup yang menjadi kegilaan ramai manusia seluruh dunia, namun saya bersyukur kerana Allah swt masih menjaga diri saya dari kelalaian yang telah menjadi kebiasaan masyarakat dunia. Sehingga ke hari ini, kisah diatas menjadi salah satu modal saya dalam mendidik anak-anak dan sahabat-sahabat akan erti perjuangan dengan sepenuh masa, jiwa dan raga serta penuh fana dan tajarrud dalam Amal Islami. “Kamulah umat yang terbaik yang pernah dikeluarkan untuk manusia. Kamu menyeru kepada makruf dan kamu mencegah dari kemunkaran dan kamu beriman kepada Allah” (Al-Quran). “Wahai (Nabi) Yahya, ambillah Kitab ini dengan kuat (bersungguh dalam memperjuangkannya)” (Al-Quran). Kisah diatas bukan ingin membincangkan hukum Syarak tentang menonton Piala Dunia atau sebarang perlawanan resmi sukan-sukan luar negara dan Tanahair, akan tetapi ia membentang hakikat mengenai fokus amal harian para Duat di jalan Allah, ruang masa yang kita sususn dan peruntukkan, serta kesungguhan kita untuk mencapai matlamat jauh membina Individu Muslim, Keluarga Islam, Masyarakat Islam, Kerajaan Islam, Negara Islam, Khilafah Islam dan Memimpin Alam dengan Islam yang kita warisi dari Rasulullah saw dalam menuju redha dan syurga Allah swt.

Ketika di Darul Ulum (Akademi Islam), Universiti Kaherah, setelah selesai ujian lisan di depan barisan pensyarah ulamak Bahasa Arab, sebelum Hasan Al-Banna bangun, mereka bertanya satu soalan sekadar ramah mesra, “Apakah rangkap yang paling engkau sukai, wahai Hasan?”. Hasan Al-Banna yang menghafaz 18,000 rangkap syair menjawab, “Yang paling aku sukai ialah rangkap Qadin tadabuka li amrin, In fatinta lahu farbak linafsika an tar’aa maal hamali” (Mereka telah mencalunkan engkau untuk satu urusan (penting). Jika engkau sedar (harapan itu), jauhilah kamu dari (bergelumang) dalam perkara yang remeh temeh (kerana ini akan menghampakan harapan mereka terhadap kamu)). Kesemua pensyarah terpegun dan kagum sambil berkata, “Telah lama kami bekerja di sini dan telah ramai mahasiswa/i yang telah kami tanya, namun yang memberikan jawapan yang sama dengan kamu ialah Asy-Syeikh Muhammad Abduh, ketika beliau seorang mahasiswa di sini 20 tahun yang lalu. Kami nampak kamu wahai Hasan akan memainkan peranan yang besar di hari muka”. Syeikh Muhammad Abduh adalah ulamak termasyhur di Abad 19, mengelilingi dunia Islam, menyedarkan mereka akan bahaya Penjajahan Barat yang sedang membelenggu mereka, sedang umat Islam ketika itu leka dan rela.

Umat Islam zaman ini hanyut didalam kejahilan dan kefasikan disatu aspek, dan diserang habis-habisan oleh musuh-musuhnya disatu aspek yang lain. Ketika ini Allah swt telah memilih kita untuk memikul panji-panji perjuangan Islam yang pernah dipegang oleh para Anbiyak as, Rasulullah saw, para Sahabat ra dan para Tabi’en. Umat Islam telah melihat kitalah orangnya yang akan memyelamatkan mereka dari kemelut yang sangat sengit dan dahsyat ini. Jika kita sedar akan harapan mereka yang tinggi ini, kenapakah kita masih bergelumang dengan perkara dan acara yang remeh temeh ? Ayuh, tinggalkan semua yang remeh temeh itu, marilah bekerja bersama kami menjayakan agenda umat yang besar lagi pasti dibantu dan dimenangkan Allah swt.


sumber : inijalanku.wordpress.com

Monday, 22 February 2010

Ulang Tahun Ke-61 Kesyahidan Hasan Al-Banna

Pada 12.2.2010, genap 61 tahun syahidnya Imam Hasan Al-Banna, pengasas jemaah Ikhwan Muslimin, sebuah organisasi Islam paling berpengaruh di dunia pada hari ini. Ketika dibunuh beliau berumur semuda 43 tahun , namun asas Fikrah dan Manhaj perjuangan Islam yang beliau asaskan berjaya mengumpul 3-4 juta rakyat Mesir ketika itu dan hingga ke hari ini terus tertanam kukuh dan berkembang pesat mengharungi cabaran sepanjang zaman dan mengatasi brbagai tentangan Kini gerakan Ikhwan Muslimin terdapat dalam lebih dari 100 buah negara di dunia, menyumbang bakti kepada umat Islam dengan penuh kasih sayang disamping ia tegas dan penuh berani mempertahankan umat dari serangan-serangan sengit musuh Islam diberbagai aspek budaya sosial, ekonomi, politik maupun ketenteraan.

Foto Imam Hasan Al-Banna yang terakhir ketika mengimamkan solat Maghrib di markaz pertubuhan Syubban Muslimin, Jalan Ramses, Kaherah. Ketika itu kesemua anggota Ikhwan Muslimin yang berpengaruh telah dipenjarakan, kecuali beliau seorang kerana dia menjadi sasaran untuk dibunuh. Ketika beliau keluar dari markaz ini, beliau ditembak di tepi Jaan Ramses dan meninggal dunia syahid di Hospital Qasr Aini, Kaherah lantaran arahan pihak atasan agar beliau dibiar bersendirian tanpa rawatan sehingga menghembuskan nafas terakhir.

Diantara ciri-ciri keistimewaan dakwah Ikhwan Muslimin yang diasaskan oleh Imam Hasan Al-Banna ialah :

  1. Menanam fikrah atau kefahaman Islam yang sahih bersumberkan ilmu dari Al-Quran dan As-Sunnah. Tarbiyah adalah perkara yang terpenting dalam dakwah Ikhwan Muslimin. Dengan ini jalan Dakwahnya jelas, landasannya terang dari awal hingga ke akhir, anggotanya berkualiti dan teguh, sukar untuk menyimpang dari agenda Islam sendiri yang sahih hingga terpaksa mengikut agenda-agenda pihak lain.
  2. Syumul dakwah Ikhwan Muslimin sama seperti syumulnya Islam itu sendiri, tidak mengabaikan mana-mana aspek pun samada diaspek ruh, jasad maupun aqal. Dakwahnya juga menggarap semua aspek dan aktiviti ilmiah, riadhah, ekonomi, ikatan ruhani, kebajikan, politik, organisasi dan sebagainya.
  3. Dakwah yang berpijak dialam nyata, menggunakan segala wasilah (cara) terkini dalam menyampaikan Islam yang sahih kepada masyarakat, menekankan pembinaan ilmu dan akhlak ahli, mengutamakan kerja yang praktikal lagi produktif berbanding teori dan perdebatan, kesatuan berbanding perpecahan dalam menggembeling tenaga ummah berhadapan dengan cabaran manusia dan zaman.
  4. Pergerakan dan fasa Dakwahnya sentiasa serasi dengan Sunnah Allah swt terhadap perjalanan alam dan penciptaanNya. Oleh kerana itu usaha Dakwah ini dibuat sangat bersungguh-sungguh tetapi meyakini perubahan di dalam masyarakat yang akan berlaku adalah dengan beransur-ansur, tidak memilih corak keganasan atau mengangkat senjata, tetapi menumpu kearah mendidik jiwa dan menanam keyakinan kedalam hati dan akal orang ramai sehingga jelas kepada mereka akan Islam dan tuntutannya ke atas mereka untuk turut beramal dan memperjuangkannya. Matlamat Islam zaman kini dicapai bukan sekadar berjaya mencari laluan ke Parlimen semata-mata seperti yang difahami ramai pejuang nasionalis maupun islamis, bahkan ia lebih besar dari itu iaitu dengan membina generasi baru Islam yang memiliki keperibadian Islam sejati, membina keluarga Islam yang kukuh, membentuk masyarakat Islam yang peka dan bersedia memikul tanggungjawab menyebarkan Dakwah ke seluruh alam. Mereka inilah yang memilih, melahir dan merealisasikan Kerajaan Islam dan Negara Islam yang dicita-cita oleh Islam.

Fikrah Islam yang dibawa Hasan Al-Banna juga mampu meletakkan semangat bangsa dan cinta tanahair ke landasannya yang sebenar. “Wahai Ikhwan sekelian. Sungguh ini merupakan nikmat yang besar dan kegembiraan yang melebihi kata-kata dan keterangan apabila Ikhwan berhimpun dan berkasih sayang di jalan Allah taala, datang dari berbagai negeri, tempat-tempat yang berjauhan, berhimpun di tempat yang satu. Bukan ikatan saudara mara, kaum kerabat, keturunan, hubungan perkahwinan, kepentingan kebendaan atau keduniaan yang menghimpunkan mereka. Akan tetapi yang menghimpunkan ialah kasih sayang dijalan Allah, bertemu keranaNya, bekerja untukNya. Terimalah khabar gembira wahai Ikhwah Akhawat dimana saya berharap kita termasuk mereka yang menyambut seruan Allah hari dimana Dia menyeru “Dimanakah mereka yang berkasih sayang keranaKu, dimanakah mereka yang saling ziarah menziarah keranaKu, dimanakah mereka yang duduk bersama keranaKu ? Pada hari ini Aku menaungi mereka dengan keagunganKu iaitu hari yang tiada sebarang naungan selain naunganKu”. Sungguh kamu telah menerima undangan, segera datang, berhimpun di perhimpunan yang meriah ini, tatkala kita melihat banyak perhimpunan-perhimpunan lain berlaku kemudian ia habis begitu sahaja, diulangi berulang kali namun ia tetap tidak membuahkan apa-apa lantaran berlakunya perpecahan hati dan terdapat perbezaan hawa dan selera. Adapun perhimpunan ini, ia mengesahkan kesatuan hati-hati kamu, pertautan ruh-ruh kamu, keteguhan ikatan kamu. Mudah-mudahan Allah menjaga dan menjadikannya ikhlas demi mencari wajah dan keredhaanNya”. [Hasan Al-Banna 11 Zulhijjah 1353H] (Foto hiasan : Konvensyen Pemikiran Hasan Al-Banna pada 30.1.2010, 2 minggu lalu, anjuran Ikatan Muslimin Malaysia].

Semoga ALlah swt menerima segala amalan beliau, memaafkan kesalahannya dan memasukkannya ke dalam Syurga Firdaus bersama para Nabi, Siddiqin, Syuhadak dan Solohin. Merekalah sebaik-baik teman di Akhirat kelak.

sumber : inijalanku.wordpress.com