Tuesday 8 April 2008

Langkah Bermula



Seusai solat subuh & membaca al-ma’thurat aku duduk di ruang tamu rumah mama & abahku yang masih utuh berdiri melindungi dari hujan panas. Aku terlelap tatkala fikiranku melayang-layang teringatkan ibu kota dengan hiruk pikuk yang merimaskan jiwa.Mamaku masih di dapur menyiapkan sarapan pagi. Jarang-jarang dapat merasa masakan mama terutama pada pagi hari. Biasanya dibeli saja sarapan di kedai berhampiran. Tugas beliau berbakti kepada masyarakat dengan menjadi guru di pusat pra sekolah menuntut pengorbanan yang bukan sedikit. Matahari mula menampakkan diri menerangi alam semesta. Sinaran terang melimpah masuk ke ruang tamu melalui celahan tingkap yang terbuka.

Cahaya yang terang beransur panas singgah di mukaku. “ Dah cerah rupanya, ” getus hatiku. Aku menuju ke jendela, melemparkan pandangan ke halaman rumah yang baru dibersihkan. Kokokan ayam diselangi siulan burung bersahut-sahutan menenangkan minda. Sedang asyik aku menikmati keindahan pagi, fikiranku teringatkan isi kuliah maghrib yang disampaikan Ustaz Bani malam semalam. Seolah masih terngiang-ngiang di telinga apa yang disebutkan ustaz.

“ Sesungguhnya setiap amalan itu bermula dengan niat. Dan setiap orang akan dibalas berdasarkan apa yang diniatkannya, ” jelas ustaz memulakan kuliah. “ Niat penting kerana Imam Nawawi telah menyebutkan ia sebahagian daripada ibadah. Sebahagian yang lain adalah aspek perlaksanaannya, ” ustaz menyambung. Kebanyakan jemaah yang hadir mendengar dengan khusyu’ apa yang disampaikan. Ada yang datang membawa kitab sambil meneliti isi kandungan. Tak kurang juga yang bersandar di dinding sambil menghalakan pandangan ke tengah ruang solat, tempat kuliah diadakan.

“ Jadi hendaklah kita jaga niat supaya setiap apa yang kita lakukan dikira sebagai ibadah. Islam itu agama yang mudah kerana ia telah menyediakan garis panduan dari segenap aspek kehidupan manusia. Beruntunglah mereka yang melaksanakannya. Moga Allah masukkan kita dalam golongan seperti ini, insya Allah ” tambah ustaz lagi. Walaupun usianya sudah menjangkau 40-an namun beliau kelihatan seperti orang muda, semangat dan penampilan.

Kuliah berlangsung sehingga masuk waktu Isya’. Selesai azan dilaungkan ketua kampong menolak aku ke hadapan menjadi imam sambil berkata, “ Dah lama tak dengar suara orang muda jadi imam kat kampong kita ni. Sekali-sekala balik apa salahnya berbakti pada kami. ” Aku menurut saja permintaanya. Selesai solat sunat ba’diah aku mengatur langkah pulang ke rumah. Belum selesai mengira anak tangga masjid, bahuku disapa seseorang. Us Bani rupanya. “ Anta dok mana ?. Tak pernah nampak pon sebelum ni ?. ” tanya ustaz. “ Sss saya orang kampong ni. Cuma sekarang mengaji kat UIA. Jadi jarang nampak kat sini, ” aku menjawab dengan tersekat-sekat, Terkejut akibat ditepuk bahu belum habis lagi.

“ Bagus la. Sekurang-kurangnya ada jugak anak muda yang datang ke masjid. Tapi yang penting jaga niat, kerana Allah. Jangan sekadar datang sebab keluarga kita datang. Nanti jadi adat sebab ikut orang buat. Macam makan nasi. Kalau tak diniatkan kerana Allah, untuk membolehkan kita beramal maka jadi adat & ikutan. Sudahnya ‘sihat’ saja, seloroh ustaz disambut gelak ketawaku. Kemudian aku menyoal, “ Tapi kadang-kadang susah nak jaga niat ni ustaz. Maklum la sibuk. Nak buat itu, nak buat ini. Terlupa nak niat. Camna tu ? ” tanyaku.

“ Sesibuk kita sibuk lagi Allah Taala, secara logiknya. Allah jaga seluruh alam. Kita cuma buat apa yang diamanahkan pada kita ja. Katakanlah Allah terlupa nak bagi ni’mat pada kita 2 minit, apa akan jadi pada kita ?. Dah tentu mati tak cukup oksigen. Tapi hakikatnya Allah tak pernah lupa pada kita. Kita ja yang selalu lupa pada Allah, ” jelas ustaz. Tambahnya lagi, “ Sekarang ni banyak gadget yang ada. Handphone mahal-mahal kita guna dengar lagu, sms, tangkap gambar orang bukan mahram. Alangkah baiknya kalau kita guna untuk ingatkan kita tentang niat, baca ma’thurat & solat jemaah. Set reminder setiap jam. Jadi tak la kita lupa, ” jelas ustaz.

“ Betul jugak ustaz. Ok la ustaz, jazakallah atas ilmu ustaz hari ni. Kalau gini gaya kena selalu balik kampong, aku berseloroh. Panggilan mama dari dapur menghentikan lamunanku. “ Tolong mama jap leh?. ” tanya mama. “ Apa dia. Gi kedai beli barang ?, ” tanyaku kembali. “ Bukan la. Lain kali jangan menyampuk orang tua-tua bercakap. Dengar sampai habis dulu, ” katanya sambil tersenyum. Aku tahu kata-kata tadi cuma gurauan. “ Jap lagi kalau free tolong tulis atas kad ‘Sila betulkan niat anda’. Pastu lekat kat pintu bilik & pintu keluar, ” tambah mama. “ Baik puan. Saya akan buat sekarang jugak, ” kataku sambil berlari ke bilik bacaan.

Selesai melakukan kerja seperti yang disuruh, aku mengambil sarapan sambil menonton televisyen. Kedengaran suara mamaku dari belakang, “ Jangan lupa baca doa makan & niat kerana Allah.” “ Ingat tak apa yang ustaz cakap semalam kat masjid ?, ” kata abahku yang muncul di muka pintu. Kelihatan manik-manik penuh membasahi wajahnya. “ Bila bas kamu ?, ” Tanya abahku. “ Malam ni abah, kol 12, ” aku menjawab sambil membaca doa makan. Tak lupa aku niatkan agar makanan itu menjadi ni’mat bagiku, agar aku bisa terus hidup dengan mentaati perintah Allah. “ I have special prize for you, ” sampuk adikku yang ke kebun menolong abah. “ Nak tau apa dia tunggu la malam nanti. ”

“Berkesan jugak cara mama buat ni. Pegi mana pon nampak kad ‘Sila betulkan niat anda’. Terjaga niat aku hari ni, ” bisikku dalam hati. “ Jom kita, tunggu apa lagi. Dah pukul 11.20 ni, ” kata abah sambil melihat jam di dinding. “ Nah, ni hadiah dari kami. Tapi bukak dalam bas tau. Bukak dalam kereta tak aci, ” kata adikku sambil menghulurkan sampul surat bersaiz A4. “Okay, ” balasku pendek.

Sebelum menaiki bas aku mencium tangan mama & abah memohon restu mereka. “ Belajar betul-betul. Jangan lupa jaga niat, ” pesan mama. Aku sekadar mengangguk. Bas yang sedia menanti di parking stesen itu kunaiki sambil mencari tempat duduk. Aku melabuhkan punggung setelah memastikan nombor seat sama dengan nombor dalam tiket. Teringat aku akan hadiah dari adik-adikku tadi. Lantas aku mencapai beg mengeluarkan sampul surat sambil bas mula bergerak meninggalkan stesen yang berusia separuh abad. Kukeluarkan isinya. Ada sekeping kad tertera tulisan betaip di atasnya ‘Sila betulkan niat anda’. Terdapat juga sekeping nota bertulis ‘Lekat peringatan tue kat pintu bilik hang. JANGAN LUPA!!!!’

Aku tersenyum sendirian sambil memandang keluar tingkap. Dalam hatiku terdetik rasa gembira dengan apa yang kulalui sepanjang berada di rumah. Bas membelok ke kiri memasuki Lebuhraya Utara Selatan sedang mengantok mula menguasai mataku.

3 comments:

  1. salam, ni usamah punya blog ker?
    salam ikhuwah da nziarah dari mesir

    ReplyDelete
  2. yup.. usamah, YB kita.. haha

    ReplyDelete
  3. apa signifikannya usamah menggunakan frasa 'membilang anak tangga masjid'

    zaid mungkin boleh tolong huraikan.. hehe

    ReplyDelete

Komen anda amat dialu-alukan.