Monday, 18 August 2008

Chong Wei Tumpas Di Tangan Lin Dan

Kini Malaysia berada dalam kelompok 66 negara yang sudah meraih pingat

SEGALANYA sudah tergambar se
awal set pertama. Pergerakan kaku Lee Chong Wei dengan aksi tidak melawan sudah cukup menceritakan betapa lawannya dari China 'dihadiahkan' kemenangan mudah.

Tanpa ada pergerakan istimewa ketika Lin Dan sentiasa dua langkah lebih pantas daripadanya, memaksa pemain negara akur untuk sekadar berpuas hati dengan pingat perak Sukan Olimpik di Universiti Teknologi Beijing, malam tadi.


Harapan untuk melihat Jalur Gemilang dinaikkan sambil lagu Negaraku berkumandang di gelanggang, jelas tidak kesampaian ketika cabaran Chong Wei dibenam mudah Lin Dan 21-12, 21-8 dalam tempoh 39 minit permainan.

Sebaliknya, perak sahaja menjadi pengganti, memperbaiki pencapaian Rashid Sidek yang sekadar memungut gangsa di Atlanta pada 1996 dan menyamai warna pingat sama yang disumbang pasangan Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock pada temasya sama.

Ini juga bermakna penantian emas Olimpik terus berlarutan sejak Malaysia kali pertama menyertai temasya sukan paling besar di dunia di Melbourne pada 1956.

Namun, perak yang disumbang Chong Wei, 26, tetap pingat yang pertama buat negara dalam tempoh 12 tahun dengan badminton kekal satu-satunya sukan yang menyumbang setakat ini. Ia juga membolehkannya mendapat ganjaran RM300,000 daripada kerajaan serta pencen RM3,000 sebulan.

Ia tetap satu kejayaan buat Chong Wei kerana ini juga adalah final pertama dalam kejohanan utama selepas peluang terbaik di Kejohanan Dunia yang diadakan di Kuala Lumpur, lebur seawal peringkat suku akhir di kala menjadi pilihan.

Segalanya nampak kurang menjadi buat Chong Wei pada set pertama. Lin Dan atau digelar 'Super Dan' oleh peminatnya di China tampil dengan permainan hampir sempurna malam tadi, pantas mendahului 7-1 sebelum pemain negara merapatkan diri kepada 8-13.

Pukulan balas Chong Wei banyak yang setakat pertengahan gelanggang, memudahkan Lin Dan yang bersungguh-sungguh mahukan emas selepas teman wanitanya, Xie Xingfang tewas di final perseorangan wanita kelmarin, mengutip mata demi mata.

Kebangkitan yang diharap gagal ditunjukkan Chong Wei ketika Lin Dan terus garang menamatkan set itu dengan 21-12.

Dia jelas terlalu pantas dan mengawal permainan dengan baik. Saya gagal mencari ruang.

"Tiada alasan yang mampu saya beri. Saya terima kekalahan ini biarpun memang agak menyedihkan untuk kalah selepas mara sejauh ini.

"Jurulatih (Misbun Sidek) ada meminta saya bermain lebih pantas tapi jelas Lin Dan lagi pantas," kata Chong Wei yang mengakui ini adalah kekalahan ke-10 dan yang paling mudahnya dalam 15 pertemuan dengan lawan sama.

Penguasaan pemain tuan rumah itu tampak berterusan pada ketika Chong Wei nampak terus kaku pergerakannya pada set kedua untuk membolehkan Lin Dan mendahului selesa 8-0 sebelum dia mengutip mata pertamanya.

sumber : bharian.com.my

No comments:

Post a Comment

Komen anda amat dialu-alukan.