Lelaki ini masih muda. Tetapi dia telah memilih untuk memulakan usia mudanya dengan satu lakaran sejarah. Mungkin ada yang akan menggelarnya dengan gelaran-gelaran yang pelbagai selepas ini. Apa-apa pun itu hak dia. Dia kata dia nak mengembalikan maruahnya. Dia nak tegakkan hak. Ucapan sumpahnya memang satu yang cukup berani.
“Pada hari ini, saya Mohd Saiful Bukhari Azlan, dengan nama Allah berikrar dan bersumpah, diliwat Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 26 Jun 2008. Jika saya berdusta atas pengakuan ini, maka saya berdusta terhadap Allah dan sanggup menerima azab, laknat dan kutukan daripada Allah hingga ke kiamat.”
Saya kagum dengan orang-orang yang berani. Tapi berani jenis ini, saya tak pasti samada saya perlu kagumi atau tak. Dia mungkin berani kerana ada orang alim yang menasihatkannya demikian. Orang alim tu minta kedua-dua yang menuduh dan tertuduh bersumpah agar turun laknat ke atas pendusta. Mungkin silibus yang dia belajar dulu macam tu.
Yang saya belajar dulu tentang kaedah pendakwaan dalam Islam lain sikit. Orang yang mendakwa perlu mendatangkan bukti samada saksi, keterangan dan sebagainya (Al-Bayyinah ala al-mudda’ie). Jika tidak ada bukti, ulama’ khilaf tentang kaedah sumpah; iaitu samada perlu atau tidak orang yang dituduh bersumpah bahawa dia tidak bersalah (Al-yamin ala man ankara). Ada yang kata bahawa dia perlu bersumpah dan kalau dia enggan, maka dia dikira salah. Ada ulama’ yang memasukkan keengganan bersumpan (An-Nukul anil yamin) sebagai bukti. Tetapi ada ulama’ yang tidak menganggap keengganan bersumpah sebagai bukti untuk mensabitkan kesalahan.
Ketika dakwaan surat palsu dikenakan ke atas Saidina Osman r.a. oleh para pemberontak Mesir, Kufah dan Basrah, Saidina Osman r.a. meminta dari mereka dua orang saksi. Jika tiada maka dia akan bersumpah bahawa dia tidak melakukannya katanya. Begitulah praktik Islam di dalam bab murafaat.
Kalau setiap kali berlaku pendakwaan, pendakwa dan yang didakwa perlu bersumpah mahkamah Islam pasti akan jadi bahan tawa orang lain. Pendakwaan tidak akan sabit dengan sumpah. Sumpah hanya untuk tertuduh membersihkan diri setelah proses meneliti bukti yang didatangkan menemui jalan buntu. Dalam kes pemuda berani ini sebenarnya sumpah yang dilakukan adalah amat ganjil; dia yang mendakwa dan dia yang bersumpah. Apa nilai sumpah sebegini dalam pendakwaan? Kosong dan tidak mensabitkan apa-apa. Kerja sia-sia (saya baik sikit dari orang lain yang kata kerja bodoh).
Mungkin orang alim tu berdalilkan ayat 61 dari surah Aali Imran. Dalam ayat tu memang ada menceritakan tentang sumpah laknat (mubahalah). Allah berfirman yang maksudnya:
“Kemudian sesiapa yang membantahmu (wahai Muhammad) mengenainya, sesudah engkau beroleh pengetahuan yang benar, maka katakanlah kepada mereka: “Marilah kita menyeru anak-anak kami serta anak-anak kamu, dan perempuan-perempuan kami serta perempuan-perempuan kamu, dan diri kami serta diri kamu, kemudian kita memohon kepada Allah dengan bersungguh-sungguh, serta kita meminta supaya laknat Allah ditimpakan kepada orang-orang yang berdusta”.
Ayat ini menceritakan tentang Kristian Najran di zaman Rasulullah s.a.w. yang suka berdebat dengan orang Islam tentang ketuhanan Isa a.s. Jalan terakhir adalah panggil mereka untuk bersumpah laknat. Nak kiaskan ayat ini dengan prosedur pendakwaan adalah qias maal fariq. Kias jenis ini tidak boleh digunakan, begitulah yang saya belajar. Jadi ayat ni tidak boleh digunakan sebagai dalil dalam bab sumpah si pemuda berani tersebut.
Sumpah dalam pendakwaan boleh dipakai dalam kes li’an (suami menuduh isteri berzina). Dalam kes pendakwan lain saya tak pernah jumpa. Allah berfirman dalam surah An-Nur ayat 6-9 yang bermaksud:
“Dan orang-orang yang menuduh isterinya berzina, sedang mereka tidak ada saksi-saksi (yang mengesahkan tuduhannya itu) hanya dirinya sendiri, maka persaksian (sah pada syarak) bagi seseorang yang menuduh itu hendaklah ia bersumpah dengan nama Allah, empat kali, bahawa sesungguhnya ia dari orang-orang yang benar. Dan sumpah yang kelima (hendaklah ia berkata): “Bahawa laknat Allah akan menimpa dirinya jika ia dari orang-orang yang dusta.” Dan bagi menghindarkan hukuman seksa dari isteri (yang kena tuduh) itu hendaklah ia bersumpah dengan nama Allah, empat kali bahawa suaminya (yang menuduh) itu sesungguhnya adalah dari orang-orang yang berdusta. Dan sumpah yang kelima (hendaklah ia berkata): “Bahawa kemurkaan Allah akan menimpa dirinya jika suaminya dari orang-orang yang benar.”
Ayat ini turun kepada Hilal bin Umayyah yang menuduh isterinya berzina. Allah memberikan jalan keluar kepada suami yang menuduh isterinya berzina tetapi tidak ada bukti (bukti zina adalah empat orang saksi). Jalan keluar tersebut adalah dengan cara bersumpah mengikut prosedur yang diterangkan dalam ayat. Kalau kedua-dua bersumpah, maka isteri akan terlepas dari dikenakan hukuman rejam sampai mati (hudud untuk zina) dan kedua-dua akan dipisahkan selama-lamanya (bainunah kubra). Hukum ini adalah khas untuk suami isteri sahaja. Antara hikmahnya adalah kerana suami yang menuduh isterinya curang tidak akan mampu untuk hidup dengan isterinya. Nak datangkan empat orang saksi pula bukan mudah. Nak suruh isteri mengaku lagi susah. Allah menyebut pada ayat 10 selepas menerangkan prosedur li’an:
“Dan kalaulah tidak kerana adanya limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepada kamu, dan juga (kalaulah tidak kerana) bahawa Allah Maha Penerima taubat, lagi Maha Bijaksana, (tentulah kamu akan) akan mengalami kesusahan yang sukar diatasi).”
Kepada pemuda berani tersebut saya nasihatkan agar jangan main-main dengan sumpah. Kalau orang dakwa kita dengan apa-apa juga tuduhan, minta dia datangkan bukti. Tak perlu bersumpah. Kalau kita nak dakwa orang apatah lagi. Kalau tuduhan itu betul, tindakannya bersumpah masih lagi tidak wajar. Kalau tuduhan itu tidak betul, saya doakan moga-moga Allah mengampunkan dosanya dan tidak menurunkan laknat ke atasnya walau pun dia nampak bersungguh-sungguh meminta laknat tersebut.
sumber : satuperkongsian.wordpress.com
adakah sumpah ini suatu sumpah yang benar-benar 'sumpah'?
ReplyDeleteatau ia sekadar rangkaian permainan politikus2 nasional yang makin mengusutkan pemikiran rakyat saban hari?
Wallahua'lam. Allah Lebih Mengetahui.