Berikut merupakan panduan iktikaf yang dipetik dari beberapa kitab dalam usaha kita merebut ganjaran dipusingan terakhir Ramadhan, menjadi juara di garisan penamat Ramadhan.
1. Definisi
Bahasa : Iltizam ( komitmen) dalam melakukan sesuatu pekerjaan
Syarak : tinggal di masjid yang dilakukan orang tertentu dengan niat yang tertentu. Niat tersebut adalah mendekatkan diri kepada allah.
2. Hukum Iktikaf
Hukum Iktikaf adalah sunat. Ibnu al-Munzir menyebut : “para ulama bersepakat bahawa iktikaf adalah sunnah kerana Nabi SAW melakukannya dan melaziminya, isteri-isterinya juga ikut melakukan iktikaf bersamanya dan melakukannya setelah wafat”. Iktikaf menjadi WAJIB jika bernazar.
Nabi beriktikaf setiap bulan Ramadhan selama 10 hari dan pada tahun kewafatan baginda selama 20 hari. ( Riwayat Bukhari, Abu Daud dan Ibn. Majah)
Iktikaf menjadi sunnah muakkad jika dilakukan di bulan Ramadhan terutama pada 10 terakhir Ramadhan.
3. Waktu Iktikaf
- Boleh dilakukan sepanjang masa dan waktu. Masanya boleh satu hari tanpa malamnya atau satu malam tanpa siang. Dalam mazhab Hanafi dan Maliki yang meletakkan puasa sebagai syarat sah iktikaf menyatakan waktu yang pendek di dalam melakukan iktikaf adalah satu hari.
- Iktikaf bagi orang yang wajib ikut masa yang dinazarkan.
4. Syarat-Syarat Iktikaf
- 4 syarat utama iktikaf iaitu niat, tinggal (duduk ) di dalam masjid, orang yang beriktikaf Islam, berakal, suci dari Haid dan nifas dan berjunub, di masjid . Masjid Jami adalah awla (utama) dilakukan iktikaf. Ini disyaratkan oleh Az-Zuhri dan As-Syafie ( Qaul qadim).
- Bagi wanita hendaklah meminta izin suaminya, manakala hamba meminta izin dari tuannya.
- Ulama berselisih pendapat dalam mensyaratkan puasa sebagai syarat sah iktikaf tetapi majoriti ulama menyatakan ia bukan syarat sah iktikaf. Disunatkan puasa ketika beriktikaf berdasarkan Nabi SAW beriktikaf pada 10 akhir Ramadhan.
5. Masjid yang sah dilaksanakan Iktikaf
- Menurut Hanafi, Ahmad, Ishak dan Abu Tsaur : Masjid yang sah dibuat iktikaf adalah yang dibuat solat lima waktu dan didirikan jamaah.
- Malik, Syafie dan Daud pula mengatakan sah dibuat iktikaf pada setiap masjid tanpa membataskannya. Tetapi mengikut pandangan As-Syafieyyah, lebih afdal atau utama di masjid Jami ( dibuat Jumaat).
- Isteri nabi SAW melakukan iktikaf di masjid Nabawi.
- Ulama bersepakat lelaki beriktikaf di masjid manakala bagi wanita berlaku perselisihan pandangan dikalangan para ulama.
- Orang yang bernazar tidak boleh niat iktikaf pada masjid tertentu kecuali pada Masjid Haram, Masjid Nabawi dan Masjid Al-Aqsa.
6. Waktu Mula dan Akhir Iktikaf
- Siapa yang bernazar untuk melakukan iktikaf selama satu hari atau beberapa hari atau melakukan iktikaf sunnah, hendaklah dia masuk sebelum terbit fajar kemudian keluar apabila matahari tenggelam.
- Jika bernazar iktikaf satu malam atau beberapa malam, maka hendaklah ia masuk sebelum matahari tengggelam semuanya kemudian keluar ketika terlihat fajar terbit.
- Jika nazar iktikaf selama sebulan atau iktikaf sunnah, maka awal bulan adalah awal malamnya. Dia masuk sebelum matahari tenggelam semuanya dan keluar apabila matahari tenggelam pada akhir bulan tersebut.
- Di bulan Ramadhan pada 10 terakhir , maka dia harus masuk sebelum tenggelam matahari pada malam kedua puluh satu. (riwayat Mazhab Hambali), Riwayat kedua setelah solat Subuh.Ibn Hazam pula menyatakan sebelum tenggelam matahari pada malam 19 Ramadhan. Semuanya harus keluar setelah tenggelam matahari pada akhir ramadhan.
7. Perkara-perkara sunat dan makruf ketika iktikaf
- Mazhab Syafie : orang yang beriktikaf sebaiknya menyibukkan diri dengan pelbagai ketaatan kepada Allah seperti solat, zikir, tasbih, membaca al-quran, menyibukkan diri dengan ilmu, mengajar, belajar, menelaah dan menulis buku ( berdakwah). (Kitab al-Majmuk)
- Ibn Qudamah di dalam kitab al-Mughni pula menganjurkan supaya dikerjakan solat, tilawah Quran, zikir dan ketaatan mahdhah. Ada pun mengajar al-Quran, ilmu, diskusi dan belajar bersama fuqaha, menulis hadis dan lain-lain yang bermanfaat tidak digalakkan. Ini juga disokong oleh pendapat Imam Ahmad.
- Pandangan yang kuat dalam masalah ini ialah menyibukkan diri dengan ibadat seperti solat, zikir, membaca al-Quran, memikirkan akhirat dan persoalan agama, doa dan istighfar.
- Dibolehkan kita melakukan hal-hal yang bermanfat kepada orang lain seperti mengajar, berdakwah, diskusi atas untuk keperluan selebihnya kembali kepada konsep asal iaitu menyibukkan diri untuk beribadah.
- Makruh di dalam beriktikaf seperti melakukan hal-hal yang tidak perlu sama ada berupa perkataan atau perbuatan seperti mengumpat,bercakap keduniaan dan sebagainya.
8. Perkara yang diharuskan semasa beriktikaf
- Antara perkara yang boleh dilakukan semasa iktikaf seperti keluar iktikaf kerana menghantar ahli keluarga berdasarkan riwayat Safiyyah. (riwayat Bukhari, Muslim dan Abu Daud).
- Begitu juga menyisir rambut, berwangi-wangian, memotong kuku, membersihkan tubuh, memakai pakaian yang terbaik.
- Dibolehkan makan minum, tidur, melakukan transaksi, perjanjian jual beli, akad nikah dan lain-lain lagi.
- Dibolehkan keluar iktikaf untuk keperluan yang tidak dapat dielakkan seperti membuang air besar,melunaskan keperluan orang yang dibawah jagaannya,muntah tanpa keluar dari masjid dalam tempoh tidak lama,menjenguk orang sakit, menguruskan jenazah atas keperluan.
- Jika ada program sumbangan anjuran ISMA untuk membantu fakir miskin, melawat hospital atas keperluan, maka ia dibolehkan.
- Adapun bagi orang yang iktikaf nazar maka tidak dibenarkan menziarahi orang sakit, menjenguk jenazah dan berta’ziah
9. Perkara-perkara yang membatalkan iktikaf
- Keluar dari masjid tanpa ada keperluan walau hanya sebentar.
- Murtad
- Hilang akal
- Berjimak
- Keluar haid dan nifas.
10. Iktikaf Wanita
- Iktikaf wanita bergantung kepada izin suami. Iktikaf tidak wajib ke atas isteri sehingga suami mempunyai hak untuk melarangnnya.( Iktikaf sunnah)
- Jika iktikaf nazar dengan mendapat kebenaran suami pada waktu tertentu, maka isteri boleh masuk ke tempat iktikaf tanpa perlu dapatkan izin baru atau khusus dari suami.
- Jika iktikaf nazar dengan mendapat kebenaran suami pada tanpa waktu tertentu, maka isteri tidak boleh memulakan waktu iktikaf kecuali dengan izin suaminya.
- Apabila suami memberikan izin pada isteri melakukan iktikaf, maka dia tidak berhak mencabut izin tersebut baik iktikaf sunnah atau wajib . ( pendapat yang kuat)
- Menurut Mazhab Hanafi : wanita boleh melakukan iktikaf di masjid manapun sebagaimana dia dibolehkan untuk melakukan iktikaf di masjid rumahnya. Namun, dia tidak dibolehkan untuk melakukan iktikaf di rumahnya di luar masjid di rumahnya atau di tempat yang disediakan untuk melakukan solat.
- Mazhab Hambali dan Syafie pula : Wanita dibolehkan untuk melakukan iktikaf di masjid yang tidak digunakan untuk melakukan solat jamaah. Mereka tidak boleh melakukan iktikaf di masjid rumahnya kerana ia adalah ibadat yang dikhususkan dilakukan di masjid.Pendapat yang kuat adalah pandangan Hanafi. Wanita boleh beriktikaf di tempat solat di dalam rumahnya. (tempat yang khusus solat di dalam rumah).
11. Iktikaf Nazar
- Jika seorang bernazar untuk beriktikaf pada tempoh tertentu secara berturut-turut maka dia tidak boleh keluar dari masjid kecuali dengan tujuan tertentu.
- Sekiranya keluar tanpa keuzuran untuk perkara yang bukan dharuri maka hukumnya haram, iktikafnya terputus dan wajib memulakan iktikaf baru.
- Sekiranya dia bernazar untuk iktikaf dengan puasa maka dia mesti melakukannya dan ia adalah paling baik baginya.
- Sekiranya bernazar menentukan masjid tertentu untuk beriktikaf, maka tidak wajib beriktikaf di masjid itu.
- Jika dia terbatal, maka diwajibkan dia menyempurnakan bilangan hari iktikaf yang tersisa . (iktikaf yang tidak disyaratkan secara berturut-turut beberapa hari).
- Jika dia mensyaratkannya secara berturut-turut , maka dia harus melakukannya sekaligus secara berturut-turut.
Petunjuk Nabi SAW di dalam beriktikaf :
Dari Ibn Umar r.a telah berkata : “Adalah baginda Rasulullah SAW beriktikaf sepuluh akhir Ramadhan.” ( Muttafaquh alaih)
Daripada Aishah r.a bahawa Nabi SAW beriktikaf pada 10 terakhir dari Ramadhan sehingga diwafatkan Allah, kemudian diteruskan isteri-isteri baginda.. ( muttafaqun alaih)
Daripada Abi Hurairah r.a telah berkata : ” Bahawa Nabi SAW beriktikaf pada setiap kali Ramadhan pada 10 hari, tetapi beriktikaf 20 hari pada tahun baginda diwafatkan”. ( Riwayat al-Bukhari).
Daripada Aishah r.a telah berkata : ” Bahawa Rasulullah SAW apabila masuk sepuluh akhir ramadhan , baginda menghidupkan malam (Qiam dan membantu ahli keluarga untuk merebut kebaikan), mengejutkan ahli keluarganya dan mengikat pakaiannya (bersungguh-sungguh dalam beribadat dan melakukan kebaikan)” . ( Muttafaqun alaih)
Rujukan :
- Al-Mufassol fi ahkam al-Mar’ah : Dr. Abd. Karim Zaidan
- Fiqh Sunnah : Sayyid Sabiq
- Fiqh Manhaji : Dr. Mustafa Khin / Dr. Mustafa al-Bugho / Ali Asy-Syarbaji
- Fiqh Muyaasar : Ahmad Isa ‘Aasyur.
- Riyadhussolihin : Al-Imam Nawawi
No comments:
Post a Comment
Komen anda amat dialu-alukan.