Thursday 11 February 2010

Sinar baru Pengamalam Politik Kepartian Melayu


Presiden ISMA, Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman menyambut baik kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa parti tersebut sedia duduk berbincang dan bekerjasama dengan UMNO dalam setiap perkara termasuk yang berkaitan dengan hal-hal politik dan agama.

“Perkembangan terbaru ini menunjukkan kebenaran ijtihad kita apabila ISMA mengusulkan perdamaian antara golongan Melayu Islamis dan Melayu Nasionalis serta mengemukakan seruan ke arah kesatuan Melayu di atas satu agenda bangsa yang disepakati bersama,” ujar beliau.

Ustaz Abdullah Zaik berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Datuk Seri Abdul Hadi baru-baru ini bahawa PAS sedia bekerjasama dengan UMNO dalam perkara yang boleh dipersetujui dan memberi nasihat jika perkara sebaliknya berlaku, sesuai dengan amalan demokrasi yang diamalkan di negara ini.



Kenyataan Presiden PAS tersebut menyusuli cadangan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan merangkap Mursyidul Am PAS yang mahukan PAS dan UMNO duduk berbincang mengenai isu-isu berkaitan Islam dan Melayu serta menamatkan pertengkaran yang berlanjutan selama 50 tahun yang tidak membawa sebarang faedah.

Menurut Ustaz Abdullah Zaik, sudah sampai masanya untuk orang Melayu kembali kepada tujuan asal mereka dan melakar agenda bangsa berasaskan keperibadian dan akar sejarah mereka sendiri, bukannya terjebak dengan agenda orang lain sehingga sampai ke tahap saling menjatuhkan antara satu sama lain.

“Sudah tentu kejujuran kedua-dua pihak menjadi cagaran dalam menjayakan usaha yang mulia ini, tetapi percayalah orang Melayu tidak memiliki banyak pilihan, samada memperjuangkan agenda sendiri atau menjalankan agenda orang lain. Walaupun tidak meletakkan harapan yang terlalu tinggi, saya tetap optimis perkembangan ini akan menuju ke arah yang lebih baik demi masa depan agama, bangsa dan negara,” tambah beliau.

Kenyataan positif daripada kedua-dua pemimpin tertinggi PAS tersebut diharap dapat menjadi pencetus perubahan kepada budaya politik kepartian Melayu yang mengutamakan kepentingan umat mengatasi segala kepentingan lain, di samping menjadi batu asas kepada kesatuan bangsa Melayu Muslim di negara ini bagi menjayakan agenda Islam yang diimani.

sumber : ismaweb.net

No comments:

Post a Comment

Komen anda amat dialu-alukan.