Thursday 8 April 2010

Asrama Pupuk Sifat Membazir Di Kalangan Pelajar ?.


Pasti ramai antara kita yang mempunyai pengalaman tinggal di asrama, sama ada asrama sekolah ataupun kolej/universiti. Cuba kita imbau kenangan lalu, adakah tajuk entri kali ini bertepatan dengan kehidupan di asrama ?. Mungkin ada antara kita yang tidak bersejutu tetapi kebanyakannya akan diam seribu bahasa kerana mengiakan apa yang berlaku.

Mari kita lihat beberapa senario. Semasa membasuh pakaian adakah kita membiarkan air terus mengalir di pili atau menadahnya ke dalam baldi ?. Adakah kita menutup pili air apabila baldi sudah dipenuhi air ?. Ataupun kita hanya membiarkan air terus mengalir tanpa dimanfaatkan ?. Bila ditanya kenapa dilakukan sedemikian ?. “ Kita dah bayar yuran kan. Sekarang masa nak gunakan segala kemudahan yang ada. ” “ Ala, bukan kau yang bayar air ni. Sekolah/kolej/universiti yang bayar. ”

Begitu juga penggunaan elektrik. Kipas & lampu tidak dimatikan sekiranya tidak digunakan. Ianya dibiarkan terpasang walaupun penghuni tiada dalam bilik atau dorm. Sikap sebegini berakar dalam diri membentuk peribadi yang suka membazir. Kerugian bukan hanya pada perbelanjaan, tapi juga pada mentality & sikap. Ia akan terbawa-bawa sehingga ke akhir usia sekiranya tidak diubah.

Firman Allah yang bermaksud : “ Sesungguhnya orang yang membazir itu sekutu bagi syaitan & syaitan itu sangat ingkar kepada Tuhannya. ” ( 17:27 )

Satu kajian yang dijalankan oleh Dr Zin di UTM Skudai mendapati penggunaan elektrik di universiti itu dapat dijimatkan sehingga RM 5 juta setahun. Kajian melibatkan penggunaan komputer, lampu, penghawa dingin, mesin fotostat & beberapa alat elektrik & elektronik lain di kalangan pensyarah & kakitangan pentadbiran. Angka ini sesuatu yang mengejutkan kerana ia melibatkan jumlah yang bukan sedikit. Menurut Dr Zin “ Simple ja, masa nak keluar bilik kita tutup komputer, mati lampu & air-cond. Tak pun hibernate ja komputer tu. Dah banyak tenaga elektrik yang kita jimatkan. ”



Bayangkan saudara sekalian, sekiranya satu universiti mampu menjimatkan penggunaan elektrik sebanyak RM 5 juta setahun, maka berapakah pula jumlah yang mampu dijimatkan sekiranya 17 IPTA di seluruh Malaysia mengamalkannya. Secara umumnya RM 5 juta x 17 IPTA = RM 85 juta. Sesungguhnya RM 85 juta adalah nilai yang terlalu besar. Bukankah dengan penjimatan itu kita dapat menyalurkannya pada sesuatu yang lebih bermanfaat seperti menyediakan peruntukan biasiswa pada kadar yang lebih tinggi ?. Anak bangsa kita juga yang untung daripada penjimatan itu.


Marilah sama-sama kita memupuk kembali sifat berjimat-cermat dalam diri & di kalangan ahli keluarga kita. Semoga dengan itu kita dapat melahirkan masyarakat yang prihatin.

No comments:

Post a Comment

Komen anda amat dialu-alukan.