Saturday 10 April 2010

Teruk Sangatkah Anak Muda Kita ?.


Jika anda bertanyakan perihal muda-mudi masa kini, pasti jawapan yang berbeza diperolehi. Namun rata-rata akan memberikan persepsi negatif. Masakan tidak, masalah sosial yang berlaku hari ini sering dikaitkan dengan golongan remaja & belia. Mereka dilabelkan sebagai memberontak & melepaskannya dalam bentuk protes. Tak kurang juga yang terlibat dengan pengaruh rakan sebaya.


Perbualan saya dengan beberapa orang guru yang mengajar di bandar-bandar besar seperti Lembah Klang, Seremban & Johor Bahru mendapati belia Melayu diambang krisis yang serius. Di samping itu mereka juga menyatakan kekesalan kerana tidak dapat berbuat apa-apa kerana tiada akta yang akan menyokong tindakan mereka. “ Sekarang ni jadi cikgu pun teruk. Kerja-kerja pengkeranian semakin banyak. Tambah pulak kena mengadap perangai anak-anak murid yang semakin menjadi-jadi. Kalau kita marah, dia menjawab balik. Kalau kita denda, diorang report kat PIBG, PPD. Sampai ke kementerian pun ada, ” luah seorang guru.


“ Sekarang ni, apa-apa hal pun cikgu yang salah. Lama-kelamaan kita jadi malas nak tegur. ” Generasi muda kita diambang kehancuran. Siapa yang mahu menyelamatkan mereka ?. Baru-baru ini saya memenuhi undangan mengisi slot ko-kurikulum Persatuan Pendidikan Islam sebuah sekolah menengah kebangsaan di Petaling Jaya. Setelah melihat sendiri suasana sekolah, ternyata ada kebenaran pada luahan guru-guru itu. Saya yang sekian lama terlibat dalam aktiviti keagamaan bertaraf heavyweight, terpaksa memerah otak memikirkan apa yg sesuai dikongsi dengan rakan-rakan di sekolah itu. Akan membosankan kalau terlalu ‘islamik’.


Hidup di zaman moden rupa-rupanya tidak menjamin Islam diamalkan dengan lebih baik. Di saat hukum-hakam hanya di hujung jari, manusia makin jauh dari agama. Kitab-kitab hadith muktabar boleh dimuatkan dalam satu perisian, tetapi manusia terus lupa pada Pencipta. Makin ramai yang bertudung, makin ramai juga yang mendedahkan aurat. Semuanya masalah.


Usman Awang dalam catatan pengalamannya pernah menulis tentang remaja di zaman mudanya. Walaupun pada waktu itu agama terhad pada acara tertentu, amalan bid’ah yang berleluasa, namun kes keruntuhan moral seperti hari ini jarang didengari. Beliau menyatakan pada waktu itu budak lelaki & perempuan bermain bersama-sama. Sudah tentu pondok-pondok paling sinonim. Sampai satu ketika mereka akan mandi sungai sekali. Namun yang paling mengejutkan budak lelaki mandi tanpa seurat benang!. Tetapi menurutnya, “ Hal demikian bukan suatu masalah kerana kami tidak terdedah kepada media seperti hari ini. Walaupun tanpa pakaian, kami tak pandai. ”


Keadaan ini walaupun tidak berlaku di semua tempat tetapi cukup memberikan gambaran kepada kita bahawa gejala sosial yang minima di kalangan masyarakat ketika itu. Emak yang tidak bertudung melarang anak gadis bertenggek di beranda rumah. Walaupun sebab takut tak laku, dia berjaya menjaga maruah anak gadisnya. Hanya adat yang menjadi pendinding.


Meskipun diselubungi pelbagai masalah, ia bukan alasan kepada kita untuk terus membiarkan ia berterusan. Kejayaan keluarga Sidek menjulang Piala Thomas, Hafiz Hashim menjadi Juara Seluruh England, Azizulhasni mengungguli tempat kedua lumba basikal dunia membuktikan masih ada harapan pada anak Melayu. Usaha menggilap potensi mesti terus dilakukan dengan membawa mereka kembali pada agama. Rasa bertuhan akan membentuk peribadi mereka. Semoga Allah melorongkan jalan untuk umat ini.

No comments:

Post a Comment

Komen anda amat dialu-alukan.