Saturday, 7 August 2010

Warna-Warna Politik Malaysia : Part 3

Sudah lama saya tidak menulis pada ruangan yang saya cipta untuk diri sendiri. Mungkin sudah berhabuk agaknya. Mari kita sama-sama kemaskan ia kembali.


Ada satu kisah yang ingin saya kongsikan dengan rakan pembaca sekalian. Sebuah masjid yang dikenali sebagai Masjid Al-Azhar di Mesir. Letaknya berdekatan Universiti Al-Azhar. Suatu ketika dulu masjid ini telah menjadi saksi perpecahan yang dahsyat di kalangan rakyat Mesir.


Ketika itu terdapat 4 mimbar yang mewakili 4 mazhab iaitu Syafie, Maliki, Hambali & Hanafi di masjid itu. Maka setiap kali solat jemaah didirikan, akan terdapat 4 imam yang mewakili mazhab masing-masing. Tidak dapat dibayangkan bagaimana keadaan pada ketika itu.


Melihatkan keadaan yang sebegitu rupa, Hasan Al-Banna telah meminta Sayid Sabiq menulis sebuah buku yang diberi nama Fiqh Sunnah. Penulisan ini antara lain menjelaskan bagaimana dengan dalil yang sama, para imam mazhab berbeza pandangan & mengeluarkan hukum yang berbeza. Ini kerana keupayaan memahami dalil yang berbeza-beza di kalangan mereka. Walau bagaimana pun, hukum yang mereka ijtihadkan tidak tergelincir dari ruang lingkup syariah.


Masa terus berlalu & buku ini menjadi silibus di Al-Azhar kemudiannya. Alhamdulillah dengan izin Allah Yang Maha Kuasa, jemaah di Masjid Al-Azhar sudah bisa menerima satu imam untuk mengimami solat mereka. Kita juga dapat melihat suasana yang sama di Malaysia. Masyarakat Melayu tidak kekok berimamkan seorang Arab yang didatangkan khas untuk memimpin solat tarawih.


Namun masih ada senjata yang digunakan untuk melemahkan kesatuan umat Islam. Tidak lain tidak bukan, politik. Perpecahan yang cukup dahsyat berlaku hanya kerana mereka berbeza lambang & warna parti politik. Masing-masing dengan hujah & berusaha menjatuhkan antara satu sama lain. Keaiban demi keaiban didedahkan untuk melemahkan pihak yang satu lagi. Parti-parti politik Melayu berusaha menjadi liberal kerana ingin memenangi undi bukan Melayu.


Perbalahan yang berterusan ini tidak akan menguntungkan sesiapa dari kalangan parti politik Melayu, walau apa jua lambang & warnanya. Lihatlah bagaimana seorang pemimpin parti politik Cina menempelak parti-parti politik Melayu. Sayangnya kita masih berdiam diri !!.


Suatu fakta yang perlu kita ketahui bahawa 58% daripada ahli parlimen di dewan rakyat terdiri daripada orang Melayu, 39% mewakili parti pemerintah manakala 19% berada di barisan pembangkang. Pakatan Rakyat mempunyai 78 ahli parlimen dengan 40 daripadanya bukan beragama Islam. Buktinya sudah jelas di depan mata. Orang Melayu lemah sama ada di pihak kerajaan mahupun pembangkang. Tiada kuasa tawar-menawar yang kuat bagi memastikan Islam terus berada di mercunya.


Alangkah baiknya sekiranya kekuatan ini disatukan. Buatlah sesuatu sebelum nasi menjadi bubur. Saat itu usah lagi dikenang sekiranya kita menang sorak kampung tergadai.


Melayu Sepakat Islam Berdaulat

No comments:

Post a Comment

Komen anda amat dialu-alukan.