Ketika Kota Konstantinople telah ditawan, dan waktu Jumaat telah masuk, Sultan Muhammad Al Fateh berkenan untuk memilih imam bagi memimpin solat Jumaat yang pertama di Kota Konstantinople. Namun cara pemilihannya agak unik, beliau memanggil seluruh tenteranya dan meminta mereka semua berdiri dengan teratur.
Setelah semuanya dalam kedudukan yang tersusun, maka dia pun bertanya kepada tentera-tenteranya.
“Siapa di antara kamu yang pernah meninggalkan solat fardhu, sila duduk." Tidak ada siapa di kalangan anggota tenteranya yang duduk.
Kemudian beliau bertanya lagi.
“Siapa di antara kamu yang pernah meninggalkan solat-solat sunat yang utama?” Ketika ini sebilangan kecil dari anggota tenteranya duduk.
Kemudian beliau bertanya lagi.
“Siapa di antara kamu yang pernah meninggalkan solat tahajjud sila duduk.” Kali ini seluruh anggota tenteranya duduk kecuali beliau sendiri dan akhirnya beliau sendiri yang memimpin solat berjemaah di Kota Konstantinople.
Ternyata beliau adalah orang yang paling soleh dan dekat dengan Allah di kalangan tenteranya, maka benarlah sabda junjungan bahawa yang akan menakluk Konstantinople itu adalah tentera yang terbaik dipimpin oleh pemimpin yang terbaik.
Maha suci Allah, jika beginilah kualiti pemimpin dan tentera Sultan Muhammad Al Fateh yang menakluk dan membebaskan Kota Konstantinople dari jajahan Byzantine, maka tidak hairanlah pertolongan Allah akan sentiasa bersama dengan mereka.
Jika kita bertanyakan soalan yang sama pada generasi muda hari ini, mungkin pada soalan yang pertama sahaja telah ramai yang ‘kantoi’ apatah lagi apabila ditanyakan soalan kedua dan ketiga. Mungkin jika ditanya soalan ini kepada kumpulan para pendakwah hari ini pun, belum tentu natijahnya sama dengan apa yang didapati Sultan Muhammad Al Fateh kepada tenteranya.
Hari ini, kita berada dalam satu generasi yang lebih menghafaz nama-nama artis dan pemain bola sepak handalan daripada sahabat-sahabat Nabi dan nama pahlawan-pahlawan Islam sepanjang zaman. Lebih bermaklumat tentang sejarah juara Piala Dunia dari 1930-an berbanding sejarah agung umat Islam. Generasi yang lebih ghairah dan cinta kepada bola sepak berbanding cinta kepada keimanan dan kehidupan Islam yang indah. Generasi yang sanggup bangun malam untuk melihat pasukan kegemaran berbanding bangun malam untuk memohon keampunan.
Ternyatalah bahawa sebenarnya kita masih jauh dengan kemenangan, selagi mana generasi hari ini tidak dididik dengan didikan Islam yang sebenar dan menghayati kehidupan Islam secara total, maka selagi itulah umat akan terus dijajah dan diratah oleh musuh.
Penyelesaian kepada kemelut yang melanda hari ini hanyalah dengan mengembalikan semula jatidiri dan kemuliaan Islam kepada setiap peribadi muslim. Generasi hari ini haruslah dididik untuk cinta kepada keimanan lebih dari cinta kepada hiburan dan kelalaian. Cinta kepada kebaikan dan kesungguhan lebih dari cinta kepada kerehatan dan kemalasan. Lebih cinta untuk membaca Al-Quran dan solat malam berbanding membaca analisis Piala Dunia dan bangun malam kerana bola.
Projek membina generasi Muhammad Al Fateh adalah projek besar yang memerlukan kepada persediaan yang rapi, kesabaran yang tinggi dan kebijaksanaan yang bukan calang-calang kerana generasi yang ingin dibina adalah generasi yang mempunyai kesungguhan dan tekad yang kuat untuk menolak godaan hawa nafsu.
Kita harus mengoreksi diri kita dan memeriksa, apakah kita telah terlibat dalam projek pembinaan generasi Al Fateh. Jika tidak, bagaimana kita harus bermula? Hanya kita sendiri yang boleh mencari jawapannya.
“Ramai yang boleh berdakwah, tetapi tidak ramai yang cinta pada dakwah”.
sumber : pembina.com.my
No comments:
Post a Comment
Komen anda amat dialu-alukan.