Tuesday, 24 June 2008

Lewat Kenaikan Harga Minyak

Agak lewat saya menggarap isu kenaikan harga minyak yang berlaku di Malaysia pada tanggal 5.6.2008. Dengan kenaikan 78 sen bagi petrol & RM 1 bagi diesel, ia adalah yang tertinggi dalam sejarah. Maka kedengaran di segenap pelusuk negara suara kebangkitan rakyat yang tidak berpuas hati dengan tindakan kerajaan itu. Secara peribadi, ia adalah kenaikan yang membebankan. Namun bukan itu yang ingin saya perkatakan kali ini. Ia bukan sahaja persoalan survival kita di dunia, malah persiapan bagaimana kita mahu menghadapi apa yang bakal dipersembahkan di hadapan kita pada Hari Perhitungan.

Kita bisa demo seribu malah seratus ribu. Itu yang terjadi di Kuala Lumpur November lalu. Kali ini kita sasarkan sejuta orang. Sekiranya ia berjaya dicapai, barangkali yang tertinggi dalam sejarah Malaysia. Cuma apa yang sedikit kita kesalkan, berapa ramai yang akan berdemo turun ke jalanan apabila seorang kanak-kanak tidak berdosa di tembak di Palestin !!. Tentu sekali akan kedengaran jawapan “ Dia tak ada kena mengena dengan aku ” “ Palestin tue apa ?. ” “ Mind your own business ” Bukan niat saya menafikan usaha sesiapa yang bertungkus-lumus memperjuangkan isu ini. Akan tetapi tindak balas kita dalam isu yang sepatutnya lebih penting & utama, maka kita kesampingkan.

Jarang kedengaran dalam kehidupan moden hari ini orang akan berdemo kerana masjid tidak dipenuhi pada waktu-waktu fardu solat. Tidak ramai yang hirau ketika mana anak-anak muda semakin hilang malunya. Bila mana kita lambat bangun dari tidur untuk menunaikan solat subuh, terdetik di hati “ biasa la bangun lambat. ” Tapi kalau minyak naik kecoh 1 malaya. Semua pihak disalahkan. Entah siapa yang betul dalam hal ni, kita pon tak pasti. Itu lah fenomena yang berlaku dalam masyarakat kita hari ini. Perkara yang sepatutnya didahulukan, kita kemudiankan. Hal yang sewajibnya diawalkan, kita lambat-lambatkan. Natijahnya, lahir masyarakat yang berbudaya hedonisma.

Apa yang ingin saya utarakan di sini, bagaimana sikap kita dalam sesuatu isu yang timbul. Agak sukar kita lihat respon yang luar biasa pada perkara yang berkaitan dengan Islam & akhirat seperti yang disebutkan di atas. Kita cuma terkesan dengan isu-isu picisan yang akan selesai sekiranya kita beramal dengan Islam secara total. Islam punya sistem ekonomi yang tersendiri. Islam juga menyediakan panduan kepada manusia selaku khalifah di atas muka bumi. Segala sifat kemanusiaan baik berakhlak, beriman & ihsan terangkum dalam ajaran Islam yang sempurna.

Justeru saya berkeyakinan, segala permasalahan yang berlaku pada hari ini HANYA dapat diselesaikan jika kita kembali mengamalkan ajaran ISLAM secara total. Menyelesaikan isu hanya pada perkara yang berkisar dengannya bukanlah langkah yang bijak menurut Islam. Apabila masalah murtad meruncing dalam masyarakat bukan hanya institusi agama yang perlu diperkuatkan dengan segala macam enakmen & jabatan, tetapi manusia juga harus diisi dengan iman agar mereka mengetahui apa itu MA’RIFATULLAH. Pendek kata fiqh awlawiyyat perlu diadaptasi dalam kehidupan.

Manusia selaku ejen perubahan harus disediakan semahu-mahunya sama ada dari segi mental, fizikal & emosi agar matlamat terakhir menuju MARDATILLAH dapat dicapai, wallahu’alam. Renung-renungkan & selamat beramal….

No comments:

Post a Comment

Komen anda amat dialu-alukan.