Wednesday, 20 August 2008

Islam Agama Persinggahan ?..


Berita tentang pengisytiharan murtad secara rasmi ini disiarkan dalam ruang Nasional, akhbar Berita Harian hari ini (19 Ogos). Ruang yang disediakan amat kecil dan yang pastinya ia bukan di ruang utama. Mungkin juga tidak disiarkan di akhbar-akhbar perdana lain. Apa rahsianya? Mungkin supaya masyarakat tidak kecoh dan bising-bising. Mungkin juga kerana editornya menganggap berita seumpama ini memang tidak penting.

Ketika saya menulis artikel tentang kes murtad Fatimah Tan, sebahagian rakan-rakan bertanya tentang komen saya terhadap penjelasan yang dilakukan oleh peguam beliau. Saya tidak berminat untuk memberikan komen atas beberapa sebab. Pertamanya saya tidak mahu dilihat memusuhi sesiapa terutamanya oleh peguam tersebut. Saya menghormati beliau sebagai seorang peguam Islam. Keduanya kerana saya masih menaruh harapan terhadap apa yang beliau utarakan dalam penjelasannya bahawa tindakannya itu akan meninggikan martabat Mahkamah Syariah. Saya tidak mahu komen banyak kerana saya rasa beliau lebih arif dari saya berkaitan isu-isu perundangan dan kehakiman di Malaysia.

Tetapi setelah beberapa bulan berlalu, kes Jeffrey Or ini berlaku lebih kurang sama dengan kes Fatimah Tan. Jika Fatimah Tan diisytiharkan murtad setelah 9 tahun memeluk Islam, Jeffrey Or pula diisytiharkan murtad setelah memeluk Islam lebih dari 14 tahun. Saya mula terfikir, apa yang dimartabatkan sebenarnya melalui kes-kes seumpama ini? Siapa yang menang?

Sehari demi sehari Islam dipermainkan oleh orang-orang bukan Islam. Kalau dulu dalam MyKad ada perkataan Islam bagi yang beragama Islam, hari ini MyKid tidak ada lagi perkataan Islam bagi anak-anak yang lahir dari ibu bapa Islam. Bayi yang lahir dari ibu bapa muslim tidak ada agamakah? Dan hari ini pula mereka mula bermain-main dan mendapatkan kemahuan mereka melalui institusi-institusi kita.

Islam yang memerintah. Negara Islam yang dilaungkan. Orang-orang Islam yang membentuk majoriti penduduk. Ratusan mufti, tokoh dan pembesar agama. Berbelas Jabatan Agama. Puluhan atau mungkin ratusan badan-badan dan kesatuan Islam. Tetapi adakah ini hasilnya?

Kita tidak ada khalifah. Logiklah kekuatan yang ada pada umat Islam Malaysia tidak menunjukkan hasil yang banyak. Tapi paling kurang, kalaulah kita saling berhubung, berbincang, meminta pandangan dari badan-badan dan tokoh-tokoh Islam lain, rasanya kita mungkin dapat mengelakkan dari tindakan-tindakan individu yang mungkin kita rasa untung tapi sebenarnya merugikan.

Akhirnya jika ditanya kepada saya apa yang perlu dilakukan, pandangan saya seperti berikut.

Kepada mana-mana badan Islam dan individu; teruskan apa yang diusahakan hari ini. Bersabar kerana jalannya masih panjang. Ikut manhaj yang betul supaya usaha yang dilakukan sampai ke natijah yang diharapkan. Usahakan kesatuan muslimin. Mulakannya dengan budaya berbincang dan bermuzakarah. Pertahankan apa yang dicapai oleh umat sekarang dan tingkatkannya sedikit demi sedikit.

Kepada badan-badan yang terlibat dengan golongan saudara baru; tangani mereka sebaiknya melalui usaha pendidikan dan kebajikan.

Kepada ahli perundangan dan kehakiman Islam; usaha yang paling rendah pada pandangan saya adalah dengan mengusulkan agar perbuatan saudara baru yang kembali kepada agama asal dikategorikan sebagai jenayah. Walau pun mungkin hukuman Islam tidak dapat dilaksanakan dalam masa terdekat, jika kita berjaya menjatuhkan hukuman dan mengenakan denda kepada mereka, itu pun sudah memadai untuk tahap ini. Samada denda kerana mengisytiharkan Islam secara palsu atau kerana kembali kepada agama asal mereka. Apa yang penting adalah jangan sekali-kali memberi ruang untuk sesiapa sahaja menjadikan Islam agama ’singgah-singgah’ sahaja.

Moga tidak ada lagi kes seumpama ini.

Wallahu al-Musta’an.

_____________

Pekerja kontrak diisytihar murtad (Berita Harian, 19 Ogos)

KUANTAN: Mahkamah Syariah di sini semalam mengisytiharkan seorang pekerja kontrak keturunan Cina yang memeluk Islam kira-kira 14 tahun lalu, murtad.

Hakim Datuk Abdul Rahman Yunus ketika membuat keputusan itu berkata selepas mendengar keterangan empat saksi dan menimbang fakta yang dikemukakan, beliau memutuskan pemohon, Jeffrey Or Abdullah @ Or Boon Hua, 36, keluar daripada Islam.

Bagaimanapun, beliau berkata, keputusan itu akan hanya berkuat kuasa selepas 14 hari bermula semalam bagi membolehkan mana-mana pihak atau badan Islam mengemukakan rayuan atau bantahan.
“Walaupun Enakmen Pentadbiran Islam dan Adat Resam Melayu Pahang tidak menyediakan peruntukan jelas berhubung perkara ini, peruntukan dalam enakmen terdahulu yang dimansuhkan boleh dipakai demi keadilan.

Abdul Rahman berkata, walaupun sudah diisytihar tidak lagi beragama Islam, beliau berharap Jeffrey akan memikirkan semula keputusannya itu pada masa depan.

“Saya juga mengingatkan badan dakwah Islam mengambil inisiatif untuk memberi bimbingan dan tidak membiarkan mereka (saudara baru) terkapai-kapai,” katanya.

Berikutan keputusan itu, Abdul Rahman turut memerintahkan kad perakuan memeluk Islam Jeffery dibatalkan dan statusnya sebagai beragama Islam di Pejabat Pendaftaran Negara dibatalkan.

Katanya, Majlis Agama Islam Pahang (MAIP) juga perlu mendaftarkan Jeffrey sebagai bukan Islam.

sumber : satuperkongsian.wordpress.com

1 comment:

  1. Islam semakin diasak dari hari ke hari.

    Amatlah malang jika kita selaku umat Islam, para pemegang2 panji kebenaran dari Ilahi ini, mengambil jalan mudah dengan berdiam diri.

    ReplyDelete

Komen anda amat dialu-alukan.