Thursday, 28 August 2008

Kebaikan Yang Diempang


Pepatah melayu ada menyebut ‘bumi mana tak ditimpa hujan’. Begitulah signifikannya hujan dalam kehidupan kita sehingga ada pepatah yang berkaitan dengan hujan. Tidak keterlaluan jika saya katakan kebaikan itu umpama hujan yang turun dari langit. Bisa saja turun di mana-mana. Hatta tempat yang gersang pun akan menerima hujan setiap tahun tetapi pada kadar yang sedikit, beberapa ratus milimeter sahaja. Mungkin secara lebih tepat dapat kita katakan kebaikan itu melata. Dapat dilakukan di mana-mana pada bila-bila masa,seperti turunnya hujan.


Sememangnya hujan yang turun membawa rahmat. Namun bukan itu yang saya ingin perkatakan. Cukuplah para ilmuan Islam membahaskan tentang itu. Saya sekadar ingin menumpukan tulisan pada perumpamaan tadi, kebaikan seperti hujan. Janganlah tulisan ini disalah erti. Takut juga ada yang mengatakan saya kufur ni’mat. Kita boleh berhujah kerana banyaknya dalil. Tapi ambil lah sedikit masa membaca isi berikutnya.


Hujan yang turun menimpa tanah yang padanya tertanam biji benih, maka akan menumbuhkan benih tersebut. Tapi bukan pada semua tanah terdapat biji benih. Ada tanah yang gersang, tak sesuai untuk tumbuhan. Air yang turun akan meresap ke dalam tanah & meruap kembali ke udara menghasilkan kitaran hujan. Maha Suci Allah Yang Mencipta Segala Sesuatu. Proses ini berlarutan & hujan terus turun mencurah-curah sebagai hujan. Dalam erti kata lain banyaknya kebaikan dilakukan umat manusia. Cuma yang peliknya kebaikan itu tidak memberi kesan pada umat sejagat. Sinar itu tidak terasakan oleh manusia lain.


Alangkah baiknya jika hujan itu diempang menjadi sebuah tasik buatan. Air hujan yang diempang itu dapatlah kiranya kita menggerakkan turbin menjana tenaga elektrik. Tenaga elektrik yang terhasil pula disalurkan kepada pengguna. Dengan itu mereka dapat menyalakan lampu & segala macam peralatan bagi memudahkan tugas seharian. Indah hidup ini dengan adanya tenaga elektrik. Segalanya menjadi semakin mudah. Teringat iklan TNB. “ Kalau nak jimat tue memang boleh, ” kata Adibah Noor sambil menggerakkan pipinya.


Harus diingat bukan tugas mudah mengempangkan hujan. Banyak perkara harus diambil kira. Kawasan hutan yang bakal tenggelam, kampung-kampung yang perlu dipindahkan & membina kemudahan jalan raya baru. Semuanya perlukan perancangan teliti dengan ongkos yang bukan sedikit. Bila dah siap, ia bakal menjana ekonomi negara. Bukan saja boleh digunakan menjana tenaga elektrik, bahkan sumber air semula jadi serata negeri.‘ Berakit-rakit ke hulu, berenang ketepian, bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian. ’


Itulah yang kita maksudkan dengan kebaikan yang diempang….

1 comment:

  1. Itulah akibatnya jika kebaikan yang dicurahkan sia2 begitu sahaja. rugi tanpa dimanfaatkan.

    salam Ramadhan. semoga Ramadhan kali ini membawa seribu pengertian buat kita.

    ReplyDelete

Komen anda amat dialu-alukan.