Friday, 26 September 2008

Carilah.....


Ramadhan hampir melabuhkan tirai, memberi laluan kepada Aidil Fitri bertandang. Sungguh, hari raya bagaikan terasa esok @ lusa. Kedengaran lagu-lagu raya berkumandang di corong radio. Sudah semestinya sales dengan segala macam tawaran bertambah rancak. Maka kita rasakan mood Aidil Fitri meniti hari-hari terakhir ramadhan dengan pelbagai irama & cara. Mengemas rumah, tukar langsir, lap tingkap & mop lantai memenuhi jadual seisi keluarga. Pendek kata, mungkin ramai yang hampir terlupa fasa ketiga menjanjikan pembebasan dari api neraka !.


Bukan nak mengata sesiapa. Tiada salahnya kita melakukan sedemikian. Mungkin kalau bukan pada hari raya jarang kita mengemas rumah. Ada baiknya kita gunakan kesempatan yang ada. Namun di saat kerancakan itu, jangan ditepis tawaran yang dihidangkan di hadapan kita begitu sahaja. Siapa tahu ramadhan kali ini yang terakhir buat kita ?.


Sebulan Sudah Ramadhan Bersama

Tibalah Syawal Tanda Kemenangan

Sempurnakah Segala Amalan

Adakah Kita Berjumpa Semula

Di Ramadhan Yang Akan Datang...


Manfaatkan hari-hari terakhir ramadhan dengan sebaiknya. Carilah apa yang belum ketemu. Hiasi hari kita dengan kalamullah, tarawih, iktikaf & qiyamullail. Sempurnakan yang masih tersisa. Lengkapkan bait kehidupan dengan iman & taqwa. Moga ramadhan kali ini lebih baik dari sebelumnya. Moga kita keluar dari madrasah ramadhan dengan imanan wahtisaban.


Syair arab pernah menyebut ‘ Bukanlah hari raya dengan pakaian yang baru. Akan tetapi hari raya itu dengan taqwa yang baru. ’ Taqwa yang terpancar hasil didikan sebulan dalam ramadhan. Biarlah kita keluar dari ramadhan dengan mendongak ke langit, mengharapkan Allah menemukan kita dengan ramadhan yang akan datang. Bukan tersungkur sesal dek kerana membiarkan ramadhan berlalu sekadar membasahkan buku lali. Ramadhan yang sama, natijah yang berbeza.

2 comments:

  1. selamat hari raya aidilfitri maaf zahir dan batin.

    ReplyDelete
  2. Salam Aidil Fitri, maaf zahir batin. Kesian alone raya sorg2 kat rumah, haha........

    ReplyDelete

Komen anda amat dialu-alukan.