Semalam Konvensyen Berakhirnya Agenda Zionis (KBAZ) berlangsung di PWTC dengan jayanya. Jika semasa Pameran Buku beberapa minggu lepas saya ke Dewan Merdeka buat kali pertama, meninjau saiznya untuk mengukur kemampuan Pertubuhan Belia Islam Nasional (PEMBINA) mempromosi rakyat Malaysia memenuhi 3000 kerusi di dalamnya, semalam saya ke sana atas jemputan untuk hadir di Dewan Merdeka buat kali kedua, melihat dengan mata saya sendiri kehadiran lebih 3000 orang peserta dan kesedihan ramai peserta tidak berdaftar yang hadir tetapi tidak boleh masuk kerana sudah tidak ada ruang.
Tahniah saya ucapkan kepada Presiden PEMBINA, Dr Kamil Azmi, Timbalan Presiden PEMBINA, Dr Kamsani, Pengarah KBAZ merangkap Setiausaha PEMBINA, Saudara Jalil Husni serta seluruh AJK dan sukarelawan yang bertungkus lumus berbulan lamanya untuk menjayakan konsensyen yang amat unik pada saya. Tidak lupa juga kepada Presiden Aman Palestin, Ustaz Abdullah Zaik yang juga Presiden ISMA serta seluruh warga kerja Aman Palestin.
Konvensyen semalam program orang muda. Yang hadir ramai yang muda. Yang merasmikannya juga, Dr Juanda, baru berusia 37 tahun (boleh daftar jadi ahli PEMBINA lagi tu). Petugas-petugasnya semua muda-muda. Ramai yang berusia 20′an. Manakala bakinya 30′an. Saya yang sememangnya masih ‘muda’ berasa amat muda semalam.
Mereka memakai pakaian serba hitam; petugas lelaki terutamanya. Amat ketara, bahkan sebahagiannya melengkapkannya dengan cermin mata hitam. Saya hampir-hampir bertanya kepada seorang petugas samada beliau sedang sakit mata. Tidak sempat bertanya, datang petugas lain yang juga memakai cermin mata hitam. Oh, rupanya mereka ni berpakat. Pagi tadi di padang bola, mereka mengiayakan bahawa itu semua disengajakan. Warna hitam adalah warna pantang orang-orang yang seumur dengan saya. Generasi yang lebih tua dari saya, lebih-lebih lagi tidak suka warna hitam. Tapi ini program orang muda. Kita kena ikut dan akur.
Sticker yang menjadi pelekat peserta dan pembahagi kepada lokasi makan tengahari pula berwarna oren dan merah. Ada empat lokasi makan tengahari. Mereka perlu kepada empat sticker berbeza warna tetapi mereka cuma pilih dua warna. Oren cerah, oren gelap, merah segi empat tepat dan merah segi empat sama. Belianis (ke lebih tepat beliawanis?), itu warna pilihan mereka. Wanita ISMA yang lebih tua dari mereka lebih suka warna gelap. Semasa Konvensyen Wanita Islam anjuran ISMA, mereka memakai pakaian berwana hijau gelap. Sebelumnya dalam konvensyen lain mereka memakai pakaian berwarna maroon.
Seterusnya, kali pertama dalam sejarah hidup saya melihat perasmi yang merupakan seorang Mufti diberikan notis bahawa waktu berucap hampir tamat. Mungkin bagi orang lain ianya perkara biasa, tetapi bagi saya ianya pengalaman baru. Semasa makan tengahari saya berkata kepada Dr. Juanda, ini program orang muda, sebab tu ada notis. Kalau orang tua, mungkin mereka biarkan sahaja. Tapi ramai juga rakan-rakan yang puji tindakan sebegini. Hmm, orang muda boleh buat apa sahaja.
Apa pun tahniah sekali lagi kepada yang telah menjayakan program ini dengan segala curahan tenaga dan masa. Hanya Allah yang akan membalasnya.
No comments:
Post a Comment
Komen anda amat dialu-alukan.