Friday 8 January 2010

Isu Penggunaan Kalimah Allah : Kenyataan Media NGO Islam


Ikatan Muslimin Malaysia ( ISMA )

Pertubuhan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) merasa kesal dan memandang berat terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan akhbar mingguan Gereja Katholik, Herald - The Catholic Weekly menggunakan kalimah “ALLAH” di dalam terbitan mereka. Keputusan ini dilihat akan memberikan implikasi yang besar kepada perkembangan pengaruh agama Kristian di kalangan umat Islam terutama generasi muda negara ini.

Keputusan mahkamah itu juga bercanggah dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang menghalang penyebaran agama bukan Islam di kalangan orang Islam. ISMA melihat keputusan mahkamah ini akan memberi laluan yang lebih luas ke arah kedudukan samarata agama, sedangkan perlembagaan telah menetapkan Islam adalah agama rasmi negara (agama persekutuan).

Majlis Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang ke-82 pada bulan Mei 2008 yang lepas telah membuat keputusan bahawa kalimah “ALLAH” ini khusus bagi agama dan umat Islam. Allah pada sisi agama Islam adalah tunggal dan esa sifat-Nya. Keputusan majlis muzakarah tersebut membayangkan kepada seluruh masyarakat Malaysia bahawa isu ini sangat sensitif kepada rakyat yang beragama Islam. Namun ada pihak yang memandang ringan dan mahu mencabar keputusan majlis tersebut dengan bertindak membawanya ke mahkamah.

ISMA menyokong pihak JAKIM dan KDN yang akan membuat rayuan dan berpendapat bahawa langkah itu menepati kehendak “Siasah Syariyyah”. Walaupun larangan menggunakan nama Allah itu tidak terdapat dalam kitab fikah terdahulu, pihak berwajib boleh berijtihad atas dasar “Masolih Mursalah” dan menepati tuntutan tujuan syarak (Maqasid Syarak) iaitu menjaga agama (Hifzu ad-Din).

Sehubungan dengan itu, ISMA menyeru agar:

1) Parti-parti politik yang mewakili suara umat Islam supaya mengetepikan kepentingan politik masing-masing dengan memberikan sokongan padu di belakang Jabatan Perdana Menteri yang akan membuat rayuan terhadap keputusan mahkamah tersebut. Sesungguhnya perbezaan fahaman politik di kalangan umat Islam di negara ini seharusnya ada batas sempadan, dan isu ini menuntut bukti kesetiaan pada agama dan bangsa daripada semua pihak tanpa terkecuali. Masa depan agama Islam tidak seharusnya dikompromikan demi menjaga hati dan sokongan pihak-pihak tertentu.

2) Para ulamak dan agamawan agar dapat menghentikan perbalahan pendapat dalam soal cabang dan seterusnya tampil memperhebatkan kempen penerangan kepada masyarakat akan hakikat perbezaan antara Allah yang Maha Esa dan konsep “Trinity” di sisi agama Kristian. Penggunaan kalimah Allah dalam media agama Kristian sudah tentu akan melahirkan ancaman kekeliruan di kalangan umat Islam yang cetek ilmu agamanya.

3) Seluruh anak watan Melayu agar bangkit segera dari lena yang panjang dan menyedari betapa status quo dan keistimewaan agama Islam di negara ini sudah mula dicabar sedikit demi sedikit. Fenomena ini hanya dapat disekat jika mereka membuang sifat toleransi melampau dan terlalu berlembut dalam hal-hal yang mengancam identiti mereka sendiri, serta membina kembali jati diri selaku umat yang pernah menerajui tamadun Islam serantau.

IKATAN MUSLIMIN MALAYSIA
Bandar Baru Bangi
3 Januari 2010



Angkatan Belia Islam Malaysia ( ABIM )

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) ingin menyatakan rasa kesal terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang telah membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh majalah Harold : The Catholic Weekly. Kesan utama kepada penggunaan ini ialah masyarakat bukan Islam diberikan hak berdasarkan tafsiran perlembagaan untuk menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan ataupun penggunaan seharian, dan sebarang larangan oleh pihak berkuasa atau otoriti agama Islam adalah tidak sah.

ABIM menilai keputusan ini tidak bertepatan dengan semangat peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Islam di tempat yang istimewa di kalangan agama-agama lain di negara ini. Ia juga bertentangan dengan larangan penggunaannya yang dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri dan Majlis-Majlis Agama Islam Negeri kerana ia dikenalpasti bakal mengelirukan akidah dan konsep ketuhanan di kalangan umat Islam, merobek sensitiviti umat Islam selaku majoriti di negara ini serta berpotensi menimbulkan ketidaktenramaan awam sekiranya tidak ditangani secara baik..

Justeru Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) memohon campur tangan Majlis Raja-Raja Melayu untuk menghentikan segera polemik kalimah Allah. Gesaan ini selari dengan peruntukan perlembagaan persekutuan, yang menetapkan segala urusan berkaitan dengan hal ehwal agama Islam diletakkan di bawah kuasa serta naungan Raja-Raja Melayu.


ABIM juga menyeru agar pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) bertindak lebih tegas mengikut peruntukan perlembagaan, undang-undang sedia ada dan enakmen undang-undang Islam di negeri-negeri dan tidak mengeluarkan permit penggunaan tersebut pada masa-masa akan datang. ABIM juga menyeru agar pihak KDN menggunakan segala saluran perundangan yang ada untuk mengemukakan rayuan terhadap keputusan yang merobek sensitivit umat Islaam tersebut.


Akhir sekali, ABIM memohon agar semua pihak bertenang dan menghormati keputusan ini dan tidak bertindak secara emosional demi untuk menjaga keharmonian serta kestabilan hubungan di antara kaum di negara ini.


" Menegakkan Kebenaran & Keadilan "

MOHAMAD RAIMI AB.RAHIM
Setiausaha Agung Angkatan Belia Islam Malaysia


Persatuan Pengguna Islam Malaysia ( PPIM )


Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) sekeras-kerasnya membantah keputusan mahkamah tinggi membenarkan Herald menggunakan kalimah Allah di dalam penerbitan-penerbitannya. Kami menggesa agar kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri memfailkan rayuan serta-merta agar keputusan itu dikaji semula dan melarang mana-mana agama selain Islam menggunakan kalimah Allah.

Negara telah menikmati suasana kebebasan beragama selama mana Islam telah menjadi agama rasminya dan semua kaum di negara ini harus menghargainya dengan tidak mencuba menggugatnya dengan bertindak secara bodoh membangkitkan perkara-perkara remeh seperti ini.

PPIM bimbang keputusan ini bakal mencetuskan keadaan huru-hara dalam negara ini akibat daripada sentimen agama umat Islam yang sensitif dengan perkara yang menyentuh soal kepercayaan mereka dan kebimbangan mereka akan nasib keturunan mereka jika perkara ini berterusan. PPIM merasa hairan mengapa kini baru ditimbulkan soal merujuk tuhan agama Kristian sebagai Allah yang mana selama ini tuhan yang mereka sembah itu hanya dirujuk di dalam kitab suci mereka sebagai Lord sahaja.

Umat Islam mengenal Allah beserta dengan sifatnya sekali dengan ketauhidan yang meliputi ketauhidan rububiah, uluhiah dan asma' wa sifat. Kita percaya Allah yang bercirikan ahadiah dan samadiah. Bagaimana mungkin pihak lain merujuk Allah sewenang-wenangnya tanpa melihat semula akan sifat dan ciri-ciri Allah yang sediakala itu? Apakah sifat Allah yang mereka percaya itu? Al-Quran ada menjelaskan bahawa orang Yahudi mempercayai Uzair itu anak Allah dan orang Nasrani pula percaya bahawa Al-Maseh itu anak Allah. Ini jelas bertentangan dengan Allah yang diimani oleh umat Islam.

PPIM percaya pihak Herald mempunyai agenda tertentu apabila mereka menggunakan kalimah Allah dan sudah tentulah bukan sesuatu yang baik untuk semua pihak termasuk penganut agama Kristian sekali kerana tiada siapa yang akan beruntung jika satu rusuhan agama berlaku hanya kerana akibat perkara yang amat remeh dan tidak merugikan sesiapa jika ianya tidak dibangkitkan.

PPIM menyeru semua umat Islam bersama bangkit sebagai satu suara yang kuat menentang sekeras-kerasnya keputusan Hakim Lau Bee Lan ini.




Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia ( PKPIM )


Pada 31 Disember 2009, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah memustuskan untuk membenarkan tuntutan pihak Herald Catholic terhadap kerajaan Malaysia untuk menggunakan kalimah Allah bagi tujuan penerbitan ‘Herald: The Catholic Weekly’.


Keputusan tersebut telah mengundang kekeliruan khususnya dalam kalangan generasi muda tentang persoalan aqidah dan konsep ketuhanan. Kekeliruan ini boleh menyebabkan tergugatnya pegangan aqidah mereka yang menjadi kebimbangan utama PKPIM.

Sementara itu, perkembangan ini juga telah menimbulkan kemarahan sebilangan besar umat Islam di Malaysia yang dapat disaksikan menerusi siri bantahan terbuka dan laporan polis yang telah dibuat oleh NGO Islam di seluruh negara.

Atas kebimbangan tersebut, PKPIM merasakan perlunya satu gerakan kesedaran secara besar-besaran dilaksanakan di setiap peringkat masyarakat khususnya generasi pelajar dan mahasiswa. Sehubungan dengan itu, PKPIM melancarkan Gerakan Kempen Kesedaran ”Implikasi Kes Kalimah Allah Terhadap Islam di Malaysia” atau singkatannya GKK-PKPIM.

Tujuan utama pelancaran GKK-PKPIM adalah untuk meningkatkan kesedaran dan menerapkan kefahaman Islam sebenar serta merungkaikan kekeliruan yang berlaku berikutan implikasi kes kalimah Allah terhadap Islam dan masyarakat umum.

Menerusi platform ini, PKPIM akan menggerakkan beberapa siri program kesedaran seperti forum dan wacana ilmiyah, diskusi umum, pengedaran risalah, penerbitan makalah dan poster kesedaran, serta munajat perdana. Gerakan ini akan dimobilisasikan ke seluruh negara dengan mensasarkan para pelajar dan mahasiswa secara menyeluruh.

Dalam perkembangan berkaitan, gerakan ini mendapat dokongan lebih 20 persatuan pelajar yang turut disertai oleh 13 Badan Gabungan Negeri (BGN) PKPIM dan kelab-kelab mahasiswa di IPTA dan IPTS.

PKPIM berharap agar dengan gerakan kempen kesedaran ini dapat menanam kesedaran generasi muda terhadap kes ini seraya merungkaikankekeliruan dan salah tanggap yang melingkari persoalan aqidah dan teras kepercayaan umat Islam. Atas rasa tanggungjawab, PKPIM menyeru lebih banyak pihak untuk tampil dan memberikan sokongan untuk menjayakan gerakan ini.

Dalam pada itu, PKPIM mendesak supaya semua pemimpin Melayu Islam bagi semua parti politik iaitu UMNO, Pas, dan PKR untuk duduk semeja bersepakat mengeluarkan satu kenyataan dan pendirian bersama untuk bersama-sama mempertahankan Kalimah Allah. PKPIM bersedia menjadi NGO yang berperanan sebagai pihak ketiga untuk menghubungkan ketiga-tiga parti politik.

MUHAMMAD FAISAL ABDUL AZIZ

Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)


No comments:

Post a Comment

Komen anda amat dialu-alukan.