Friday, 22 August 2008

Menuju Ramadhan Al-Mubarak

Firman Allah :

" Wahai orang-orang yang beriman diwajibkan berpuasa ke atas kamu seperti mana diwajibkan ke atas orang-orang terdahulu, mudah-mudahan kamu bertaqwa "
( Al-Baqarah : 183 )

Sabda Nabi S.A.W :

" Awalnya rahmah, pertengahannya keampunan & penghujungnya pembebasan dari api neraka "

" Barangsiapa yang berpuasa dalam bulan ramadhan dengan penuh keimanan & mengharapkan keampunan Allah, diampunkan dosanya yang telah lalu "

Insya Allah saya akan sertakan martabat hadith di atas secepat mungkin...

Thursday, 21 August 2008

Antilla Bernilai RM 6.6 Billion



Rumah termahal dunia

KOS pembinaan rumah jutawan petrokimia India, Mukesh Ambani setinggi 27 tingkat di Altamount Road, Mumbai melampaui belanjawan membina hotel ternama dan dikenal pasti rumah termahal di dunia. 'Istana' yang dinamakan Antilla itu dijangka siap awal tahun depan.

Mukesh Ambani bakal menggaji 600 pekerja bagi membersih dan menyelenggara kediaman mewah 27 tingkat

NITA Ambani bukan sembarangan wanita, dia adalah isteri jutawan petrokimia tersohor Mumbai sekali gus peneraju Reliance Industries, Mukesh Ambani. Sehingga Mac tahun ini, Mukesh dengan anggaran aset RM142 bilion (AS$43 bilion) dinobatkan laman web Forbes lelaki kelima terkaya di dunia.

Sebagaimana wanita lain di dunia, Nita cukup bertuah kerana suaminya sanggup membina kediaman mewah dan selesa 27 tingkat bernilai RM6.6 bilion (AS$2 bilion) buat diri dan tiga anaknya.

Tanggungjawab membina rumah impian Nita dan suaminya itu diamanahkan sepenuhnya kepada firma arkitek Perkins + Wills and Hirsch Bedner yang sebelum ini diakui kebolehan mereka melalui pembangunan Mandarin Oriental Dallas dan Los Angeles.

Pengarah Pemasaran Hirsch Bedner Associates, Thomas Johnson, berkata arkitek dan juru hias dalamannya bertungkus lumus menyiapkan pelan lantai, memikirkan reka bentuk seterusnya menentukan konsep serta tema bangunan.

Pembinaan kediaman mewah di Altamount Road, Mumbai di atas tapak tanah seluas 4939.81 meter persegi bermula penghujung 2006 dan dijangka siap untuk diduduki pada September 2008.

Bangunan pencakar langit seperti istana itu digelar Antilla bersempena nama sebuah pulau sarat mitos. Kos pembinaannya melampaui belanjawan membina hotel ternama dengan setiap tingkat ditampilkan ukuran, bahan dan struktur seni bina berbeza meliputi lantai, lampu, pintu, bingkai tingkap dan sebagainya.


"Sekiranya aras sembilan menitipkan kemasan logam dan kayu disulami sentuhan kristal, tingkat 11 tidak akan mengetengahkan unsur itu lagi. Ini permintaan Nita yang mahukan pertembungan konsep dengan elemen seni bina bagi ruang konsisten tanpa ada pengulangan gaya," kata pakar hiasan dalaman Hirsch Bedner Associates.

Struktur seni bina berkenaan dibentuk menerusi prinsip Vaastu yang boleh disamakan dengan feng shui. Matlamat utamanya untuk mendapatkan aliran pergerakan sihat ruang berpandukan susun atur strategik bilik, objek dan kemasan.

Kuarters keluarga yang memuatkan sebuah lobi dan menghimpunkan sembilan lif, beberapa bilik penyimpanan serta ruang bersantai terletak di aras tujuh selepas enam tingkat tempat meletak kereta untuk 170 lot parkir. Sebaik menuruni dua sayap tangga dengan selusur bersepuh perak, tetamu bertemu dewan tari menari berhias siling kristal.

Ruang ini menjadi wadah seni menerusi sisipan monitor LCD lengkap sistem pembesar suara selain dibina sebuah pentas pertunjukan.


Sesuai statusnya sebagai usahawan ternama, Mukesh sering menganjurkan majlis korporat di kediamannya. Namun, pandangan isteri dan anak-anak yang menginginkan gaya penataan menggambarkan akar umbi bangsa tidak diabaikan.




Buktinya, sinki yang dibina memanjang dari ruang santai berlanjutan ke ruang hiburan dilengkapi pawagam dan stor wine direka menyerupai daun gingko, spesies tumbuhan yang dekat dengan masyarakat India. Saliran paipnya menampilkan rekaan mirip batang daun yang 'menjalar' hingga ke sinki.

'Health level', aras yang dikhususkan untuk sukan dan riadah menempatkan patio, kolam renang, gimnasium dan studio yoga. Pasangan Ambani memenuhi kawasan patio dengan pelbagai spesies pokok tempatan.

Aras ini juga menyediakan bilik berais khusus kegunaan penghuni dan tetamu melarikan diri dari bahang cuaca kota Mumbai. Menariknya, bilik sejuk ini menawarkan pengalaman berada di negara empat musim apabila disertakan hujan salji buatan manusia.

Pada ketika cuaca nyaman, Ambani sekeluarga berpeluang menghirup udara segar yang ditawarkan empat tingkat landskap terbuka. Kayu yang menguatkan alang dan menyokong dua pertiga bahagian atas bangunan berbentuk ‘W’ mengilhamkan atrium terbuka untuk taman dan halaman.

Landskap hidroponik dan pokok bersifat kekal elemen paling rumit direalisasikan namun kewujudannya didorong dengan sebab. Keupayaan tumbuh-tumbuhan menyerap cahaya matahari dimanfaatkan menjadi sumber tenaga yang boleh diubahsuai merujuk keperluan. Menerusinya, suasana kediaman pada musim panas boleh menjadi dingin manakala ketika cuaca sejuk, suhu menyamankan tubuh.

Empat tingkat teratas dijadikan ruang peribadi Ambani sekeluarga termasuk ibunya, Kokilaben. Istimewanya ruang ini kerana menampilkan pemandangan Laut Arab dan seluruh kota Mumbai.

Menurut Penolong Jurutera BMC, syarikat yang bertanggungjawab mereka pelan cadangan bagi pembinaan bangunan ini, kira-kira 600 pekerja bakal digajikan Mukesh bagi membersih, menjaga dan menyelenggara kediamannya.

Di sebalik nama Antilla

Antilla atau Antillia adalah pulau puaka yang dipercayai berada di tengah Lautan Atlantik di barat Sepanyol. Nama lain pulau mistik ini adalah Isle of Seven Cities, Ilha das Sete Cicades (bahasa Portugis), Septe Cicades, Sanbrandan atau St Brendan dan sebagainya.

Nama asalnya tidak diketahui. Etimologi tertua dikeluarkan pada 1455 menghubung-kaitkan nama itu dengan platonik Atlantis, manakala versi terkemudian mengaitkannya dengan Jezirat Al Tenny, “Pulau Naga”, disebut Pulau Naga oleh ahli geografi Arab.

Legenda pulau bermula pada 74 Tahun Masihi apabila Quintus Sertorius, komander tentera dan konsulat Sepanyol yang baru pulang dari medan pertempuran Mauretania (Utara Maghribi) bertemu kelasi berpengalaman singgah di pulau Atlantik.

Teruja dengan cerita kelasi berkenaan, Sertorius memasang tekad mencari pulau terbabit sebelum mengambil keputusan menetap di situ.

Fakta Menarik Antilla

  • Merujuk pelan, bangunan ini menawarkan ketinggian 173.12 meter bersamaan ketinggian bangunan 60 tingkat. Namun, disebabkan Antilla memperuntukkan 27 tingkat, ini bermakna setiap arasnya dilengkapi siling berketinggian lebih tiga meter daripada ukuran sepatutnya.

  • Enam tingkat tempat meletak kereta bakal memuatkan 170 kereta import tuan rumah. Turut disediakan pusat servis kereta yang ditempatkan di aras tujuh.

  • Tingkat lapan mengandungi pusat hiburan lengkap mini pawagam dengan kapasiti 50 orang pada satu masa.

  • Dua tingkat di atas 'health level' menempatkan unit pangsapuri berdinding kaca untuk penginapan tetamu.

  • Dua tingkat di atas kediaman keluarga diperuntukkan sebagai kawasan penyelenggaraan. Di atasnya pula, disediakan 'ruang udara' berfungsi sebagai bilik kawalan untuk helikopter mendarat.

  • sumber : bharian.com.my

    Wednesday, 20 August 2008

    Islam Agama Persinggahan ?..


    Berita tentang pengisytiharan murtad secara rasmi ini disiarkan dalam ruang Nasional, akhbar Berita Harian hari ini (19 Ogos). Ruang yang disediakan amat kecil dan yang pastinya ia bukan di ruang utama. Mungkin juga tidak disiarkan di akhbar-akhbar perdana lain. Apa rahsianya? Mungkin supaya masyarakat tidak kecoh dan bising-bising. Mungkin juga kerana editornya menganggap berita seumpama ini memang tidak penting.

    Ketika saya menulis artikel tentang kes murtad Fatimah Tan, sebahagian rakan-rakan bertanya tentang komen saya terhadap penjelasan yang dilakukan oleh peguam beliau. Saya tidak berminat untuk memberikan komen atas beberapa sebab. Pertamanya saya tidak mahu dilihat memusuhi sesiapa terutamanya oleh peguam tersebut. Saya menghormati beliau sebagai seorang peguam Islam. Keduanya kerana saya masih menaruh harapan terhadap apa yang beliau utarakan dalam penjelasannya bahawa tindakannya itu akan meninggikan martabat Mahkamah Syariah. Saya tidak mahu komen banyak kerana saya rasa beliau lebih arif dari saya berkaitan isu-isu perundangan dan kehakiman di Malaysia.

    Tetapi setelah beberapa bulan berlalu, kes Jeffrey Or ini berlaku lebih kurang sama dengan kes Fatimah Tan. Jika Fatimah Tan diisytiharkan murtad setelah 9 tahun memeluk Islam, Jeffrey Or pula diisytiharkan murtad setelah memeluk Islam lebih dari 14 tahun. Saya mula terfikir, apa yang dimartabatkan sebenarnya melalui kes-kes seumpama ini? Siapa yang menang?

    Sehari demi sehari Islam dipermainkan oleh orang-orang bukan Islam. Kalau dulu dalam MyKad ada perkataan Islam bagi yang beragama Islam, hari ini MyKid tidak ada lagi perkataan Islam bagi anak-anak yang lahir dari ibu bapa Islam. Bayi yang lahir dari ibu bapa muslim tidak ada agamakah? Dan hari ini pula mereka mula bermain-main dan mendapatkan kemahuan mereka melalui institusi-institusi kita.

    Islam yang memerintah. Negara Islam yang dilaungkan. Orang-orang Islam yang membentuk majoriti penduduk. Ratusan mufti, tokoh dan pembesar agama. Berbelas Jabatan Agama. Puluhan atau mungkin ratusan badan-badan dan kesatuan Islam. Tetapi adakah ini hasilnya?

    Kita tidak ada khalifah. Logiklah kekuatan yang ada pada umat Islam Malaysia tidak menunjukkan hasil yang banyak. Tapi paling kurang, kalaulah kita saling berhubung, berbincang, meminta pandangan dari badan-badan dan tokoh-tokoh Islam lain, rasanya kita mungkin dapat mengelakkan dari tindakan-tindakan individu yang mungkin kita rasa untung tapi sebenarnya merugikan.

    Akhirnya jika ditanya kepada saya apa yang perlu dilakukan, pandangan saya seperti berikut.

    Kepada mana-mana badan Islam dan individu; teruskan apa yang diusahakan hari ini. Bersabar kerana jalannya masih panjang. Ikut manhaj yang betul supaya usaha yang dilakukan sampai ke natijah yang diharapkan. Usahakan kesatuan muslimin. Mulakannya dengan budaya berbincang dan bermuzakarah. Pertahankan apa yang dicapai oleh umat sekarang dan tingkatkannya sedikit demi sedikit.

    Kepada badan-badan yang terlibat dengan golongan saudara baru; tangani mereka sebaiknya melalui usaha pendidikan dan kebajikan.

    Kepada ahli perundangan dan kehakiman Islam; usaha yang paling rendah pada pandangan saya adalah dengan mengusulkan agar perbuatan saudara baru yang kembali kepada agama asal dikategorikan sebagai jenayah. Walau pun mungkin hukuman Islam tidak dapat dilaksanakan dalam masa terdekat, jika kita berjaya menjatuhkan hukuman dan mengenakan denda kepada mereka, itu pun sudah memadai untuk tahap ini. Samada denda kerana mengisytiharkan Islam secara palsu atau kerana kembali kepada agama asal mereka. Apa yang penting adalah jangan sekali-kali memberi ruang untuk sesiapa sahaja menjadikan Islam agama ’singgah-singgah’ sahaja.

    Moga tidak ada lagi kes seumpama ini.

    Wallahu al-Musta’an.

    _____________

    Pekerja kontrak diisytihar murtad (Berita Harian, 19 Ogos)

    KUANTAN: Mahkamah Syariah di sini semalam mengisytiharkan seorang pekerja kontrak keturunan Cina yang memeluk Islam kira-kira 14 tahun lalu, murtad.

    Hakim Datuk Abdul Rahman Yunus ketika membuat keputusan itu berkata selepas mendengar keterangan empat saksi dan menimbang fakta yang dikemukakan, beliau memutuskan pemohon, Jeffrey Or Abdullah @ Or Boon Hua, 36, keluar daripada Islam.

    Bagaimanapun, beliau berkata, keputusan itu akan hanya berkuat kuasa selepas 14 hari bermula semalam bagi membolehkan mana-mana pihak atau badan Islam mengemukakan rayuan atau bantahan.
    “Walaupun Enakmen Pentadbiran Islam dan Adat Resam Melayu Pahang tidak menyediakan peruntukan jelas berhubung perkara ini, peruntukan dalam enakmen terdahulu yang dimansuhkan boleh dipakai demi keadilan.

    Abdul Rahman berkata, walaupun sudah diisytihar tidak lagi beragama Islam, beliau berharap Jeffrey akan memikirkan semula keputusannya itu pada masa depan.

    “Saya juga mengingatkan badan dakwah Islam mengambil inisiatif untuk memberi bimbingan dan tidak membiarkan mereka (saudara baru) terkapai-kapai,” katanya.

    Berikutan keputusan itu, Abdul Rahman turut memerintahkan kad perakuan memeluk Islam Jeffery dibatalkan dan statusnya sebagai beragama Islam di Pejabat Pendaftaran Negara dibatalkan.

    Katanya, Majlis Agama Islam Pahang (MAIP) juga perlu mendaftarkan Jeffrey sebagai bukan Islam.

    sumber : satuperkongsian.wordpress.com

    Tuesday, 19 August 2008

    Nilai Sebuah Sumpah


    Lelaki ini masih muda. Tetapi dia telah memilih untuk memulakan usia mudanya dengan satu lakaran sejarah. Mungkin ada yang akan menggelarnya dengan gelaran-gelaran yang pelbagai selepas ini. Apa-apa pun itu hak dia. Dia kata dia nak mengembalikan maruahnya. Dia nak tegakkan hak. Ucapan sumpahnya memang satu yang cukup berani.

    “Pada hari ini, saya Mohd Saiful Bukhari Azlan, dengan nama Allah berikrar dan bersumpah, diliwat Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 26 Jun 2008. Jika saya berdusta atas pengakuan ini, maka saya berdusta terhadap Allah dan sanggup menerima azab, laknat dan kutukan daripada Allah hingga ke kiamat.”

    Saya kagum dengan orang-orang yang berani. Tapi berani jenis ini, saya tak pasti samada saya perlu kagumi atau tak. Dia mungkin berani kerana ada orang alim yang menasihatkannya demikian. Orang alim tu minta kedua-dua yang menuduh dan tertuduh bersumpah agar turun laknat ke atas pendusta. Mungkin silibus yang dia belajar dulu macam tu.

    Yang saya belajar dulu tentang kaedah pendakwaan dalam Islam lain sikit. Orang yang mendakwa perlu mendatangkan bukti samada saksi, keterangan dan sebagainya (Al-Bayyinah ala al-mudda’ie). Jika tidak ada bukti, ulama’ khilaf tentang kaedah sumpah; iaitu samada perlu atau tidak orang yang dituduh bersumpah bahawa dia tidak bersalah (Al-yamin ala man ankara). Ada yang kata bahawa dia perlu bersumpah dan kalau dia enggan, maka dia dikira salah. Ada ulama’ yang memasukkan keengganan bersumpan (An-Nukul anil yamin) sebagai bukti. Tetapi ada ulama’ yang tidak menganggap keengganan bersumpah sebagai bukti untuk mensabitkan kesalahan.

    Ketika dakwaan surat palsu dikenakan ke atas Saidina Osman r.a. oleh para pemberontak Mesir, Kufah dan Basrah, Saidina Osman r.a. meminta dari mereka dua orang saksi. Jika tiada maka dia akan bersumpah bahawa dia tidak melakukannya katanya. Begitulah praktik Islam di dalam bab murafaat.

    Kalau setiap kali berlaku pendakwaan, pendakwa dan yang didakwa perlu bersumpah mahkamah Islam pasti akan jadi bahan tawa orang lain. Pendakwaan tidak akan sabit dengan sumpah. Sumpah hanya untuk tertuduh membersihkan diri setelah proses meneliti bukti yang didatangkan menemui jalan buntu. Dalam kes pemuda berani ini sebenarnya sumpah yang dilakukan adalah amat ganjil; dia yang mendakwa dan dia yang bersumpah. Apa nilai sumpah sebegini dalam pendakwaan? Kosong dan tidak mensabitkan apa-apa. Kerja sia-sia (saya baik sikit dari orang lain yang kata kerja bodoh).

    Mungkin orang alim tu berdalilkan ayat 61 dari surah Aali Imran. Dalam ayat tu memang ada menceritakan tentang sumpah laknat (mubahalah). Allah berfirman yang maksudnya:

    “Kemudian sesiapa yang membantahmu (wahai Muhammad) mengenainya, sesudah engkau beroleh pengetahuan yang benar, maka katakanlah kepada mereka: “Marilah kita menyeru anak-anak kami serta anak-anak kamu, dan perempuan-perempuan kami serta perempuan-perempuan kamu, dan diri kami serta diri kamu, kemudian kita memohon kepada Allah dengan bersungguh-sungguh, serta kita meminta supaya laknat Allah ditimpakan kepada orang-orang yang berdusta”.

    Ayat ini menceritakan tentang Kristian Najran di zaman Rasulullah s.a.w. yang suka berdebat dengan orang Islam tentang ketuhanan Isa a.s. Jalan terakhir adalah panggil mereka untuk bersumpah laknat. Nak kiaskan ayat ini dengan prosedur pendakwaan adalah qias maal fariq. Kias jenis ini tidak boleh digunakan, begitulah yang saya belajar. Jadi ayat ni tidak boleh digunakan sebagai dalil dalam bab sumpah si pemuda berani tersebut.

    Sumpah dalam pendakwaan boleh dipakai dalam kes li’an (suami menuduh isteri berzina). Dalam kes pendakwan lain saya tak pernah jumpa. Allah berfirman dalam surah An-Nur ayat 6-9 yang bermaksud:

    “Dan orang-orang yang menuduh isterinya berzina, sedang mereka tidak ada saksi-saksi (yang mengesahkan tuduhannya itu) hanya dirinya sendiri, maka persaksian (sah pada syarak) bagi seseorang yang menuduh itu hendaklah ia bersumpah dengan nama Allah, empat kali, bahawa sesungguhnya ia dari orang-orang yang benar. Dan sumpah yang kelima (hendaklah ia berkata): “Bahawa laknat Allah akan menimpa dirinya jika ia dari orang-orang yang dusta.” Dan bagi menghindarkan hukuman seksa dari isteri (yang kena tuduh) itu hendaklah ia bersumpah dengan nama Allah, empat kali bahawa suaminya (yang menuduh) itu sesungguhnya adalah dari orang-orang yang berdusta. Dan sumpah yang kelima (hendaklah ia berkata): “Bahawa kemurkaan Allah akan menimpa dirinya jika suaminya dari orang-orang yang benar.”

    Ayat ini turun kepada Hilal bin Umayyah yang menuduh isterinya berzina. Allah memberikan jalan keluar kepada suami yang menuduh isterinya berzina tetapi tidak ada bukti (bukti zina adalah empat orang saksi). Jalan keluar tersebut adalah dengan cara bersumpah mengikut prosedur yang diterangkan dalam ayat. Kalau kedua-dua bersumpah, maka isteri akan terlepas dari dikenakan hukuman rejam sampai mati (hudud untuk zina) dan kedua-dua akan dipisahkan selama-lamanya (bainunah kubra). Hukum ini adalah khas untuk suami isteri sahaja. Antara hikmahnya adalah kerana suami yang menuduh isterinya curang tidak akan mampu untuk hidup dengan isterinya. Nak datangkan empat orang saksi pula bukan mudah. Nak suruh isteri mengaku lagi susah. Allah menyebut pada ayat 10 selepas menerangkan prosedur li’an:

    “Dan kalaulah tidak kerana adanya limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepada kamu, dan juga (kalaulah tidak kerana) bahawa Allah Maha Penerima taubat, lagi Maha Bijaksana, (tentulah kamu akan) akan mengalami kesusahan yang sukar diatasi).”

    Kepada pemuda berani tersebut saya nasihatkan agar jangan main-main dengan sumpah. Kalau orang dakwa kita dengan apa-apa juga tuduhan, minta dia datangkan bukti. Tak perlu bersumpah. Kalau kita nak dakwa orang apatah lagi. Kalau tuduhan itu betul, tindakannya bersumpah masih lagi tidak wajar. Kalau tuduhan itu tidak betul, saya doakan moga-moga Allah mengampunkan dosanya dan tidak menurunkan laknat ke atasnya walau pun dia nampak bersungguh-sungguh meminta laknat tersebut.

    sumber : satuperkongsian.wordpress.com

    Monday, 18 August 2008

    Chong Wei Tumpas Di Tangan Lin Dan

    Kini Malaysia berada dalam kelompok 66 negara yang sudah meraih pingat

    SEGALANYA sudah tergambar se
    awal set pertama. Pergerakan kaku Lee Chong Wei dengan aksi tidak melawan sudah cukup menceritakan betapa lawannya dari China 'dihadiahkan' kemenangan mudah.

    Tanpa ada pergerakan istimewa ketika Lin Dan sentiasa dua langkah lebih pantas daripadanya, memaksa pemain negara akur untuk sekadar berpuas hati dengan pingat perak Sukan Olimpik di Universiti Teknologi Beijing, malam tadi.


    Harapan untuk melihat Jalur Gemilang dinaikkan sambil lagu Negaraku berkumandang di gelanggang, jelas tidak kesampaian ketika cabaran Chong Wei dibenam mudah Lin Dan 21-12, 21-8 dalam tempoh 39 minit permainan.

    Sebaliknya, perak sahaja menjadi pengganti, memperbaiki pencapaian Rashid Sidek yang sekadar memungut gangsa di Atlanta pada 1996 dan menyamai warna pingat sama yang disumbang pasangan Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock pada temasya sama.

    Ini juga bermakna penantian emas Olimpik terus berlarutan sejak Malaysia kali pertama menyertai temasya sukan paling besar di dunia di Melbourne pada 1956.

    Namun, perak yang disumbang Chong Wei, 26, tetap pingat yang pertama buat negara dalam tempoh 12 tahun dengan badminton kekal satu-satunya sukan yang menyumbang setakat ini. Ia juga membolehkannya mendapat ganjaran RM300,000 daripada kerajaan serta pencen RM3,000 sebulan.

    Ia tetap satu kejayaan buat Chong Wei kerana ini juga adalah final pertama dalam kejohanan utama selepas peluang terbaik di Kejohanan Dunia yang diadakan di Kuala Lumpur, lebur seawal peringkat suku akhir di kala menjadi pilihan.

    Segalanya nampak kurang menjadi buat Chong Wei pada set pertama. Lin Dan atau digelar 'Super Dan' oleh peminatnya di China tampil dengan permainan hampir sempurna malam tadi, pantas mendahului 7-1 sebelum pemain negara merapatkan diri kepada 8-13.

    Pukulan balas Chong Wei banyak yang setakat pertengahan gelanggang, memudahkan Lin Dan yang bersungguh-sungguh mahukan emas selepas teman wanitanya, Xie Xingfang tewas di final perseorangan wanita kelmarin, mengutip mata demi mata.

    Kebangkitan yang diharap gagal ditunjukkan Chong Wei ketika Lin Dan terus garang menamatkan set itu dengan 21-12.

    Dia jelas terlalu pantas dan mengawal permainan dengan baik. Saya gagal mencari ruang.

    "Tiada alasan yang mampu saya beri. Saya terima kekalahan ini biarpun memang agak menyedihkan untuk kalah selepas mara sejauh ini.

    "Jurulatih (Misbun Sidek) ada meminta saya bermain lebih pantas tapi jelas Lin Dan lagi pantas," kata Chong Wei yang mengakui ini adalah kekalahan ke-10 dan yang paling mudahnya dalam 15 pertemuan dengan lawan sama.

    Penguasaan pemain tuan rumah itu tampak berterusan pada ketika Chong Wei nampak terus kaku pergerakannya pada set kedua untuk membolehkan Lin Dan mendahului selesa 8-0 sebelum dia mengutip mata pertamanya.

    sumber : bharian.com.my

    Sunday, 17 August 2008

    Sudah Jatuh Ditimpa Tangga


    Belum pon sempat duka di hati keluarga M hilang akibat kehilangan ayah kesayangan, emak mereka pula dimasukkan ke Hospital Pantai Ipoh kerana disahkan mengidap penyakit batu karang. Alhamdulillah petang tadi kami diberikan kesempatan ke Ipoh menziarahi emak M, mak cik Hajariah. Insya Allah esok mak cik Hajariah akan menjalani pembedahan pada pukul 12 tgh hari. Kita doakan semoga M & keluarga dapat mengharungi ujian Allah dengan hati yang tabah, amin.