Idea menggabungkan nama 2 khalifah Islam yang masyhur iaitu Umar Abdul Aziz & Harun Ar-Rashid timbul daripada Adnan Oktar yang menggunakan Harun Yahya sbg nama penanya, gabungan nama Nabi Harun & Nabi Yahya
Tuesday, 11 December 2012
Cafe Cinta
Monday, 31 October 2011
Thursday, 20 October 2011
Objektif HIMPUN
- Untuk menerangkan kedudukan perkara yang sebenarnya tidak seperti yang digembar-gembur melalui media.
- Mengukur tahap kesatuan dan semangat kekitaan dikalangan orang Islam khasnya terhadap gerak-kerja Kristianisasi termasuk peristiwa 3 Ogos 2011.
- Memberitahu rakyat perlunya persoalan aqidah ditangani melalui hujah agama bukan dibiarkan berlarutan menjadi modal politik.
- Menserlahkan Institusi Raja yang menjadi payung Bangsa Melayu dan Islam dalam hal peranan mereka dalam sama-sama menangani isu yang menyentuh sensitiviti orang Melayu Islam di negara ini.
- Menzahirkan kekuatan aqidah dan keimanan masyarakat Islam sambil memberi amaran tentang bahaya yang akan menimpa negara ini seandainya isu ini terus dieksploitasi.
- Menyedarkan rakyat tentang wujudnya peruntukkan dalam Perlembagaan dan undang-undang negeri yang tidak mengizinkan mana-mana pihak mengganggu-gugat kesucian Islam serta tindakan mendakwahkan agama selain daripada Islam kepada orang Islam.
Thursday, 29 September 2011
TMA : " Melayu Harus Pandai, Bukan Pandai-Pandai "
Perbualan dengan Haji Ramadan petang itu di Masjid Lakemba Sydney bersama dua orang sahabat yang turut mengiringi dihiasi dengan gelak ketawa. Usianya sudah menjangkau 60-an akan tetapi betah bergaul dengan orang muda. Cerita demi cerita yang disulami dengan nasihat membuatkan kami tidak jemu berbual dengannya. Begitulah cara orang dulu-dulu menasihati. Dibawakan cerita, hikayat, kisah-kisah & diolah dalam bentuk yang mudah difahami serta puitis seperti pantun, sajak, gurindam, syair agar menarik minat sesiapa yang mendengarnya.
Beliau merupakan anak kelahiran Kota Singa namun lama menetap di Australia, bahkan sudah memperolehi kerakyatan negara itu. Ketiga-tiga orang anaknya membesar di sana & sudah pun bekerja. “ Kenapa lambat sangat bawa ustaz ?. Esok nak balik baru datang ke sini, ” kata Haji Ramadan seakan memprotes. Saya hanya tersenyum mendengarkan gelaran ustaz yang diberikan. Semenjak datang ke sini panggilan itu sudah sinonim dengan saya walaupun acap kali saya membantah penggunaannya. Tapi apakan daya.
Haji Ramadan merupakan mantan Pengerusi Islamic Malay Australian Association of NSW (IMAAN). Cerita beliau, “ Saya ke Palestin beberapa tahun lalu melalui Israel. Alhamdulillah kami dapat sampaikan sumbangan kewangan tapi bekalan ubat yang dibawa semuanya dibuang. Tidak dibenarkan melepasi sempadan untuk dibawa masuk ke Palestin. ” “ Saya tak dapat lupakan bagaimana perasaan dapat bersolat di Masjidil Aqsa. Saya rasa cukup bertuah & bukan semua orang dapat pengalaman seperti itu, ” tambahnya lagi.
IMAAN mempunyai sebuah masjid yang terletak di Eden Street, 15 minit perjalanan dari Redfern dengan kereta. Pada asalnya ia merupakan sebuah gereja akan tetapi diubahsuai menjadi masjid selepas dibeli oleh komuniti Melayu NSW. “ Susah kita nak dapatkan permit of worship di sini. Banyak birokrasi yang perlu dilalui. Sebab itu kita beli gereja. Permit tu dah ada. Masjid pun place of worship juga. Jadi boleh gunakan permit yang sama, ” terang Haji Ramadhan dengan panjang lebar. “ Macam tu, lain tempat lain cabarannya, ” respon saya pendek.
Waktu menginjak perlahan menghampiri senja. Para petugas masjid sedang membentangkan pelapik makanan & menghidangkan tamar serta buah-buahan yang telah dipotong menjadi juadah berbuka puasa. Kami terus rancak berbual. Saya tidak dapat lupakan kata-kata hikmah Haji Ramadan, “ Melayu harus pandai, bukan pandai-pandai. ” Sinis sekali ungkapannya itu. Ia membuatkan saya berfikir apakah mesej yang hendak disampaikan. “ Macam mana tu haji ? ” tanya saya inginkan kepastian. “ Itulah saya pun hairan bila berbasikal menaiki bukit, susah nak kayuh. Tapi bila turun bukit laju saja. Tayar pusing pula tu, ” katanya selamba. “ Memanglah haji, dah turun bukit, ” kata Fauzi.
“ Ya, itulah yang saya maksudkan. Melayu kena pandai, bukan pandai-pandai. Orang yang pandai tahu & sedar apa yg dituturkan kepadanya. Bukan sekadar terima bulat-bulat semua perkara. Paling penting kemahiran berfikir. Maaf cakaplah kan, orang kita tak mahu berfikir, ” Haji Ramadhan menyambung bicara. Katanya lagi, “ Jom lah kita. Dah nak berbuka ni. Biasanya saya azan maghrib. ”
Azan maghrib dilaungkan dengan alunan Melayu. Suasana yang suram ditambah cahaya mega di kaki langit membuatkan petang itu terasa begitu syahdu. Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa membelai jiwa yang seharian penat berpuasa. Pohon-pohon yang ditanam di hadapan masjid bergerak seirama bersama tiupan angin ke timur & ke barat. Setelah berdoa saya berbuka puasa dengan tamar & susu segar. Jangan lepaskan peluang minum susu segar sekiranya anda ke Australia. Harganya pun murah, $3 untuk botol 3 liter. Selesai berbuka ala kadar semua yang hadir memasuki masjid bagi menunaikan solat.
“ Apa pandangan Haji tentang politik Malaysia ? ” tanya saya memulakan perbualan. Dengan iras muka berkerut-kerut beliau menjawab, “ Ramai pemimpin Malaysia yang datang ke sini dibawa berjumpa saya. Maklumlah saya Pengerusi IMAAN satu ketika dahulu. Apa-apa hal orang akan rujuk saya. Baik dari UMNO ataupun PAS. ” Beliau menyambung, “ Pada saya orang Melayu Malaysia sangat beruntung sebab mempunyai kerajaan yang baik, ada peluang di sana-sini, peluang belajar, peluang pekerjaan. Kami orang Melayu Singapura tak dapat peluang macam kamu semua. Sebab itu ramai yang berhijrah. Di Australia ni ramai orang Melayu kita. Di sini lebih adil untuk kami. ”
Monday, 29 August 2011
Sunday, 28 August 2011
Ramadhan Ini
Membawa seribu satu rahmat Ilahi,
Melimpah keberkatan tiada bertepi,
Buat insan mengabdi diri.
Pahala amal diganda-gandakan,
Menjadi banyak tidak terkira,
Pesta ibadah kita raikan,
Kelak menjadi hamba bertaqwa
Solat tarawih saban malam,
Penuhi masa tilawah Al-Quran,
Tebus dosa kesalahan silam,
Pada Tuhan mohon keampunan
Lidah dijaga tutur dipelihara,
Jangan ada yang memendam rasa,
Elak diri menyakiti sesiapa,
Kerana kita sedang berpuasa
Dibuka seluasnya pintu syurga,
Ditutup serapatnya pintu neraka,
Kejar pahala sifar dosa,
Redha Ilahi kita damba
Menghitung-hitung sepuluh terakhir,
Katil & tilam rela dikorban,
Moga bertemu lailatul qadar,
Kebaikan melebihi seribu bulan
Ramadhan ini bulan keampuanan,
Ramadhan ini teratak pendidikan,
Ramadhan ini bukan kesudahan,
Tatkala Syawal singgah kemudian
Ramadhan ini aku di Aussie,
Menimba ilmu mencari pengalaman,
Ramadhan ini aku di Sydney,
Menyingkap cerita umat di perantauan.
Usamah Izer
Clayton Victoria Australia
22 Ramadhan 1423H
22 Ogos 2011
Thursday, 18 August 2011
TMA : Melbourne, Here i Come !
Aku melihat pada panel, mencari maklumat penerbangan. Masih ada banyak masa. Perlepasan dijadualkan pada 10.30 malam. Dengan tenang aku melangkah mencari kaunter ke Melbourne. Ramai yang beratur menyelesaikan urusan bagasi. Dua kaunter dibuka. Di sebelah kiri kaunter ke Chrischurch. Cuma beberapa orang. Bandar itu dilanda gempa bumi pada bulan Julai selepas Februari serta September tahun lalu. Tiga gempa berturut-turut dalam masa satu tahun. Semoga mereka tabah melaluinya.
“ Ok Encik, tak melebihi berat yang dibenarkan, ” kata pegawai itu. Aku mundar-mandir di ruang legar terminal & melabuhkan diri pada kerusi yang disediakan. “ Online sekejaplah sementara tunggu flight, ” fikiranku mencadangkan. Gmail & Facebook antara laman yang aku lawati. Sambil membaca emel & komen-komen aku mengeluarkan roti bungkus yang dibeli tadi sebagai alas perut. Sedang asyik menatap skrin laptop, telefonku berdering. Seorang sahabat menelefon bertanyakan hal keberangkatan aku. “ Macam mana ?. Jangan lupa tulis travelog untuk tatapan kami di sini, ” katanya. Aku mengiakan sahaja waktu itu.
Aku mencuba kamera Lumix Panasonic yang dipinjam dari adikku. Tak lengkap rasanya perjalanan ini sekiranya tiada kamera bersama. Lagipun dah ada peminat yang akan mengikuti tulisan & pengembaraan aku ini. Beberapa ketika kemudian datang tiga orang remaja berkopiah serta memakai jubah duduk di kerusi sebelahku. Aku melemparkan senyuman & cuba menyapa tetapi suara seakan terlekat di kerongkong. Berapa ketika kemudian aku bertanya, “ Boleh tolong ambilkan gambar saya ?. ” Bermula detik itu aku berkenalan dengan mereka. “ Kami dalam perjalanan pulang ke Kemboja. Hantar kawan yang sambung belajar di Malaysia, ” kata salah seorang dari mereka menyatakan tujuan.
“ Muda-muda lagi dah berjauhan dengan keluarga menuntut ilmu, ” aku menambah perisa perbualan. “ Kami di Kemboja susah abang. Bila datang sini alhamdulillah ada yang sudi menaja pembelajaran kami. Orang Malaysia pemurah, ” mereka menerangkan dengan bersungguh-sungguh. “ Nanti datanglah sini sambung belajar. Saya pun ada beberapa orang kawan dari susur galur Melayu Champa, ” kataku mengakhiri perbualan.
Aku bergerak menuju ke pintu pelepasan. Setelah mendapatkan pengesahan passport & melalui pemeriksaan kastam aku mencari pintu T 16. Beberapa orang pegawai siap menunggu di muka pintu memeriksa passport & tiket. “ Berapa hari di Australia, ” tanya pegawai itu. “ Dalam sebulan, ” jawabku ringkas. “ Lamanya, buat apa di sana ?. ” tanyanya lagi. “ Sekali-sekala pergi memang lama. Baru berbaloi. ” Bilik menunggu penuh dengan penumpang. Ada orang Malaysia, ada yang bukan.
Debaran semakin terasa tatkala aku mengatur langkah ke arah pesawat. Tempat dudukku terletak di belakang, ekor pesawat. Aku duduk di sebelah wanita separuh abad dari Kanada. Dia dalam perjalanan pulang ke sana. Transit beberapa hari di Australia sebelum merentasi Lautan Pasifik untuk sampai ke benua Amerika Utara. Dia menceritakan pengalaman melancong ke seluruh dunia. Mudahnya mendapat ilmu, hanya dengan berbual & mengambil hikmah-hikmah yang terkandung di dalamnya.
Nasi lemak bersama air mineral dihidangkan setelah lebih sejam di udara. Pada mulanya aku berbelah bahagi sama ada mahu makan atau tidak. Maklumlah perjalanan masih jauh, sekitar enam jam & tiada bekalan yang aku bawa. “ Makan saja. Nanti boleh tidur, ” perasaanku berkata-kata. Masa berbaki aku isi dengan fitrah malam, tidur sambil mendengar ayat-ayat Al-Quran dari mp3 yang dibeli khusus bagi perjalanan kali ini.
Bunyi bising penumpang lain mengejutkanku. Sudah lima pagi waktu Malaysia. Aku melihat ke luar tingkat kapal terbang. Terdapat cahaya dari daratan. Fajar pun mula menyingsing di ufuk timur. Mungkin sedang melewati Perth. Aku bangun ke bilik air mengambil wuduk. Tapi nak solat ikut waktu mana ?. Mungkin melihatkan kesangsian aku, seseorang menegur “ Nak solat subuh ?. ” “ Ya. ” “ Jom kita solat sama-sama, ” dia mempelawa. “ Pak cik melawat anak di Melbourne. Dia belajar di sana, ” katanya memulakan perbualan. “ Alhamdulillah, bagus tu pak cik. Nak berjalan-jalan pun senang kan, ” aku membalas.
Matahari mula menampakkan diri menyinari alam semesta. Sungguh indah alam ciptaan Tuhan ditambah pemandangan dari atas kapal terbang. Masing-masing sibuk mempersiapkan diri.
“ Dah nak sampai barangkali, ” getus hatiku. “ Pendaratan terpaksa ditangguhkan kerana kesibukan Lapangan Terbang Tullamarine. Kita akan mendarat pada jam 8.30 pagi waktu tempatan, ” kata juruterbang memberikan pengumuman. “ Cuaca di Melbourne dilaporkan baik dengan suhu 6 darjah selsius. ” Wah, sejuknya !. Macam suhu dalam peti ais pula.
Setelah berlegar-legar di ruang udara akhirnya kapal terbang mendarat. Melbourne here I come !.
Usamah Izer
Broadview, Adelaide Australia
Tuesday, 16 August 2011
TMA : Langkah Bermula
Kisahnya bermula sebelum ramadhan. Waktu itu saya mendapat jemputan sebagai imam tarawih di Pelham Musolla, University Of Melbourne. Mana mungkin saya menolak peluang sebegini. Akan tetapi nama saya yang sensitif mungkin akan menyukarkan urusan memasuki Australia nanti. ‘ Terima saja. Peluang tak datang dua kali. Lagipun bila lagi nak ke Australia. Dah berdua nanti banyak benda nak kena fikir. Kos pun dah dua kali ganda, ” kata Asrol memberikan pandangan. Dengan perasaan bercampur-campur saya menerima pelawaan tersebut. Antara gembira & curiga. Gembira kerana akan menjejakkan kaki ke sana. Curiga dengan urusan imigresen yang melecehkan. “ Boleh ke aku lepas ni ?, ” saya bermonolog sendirian.
Tidak banyak persiapan yang saya lakukan. Saya diberitahu ramadhan tahun ini jatuh pada peralihan musim sejuk & musim bunga. Suhunya tidaklah sejuk menggila. Malahan saya hanya membawa sehelai baju tebal bersama-sama. Pakaian lain juga tidak banyak diisi dalam bagasi. Cukup sekadar memenuhi keperluan seorang yang bermusafir ke negara empat musim. Sekali lagi saya akan berseorangan dalam perjalanan yang jauh. Namun apa yang nak dirisaukan. Bertolak dari lapangan terbang negara sendiri & ditemani oleh kapten serta anak kapal yang juga orang Malaysia. Sampai ke destinasi ada yang akan menjemput. Begitulah perasaan saya. Anak muda memang sukakan cabaran.
Ada beberapa urusan yang saya selesaikan pada hari-hari terakhir sebelum berangkat. Memperbaharui passport, urusan visa & mendapatkan sedikit sebanyak maklumat berkenaan negara kangaroo itu. Kesempatan yang ada saya gunakan untuk pulang ke kampong menemui keluarga memohon restu. Nampaknya saya tidak akan menyambut ramadhan kali ini dengan mereka. Ya, saya akan berada di Australia sepanjang ramadhan. Bahkan Aidil Fitri juga akan disambut di sana. “ Mak kata kena biasakan diri hang tiada di rumah. Nanti pun tak da jugak bila raya, ” kata adik. Saya hanya diam sahaja. Seakan memahami maksud yang ingin disampaikan.
Perjalanan dari rumah ke Lapangan Terbang Tambang Murah ( LCCT ) dimulakan dengan menaiki LRT ke KL Sentral. Dari sana saya akan menyambung perjalanan dengan perkhidmatan bas yang mengambil masa sekitar satu jam. Bas penuh dengan penumpang yang akan menggunakan perkhidmatan Air Asia ke destinasi masing-masing. Saya belum memulakan perkenalan dengan sesiapa di dalam bas. Manalah tahu ada yang sama destinasi dengan saya juga. Perjalanan pada lewat petang itu saya isi dengan berimaginasi suasana yang bakal ditempuhi nanti. Sejuk macam aircond kah ?.
Makin lama makin sibuk pula LCCT ini. Walaupun terletak bersebelahan dengan KLIA namun dek kerana kesibukannya, kerajaan telah memutuskan membina sebuah lagi lapangan terbang yang mungkin akan dikenali sebagai KLIA 2. Teringat saya akan kisah Tony Fernandes & ahli lembaga pengarahnya termasuk Kamaruddin Meranun yang membeli Air Asia daripada DRB Hicom dengan hanya RM 1 & kemudian menukarkannya menjadi syarikat penerbangan tambang murah yang terus unggul saban tahun. Langkah ini diikuti oleh syarikat penerbangan yang lain dengan menyediakan perkhidmatan tambang murah sebagai sub perniagaan mereka.
Usamah Izer
Redfern, Sydney Australia
Wednesday, 3 August 2011
Air Sagu
Rebus saguCampurkan sagu, santan & gula melaka dalam 1 bekas. Kemudian masukkan ais. Sedia untuk diminum !. Sesuai bagi mereka yang berada di perantauan, homesick & sangat merindukan kampung halaman.
Usamah Izer
Melbourne Victoria
Sunday, 31 July 2011
Friday, 29 July 2011
Travelog Malaysia-Melbourne : Touch Down
Waktu solat di Melbourne seperti berikut :
Subuh : 5.53 pagi
Zohor : 12.27 tgh hari
Asar : 3.10 ptg
Maghrib : 5.30 ptg
Isya’ : 6.56 ptg
Sydney Road
Saya isi masa hari kedua dgn berjalan-jalan sekitar Sydney Road, berkenalan dgn kejiranan baru, kedai-kedai & menikmati suhu peti ais yang menyamankan.
Tuesday, 19 July 2011
Sajak Syed Qutb
Dan kau siram pusaraku dengan air matamu
Maka di atas tulangku yang hancur luluh
Nyalakanlah obor buat umat mulia ini
Dan teruskan perjalanan ke gerbang jaya
Kematianku adalah suatu perjalanan
Mendapatkan Kekasih yang sedang merinduku
Taman-taman di syurga bangga menerimaku
Burung-burung berkicau riang menyambut ku
Berbahagialah hidupku di alam abadi
Puaka kegelapan pasti akan hancur
Dan alam ini akan disinari fajar lagi
Biarlah roh ku terbang mendapatkan rindunya
Janganlah gentar berkelana ke alam abadi
Nun di sana fajar sedang memancar
sumber : saifulislam.com
Tuesday, 12 July 2011
Wulidna
Tanpa menunggu jawapan saya guru meneruskan bicara, “ Wulidna lil mawaddah wa rahmah. Kita dilahirkan untuk kasih sayang & rahmah. Sesuai dgn firman Allah dalam surah Al-Ahzab rahmatan lil’alamin. Kita bukan sahaja membawa rahmat kepada diri & keluarga, bahkan kepada seluruh alam, kepada seluruh umat. ”
“ Dah macam kuliah maghrib ni, ” saya mencelah. Kami ketawa bersama-sama. “ Seterusnya wulidna lil ‘izzah wal kiramah. Bangga dilahirkan sebagai muslim. Kerana itu kita mesti mengangkat kembali martabat agama, bangsa & negara. ”
“ Akhir sekali wulidna lilmas’uliyat. Ada tanggungjawab yang mengiringi setiap kelahiran anak Adam. Tugas sebagai khalifah bukan mudah. Kepada diri, keluarga, masyarakat & negara. Panjang kalau kita nak bincang, ” kata guru menghabiskan huraiannya.
Saya yang dari tadi mendengar setiap bait yang dituturkan cuba mengingat kembali apa yang disebutkan. “ Wulidna lil mawaddah wa rahmah, wulidna lil izzah wal kiramah, wulidna.... ” Sambung guru saya, “ lilmas’uliyat. ” .........wulidna lilmas’uliyat.
Monday, 11 July 2011
Hamba-Mu

Ke arah satu perjalanan,
Dalam sebuah kehidupan,
Demi untuk mengecapi,
Hasrat murni di dalam hati
Usaha dengan doa,
Masanya akan tiba,
Dengan restu Ilahi,
Kelak pasti akan ditemui
Suluhkan cahaya di hati terang,
Tunjukkan jalan seandainya hilang,
Dekatkan perjalanan yang bakal ditempuh,
Tegakkan semangat bila luntur,
Setibanya di sisi-Mu ku berserah,
Terimalah ku hamba-Mu Allah
Sekiranya takdir menguji,
Cekalkanlah hasrat dihati,
Semoga kesusahan bisa,
Mengajar erti terus azam
Usaha dengan doa,
Masanya akan tiba,
Dengan restu Ilahi,
Kelak pasti akan ditemui
Suluhkan cahaya di hati terang,
Tunjukkan jalan seandainya hilang,
Dekatkan perjalanan yang bakal ditempuh,
Tegakkan semangat bila luntur,
Setibanya di sisi-Mu ku berserah,
Terimalah ku hamba-Mu Allah
OST Imam Muda
Saturday, 9 July 2011
Vios Manual - 8 Bulan
Sudah 8 bulan saya menggunakan Vios 1.5J manual. Walaupun tinggal di Lembah Klang, manual tetap menjadi pilihan kerana sudah tentu orang muda mahukan kuasa berbanding keselesaan. Sampai masanya kereta akan bertukar ke transmisi auto.
Kereta ini sudah 5 kali diservis, pada 1000km, 5000km, 10000km, 15000km & 20000km. Jumlah keseluruhan bayaran servis sekitar RM 800. Semasa mencapai 10000km, saya memilih menggunakan minyak pelincir 5000km sedangkan sepatutnya 10000km. Jadi tak perlu servis pada kadar 15000km.
Berdasarkan pengalaman, penggunaan petrol juga sangat memuaskan. Saya senaraikan destinasi & jumlah petrol yang digunakan. Agak-agak saja. Kelajuan sekitar 120km/j dengan 2 orang penumpang menggunakan Ron 95.
Perjalanan sehala :
Gombak – Bandar Melaka : RM 12
Gombak – Bandar Kuantan : RM 25
Gombak – Sg Petani : RM 35-40
Pergi balik :
Gombak – Bangi : RM 10
Sg Petani – Padang Besar : RM 30
Secara purata dengan isian RM 50 petrol, kenderaan saya mampu bergerak antara 420km sehingga 480km. Sekian saja perkongsian saya kali ini. Semoga bermanfaat.
Sunday, 24 April 2011
Kuliah Jumaat Di Masjid Ubudiah Shah Alam
Sudah lama saya tidak bercakap mengenai Palestin di khalayak. Tawaran dari Aman Palestin melalui panggilan telefon pagi tadi masih saya pertimbangkan. “ Boleh bagi kuliah Jumaat esok di Masjid Ubudiah Seksyen 18 Shah Alam ?. ” Begitulah pertanyaan daripada seorang staf Aman Palestin yang telah lama saya kenali. “ Insya Allah, boleh bagi sedikit masa untuk saya fikirkan ? ”
Memberi kuliah di surau & masjid bukanlah asing bagi saya. Malah saya pernah memberikan kuliah di Masjid Raya Baiturrahman, Banda Aceh sewaktu misi pendidikan ke sana. Saya kira sukar peluang itu saya dapatkan di Malaysia. Layakkah saya berkuliah di masjid negeri ?. Insya Allah satu hari nanti.
Saya meneliti emel yang diberikan setelah bersetuju menyampaikan kuliah. Satu persatu bahan dicetak & dibaca. Kemudian saya tandakan isi-isi penting yang akan disebut esok. Setelah itu saya layari internet mencari bahan-bahan berkaitan. “ Semoga Allah memudahkan urusan aku esok, ” saya berdoa dalam hati.
Shah Alam bukanlah tempat yang asing bagi saya. Akan tetapi saya sesat juga dalam perjalanan ke Masjid Ubudiah. Sesat bukan kerana tiada perancangan, tetapi terlepas tanda jalan penting menuju ke sana. Saya kira sudah lambat apabila sampai, tetapi rupanya tidak. “ Ustaz boleh ceramah sampai masuk waktu zohor. ” kata pengerusi masjid. Biasalah, semua orang yang berceramah di masjid akan dipanggil ustaz.
Masjid yang tadinya kosong kini beransur penuh. Seorang demi seorang jemaah memenuhi ruang solat utama. Saya yang berbaju melayu, mengenakan seluar slack & berkopiah meneruskan kuliah sambil memerhatikan jemaah yang masuk. “ Saya yakin sudah acap kali tuan-tuan mendengar akan isu Palestin. Barangkali tuan-tuan membaca di akhbar & majalah, menonton dokumentari di televisyen, mendengar ceramah atau forum di corong radio. Persoalannya, apakah tindakan kita sesudah semua itu ?, ” kata saya.
“ Cukupkah hanya dengan membaca, menonton & mendengar ?. Apakah kita tidak malu membiarkan kiblat pertama umat Islam diinjak-injak sedemikian rupa ?. Ada yang mampu kita sumbangkan untuk saudara kita di sana, ” saya menambah. Projek-projek terkini Aman Palestin saya promosikan. Jemaah yang ada kelihatan berminat apabila mendengar projek disebut satu persatu. “ Dengan hanya RM 150 sebulan kita mampu membiayai seorang pelajar sehingga dia menamatkan pengajian. Apalah sangat RM 150 sebulan tu. Duit petrol kita barangkali lebih banyak. Tuan-tuan pilih yang berkenan di hati. Besar nanti boleh buat menantu, ” cadangan saya disambut dengan gelak ketawa.
Saya berhenti 5 minit sebelum masuk waktu zohor kerana sakit gigi. Sememangnya saya menahan kesakitan semasa memberikan kuliah tadi. “ Terima kasih tuan haji berikan kami peluang pada hari ini, ” saya bersalam dengan pengerusi masjid. Pengerusi masjid menjawab, “ Eh, tak. Kami yang perlu berterima kasih kepada Aman Palestin sebab bersungguh-sungguh jalankan kempen ni. Lepas ni boleh ustaz bagi kuliah lagi di sini ?. ” Saya berlalu sambil tersenyum.
Friday, 4 February 2011
Catatan Hari-Hari Rusuhan 2
11. Saya kebetulan diminta mengambil pelancong yang akan tiba dari Malaysia jam 11.30 pagi di airport, sebelum membawa mereka ke hotel mereka di Tahrir.
12. Ketika keluar dari rumah jam 10.30 pagi, saya mula sedar talian telefon sudah tidak lagi berfungsi. Dengan itu bermakna semua cara perhubungan sudah disekat, dan tiada lagi cara berkomunikasi antara satu sama lain bagi masyarakat awam. Dari Hayy ‘Ashir, saya bersama Akid dan Abdullah Husaini bertolak ke airport untuk mengambil keluarga Akid. Jalan sepanjang dari Hayy ‘Ashir ke airport menyeramkan kerana terlalu lengang. Perjalanan yang biasanya mengambil masa 20-25 minit menjadi hanya 10-15 minit pada hari itu. Di sepanjang perjalanan tiada pula sebarang tanda akan terjadi perkumpulan dan demonstrasi. Di stesen minyak dan di airport kesemua urusan berjalan seperti biasa.
13. Selesai mengambil keluarga Akid, kami bertolak keluar dari airport. Waktu itu azan Solat Jumaat sudah dilaungkan. Saya mengambil jalan El-Orouba sebelum menaiki Kubri 6 Oktober. Sepanjang perjalanan keadaan sangat tenang, dan lalu lintas sangat kosong dan lancar.
14. Semakin mendekati kawasan Tahrir kelihatan beberapa hentian polis untuk pemeriksaan. Walau bagaimanapun pemeriksaan yang dijalankan hanya rambang, mungkin sekadar bertujuan menggertak. Trak polis tidak kelihatan sangat di jalan-jalan utama.
15. Setelah turun dari Kubri 6 Oktober memasuki kawasan Tahrir (sepanjang Kournish Nil, menghadap Sungai Nil) mula kelihatan trak-trak polis yang beratur di sepanjang kawasan-kawasan ‘hot-spot’, dikelilingi oleh barisan polis dan FRU berpakaian serba hitam. Antara tempat yang paling banyak dikawal ialah pejabat stesyen TV dan radio Mesir.
16. Sepanjang perjalanan saya mencari hotel, kelihatan kelompok-kelompok manusia menunaikan solat Jumaat. Kawasan sekitar masjid dikawal pihak keselamatan, namun secara longgar. Jalanraya masih lengang dan belum ada sebarang sekatan jalan.
17. Tiba di hotel dan check-in, para jemaah yang menunaikan solat Jumaat kebanyakannya sudah selesai. Di beberapa tempat jemaah mengerumuni seorang coordinator demonstrasi mendengar arahan.
18. Lorong hotel tempat saya menghantar tetamu rupanya ialah salah satu lorong tempat demonstrasi terjadi. Di satu hujung jalan mereka yang terlibat dengan demonstrasi melaungkan laungan-laungan rusuhan seperti ‘Tahya Masr’, manakala di satu hujung lagi polis dan FRU berkawal tanpa sebarang tindakan. Sekali-sekala kelihatan mereka berpecah lari bila diancam gas beracun daripada polis.
19. Melalui pihak hotel dan TV di lobi hotel, saya fahami jalanraya utama di sekitar Tahrir dan Ramses sudah ditutup oleh polis, dan dipenuhi oleh mereka yang berdemonstrasi.
sumber : Atas Jalan Lurus
Catatan Hari-Hari Rusuhan 1
2. Pagi 25 Januari belum menampakkan sebarang tanda-tanda besar. Berita tengahari melaporkan lebih daripada 10 000 orang turun berdemo di sekitar Tahrir. Twitter dan facebook meriah dengan laporan-laporan dari medan demo. Ada yang mengawal flyover dan jambatan di sekitar Tahrir, walaupun dijaga dan dikawal oleh polis dan FRU. Polis dan FRU dikhabarkan tidak bersungguh untuk membendung rusuhan. Kemungkinan sengaja ingin membiarkan atau mungkin juga kerana terpaksa bekerja pada hari cuti. Para suri rumah yang menetap di Tahrir dilaporkan membaling peralatan dapur kepada polis-polis di bawah.
3. Masuk waktu maghrib akses ke Twitter melalui web mula disekat. Namun Twitter kekal aktif kerana pengguna dari Mesir menggunakan ‘backdoor’ untuk mengakses, tambahan pula kebanyakan ahli Twitter yang aktif memberi update menggunakan Blackberry, yang masih bebas mengakses Twitter.
4. Selepas Isya’ khabar dari Tahrir menyatakan semakin ramai yang menyertai rusuhan. Angka 30 000 orang pada waktu siang berganda. Kebanyakan jalan-jalan utama di Tahrir sudah ‘dikuasai’ oleh rakyat yang merusuh. Semakin lewat malam semakin ramai yang menyertai demonstrasi, termasuk dari kalangan yang berkeluarga bersama dengan anak-anak.
5. Pihak berkuasa keselamatan diberitakan banyak berkawal di pusat-pusat informasi dan media seperti stesyen tv dan radio di sepanjang Kournish Nil. Wartawan Al-Jazeera yang ingin membuat liputan dikatakan diberi amaran oleh polis. Usaha untuk mengawal maklumat yang keluar kepada masyarakat awam meningkat.
6. Berita terakhir berkaitan rusuhan di Tahrir ialah sekitar jam 2.00 pagi. Hanya segelintir yang kekal bertapak di kawasan Tahrir, sedang majoriti pulang ke rumah memandangkan esok harinya merupakan hari kerja. Pihak keselamatan juga dilaporkan mula mengosongkan kawasan Tahrir selepas itu.
7. 26 Januari 2011 – Kehidupan majoriti rakyat Mesir berjalan semula seperti biasa. Ada yang meneruskan demonstrasi di Tahrir tapi jumlahnya kecil. Banyak nasihat di Twitter untuk menyimpan tenaga untuk satu lagi demonstrasi besar-besaran yang dirancang pada hari Jumaat 28 Januari selepas solat Jumaat. Sasaran bilangan yang akan keluar pada hari tersebut ialah sekitar 1 juta orang. #Jan25 di Twitter ‘trending’.
8. Seharian berita-berita utama mula melaporkan akhbar tentang hari sebelumnya. Khabar tentang Tahrir tidak seganas khabar tentang rusuhan di Suez dan Alexandria. Peluru hidup dilepaskan di sana dan terdapat tidak kurang dari 5 orang yang mati. 25 Januari digelar ‘yaum al-ghodhob’.
9. Sehingga ke awal malam 27 Januari tidak terdapat sebarang peristiwa besar yang terjadi di sekitar Kaherah. Para penyusun demonstrasi dikatakan sedang bersiap-siap dan sentiasa memberi maklumat kepada masyarakat awam melalui Twitter dan facebook (menggunakan proxy, rockmelt, dan Blackberry) sebelum akses internet terputus seluruhnya lebih kurang jam 10.30 malam. Juga sempat tersebar sebelum kehilangan akses internet, khabar tentang beberapa perkara yang akan terjadi pada keesokan hari, antaranya : SMS dan talian telefon disekat, bank-bank akan ditutup dan ATM tidak berfungsi, serta kemungkinan akan keluar perintah berkurung. Semuanya untuk menghalang daripada merebaknya rusuhan yang dijangka lebih ganas dan besar berkali ganda berbanding yang terjadi pada 25 Januari.
sumber : Atas Jalan Lurus
Thursday, 3 February 2011
Perkembangan Terkini Pelajar Malaysia Di Mesir - 2 Februari 3 Petang
Laporan terkini situasi rakyat & pelajar Malaysia di Mesir pada pukul 3.10 petang ( waktu Malaysia ), Kedutaan Malaysia di Kaherah telah membuat pengumuman bahawa para pelajar akan mula dipindahkan petang ini. Mereka akan dipindahkan ke Jeddah bermula dengan yang telah berkeluarga, kanak-kanak, perempuan, orang tua & seterusnya pelajar-pelajar bujang.
Proses perpindahan ini akan dilakukan secara beransur-ansur & dijangkakan akan mengambil masa sekitar satu minggu atau lebih. Para pelajar yang berada di Kaherah akan dipindahkan dahulu memandangkan rakyat Malaysia yang berada di muhafazah-mufahazah lain sukar untuk bergerak disebabkan banyak jalan yang ditutup.
Menurut laporan daripada Ustaz Suhaib Ar-rumy bin Selamat, Pengerusi ISMA Mesir, semua ahli ISMA Mesir telah pun dalam keadaan bersedia untuk berpindah & tuan rumah juga telah dimaklumkan akan perpindahan mereka untuk satu tempoh.
ISMA Mesir juga mengumumkan talian hotline bilik gerakan ISMA Mesir di Kaherah telah diwujudkan. Oleh itu ibu bapa & waris boleh menghubungi hotline tersebut jika ingin mengetahui keadaan terkini anak, waris atau keluarga mereka di Mesir. Talian tersebut boleh dihubungi dengan mendail nombor +20224107642.
Jika gagal, talian hotline itu juga boleh dihubungi dengan menggunakan Skype. Cara-caranya seperti berikut :
1. Muat turun perisian Skype di http://www.skype.com/intl/en-us/get-skype/on-your-computer/windows/
2. Install Skype ke dalam komputer anda.
3. Daftar satu akaun baru ( jika belum ada ).
4. Beli credit secara online tekan pilihan ‘buy credit’ dan ikut arahan seterusnya hingga berjaya. Kad kredit diperlukan untuk urusan ini ).
5. Setelah berjaya masukkan nombor talian hotline bilik gerakan ISMA Mesir di ruang panggilan seperti berikut +20224107642.
6. Jika mempunyai masalah sila hubungi Ustaz Ahmad Ala’uddin Kamal Al-Hafiz daripada Sekratariat Luar Negara ISMA di talian 019-2887797.
Berikut panduan yang perlu diikuti apabila berjaya bercakap dengan petugas di bilik gerakan ISMA Mesir :
1. Perkenalkan diri anda.
2. Maklumkan butir-butir diri anak, waris atau keluarga anda ( nama, muhafazah, nombor telefon )
3. Jika maklumat ada, anda akan dimaklumkan oleh petugas tersebut.
4. Jika belum ada maklumat, petugas akan menghubungi anak, waris atau keluarga anda untuk mengetahui status mereka.
5. Jika anda berhajat bercakap dengan anak, waris atau keluarga anda, sila buat temujanji dengan petugas tersebut.
6. Petugas bilik gerakan akan memberi cadangan waktu yang sesuai untuk bercakap kerana pelajar tidak digalakkan keluar rumah ekoran keadaan yang genting.
7. Hanya waris yang berada di Kaherah sahaja boleh dihubungi untuk bercakap.
Menurut Ustaz Suhaib lagi ahli-ahli ISMA Mesir masih berada dalam keadaan baik. Namun penutupan semua bank di sana menyebabkan mereka sukar mengeluarkan wang untuk berbelanja. Pusat-pusat tukaran wang, kedai-kedai runcit & pasaraya juga telah ditutup sejak beberapa hari lepas.
Namun ahli-ahli ISMA Mesir yang peka dengan keadaan semasa di Mesir telah membuat persediaan awal untuk menghadapi keadaan genting ini samada mereka yang berada di Kaherah & juga kawasan-kawasan lain seperti Tanta, Mansurah, Dumyat & sekitarnya. Justeru itu bekalan makanan masih mencukupi & mampu menampung kehidupan mereka untuk beberapaketika lagi jika proses perpindahan tidak berlaku segera.
Perkembangan ini dilaporkan oleh Ustaz Ahmad Ala’uddin Kamal Al-Hafiz daripada Sekratariat Luar Negara ISMA yang berhubung secara langsung dengan Ustaz Suhaib Ar-rumy bin Selamat, Pengerusi ISMA Mesir pada pukul 3.10 petang (waktu Malaysia ) sebentar tadi. ISMAWeb akan membawakan laporan terkini keadaan di Mesir setiap 4-5 jam.
sumber : ismaweb.net


